Friday, March 1, 2013

CATATAN 21 FEBRUARI 2013



Patuhi tempoh berpantang

Menunggu perang berakhir sesuatu yang memenatkan.  Energi sudah banyak dihabiskan. Belum terhitung wang ringgit. Yang paling terasa ialah mood untuk meneruskan peperangan sudah  semakin  luntur sedang musuh masih punya banyak stok senjata yang canggih untuk digunakan pada hari-hari   peperangan sebenar. Kelengkapan perang, lojistik dan kewangan  mereka tak terbatas.

Tarikh pengisytiharan   peperangan di tangan musuh.  Rahsia itu mereka kuncirapi dari diketahui  umum  Kita hanya mengetahui kapan tanggal penentu kalah menang  tiba ialah berpedomankan kerancakan dan sejauh mana keagresipan  serangan musuh di saat-saat akhir. Hari ini serangan musuh  sudah sampai kemuncak. Perang sebenar dan  konvensional seperti besok atau lusa akan meletus.  

Di saat-saat  kritikal ini, saya bersetuju seperti diungkapkan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa “Sekarang adalah tempoh  berpantang bagi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR).  Olehitu semua orang harus mengelak  daripada omongan yang tak berfaedah yang boleh dimanipulasi musah untuk mencetus  isu dan polemik yang kelak merugikan PR” .



CATATAN 20 FEBRUARI 2013



Seperti apa politik Malaysia hari ini?

Di pinggir kota itu dibangun sebuah pasar ikan yang  besar untuk kemudahan warga  membeli ikan dan keperluan dapur. Maka pelbagai jenis ikan dijual. Hiruk pikuk penjual dan pembeli membentuk menjadi   sebuah irama muzik sumbang mengetuk gendang telingga sehingga ada ketikanya amat menyakitkan. Tapi, itulah realiti sebuah nyanyian  pasar ikan terutama di kota-kota besar.  

Di pasar ikan yang lembab dan henyir itu, dengan posisi gerai bersentuhan antara satu sama lain sehingga puluhan gerai membentuk menjadi deretan panjang yang rapi, penjual mempromosi ikan-ikan  mereka  kepada setiap orang lalu lalang,  dengan  mendakwa; ikan mereka  adalah yang terbaik dan segar. Ketika mempromosi itu tidak  pernah terjadi sang penjual memburuk-burukkan ikan peniaga  lain. Itu kehebatan si penjual ikan yang tidak dimiliki politikus di Malaysia.

Menyambung lagi tentang pasar ikan. Di negeri Kelantan (Malaysia)  terdapat dua pasar ikan dengan dua jenis ikan yang berbeza. Majoriti  rakyat negeri itu memilih  ikan segar dari Tok Bali yang baru diturunkan daripada kapal nelayan yang mendarat di pelabuhan Tok Bali  setiap hari. Dan satu lagi ikan lama yang datang dari negara tetangga, tetapi disapu bedak dan gincu sehingga tampak segar bugar seperti baru naik ke darat. Rasanya amat tidak enak.

Dan segelintir warga ada yang tertipu, terbeli ikan lama disebabkan terpengaruh dengan  wajahnya yang tampak baru dan segar, promosi yang  hebat serta  canggih, lewat televisyen, suratkhabar,  sedangkan isinya bila menyentuh lidah terasa loya dan nak termuntah!

Monday, February 18, 2013

CATATAN 19 FEBRUARI 2013

Lagi-lagi isu kalimah Allah
Suatu hari dalam tahun 2012, ketika berkereta bersama Speaker DUN Kelantan melewati jalan raya dari Kota Kinabalu ke Kota Belud, di pinggir-pinggir kota, di kawasan penempatan warga dan kawasan perkebunan dibangun megah gereja-gereja atau rumah doa pelbagai ukuran, ada besar dan ada bersize kecil. Yang kecil sebahagiannya  diperbuat daripada kayu sepertimana  musolla umat Islam di Semenanjung. Jika gereja itu terlindung dari pandangan pengguna jalan raya, papan tanda berbahasa Malaysia didirikan di simpang  jalan ke gereja untuk memudahkan mencari rumah ibadat Kristian itu.

Dari atas mobil, dari Kota Kinabalu ke Kota Belud  terpandang sebelah kiri jalan sebuah gereja yang mengabadikan kalimah Allah pada dindingnya yang berwarna kuning susu. Menarik sekali, seperti lukisan mural yang terdapat di sekolah-sekolah. Imej itu tampak dengan jelas!

Lalu, hati nurani  bertanya; Siapa yang memerintah negeri Sabah, PAS atau Umno?   Pertanyaan  demikian didorong lantaran  di Semenanjung Umno menghentam PAS habis-habiasan septuar isu kalimah Allah bagi menggantikan God dalam Bible bagi penganut Kristian. Tukang-tukang ceramah Umno masuk ke kampung-kampung memberitahu warga, PAS telah mengkhianati Islam kerana membenarkan kalimah Allah digunakan penganut agama lain, oleh itu haram umat Islam  mengundi PAS.
Realitinya  fitnah semata-mata,  kerana Majlis Syura PAS telah pun memutuskan, boleh digunakan tapi bersyarat, dan syarat-syarat itu teramat ketat, sehingga  menjuruskan  kepada tafsiran sehingga tak mengizinkan kalimah itu digunapakai    menggantikan God bagi Bible di Semenanjung.

Kepada tukang-tukang canang ini, kita bertanya sekali lagi “ sedarkah anda, siapa yang mengizinkan kalimah Allah digunapakai bagi penganut Kristian Sabah dan Sarawak. PAS atau Umno?.

Sunday, February 17, 2013

Catatan 18 Februari 2013

Sedarkah apa yang anda bicarakan itu?

Politik berupa sebahagian hidup sehari-hari yang remah, tapi mengasyikkan. Politik juga adalah sebuah pasar malam tempat proses tawar-menawar yang rancak- sebuah proses yang biasa digerakkan oleh manipulasi, tanpa rasa malu, bosan ataupun bersalah. Dengan kata lain politik adalah sesuatu yang harus diperjuangkan dengan apa cara sekalipun, sehingga, demi mencapai matlamat politik, ada orang sanggup mengadaikan kecerdasan berfikir kepada syaitan yang sememangnya menunggu untuk menyesatkan. Maka berlakulah; firman dan sabda tersimpan rapi di pojok kehidupan yang fana.

Realiti dari hakikat ini! Pada suatu pagi yang membosankan. Di atas sebuah pentas yang dihias indah. Di dewan sebuah sekolah, di hadapan ratusan kaum miskin penerima BR1M, tampil seorang lelaki berkopiah putih, berbaju Melayu warna susu yang dipadamkan dengan seluar hitam. Di rostrum itu ia berdiri dengan megah sambil tangan memegang baton pengeras suara.

“Ada dikalangan pakcik, makcik, adek kakak yang hadir ini penyokong PAS atau PKR?” tanya lelaki bergelar ustaz itu. Pertanyaan tak mendapat respons dari hadirin. Diulang lagi, tak juga ada sahutan.

Pada pagi yang panas itu sang ustaz menyampaikan ucapan kurang lebih sejam, bukan kuliah fardu ainyang disampaikan tetapi pelajaran politik yang dahsyat. Bermula dengan riwayat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pantang melihat lelaki cun. Sehingga kisah lapuk usung tilam ke mahkamah tahun 1998 pun diceritakan kembali dengan penuh ghairah. Turut dikaitkan ialah senator Xenophon dari Australia yang kebetulan kelmarin ditahan di Lapangan Terbang Tambang Murah, Kuala Lumpur. Senator yang “cun” itu didakwanya sebagai rakan karib Anwar.

Lalu kita pun bertanya; apakah hukum menuduh seseorang melakukan zina / liwat, sedangkan si penuduh (ustaz) sendiri tak melihat perbuatan itu. Menurut hukum Islam, wajib ada empat orang saksi, melihat dengan lapan biji mata alu menumbuk lesong, kalau tidak jangan menuduh sembarangan, nanti di hadapan Allah lidah kelu bisu. Di hadapan Allah tak cukup dengan hanya menjawab “aku kata begitu kerana ada orang lain beritahu, suratkhabar pun memberitakan”.

Mengapa manusia bergelar “ustaz” seperti itu berani berbuat demikian? Jawapannya; kerana memenuhi nafsu politik yang berkobar-kobar. Bila berada dalam kondisi seperti ini kewarasan berfikir secara automatik lenyap, wahyu dan sabda pun dipinggirkan.

Salah seorang hadirin yang barangkali tak tahan dengan perilaku jelek sang penceramah lantas bangkit melontarkan sebuah kata berbisa yang mengejutkan hadirin “ Kaba ke kecek tu?” (cakap Kelantan; sedarkah apa yang anda bicarakan itu?) Segera dijawab penceramah “kaba, kaba, kaba”(sedar, sedar, sedar). Orangramai pun ketawa.

Saturday, February 16, 2013

CATATAN 17 FEBRUARI 2013

Malaysia melahirkan ramai pakar teka teki
Suatu malam yang dingin di Kota Isfahan beberapa abad yang silam. Nasaruddin berkata kepada isterinya “Beri saya keju kerana keju merangsang nafsu makan dan membuat mata tak mengantuk” ‘Keju sudah  habis” kata isterinya. “Itu bagus, sebab keju merosakkan gigi dan gusi” sahut Nasaruddin.
“Kalau begitu, mana yang benar di antara kata-kata mu itu?” tanya sang isteri. Nasaruddin menjawab “ Jika ada keju di rumah, yang pertama yang benar, jika tidak ada, yang kedua yang benar”. Demikinan kepintaran seorang sufi takala  memberi argumentasi setiap pertanyaan.
Rupanya di Malaysia juga  ada politikus yang tak malu berlagak seperti Mullah Nasaruddin. Tentunya ia seorang menteri kabinet. Bila rakyat bertanya, mengapa harga gula naik, jawab menteri itu “Untuk mengelak rakyat kena diabetis” .
Rakyat Malaysia  yang pintar terus bertanya “ Mengapa merahsiakan  tarikh pilihan raya? - Supaya rakyat menjadi pakar teka teki.


Friday, February 15, 2013

CATATAN 16 FEBRUARI 2013



Al-kisah Pak Ku Seman Fakta
Mahkluk haiwan,  Lembu, kerbau, kambing di padang dan  ayam itek di bawah rumah Pak Ku Seman  (bukan nama sebenar) ketawa berkikit-kikit ketika petani separuh abad itu  memberitahu isterinya; tanah seluas satu juta hektar  di negeri Kelantan sudah dimiliki orang asing. Berlakunya pertukaran hak milik itu bermula sejak PAS memerintah negeri Kelantan selama 22 tahun.
Maklumat itu Pak Ku Seman  kutip   dari surat khabar pro Umno/BN yang memetik kata-kata adek kepada katak perkasa yang tinggal di tebing sungai terbesar di Negeri Cik  Siti Wan Kembang. Adek kepada katak perkasa itu baru saja usai  julang sepanduk dan meneriak  yeh! Yeh! bersama teman-temannya memprotes  kerajaan Kelantan kerana menyerah hak milik tanah kepada orang asing dan pelabur luar.
Pak Ku Seman  walaupun  orang kampung yang kerjanya buat bendang dan menorah getah tapi tak sebodoh disangka. Ia tak telan bulat-bulat setiap berita yang bersumberkan  suratkhabar pro Umno/BN. Dikunyah dulu selumat-lumatnya.  Bahkan, sejak akhir-akhir ini Pak Ku Seman  sudah pandai menyebut fakta.  Bila bercakap hujahnya berfakta, sehingga teman-temannya mengelar Pak Ku Seman Fakta. Seluruh warga Kampung Jering Patah kenal dengan  Pak Ku Seman Fakta.
 Berita tentang perpindahan hak milik tanah kepada orang asing  itu pun dibaca dari suratkhabar pembungkus nasi berlauk yang di beli tadi pagi di gerai Mak Jah. Sesudah makan, kertas pembungkus nasi itu mahu dibuang ke dalam tong sampah, tiba-tiba  terpandang berita aneh itu lalu dibacanya.
Sebenarnya sudah lama Pak Ku Seman tak membeli suratkhabar penyambung lidah fitnah  itu kerana katanya  boleh  menumpulkan fikiran dan membantut pertumbuhan kercerdasan akal.  Pak Ku Seman sering berpesan kepada anak-anaknya agar menjauhi akhbar yang memuatkan berita-berita fitnah.
Keseluruhan keluasan tanah di negeri   Kelantan ialah  1.5 hektar (1,492,200 hektar), dikatakan  1 juta hektar daripadanya sudah berpindah milik kepada orang asing dan pelabur luar. Sisanya hanya  500 ribu hekhtar saja.  
“Kalau nak fitnah pun biar munasabah” Kata Pak Ku Seman kepada isterinya. Kemudian mereka berdua ketawa berdekah-dekah diikuti dengan sahutan ketawa dari lembu, kerbau, kambing, ayam dan itek. 
Sebelum ini pun Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohammad pernah mengeluar kenyataan mendakwa Kelantan jual tanah kepada orang asing dan pelabur luar, malah dikatakan  tanah rezab Melayu semakin terhakis. Barangkali adek katak hanya  memanaskan gulai basi yang pernah dimasak chefnya  dulu.
“Kelantan masih mengekalkan 85 peratus daripada 1.5 juta hektar keluasan negeri sebagai tanah rezab Melayu, manakala bukan rezab Melayu 15 peratus” kata Pak Ku Seman  sambil menghirup kopi panas yang buat isterinya.
“Hakikatnya Kelantan satu-satunya negeri yang berjaya pertahankan tanah rezab Melayu, kerana ada  undang-undang yang menghalang bertukar milik, tak boleh cagar.   Pelaburan tanah pula atas dasar pajakan  66 atau 99 tahun, sementara penama tetap Kerajaan Negeri –orang Melayu”  kata Pak Ku Seman kepada isterinya. Kalau didepan  umum  tentu berganda semangatnya.
“Jadi, kalau nak berbohong pun, biar munasabah. Saya malu bila lembu, kerbau, kambing, ayam dan itek peliharaan kita ketawa mendengarnya” keluh Pak Ku Seman. Isteri kesayangannya tersenyum.

CATATAN 15 FEBRUARI 2013



Ulama “terompah kayu”
Sekitar 90an, di Kelantan, antara penceramah PAS paling  diminati    ialah Almarhum Ustaz Bunyamin Yakob. Hujahnya mantap. Orang kampung  mudah menerimanya.  Kaedah  penyampaian  menggunakan bahasa orang kampung. Kaya  dengan lojika berkias bersulam humour menerjah nurani mendamparkan kebenaran sehingga Umno terbungkam.
Antara pernah disebut  Almarhum ialah tentang kemunculan  ulama Umno lima tahun sekali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).  Almarhum  mengelarnya   sebagai “ulama terompah kayu”. Ketika itu,  saya tak berapa kisah dengan istilah itu, anggap ia sebagai lucuan politik tanpa berusaha mencari makna disebalik gelaran yang bunyinya  mengaibkan.
Hari ini, dalam tahun 2013 baru tampak dengan jelas,  kata-kata Almarhum 20 tahun lalu  itu  menjadi kenyataan. Umno melibatkan “ulama” ini  dalam setiap kempen mereka terutama melibatkan  negeri Kelantan. 
Ustaz-ustaz yang diketahui sebagai menyokong  Umno telah dinaikkan pangkat kepada ulama, yang  muda bergelar ulama muda.  Ijazah “ulama” dianugerahkan  oleh suratkhabar dan televisyen propaganda  Umno/BN tanpa majlis konvokesyen.  
Media akan memetik kata-kata “ulama” itu untuk memburukkan  PAS dan  Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.   
Kelmarin Media Meloya mewawancara  “ulama” lima tahun sekali itu, meminta opini mereka tentang PAS. Maka jawab sang “ulama” itu dengan megah “Haram menyokong PAS”. Sebelum ini ulama yang sama mengatakan “Haram berkawan dengan DAP” . Kambing, lembu, kerbau, ayam pun ketawa berdekeh-dekeh. Yang tak ketawa hanya katak, kerana katak  sependirian dengan minda media meloya.  
 Seorang ulama muda mengaku mewaklili   minda pondok.   Ia  antara orang paling sibuk, sejak diberi tugas menyampaikan ceramah  kepada penerima BR1M sebelum pengagihan  wang (cek). Inti ceramahnya memburuk-burukkan kerajaan Kelantan. Baginya kerajaan Kelantan yang dipimpin ulama itu hudoh luar dan dalam. Tok Guru Nik Aziz itu bukan ulama, hanya seorang ahli politik biasa.
Dalam serius ada lucu! Minda pondok  memberitahu orangramai pernah belajar menadah kitab di Pondok Terosan, Pasir Tumbuh. Tapi  ubat yang dipasarkan   tak laku, pembohongannya terbongkar. Orang pertama yang hairan dengan ulama muda Umno itu ialah Adun Pasir Tumboh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah “ Saya warga pondok Terosan, di lahir dan dibesarkan di persekitaran pondok Terosan,  tapi tak pernah berjumpa dengan pemuda ini. Malah sesudah dicheck senarai nama pelajar pun tak jumpa”. Tutur Baihaki.  
Ulama terompah kayu- gelaran berkias  yang diberikan Almarhum Ustaz  Bunyamin itu memang tepat.    Terompah kayu  yang diletakkan di masjid,  digunapakai hanya ketika mengambil wuduk, kemudian diletak balik di rak, tak sesipa yang inginkan kerana tak sesuai dipakai untuk tujuan lain.