Wednesday, August 10, 2011
Aduh! Mahalnya harga barang…
Oleh:Rossem
Banyak orang Malaysia mengeluh tentang kenaikan harga barang sekarang. Ada barangan keperluan sehingga naik seratus peratus. Fenomena ini sangat membebankan masyarakat, terutama di bulan Ramadhan dan tak lama lagi menyambut lebaran.
Kenaikan itu bahkan seperti telah mendapat “restu” dari pemerintah, kerana tiadanya prosedur kawalan harga yang dikenakan ke atas peniaga, kecuali barang-barang terkawal seperti gula, susu. justeru yang menjadi mangsa ialah kaum pengguna.
Akhbar perdana juga tidak menghebohkan “pesta naik harga” ini kepada umum. Sebaris ayat pun tak ditulis dalam akhbar. Media milik pemerintah ternyata bersubahat menutupi berita kenaikan harga ini dari pengetahuan umum, kerana mereka khuatir rakyat akan bangkit menentang pemerintah, sepertimana berlaku kepada Hosni Mubarak di Mesir.
Barangan yang belum lagi menaikkan harga sedang menunggu saat yang sesuai untuk naikkan harga. Yang sudah menaikkan harga sedang mengintai untuk menampal pelekat harga baru. Apa pun mereka lakukan, yang menjadi mangsa tetap kelompok pengguna. Dan sekarang pun kalau masuk ke kedai untuk membeli barang dengan membawa wang bernilai RM50, berapa saja yang boleh dibeli. Ertinya, dengan kenaikan itu, nilai wang kita semakin rendah.
Ayam dan ikan menjadi barang mewah, sekilo ayam RM7.50, bermakna seekor ayam sekitar RM15. Ikan kembong yang dulu RM5.00 sekilo sekarang mencerceh RM10.00 atau RM12.00. Dengan kenaikan itu bermakna ayam dan ikan menjadi barang mewah yang hanya layak dimakan orang kaya.
Suatu petang, penulis bertanya harga seekor ikan keli yang siap dimasak (perecip) di sebuah gerai Ramadhan. Terkejut bila diberitahu sang penjual, harga seekor ikan keli berukuran lengan bayi 5 bulan RM5.00. Tak sanggup membelinya. Lantas penulis ke lain gerai, namun harganya tetap sama.
Kuih untuk berbuka puasa yang dijual di gerai Ramadhan sebelumnya bisa dibeli dengan harga seringgit sekarang menjadi RM2.00. Ikan, ayam dan daging yang siap dimasak purata dijual minimum RM5.00.
Namun, gerai-gerai Ramadhan tetap tumbuh macam cendawan di musim hujan untuk kemudahan warga membeli makanan dan kuih berbuka puasa. Situasinya tidak berubah, jumlah juga seperti tahun-tahun sebelumnya. Yang tampak berubah hanya wajah pembeli, tidak seceria sebelumnya, kerana terpaksa mengeluarkan wang lebih disebabkan kenaikan itu
Hari lebaran dua minggu lagi, memang sinonim dengan masyarakat kita yang beragama Islam untuk berbelanja sedikit lebih. Terutama membeli pakaian raya untuk anak-anak dan membuat kuih muih untuk persediaan tetamu bersilaturahim ke rumah pada hari lebaran nanti. Kenaikan harga barangan ini tidak menjejaskan sangat orang kaya, tapi bagaimana dengan orang miskin? walhal mereka juga mahu menyambut lebaran seperti orang lain.
Kenaikan harga barang tanpa terkawal ini berlaku selepas pemerintah Malaysia mengurangkan subsidi dan membenarkan kenaikan harga tarif elektrik dan kenaikan harga minyak. Ekoran dari kenaikan itu, pengusaha lori pula menaikkan upah sewa lori sehingga 18 peratus, bermakna harga untuk mengangkut barang berganda.
Pengusaha lori komersial menaikkan kadar upah sewa sedemikian ekoran pemansuhan disel super subsidi oleh pemerintah. Menurut Naib Presiden Persatuan Pengusaha Lori Tangki Bumiputra Malaysia Berhad, Samiron Safar, kenaikan itu wajar memandangkan kadar upah RM13.50 satu tan bagi setiap perjalanan ketika itu tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lalu.“Kalau tidak naik memang kami akan gulung tikar sebab selama ini kadar yang dikenakan paling minimum, dan pengusaha terpaksa tanggung kos diesel sebanyak RM200 sehari tidak termasuk kos tayar dan upah pemandu.“Justeru, kami akan berbincang dengan pelanggan untuk menaikkan kadar upah yang baru tidak kurang RM3 satu tan.
Selanjutnya, dengan kenaikan harga barang yang melambong di Malaysia sekarang terasa seperti Malaysia termasuk kelompok negara-negara maju dunia. Tapi sayang, ia tidak setara dengan pendapatan rakyat Malaysia dari kelompok pertengahan dan miskin, sama ada yang bekerja di sektur swasta mahupun pemerintah.
Makanya tepat sekali seperti disebut-sebut banyak orang; harga barang di Malaysia seperti negara maju, gaji kakitangan awam seperti negara kelas ketiga!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment