Friday, May 8, 2009

Matangkanlah cara berkempen Umno

Oleh: Rossem

Setiap kali diberitahu pilihan raya kecil akan diadakan, ia pun geleng kepala, bibir mulutnya menjueh. Ia bosan mendengar istilah itu, ia bosan sungguh untuk menghadapi kondisi pilihan raya kecil yang terlalu kerap, kerana baginya, nama saja kecil, ongkos dan penat lelahnya tidak sekecil sebutan.

Yang paling Pak Nik benci, walaupun pilihan raya kecil itu hanya berlangsung di suatu lokasi pilihan raya tertentu, namun gegarannya sampai ke seluruh negara. Bahkan seluruh rakyat merasai seolah terlibat sama secara langsung, sedangkan mereka berada jauh dari lokasi berkaitan.

Pak Nik adalah rakyat kecil yang tinggal jauh di desa. Kehidupan sehariannya sangat sederhana, punya sebuah motokar model 80an, rutin paginya seusai solat Subuh di masjid, ia bergegas ke warung nasi berlauk untuk sarapan pagi sambil memanaskan tekak dengan secawan the tiga dalam satu. Saat bertemu teman-teman seperti inilah kesempatan baginya meluahkan rasa muaknya kepada pilihan raya kecil yang sangat kerap kini.

Hal ini terjadi disebabkan media massa yang membuat liputan seputar pilihan raya kecil menyebarluas ke seluruh negara. Televisyen dan suaratkhabar menyedut berita kempen khususnya aktiviti dan amanat Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet yang turun berkempen untuk memenangkan calon BN menjadi berita nasional. Justeru rakyat keseluruhannya, samada mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, yang tinggal di kota mahupun di desa, terpaksa menelan berita itu biarpun bosan dan separuh benci.

“Bukankah ini pilihan raya kecil untuk kawasan tertentu, cukuplah berkempen di kawasan itu” Pak Nik marah kepada stesen televisyen kerana turut berkempen, sedangkan berkempen lewat televisyen sasarannya umum, rakyat yang tiada terlibat pun saoalah-olah dipaksa menerima realiti yang tiada kaitan dengan mereka.
Yang paling tidak disukainya ialah projek mee segera. Setiap kali pilihan raya kecil diadakan, pemerintah mengarahkan agensi-agensi mereka melakukan pembaikan segera seperti menggali parit, membina jambatan, membaiki aspal. Jengkaut dan lori muatan krikil pun berderetan sepanjang jalan dari siang sampai malam. Walhal, kerja-kerja seperti itu, apa salahnya jika dilakukan di luar waktu pilihan raya kecil. Kerana sebelum itu pun rakyat sememangnya berdepan dengan kesukaran akibat jalan rosak atau sebagainya. Praktik inilah yang membuat rakyat ketawa dan Pak Nik geleng kepala.

“Cara berkempen seperti itu sudah ketinggalan kereta api. Justeru, sudah sampai masanya elit-elit Umno berfikir, bagaimana mematangkan cara berkempen” Keluh Pak Nik.

Seusai pilihan raya umum ke 12, mac 2008 sudah lima kali berlangsung pilihan raya kecil. Bermula dengan Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai dan 23 Mei ini di Penanti. Selepas itu kemungkinan pula Kota Alam Shah di Selangor, kerana ADUN kawasan tersebut yang masih dalam tahanan ISA, M. Manoharam bercadang untuk melepaskan jawatan, kerana hasratnya untuk mendekati warga kawasanya (DUN) sering terabai lantaran meringkut dalam tahanan yang tiada tahu bila noktah.

Pilihan raya kecil Penanti paling tidak disukai Umno, kerana kawasan itu adalah kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibarahim sendiri Mereka pastinya tidak mahu pisang berbuah empat kali. Gagal merebut Permatang Pauh, kecundang di Kuala Terengganu, kalah di Bukit Gantang dan tersungkur di Bukit Selambau.

Presiden Umno, merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak awal-awal lagi sudah tawar hati untuk bertarung di gelanggang Penanti. Namun keputusannya sama ada mahu bertanding atau tidak bergantung kepada kesepakatan biro politik atau kerana pengaruh pihak lain. Namun jika ikut bertanding disebabkan desakan orang lain, pasti kuali politik Umno semakin panas. Sementara kaum oposisi akan memperolehi senjata baru untuk menikam.

Apakah ini semua perang psikologi Anwar Ibrahim untuk melemahkan Umno khusunya Najib. Setiap orang berhak mengeluarkan opini, namun yang pasti terdapat para elit Umno yang merasa “sejuk kaki” berdepan dengan situasi dan kondisi ini. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan kegagalan total jentera Umno dan Barisan Nasional merampas dua bukit, yakni Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini.

Isu-isu yang menyebabkan rakyat tidak senang dengan pemerintah yang diterajui Umno/BN masih melekat dalam minda setiap rakyat Malaysia terutama pengundi saluran empat (orang muda). Golongan ini paling ramai menganggur. Untuk mendapatkan pekerjaan di desa-desa ibarat mananti hujan turun di musim kemarau. Belum tentu kedapatan. Lalu mereka berhijrah ke kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, mundar mandir di kilang-kilang merisik kerja, namun tetap juga gagal, kerana pekerja-pekerja asing sudak monopoli pekerjaan di sektur ini. Ini yang megkhuatirkan rakyat sekarang.

Kes jenayah yang dilakukan remaja tempatan juga semakin serius, sehingga rakyat merasakan negara ini antara negara yang tidak aman. Inilah yang menjadi hambatan rakyat sekarang, namun ia tidak dibangkitkan elit-elit politik Umno/BN saat berkempen pilihan raya kecil. Maka jangan menyalahkan rakyat sekiranya tidak memangkah Dacing.

No comments:

Post a Comment