Sunday, February 14, 2010

Royalti minyak dan Ku Li



Oleh: Rossem

Di simpang-simpang jalan, tentunya di lokasi strategik, kain-kain rentang bertulisan merah berlatar belakangkan warna putih dengan potret seorang veteran UMNO berdarah raja bergantungan minta dibaca oleh sesiapa saja yang lalu lalang. Tulisannya besar, tidak perlu berhenti kereta, sambil memandu pun boleh difahami maksudnya dengan jelas.

“ Ore Kelantan walaupun sekin (miskin) tapi tak minta sedokah”. Ditulis dalam loghat Kelantan, yang membawa maksud bahawa semiskin-miskin orang Kelantan, namun meminta sedekah tidak sekali-kali.

Teksnya yang simple itu. Bagi orang Kelantan sudah cukup mengerti maksud bicara Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Ia menyindir bossnya sendiri, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana enggan membayar royalti ptroleum sebanyak 5 peratus kepada kerajaan Kelantan setelah sejumlah minyak dijumpai di perairan negeri itu.

Kata Najib; Negeri kelahiran Tengku Razaleigh itu tidak berhak mendapat royalti minyak kerana emas hitam dijumpai di luar tiga batu nautika dari pantainya. Namun kita adalah pemimpin yang prihatin, tidak pernah bersikap menzalimi rakyat. Justeru ada bahagian tertentu untuk rakyat negeri itu. Cuma tidak dinamakan wang royalti. Ia dinamakan wang ihsan. Wang jenis ini nanti akan disalur lewat tangan-tangan UMNO Kelantan sendiri untuk pembanguan negeri itu. Tidak terus kepada yang berhak memperolehinya, yakni Kerajaan Kelantan yang dipilih secara sah oleh rakyat lewat pilihan raya umum lima tahun sekali.

Royalti dengan ihsan itu apa bezanya? Jawaban Mantan Ketua Hakin Negara, Tun Dr. Mohd Salleh Abas, saat saya bertanya pendapat sang tokoh perundangan itu mengenai royalti minyak yang dituntut oleh Kelantan, katanya “Ihsan adalah perkataan Arab yang bermaksud pemberian hasil daripada kemurahan hati atau sedekah. Sedangkan royalti adalah hak yang wajib dibayar sepertimanan termaktub dalam perjanjian”.

Tokoh perundangan yang disegani ramai itu adalah diantara sosok yang bertanggung jawab menyemak draf perjanjiaan antara Petronas dengan negeri-negeri yang terlibat. Wawancara dengan beliau diadakan di Kuala Terengganu pada suatu petang, pertengahan Januari 2010, dalam rangka menyiapkan buku “Royalti Hak Rakyat Kelantan”. Saya sebagai editornya, manakala Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan sebagai penerbitnya.

Kerana itulah Ku Li menyindir, orang Kelantan bukan miskin, perlu menadah tangan untuk meminta sedekah. Orang Kelantan cuma mahukan hak mereka sepertimana termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani tanggal 9 Mei 1975, antara beliau sendiri sebagai Pengerusi Petronas ketika itu dengan kerajaan Kelantan yang diwakili Menteri Besar, Datuk Haji Mohamad Nasir (Almarhum).

Juga disebutkan, saat anak raja berjiwa rakyat itu menyampaikan pidato “Kelantan menuntut royalti minyak” anjuran NGO (Gegar) dan Kerajaan Kelantan, di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Kota Bharu, tanggal 28 Januari 2010 di hadapan lebih 40 ribu rakyat Kelantan yang membanjri stadium sejak dari jam 6.00 petang: Saya hanya mahu menunaikan amanat Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika perjanjian itu dimeteri, bahawa negeri-negeri yang dijumpai minyak diperairannya berhak mendapat 5 peratus royalti.

Sila lihat hansad Dewan Rakyat; Tun Abdul Razak Hussein (Almarhum) berucap. “Tuan Yang di Pertua, semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum,1974. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor telah pun bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Perbuatan Ku Li menggunakan pentas PAS bertujuan memperjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia kewajaran kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak sebanyak 5 peratus menimbulkan rasa tidak senang pemimpin-pemimpin UMNO. Ku Li dianggap sudah tidak setia lagi kepada parti yang ia sendiri dokongi, bahkan bercanggah dengan dasar dan pendirian pemerintah. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyebut “Ucapan Ku Li itu akan diteliti, dan masih belum dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi UMNO untuk tindakan”.

Menyedari ia bakal dikritik keras, awal-awal lagi sang veteran UMNO itu memberitahu para hadirin, yakni saat memulakan ucapan di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV kelmarin. “Orang marah, saya peduli apa…”. Selanjutnya sang pemberani itu menceritakan, bahawa DYMM Al Sultan Kelantan yang sekarang gering di Singapura sudah pun diberitahu; mahu menyampaikan kepada rakyat Kelantan hal sebenar tentang royalti minyak yang selama ini cuba dibohongi pihak tertentu. Baginda tampak mengangguk-ngangguk kepala dan senyum. Kepada pemangku raja, juga sudah dimaklumkan.

Ku Li, di penghujung usianya masih lagi punya taring yang berbisa. Maka tidak hairanlah kenapa puluhan ribu rakyat Kelantan berdatangan ke stadium Sultan Mohammad Ke-IV untuk mendengar penjelasaanya, sehingga pihak penganjur sendiri pun tidak menduga sama sekali kehadiran khalayak begitu ramai.

No comments:

Post a Comment