Oleh: Rossem
Kalau Malaysia diibaratkan seorang lelaki. Ia seorang lelaki yang gagah perkasa. Kerana itu ia berpoligami. Isterinya bukan dua, bukan tiga atau empat, tapi tiga belas. Semuanya cantik, angun dan bergaya. Isteri -isteri itu ialah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Hak suami terhadap isteri dan hak isteri terhadap suami sudah jelas. Masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing. Suami saat diminta melafaz taklik di depan imam menyebut; bahawa aku akan memberi perlayanan yang seadil-adilnya kepada setiap isteri ku. Nafkah yang secukupnya. Dan sekali-kali tidak akan sakiti rohani dan jasmaninya.
Kasih dan cinta sang suami jangan sekali-kali bertompok kepada isteri-isteri tertentu yang disayanginya saja. Jangan pilih bulu. Konsep samarata dan samarasa harus ditegakkan dalam setiap aspek kehidupan berumahtangga. Keadilan harus berada di posisi paling depan. Barulah akan terbina syurga dalam rumahtangga itu. Demikian manisnya poligami.
Namun realitinya sering saja mati di tengah jalan. Tanpa segan dan malu sumpah taklik dilanggari. Ada saja helah dicari. Bersenandunglah lagu rentak sumbang dari mulut –mulut para seniman politik jalanan, sehingga bukan sedikit khalayak terpengaruh, juga ada yang bingung terus.
Semua itu dilakukan bertujuan agar nafkah yang sepatutnya diberikan kepada salah seorang daripada isterinya itu terus disekat. Walhal dalam kondisi apa sekalipun, selagi ia bergelar suami maka ia bertanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya walaupun ia membenci isterinya itu.
Siapa isteri yang dibenci suami itu? Tidak lain ialah Kelantan. Sebuah negeri di Pantai Timur yang sudah 20 tahun diperintah PAS. Kenapa pula dibenci? Seperti sering disebut-sebut orang; mereka membenci negeri itu kerana majoriti rakyatnya memilih parti Islam untuk mentadbir negeri itu, sekaligus menolak parti nasionalis UMNO dalam setiap plihan raya umum.
Itulah antara kesalahan rakyat Kelantan sehingga segala hak yang sepatutnya diperolehi menurut “taklik” telah dinafikan.
Royalti minyak adalah hak rakyat Kelantan menurut perjanjian. Tiba-tiba disekat dengan seribu alasan , walhal dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Negeri Kelantan jelas mengatakan; Kelantan berhak mendapat lima peratus royalti atau wang tunai, kerana bahan bakar itu dijumpai di perairannya.
Tidak timbul alasan kononnya Kelantan tidak nerhak menuntut royalti minyak kerana lokasi perlombongan itu berada lebih daripada tiga batu nautika (5 kilometer) dari pantai negeri itu. Sedangkan negeri Terengganu pernah diberi royalti selama 22 tahun berturut-turut dari 1978 hingga 2000 selepas minyak dijumpai sekitar 150 kilometer dari pantai Terengganu.
Saat Petronas ditubuhkan tanggal 15 Noveber 1974, langkah awal ialah meminta semua negeri-negeri persekutuan menandatangani, sekiranya minyak dijumpai sama ada dalam kawasan tiga batu nautika atau di luar tiga batu nautika maka negeri-negeri tersebut berhak memperolehi royati atau wang tunai sebanyak lima peratus dari Petronas.
“Butiran perjanjian itu sangat mudah difahami, budak sekolah rendah pun boleh faham, tapi yang menghairankan ia masih sukar difahami pemimpin tertentu” Kata Tengku Razalaigh Hamzah sewaktu menyampaikan pidato penjelasan tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan di Stadium Sultan Mohamamd Ke-IV.
“Dalam mentafsir undang-undang ramai yang jadi bodoh sekarang” Kata Datuk Hj Wan Mutalib Embong, mantan exco PAS Terengganu saat berucap pada majlis diskusi Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang, di Komplek Balai Islam, Kota Bharu, 6 Mac 2010.
Tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam merangka dan menyemak draf perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri-negeri sudah pun tampil memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan hakikat sebenar perjanjian yang dimeterikan dulu. Antaranya, mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Dr. Mohd Salleh Abas, mantan peguam kanan di Jabatan Peguam Negara, Nik Syaghir Nik Mohd Nor dan mantan pegawai kanan Petronas, Hj Mohd Hassan Salleh.
Mereka adalah tokoh yang sangat arif tentang butiran perjanjian itu, justeru opini mereka mudah diterima rakyat Kelantan. Maka tepatlah seperti kata Wan Mutalib Embong “ Kalau tidak terima apa yang keluar dari mulut kuda, apakah anda mahu terima apa yang keluar dari mulut lembu?”.
Selanjutnya ditegaskan lagi oleh para panelis. Berlakunya hal-hal seperti itu tidak lain kerana di dalam hati mereka bersarang sifat-sifat tamak haloba. Tidak mahu melihat penguasa di Negeri Serambi Mekah itu menggunakan wang royalti minyak yang jumlahnya billion untuk membangun negeri dan masyarakat, kerana jika negeri dan masyarakat terus maju, Islamnya mengembang, ternyata sangat sukar bagi kelompok itu untuk merampas kembali Kelantan dari tangan PAS.
Justeru apa yang berlaku hari ini berupa “penderaan ” politik semata-mata. Dan ternyata penderaan politk itu lebih zalim daripada penderaan ke atas kanak-kanak seperti sering dilapor akhbar sekarang.
No comments:
Post a Comment