Tuesday, May 19, 2009

Mewujudkan kerukunan antara multibangsa di Kelantan

Oleh: Rossem

Saya sering memperhatikan, ketika kesempatan hadir di majlisnya. Di hadapan khalayak bukan Islam, pertama diceritakan, bahkan sehingga diulang-ulang, adalah tentang asal usul kejadian manusia. Katanya: Manusia, tanpa mengira status bangsa, bahasa, agama dan budaya berasal daripada bapa dan ibu yang sama, iaitu Adam a.s dan Hawa. Kemudian daripada pasangan yang sebelumnya bermukim di syurga itu, membiak sehingga jumlahnya kini ratusan billion, bertaburan di seluruh pelusuk planet bumi. Sementara status bangsa, bahasa, budaya terbentuk kemudiannya. Bila manusia sudah pandai melakar peta. Lalu terbentuk pula negeri dan negara seperti yang ada pada hari ini.

Namun kewujudan multietnik atau multibangsa yang pelbagai itu, di sisi Yang Maha Pencipta sedikit pun tidak membuahkan nilai. Ketaqwaan kepada-Nya jua yang diperhitungkan. Kemajmudan itu cuma agar makhluk manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain, menjalin keakraban semaksimum mungkin. Ditegah sama sekali menyingsing lengan, menghayung penumbuk- bergaduh atau berperang.

Dalam konteks kejadian manusia, menurut bahasa “mudahnya” semua manusia adalah bersaudara. Orang Arab, Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain merupakan anak cucu Adam a.s dan Hawa. Justeru mengapa kita bermasam muka, saling curiga mencurigai, antara satu sama lain, terutama dalam permufaktan membina kerukunan bernegara? Hal ini sebenarnya, yang mahu ditekankan sang tokoh itu.

Suatu pagi, saya kebetulan hadir pada suatu majlis antara kaum di kediaman rasmi beliau, JKR 10, Kota Bharu. Ketika itu, tokoh yang dimaksudkan, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang memberi taskirah kepada pelawat bukan Islam tentang kejadian manusia. Saya perhatikan; khalayak bukan Islam (Cina) mengamati setiap apa yang diperkatakan Tok Guru dengan penuh khusyuk, tampak lebih khusyuk daripada para makmun solat Jumaat takala sang khatib membaca khutbah. Pada wajah mereka tampak terpancar harapan dari sebuah persepsi baru: Inilah potret Islam yang dibawa oleh Mursyidul Am Pas- memupuk kasih sayang sesama warga Malaysia, biarpun berlainan agama dan budaya.

Sekaligus menafikan bahawa ketidakselesaan yang dikatakan wujud antara multietnik dan multiagama di Malaysia sebenarnya tidak berlaku, jauh sekali sepertimana digembar gemburkan pemerintah BN lewat media massa – Demikian menurut persepktif sang Mursyidul Am Pas itu.

Tentang politik. Ungkapan yang dilontar Tok Guru pada sidang akhbar, di Majlis Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009, di Kota Darulnaim, Kota Bharu sangat bermakna. “Di Kelantan, jika ada Cina Muslim yang alim dan bertakwa, nescaya saya akan tolong berkempen untuk dijadikan Menteri Besar Kelantan” Demikian komitmen Menteri Besar dalam merealisasikan perpaduan yang hakiki di Malaysia khususnya di Negeri Serambi Mekah.

Realitinya, bila kita berada bersama Tok Guru dalam majlis antara kaum, melalui saran-sarannya yang sarat dengan makna, sehingga kita merasakan status bangsa yang diagung-agungkan oleh kaum nasionalis selama ini lenyap dengan sendirinya. Sebaliknya wujud satu perasaan bahawa, kita adalah dari satu bangsa besar yang leluhurnya daripada bapak dan ibu yang satu, yakni Adam as dan Hawa. Cuma yang membezakan antara satu sama lain ialah, yang bertakwa diantara kita.

Dalam hal memupuk tolenrasi antara multietnik dan multiagama di Malaysia, Kerajaan Kelantan yang dipimpin Tok Guru tampak selangkah ke depan. Sebuah masjid yang berasakan senibina multibudaya telah dibina di Rantau Panjang, Kelantan, sebuah pekan kecil diperbatasan Malaysia - Thailand. Rekabentuknya kombinasi daripada senibina Cina, India dan tempatan.

Yang lebih menonjol ialah ciri-ciri kecinaannya hampir 90 peratus. Sehingga sekali pandang, seperti masjid-masjid atau pagoda yang terdapat di negeri China. Hal ini tentunya sangat asing bagi Muslim di Malaysia terutama orang Melayu, kerana masyarakat Melayu sudah terbiasa dengan senibina Arab bila membangun Masjid, namun inilah pengorbanan orang Melayu Kelantan yang tidak ternilai, demi multietnik dan multibudaya yang pelbagai, mereka tidak membantah rekabentuk Cina yang diterapkan pada masjid di Rantau Panjang, bahkan merestui dan berbangga.

Bangga kerana itulah satu-satunya masjid seumpama ini dibina di Malaysia. Sebelum ini, masyarakat Cina Muslim Malaysia pernah memohon kebenaran pemerintah untuk membina masjid khusus untuk mereka, kerana mereka juga merasa perlu memberi khutbah Jumaat dalam bahasa Mandarin sepertimana India Muslim menyampaikan khutbah Jumaat dalam bahasa Tamil, atau warga Pakistan dalam bahasa Urdu, namun ditolak pemerintah BN, dengan alasan yang kadang-kadang tanpa logis yang konkrit.

Cina bukan bangsa baru di muka bumi ini, ia wujud sebelum Masehi. Tamadun mereka lebih awal daripada tamadun Arab dan Yunani. Agama Islam lebih dahulu sampai ke negeri China ketimbang Alam Melayu. Maka secara psikologinya, sebuah bangsa besar, malah tertua, justeru egonisme yang dimiliki juga pasti sangat menebal. Masjid harus dibina berteraskan budaya senireka mereka, bahkan bahasa khutbah juga harus dalam bahasa mereka. Begitu yang dikehendaki. Rasionalnya boleh diterima.

Seperti pernah diungkapkan tokoh ilmuan Islam terkenal di Amerika Syarikat, Ismail al-Faruqi (Almarhum): Amerika Syarikat adalah sebuah “Negara Kuasa besar” Rakyat Amerika yang rata-rata patriotik sangat berbangga dengan title itu. Sekiranya umat Islam mahu agama suci ini dianuti mereka, dirikan universiti Islam di negara Paman Sam. Bawalah Universiti Al-Azhar ke sana dan lihatlah nanti, rakyat Amerika akan berbondong-bondong menuntut ilmu Islam di tanah air mereka, kerana pantang orang Amerika belajar di luar negara, lebih-lebih lagi di negara dunia ketiga.
Universiti Islam Al-Azhar, terletak di negara dunia ketiga, yakni Mesir - yang sering dicemuh Amerika.

No comments:

Post a Comment