Sunday, August 21, 2011

Kenangan bersama Allahyarham Azizi Abdullah


Oleh: Rossem
Sore itu, tanggal 15 Januari 2011, saya berdiri di lobi Hotel Grand Season sendirian , tiba-tiba seseorang menelefon mengajak minum bersama di café hotel yang mewah. Saya mencari kiri kanan meja yang dimaksudkan. Tampak di sudut café tiga orang sedang bersembang sambil minum. Mereka semua saya kenali, antaranya wakil rakyat (PAS) Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamad, penulis politik koran Harakah, Shukur Harun dan teman yang menelefon tadi.

Langsung saya ke mejanya, bersalam dan ia meminta saya order minuman. Azizi Abdullah sore itu tampak sihat, ceria dan bersemangat. Mengalahi usianya yang meniti 68 tahun.

Azizi datang ke Kuala Lumur semata-mata untuk menghadiri acara yang julung kali diadakan, iaitu pertemuan bloger pro Pakatan Rakyat dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Ia antara salah seorang bloger yang datang dari jauh- Kulim, Kedah yang jaraknya dari ibu negara Malaysia kurang lebih 500 kilometer. Sedang bloger lain dari Kuala Lumpur. Kecuali bloger Kelantan yang ikut bersama rombongan petugas Kerajaan Negeri.

Semangat Azizi ternyata sangat mengagumkan, barangkali ia tahu bahawa malam itu Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri akan datang menemui pengamal media baru yang sangat efektif, justeru ia mengagahkan diri untuk hadir.

Kami minum kopi panas sambil menunggu acara dimulakan di lantai satu pada jam 9.00 malam nanti. Perbualan lebih kepada ‘tanya khabar” bersulam gelak ketawa, sementara di wajah masing-masing tampak kecerian kerana lama tak bertemu.

“Sepatutnya penulis-penulis juga harus mengadakan satu dialog dengan kepimpinan Tok Guru, seperti malam ini,” Saya memulakan bicara.

”Saya setuju. Mungkin YB Datuk Husam Musa atau YB Mohamed Fadzli boleh pertimbangkan. Penulis yang dimaksudkan, bukan wartawan dan bukan sidang pengarang akhbar atau tabloid, tetapi penulis bebas” kata Azizi.

Azizi membayar minuman, saya melihat tiga helai note kertas RM50 terbang, padhal kalau minuman seperti itu di warung tepi jalan tak sampai RM15.00. Itulah nilai wang di hotel 4 bintang, di Kuala Lumpur.

Sebelumnya sering berjumpa dengan Azizi, dan setiap kali bertemu, yang ditanya “berapa saya harus bayar kartun Rossem?” Satu soalan yang sukar saya menjawapnya. Saya bertanya; ada apa?. Kemudian ia memberitahu “Saya mahu Rossem melukis kartun untuk koran saya- Utusan Pengguna”

Azizi menjadi Editor Utusan Pengguna, terbitan dua bulan sekali, oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang dipimpin SM Idris. Selain koran, buku-buku seputar kepengganaan juga diterbitkan.

Itulah kali terakhir saya bertemu beliau. Lapan bulan selepas itu, kelmarin, tanggal 20 Ogos 2011, iaitu hari pertama melangkah memasuki gerbang kesepuluh Ramadhan yang sangat dinanti-nantikan umat Islam kerana di dalamnya ada malam lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu malam, novelis terkenal Haji Azizi Abdullah telah meninggalkan dunia yang fana ini.

Hj. Azizi Abdullah dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda Kedah, tanggal 4 April 1942. Mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam.

Kemudian belajar di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas Seberang Perai hingga tahun 1965.

Azizi mula menulis ketika di sekolah agama, sekitar tahun 60-an apabila artikel pertamanya tersiar dalam Warta Negara, Pulau Pinang berjudul buruk baik wanita bermain bola sepak dan kemudian diikuti cerpen ‘Sisa’. Manakala cerpen ‘Hj. Salikun Cuba Berkhalwat’ telah menjadi kontroversi sehingga Azizi hendak didakwa di mahkamah.

Azizi mula bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah dalam tahun 1965 dan bermulalah kesuburan bakat beliau melalui penulisan cerpen di akhbar-akhbar, terutama akhbar terbitan Utusan Melayu.

Azizi telah bersara daripada guru agama pada tahun 1997 dan jawatan terakhirnya sebagai i Ketua Editor akhbar Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang dan penulis kolum majalah.

Dengan terhasilnya novel KAWIN-KAWIN, bererti sudah 25 novel yang ditulis oleh Azizi sejak tahun 60an lagi di samping hampir 200 cerpen.

Saya sering menjengok bolgnya, dan teringat ungkapannya saat ia sakit dan terlantar di wad hospital Pulau Pinang: Subhanallah… Maha Suci Tuhan… apakah itu kebesaran Tuhan, Allahku? Sememangnya saya percaya ia adalah kebesaran Tuhan. Subhana... Subhanallah... dan ia bukan saja mimpi dan igauan ngeri malah bunyi degup jantung, mencerus air di pundi-pundi atau letup tulang dan selisih urat pun, mungkin ia adalah suara tasbih yang mengagungkan Tuhan.

Saya menghabiskan bacaan buku ‘Ketika Alam Bertasbih’ tulisan Dr. Musa Al Khathib yang saya beli di Jakarta tempuh hari sangat memberi kesan. Saya terkedu, terencat rasa, sebak dan merasa diri sangat jauh takbur terhadap Tuhan apabila selama ini terabai dan lagho dengan Tasbih.

Sungguh amat hebat makhluk yang dijadikan Allah ini bertasbih sedangkan saya tidak menyedari sekian lama. Hebatnya dan dahsyatnya apabila alam bertasbih. Ia bukan saja bunyi guntur, kilau kilat petir, debur ombak dan gegar runtuh gunung, tetapi juga suara katak dan kicau burung dengan bahasanya adalah tasbih yang membesarkan Allah.

Ya Allah, saya sangat jauh dengan kesedaran ini. Hud-hud dengan Nabi Sulaiman, Semut yang khusus disebut dalam surah Al Naml sehingga kepada hymenoptera, vespiodea, formicidae, lalu bondongan burung-burung mampu meneduhkan Sulaiman dengan kepak mereka.

Bukankah hebat kebesaran Allah? Bunyi kepak itu pun adalah Tasbih. Ya Allah, demikian aku tersentak betapa hebat dan besarnya Tasbih; Subhanallah...

Tuhanku...sesungguhlah aku terlalu jauh lupa mentasbih kebesaranmu!

Selanjutnya seperti diungkapkan sahabat karibnya, penulis terkenal Indonesia, Herry Nurdi : Sastrawan besar Melayu berpulang. Satu persatu guru saya telah kembali. Saat di Jakarta beberapa bulan lalu, Allahyrham mengatakan. "Herry, ini mungkin perjalanan saya yang terakhir," begitu katanya waktu itu.

”Selamat jalan Ustadz Azizi, insya Allah kami juga akan menyusulmu. Dan kami akan pastikan, ilmu yang telah kau beri akan bermanfaat dan perjuangan yang telah kau mulai akan kami teruskan!” Lanjut Herry Nurdi.



No comments:

Post a Comment