Tuesday, February 12, 2013

CATATAN 7 FEBRUARI 2013



 Perang saraf pun biar munasabah

Dalam satu peperangan yang terkenal di Eropah abad silam, pesawat tempur tentera sekutu yang diketuai Amerika mengebom sebuah pengkalan  terbang tentera udara Jerman. Sederet panjang pesawat tempur  Jerman yang dipakir musnah. Juruterbang Amerika kembali ke pengkalan sambil ketawa terbahak-bahak. Tentera Jerman juga turut ketawa terbahak-bahak.

Tentera Amerika ketawa kerana berjaya memusnahkan puluhan pesawat tempur Jerman, sementara tentera Jerman pula ketawa kerana yang  dimusnahkan itu adalah pesawat tempur tiruan yang dibuat dari kayu dan papan lapis menyerupai pesawat tempur sebenar milik Jerman dibikin bertujuan mengelirukan musush. Kemudian pesawat sebenar yang disembunyikan di bawah tanah melucur laju mengejar dan memitas pesawat Amerika.  Pesawat Yankee musnah. 

Itu lucuan di medan perang. Di medan perang politik menjelang pilihan raya umum juga tak kurang kelakarnya. Dalam istilah politik tipudaya seperti  ini  dinamakan “perang saraf”. Dalam konteks politik Malaysia perang saraf sangat efektif. Untuk PRU13 sudah bermula.

Antara yang  boleh  melonjatkan  moral sesebuah parti ialah menyiarkan berita kemasukan penyokong lawan ke dalam parti mereka. Dalam konteks ini PAS sudah lama menulis dengan tajuk besar di dalam akhbar Harakah, blog dan facebook berita seputar penghijrahan tokoh-tokoh tertentu dari Umno dan masyarakat umum menyertai PAS,  seperti Mantan Menteri, ahli korporat, pesion kerajaan, mantan polis, tentera dan artis.  Kebenaran berita pula tak dapat disanggah sesiapa. 

Umno juga dahagakan  berita seperti itu untuk melonjatkan  moral parti  dimata umum. Maka dicari dari kalangan  penyokong PAS yang tak puas hati dengan parti Islam itu untuk masuk Umno. Kelmarin, surat khabar propaganda Umno/BN pun menulis dengan tajuk besar “34 ahli PAS serati Umno”, Keesokannya  media PAS pula menulis balas “Penyokong Umno serah borang sertai Umno”.

Kenapa berlaku demikian?

Setelah PAS membuat selidikan, apa yang berlaku di Tanah Merah, Kelantan, didapati penyokong Umno sendiri yang meminta dirinya diisytiharkan menyertai Umno bertujuan menaikkan moral parti dan atas sebab-sebab lain yang menjuru kepada personal. 

CATATAN 6 FEBRUARI 2013



Sukseskah bangsa ini dibawah kepimpinan Umno?

Goenawan Mohamad menulis dalam Catatan Pinggir tentang orang Melayu, katanya; Melayu adalah bangsa yang  ramah, yang banyak senyum dan ketawa, orang-orang yang mengemari hidup yang santai, bangsa yang tidak terbiasa  dengan kerja keras, manusia yang tidak efisien dan tahan lama, makhluk yang sering terbawa oleh perasaan mendadak. Perkataan amok  dalam bahasa Inggeris berasal dari orang Melayu – Yakni orang yang tiba-tiba saja mencabut keris dan menikam-nikam.

Tun Dr. Mahathir pula berkomentar tentang orang Malayu; “Di masa lalu pemimpin Melayu ialah raja-raja Melayu, sekarang kuasa itu berpindah kepada Presiden Umno”

Mantan Perdana Menteri itu sebenarnya tak layak untuk berbicara tentang bangsa Melayu kerana ia bukan asal seratus peratus Melayu, tetapi berbuat demikian kerana bangsa Melayu itu sendiri telah menyerahkan mandat kepadanya untuk memimpin.

Di atas kebijaksanaannya yang tiada tara, lalu ia memimpin bangsa ini selama 22 tahun. Kemudian setelah pesiun Presiden Umno, mereka dari kandang   yang sama ( Umno) meneruskan kepimpinan.

Lalu kita pun bertanya: Sukseskah  bangsa ini dibawah kepimpinan Presiden Umno  hampir 60 tahun?

Hati nurani kita menjawab sendiri: Ya, sukses. Umno berjaya membina bangunan tinggi megah sehingga menyapu awan, bahkan yang tulang satu seperti Menara Kuala Lumpur pun bisa ditegakkan. Kita sebaris dengan negara-negara maju dalam menghasil teknologi pembuatan automobil dan barangan elektrik.

Lagi?

Presiden Umno gagal membangun peradaban bangsa. Lihat di Pusat Serenti, dalam lokap polis, penjara-penjara  di seluruh Malaysia,  majoriti penghuninya bangsa apa? (Itu belum disebut  tentang sektor ekonomi!)



Tuesday, February 5, 2013

CATATAN 5 FEBRUARI 2013



Bukan  salah pedagang non-Melayu

Sesiapa memandu dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur lewat lebuhraya Karak pasti bertemu dengan Kampung Banjar yang terletak antara Greenwood dan Batu Caves. Sementara masjid berwarna hijau yang sederhana besarnya tampak dengan jelas jika memandu menyusur jalan Batu Caves - Selayang. Dan  bendera bulan purnama  serta KeAdilan berkebar megah di bumbung-bumbung rumah warga terutama menjelang pilihan raya seperti sekarang.  

Itu  panorama enam tahun dulu,  ketika saya tinggal berhampiran. Kampung Banjar. Setelah pulang ke kampung dan sesekali-sekali datang  ke Kuala Lumpur,  perkampungan Melayu itu sudah hilang dari pandangan. Sisa-sisa pun tak tertinggal habis dimamah jentera berat.  Kemudian tangan-tangan yang rakus membina kondominium yang harganya RM300,000 ke atas,  lalu kita pun bertanya: Ke mana perginya orang Melayu (Banjar) yang membuka perkampungan itu dulu? Masih ada lagikah mereka di sini atau sudah berundur jauh ke pendalaman.

Atas nama  pembangunan  negara, orang Melayu tidak pernah menghalang  rumah-rumah mereka dirobohkan untuk dibangunkan bangunan lain yang dikatakan  tersusun dan moden. Lagi pun mereka sedar tanah yang diduduki  tanah kerajaan.

 Ketika warga kampung Banjar melangkah longlai meninggalkan perkampungan itu 6 tahun dulu untuk mencari lokasi baru, sempat  toleh ke belakang,   memberitahu sang penguasa yang bengis: Tolong abadikan nama “Banjar” di pusara ini, agar anak-anak cucu bangsaku tak lupa   sejarah  datuk nenek mereka  pernah ke mari membuka  perkampungan, membanguan gobok-gobok  papan, pernah tidur, mandi manda dan solat berjamaah di sini. Namun suaranya  tak didengari, permintaannya tak diendahkan,  akhirnya Kampung Banjar hilang seperti hilangnya Taman Ghazali Safie dari peta Kuala Lumpur (depan NST) dan  Kampung Haji Abdullah Hukum  di Jalan Bangsar.

  Apa salah dan dosa  Haji   Abdullah Hukum ? Salahkah kalau pusat belibelah terkenal Mid Valley itu dinamakan Abdullah Hukum Valley sempena nama  tokoh yang membuka perkampungan itu suatu masa dulu?. Bangsa Melayu tak sekali-kali menyalahkan pedagang non- Melayu kerana memilih nama Inggeris dengan meminggirkan nama berbaur Melayu, kerana parti yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu itu sendiri  memakai nama orang putih; United Malays Nasional Organisation.  

CATATAN 4 FEBRUARI 2013



Rumahpangsa Jalan Pekeliling mencacatkan pemandangan, robohkan bersama pembuatnya.

3 Februari di Kuala Lumpur! Ketika melewati Jalan Pekeliling, dekat Bulatan Jalan Pahang, beberapa blok rumah pangsa yang dibina di zaman Perdana Menteri pertama Malaysia yang juga bapak kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra masih berdiri tapi dengan wajah yang amat sugul, daun pintu yang robek, cermin tingkat pecah dan sebahagian celah-celah dindingnya yang lembab  sudah tumbuh pokok-pokok kecil. Usianya kini sekitar 40 tahun.

Kompleks perumahan di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur itu suatu ketika dulu menjadi kemegahan Malaysia kerana ketinggiannya sehingga 16 tingkat, dari tingkat teratas boleh melihat keindahan panorama Kuala Lumpur dengan jelas. Saya pernah  tinggal di sini  1980an. Ketika itu sebahagian rumahpangsa dijadikan markas  Pasukan Polis Hutan Batalion 20. Banyak sejarah tercatat, markas PPH ini pernah dilontar bom oleh komunis sehingga ramai kesastria polis  luka-luka.

Kini rumahpangsa yang pernah dianggap termoden di Malaysia yang dibina oleh kerajaan Umno/BN itu akan dirobohkan bila-bila masa dari sekarang, pagar  keselamatan  sudah siap dipasang mengelilingi  kompleks, malah sebahagiannya (blok bertentangan )sudah pun dirobohkan.

Lalu kita pun bertanya; kenapa dirobohkan? Jawapan  pihak wewenang yang sering diberikan ialah; suktur binaan itu sudah tak sesuai lagi dengan zaman sekarang, sekaligus  mencacatkan pemandangan.

Maka kita pun bertanya lagi; bagaimana  dengan tukang pembuatnya iaitu kerajaan Umno/BN. Parti itu usianya  lebih tua daripada rumahpangsa itu, justeru kalau rumahpangsa boleh dirobohkan dengan alasan mencacatkan pemandangan, si pembuat juga seharusnya dirobohkan pada Pilihan Raya Umum 13 nanti di atas alasan yang sama; iaitu sudah ketinggalan  zaman dan mencacatkan pemandangan.

CATATAN 1 FEBRUARI 2013



Mukadimmah bicara bagus, hujungnya sebuah kekhuatiran

Kata-katanya separuh fakta,  tapi malang, yang lain tak bersandarkan kepada Allah! Pagi kelmarin secara kebetulan minum kopi bersama  seorang pegawai sebuah agensi Kerajaan Negeri Kelantan. Pegawai itu sedang rancak bersembang  dengan dua lagi temannya ketika saya melabuhkan punggung di sebelahnya setelah dipelawa salah seorang daripada temannya,  yang kebetulan teman  rapat saya.

“Umno sudah rosak, sukar untuk dibaiki…” Ujar pegawai itu. Opini itu   punya persamaan  dengan  persepsi  saya bahawa partai nasionais pragmatis Melayu tua bangka itu sememangnya sudah rosak teruk. Kerana  persamaan itu, lantas saya menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya.  Maka bertambahlah semangatnya untuk meneruskan hujah ala parlimen kedai kopi.

Ujarnya lagi“ Setelah sejumlah wang  diagihkan kepada rakyat atas nama  BR1M, bantuan murid sekolah RM100 setiap murid dan lain-lain, wang negara sekarang hanya berbaki sekitar 20 persen.  Ditakdirkan Umno/BN menemui ajal pada PRU13 ini, tugas kerajaan baru (Pakatan Rakyat-PR) amat berat.  Saya tak yakin, apakah  PR  berjaya   menstabilkan kembali  ekonomi negara yang diporakperandakan Umno/BN  itu.

Pegawai usia sekitar 40an itu melanjutkan lagi hujahnya. Ia memberi contoh Mesir, setelah  rakyat berjaya menumbangkan Hosni Mubarak yang memerintah negara itu selama 30 tahun,  presiden baru diangkat, ternyata presiden Mohamed Morsi tak dapat menstabilkan ekonomi Mesir, akibatnya rakyat dilanda gelisah berat. Nama pemerintahan baru tercemar.  

Perbahasan di kedai kopi tak sama dengan di dewan rakyat, saya mencelah tanpa mohon izin speaker “ Kekhuatiran yang tuan lahirkan itu, samalah seperti kekhuatiran yang pernah menganggu minda sebahagian rakyat Kelantan pada 1990 ketika PAS mula mengambilalih pentadbiran Negeri Serambi Mekah  dari tangan Umno/BN pada pagi 21 Oktober tahun itu. Ketika itu  ada yang berkata; PAS hanya mampu bertahan selama tiga bulan, selepas itu akan tumbang kerana kehabisan  wang untuk mengurus pentadbiran negeri, bahkan membayar gaji kakitangan juga tak mampu”

“Bila tiga bulan berlalu tanpa tumbang, golongan ini menaikkan kepada enam bulan, bila enam bulan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat masih bersandar  di kerusi Menteri Besar,  mereka naikkan kepada setahun. Sekarang sudah 22 tahun kerajaan PAS tegak berdiri  mentadbir negeri Kelantan  dengan sukses dan berslogankan “Membangunan  Bersama Islam” dengan izin Allah SWT.

Saya tak tahu, apa tujuan pegawai di sebuah agensi kerajaan negeri di Kota Bharu itu memulakan mukadimah bicara yang saya anggap bagus sekali tapi penghujungnya sebuah kekhuatiran. Apakah itu “saraf” Umno?

CATATAN 31 JANUARI 2013



Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada!

Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada! Tengku Razaleigh Hamzah merupakan tokoh politik Umno yang berjaya merampas Kelantan  dari tangan PAS di era pemerintahan Datuk Asri Haji Muda. Putra raja berjiwa rakyat itu menggunakan pengaruh, kekuatan, kebijaksanaan  dan tipu daya yang licik akhirnya pada tahun 1978 kerajaan PAS Kelantan tumbang setelah memerintah selama 16 tahun. Lalu  putra raja itu disanjung sebagai wira penyelamat Kelantan.

Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada, hanya orang Melayu mudah lupa! Tepat jam 1.05 pagi, Ahad, 21 Oktober 1990 tokoh yang merampas Kelantan iaitu Tengku Razaliegh atau akrab Ku Li mengembalikan semula Kelantan kepada PAS, setelah sang bangsawan itu keluar Umno kerana berselisah faham dengan Presiden Umno ketika itu Dr Mahathir Mohamad, lalu menubuhkan Partai Melayu Semangat 46, kemudian membentuk gabungan bersama PAS dalam  Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk melawan parti lamanya Umno/BN.  Gelombang tsunami politik Kelantan yang ditiup  Ku Li itu memberi pikulan K.O kepada Barisan Nasional (BN) tanpa meninggalkan sebarang kerusi buat mereka.

Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada! Keresahan pemimpin dan pendokong PAS  menyerang kembali bila Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan Presiden ABIM dan sertai Umno. Dalam konteks Kelantan,  kejayaan awal Anwar ialah merampas Dun Semerak dari tangan PAS dalam satu pilihan raya kecil. Lalu PAS menilai kekuatan yang ada pada Anwar bisa mengancam masa depan politik PAS.  

Keajaiban dalam perjuangan Islam sentiasa ada! Krisis politik dalam rumahtangga Umno kembali bergelora (1998/1999)   dengan Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dipecat Dr Mahathir. Anwar lalu bersama PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).  Kekuatan PAS jadi berganda. Dan sekarang sedang menuju distinasi idaman, Putrajaya.

Keajaiban dalam perjuangan Islam insyaAllah akan berlaku lagi selepas ini!

CATATAN 30 JANUARI 2013



Keajaiban di medan politik Islam.

Keajaiban bukan saja berlaku di medan perang jihad, seperti pernah kita dengar di Palestin, Afghanistan, Syria, Chechen dengan pejuang yang jumlahnya sedikit tapi dilihat ramai oleh musuh atau musuh melihat kehadiaran tentera berjubah putih yang tangkas bermain senjata dan sebagainya.

Di medan politk juga berlaku keajaiban, terutama di Kelantan di mana PAS sebagai wadah perjuangan Islam. Keajaiban sentiasa memihak. Tampak dengan jelas ada tangan lain dibelakang kemenangan melawan musuh politik yang berganda kekuatannya.

Tak siapa menafikan, kekuatan Umno di negeri Serambi Mekah sebenarnya tak kalah berbanding  negeri-negeri lain di Semananjung dengan jentera parti yang serba lengkap, radio televeyen, suratkhabar   yang memihak, material dan kewangan yang mencukupi berbanding  jentera pilihan raya PAS yang kerdil, petugas yang berkerja secara sukarela, namun walaupun   serba kekurangan Allah SWT memberinya kemenangan.   

Seperti juga halnya dengan kemenangan yang diraih para pejuang jihad, jika ditanya bagaimana anda dapat mengalah tentera yang besar yang memiliki persenjataan lengkap dan moden, sedang anda kesatria yang tak terlatih, jumlahnya kecil dan persenjataan yang minimum, jawapan mereka ialah “berkat doa anda semua”. Maka demikian juga terjadi di Kelantan sepanjang menghadapi pilihan raya umum dalam tempoh 22 tahun PAS mentadbir negeri itu. Jawapan ialah “doa adalah senjata kami  paling ampuh”

Stadium Sultan Muhamad IV menjadi saksi, di atas padang rumput stadium itulah setiap kali menjelang hari mengundi puluhan ribu pendokong PAS sujud kepadaMu, masing-masing  dengan teriak tangis “Tiada  daya dan upaya kami untuk berdepan dengan musuh politik kami yang punya kekuatan berganda, sedang kami  golongan yang lemah, maka, tolonglah kami, berilah kami kemenangan … hanya kepadaMu kami menyerah…” Lalu pipi kami pun basah bersama titisan air embun yang jatuh dari langit di dini pagi yang syahdu.  

Menjelang hari mengundi PRU13 nanti insyaAllah rutin itu akan berulang , di tempat yang sama, selain  melakukan solat hajat sendirian di kawasan dan  rumah masing-masing.