Friday, February 26, 2010
Royalti Hak Rakyat Kelantan
Judul buku : Royalti Hak Rakyat Kelantan
Penyusun : H. Rosidi Semail
Penerbit : Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan
Harga : Percuma
Tuntutan royalti minyak oleh rakyat dan kerajaan Kelantan menjadi isu besar. Ia menjadi polimik berpanjangan. Dibahaskan di merata-rata, bukan saja di pentas-pentas ceramah bahkan di warung-warung kopi. Sambil menghirup kopi panas yang dicampur Ginseng atau Tongkat Ali, Abang-abang, pakcik-pakcik, Tok Wan dan Tok Ayah berbicara dengan lancar sekali, seperti bicara seorang Wakil Rakyat dalam mempertahankan hak Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak yang cuba dinafikan oleh kerajaan pusat.
Kenapa mereka tiba-tiba sangat arif dalam menjawab setiap aspek persoalan mengenai isu royalti? Kerana mereka mendapat faktanya dari buku Royalti Hak Rakyat Kelantan.
Buku setebal 48 muka surat ini dimuatkan penjelasan terperinci tentang di mana letaknya telaga khazanah Negeri Kelantan, serta penjelasan oleh tokoh-tokoh yang terlibat sendiri dengan perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri suatu ketika dulu. Juga kenyataan oleh Tun Dr. Salleh Abas, Bekas Ketua Hakim Negara, yang bertanggungjawab menyemak kerangka perjanjian.
Tidak ketinggalan ialah kenyatan mengenai royalti minyak oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain. Seperti katanya. “Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontrektor-kontrektornya.” ( Tercatat dalam hansard Dewan Rakyat bertarikh 24 November 1974 muka surat 2371).
Allahyarham adalah pemimpin UMNO. Namun pandangan jauhnya mengatasi kepentingan politik kepartian. Kenapa hasrat baik itu kini mahu dicemari? Mengapa niat baik dan teladan mulia seperti itu hendak dilanggari?
Kita terbentuk dari sejarah. Kita menjadi mulia dengan menghormati apa yang telah terukir dalam sejarah sebagai ikatan persetujuan semua pihak melakarkan kepentingan masa depan anak cucu dan negara tercinta atas dasar menghormati hak dan menunaikan kewajipan seperti termaktub dalam persetujuan dan ditulis dalam bentuk sebuah perjanjian.
Al Qur’an sangat mementingkan patuh pada perjanjian. Antara lain Allah berfirman;“Dan orang-orang yang (beriman itu) memelihara dengan sebaik-baiknya amanat-amanat (yang diserahkan padanya) dan perjanjiannya”.
(Al Ma’arij: 32 )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment