Sunday, October 7, 2012

Perkenal Kelantan Rentas Sempadan



Oleh: Rossem
Berada di Kota Solo, Indonesia  terasa seperti berada di Kota Bharu, Kelantan,  terutama melihat  budaya dan cara hidup masyarakatnya yang hampir kemiripan  dengan orang Kelantan terutama golongan wanita  lebih ramai daripada lelaki menjalankan perniagaan berjualan di bazar-bazar utama seperti pasar Klewer di tengah kota.

Ramai peniaga-peniaga  wanita menjual pelbagai  macam produk keluaran tempatan seperti tekstil khususnya batik. Pembeli akan  melewati lorong-lorong sempit antara ribuan unit kios untuk memilih barangan yang dinginkan.

Kondisinya sama seperti Pasar Siti Khadijah, Pasar Buloh Kubu, Bazar Tok Guru, Bazar Tengku Anis.  Penjual menunggu pelangan di hadapan kios yang ukurannya hampir menyamai Bazar Tok Guru, Kota Bharu.

Kalau di Kota Bharu ada  beca, di Kota Solo juga ada beca, berbeza hanya pada rupa dan bentuk  beca saja.   Di Kelantan tukang beca di posisi tepi, sementara di Solo tukang beca mengayuh dari belakang dengan penumpang di depan.

Jumlah beca di Kota Solo beratus kali lipat berbanding  Kota Bharu disebabkan keperluan kepada kenderaan seperti itu masih tinggi dan pelancong juga tertarik untuk menimba pengalaman menaiki beca keliling kota. Disamping beca, kereta kuda juga digunakan untuk mengangkut penumpang dengan harga lebih mahal berbanding  beca.

Jumlah penduduk kota bersejarah ini satu juta  pada siang hari dan malam hari berkurang sehingga 40  persen kerana mereka  yang bekerja di Solo pulang ke rumah masing-masing  di luar kota pada malam hari.   
Rumah dan bangunan di Solo juga hampir kemiripan rumah  tradisional Melayu  Kelantan terutama pada  rekabentuk  bumbungnya. Malah bangunan Setiausaha Kerajaan  Negeri Kelantan yang menempatkan pejabat Menteri Besar, Exco-Exco  dan pegawai pentadbir negeri jelas menunjukkan ciri-ciri persamaan itu.

Masjid tertua di  Kampung Laut yang sekarang dipindahkan ke Nilam Puri satu lagi contoh nyata  bahawa Kelantan  hakikatnya telah sekian lama ditempiasi pengaruh Jawa dalam merekabentuk bangunan.

Sesuatu yang menarik ketika  berada di Kota Solo ialah setiap kali masuknya waktu solat fardu suara azan kedengaran dari corong-corong masjid yang banyak terdapat di kota. Azan Suboh lebih  jelas kedengaran kerana ketika itu alam masih dibalut sunyi, warga belum keluar menjalankan aktiviti rutin. Situasi  ini mengingatkan  Kota Bharu dengan sapaan azan yang jenuh dari segenap penjuru setiapkali masuknya waktu solat.  

Berada di Kota Solo atau Surakarta  dua hari tanggal 3 -4 Oktober 2012 sangat bermakna, kerana  Solo menjadi sorotan  umum di Indonesia sekarang. Solo menjadi bahan berita utama hampir setiap hari di semua suratkhabar di Indonesia kerana kebetulan  warga Solo,  Joko Widodo atau Jokowi  terpilih menjadi gubernur Jakarta  hasil  kemenangan beliau  pada pemilu 29 September lalu.

Hal ini diberitahu Pengarah Umum Radar Solo  merangkap editor akhbar Jawa Pos cabang Solo, Ananto Priyanto saat  bersilaturahim ke pejabat beliau di Solo, pada  pagi  3 Oktober,  setelah sebulan kami memohon keizinnya.  Pihak  Rada Solo merespons, dan  menerima  kami dengan tangan terbuka. 

Melakukan kunjungan ke kantor Rada Solo merupakan agenda Kembara Solo –Jogja 2012 yang kami rencanakan sejak Julai 2012. Bertujuan menjalin ukhwah Islamiyah sesama pengamal media Kerajaan Negeri Kelantan (Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan) dengan media popular Indonesia  Jawa Pos.

Hampir dua jam berdiskusi bersama editor senior, Ananto Priyanto di kamar mesyuarat  Rada Solo terkait dengan perkembangan media antara dua negara dan isu-isu semasa. Beliau  memberikan  respons pelayanan yang sebaiknya. Walaupun kedatangan kami tidak secara rasmi namun tetap   mesra, telus dan bersahabat, bahkan tanpa diduga, berita kunjungan kami berserta fotonya dimuatkan dalam  akhbar Jawa Pos hari berikutnya.

Saat berucap, Ananto Priyanto menyebut, akhbar Jawa Pos yang beredar ke seluruh Indonesia sebanyak 300 ribu naskah setiap hari bersedia menerima sumbangan berita, artikal dari Malaysia khususnya Kelantan. Penyumbang boleh mengirim langsung kepada alamat email yang diberikan. “Tak sukar kerana Jawa Pos juga ada akhbar online” tutur beliau.

Hal sedemikian tentunya sangat bermanfaat  bagi kami dalam rangka menyebarluaskan informasi tentang Kelantan ke persada  internasional khususnya negara tetangga Indonesia. Kerana sepertimana di sebut Ananto Priyanto, informasi terkait Kelantan amat minimum  di  sini, kalau ada pun berbau negatif.  

Hakikatnya, ramai rakyat Indonesia yang mahukan  informasi sebenar tentang Negeri Kelantan   yang ditadbir  Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan konsep Membangun Bersama Islam namun mereka sukar memperolehinya.

Diakhir majlis,  kami menghadiahkan beberapa buku yang diterbitakan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan kepada Ananto Priyanto, semoga buku itu dapat dijadikan sebagai bahan rujukan bila menulis tentang Malaysia khususnya Kelantan.

  

Friday, September 21, 2012

Berapa buah filem perjuangan Nabi saw dihasilkan umat Islam?

Oleh: Rossem


 Kota-kota besar seluruh dunia terutama di  negara umat Islam menjadi lokasi unjuk rasa umat Islam  memprotes pembikinan  klip vedio  berjudul “Innocence of Muslims” oleh Sam Bacile yang menghina Nabi Muhamad saw.

Sehingga kini dikhabarkan 30 orang menjadi korban termasuk seorang diplomat Amerika Syarikat di Libya, bila pejabat kedutaan negara kuasa besar itu dibedil perusuh.  Kebetulan  klip vedio   itu  dibuat di Amerika oleh warga Amerika, Nakoula Basseley Nakoula, 55, Kristian Koptik yang  menggunakan nama samaran Sam Bacile.

Klip vedio  itu  sudah ditonton lebih seratus juta  penonton  melalui youtube di seluruh dunia kecuali beberapa negara seperti Libya, yang menyekat aksesnya daripada memasuki negara tersebut.

 Barangkali Sam Bacile boleh menarik nafas lega kerana usahanya menerbitkan klip vedio  seumpama itu berhasil mencapai matlamat yang diidam-idamkan, iaitu mahu melihat umat Islam seluruh dunia marah di atas  perbuatan jahatnya, sehingga mengerakkan massa keluar ke jalan-jalan raya sambil berteriak mengutuk Sam Bacile,  juga negara tempat klip vedio  itu diterbitkan iaitu  Amerika  Syarikat.

Klip vedio  “Innoncence of Muslims” bukan filem pertama dibikin bertujuan untuk menghina Islam, sebelum ini umat Islam dikejutkan dengan filem “fitna”. Selain media filem, suratkhabar khususnya di Barat pernah beberapa kali memuatkan tulisan dan karikatur yang menghina Nabi Muhamad saw. 

 Di Denmark, karikatur karya Kurt Westergaard yang disiarkan dalam  akhbar Jyllands-Posten melukis  mengambarkan serban yang dipakai Nabi menyerupai sebutir bom, dan   terbaru di Perancis, sebuah suratkhabar mingguan bernuasa  satira, Charlie Hebdo menerbitkan kartun yang juga menghina Nabi saw.
 Pejabat penerbitan suratkhabar  sayap kiri, dan libertarian itu telah dibom pada 2011 selepas ia menerbitkan edisi Sharia Hebdo, yang juga menyinggung umat Islam.  

 Kurang lebih lima belas  tahun dulu seluruh dunia Islam dikejutkan dengan  seorang penulis Inggeris asal India, Salman Rushdie kerana menulis novel “The Satanic Verses" (Surah Syaitan) yang terang-terang menghina kitab suci al-Quran. Sang penulis mendapat dukungan pemerintah  Inggeris dengan melindungi keselamatan beliau daripada ancaman umat Islam yang mahu melenyapkan dari muka bumi ini.  Pemerintah  Iran telah menawakan ganjaran jutaan ringgit kepada sesiapa yang berjaya membunuh penulis kontraversi itu.
Ratu Inggeris telah menganugerahkan gelaran Sir kepada Salman Rushdie, menunjukkan  betapa sayangnya Inggeris kepada Salman, namun rutin kehidupan seharian penulis itu  seperti dalam sebuah penjara, pergerakannya terbatas, tak berani ke tempat awam tanpa dikawal pengawal bersenjata. Lalu kita pun bertanya; Anda gembirakah dengan kehidupan seperti itu wahai Salman Rushdie?”.

Nasib sutradara filem “Fitna”, Theo van Gogh mati  ditembak  di sebuah jalan di Amsterdam oleh seorang pemuda Islam asal Maghribi,  Mohammad Bouyeri, yang menganggap perbuatan Theo melukakkan hati umat Islam tidak dapat dimaafkan dan semestinya dihapuskan riwayatnya di atas muka bumi ini dengan  cara hina, sepertimana ia pernah menghina diriku dan umat Islam. Tulis  Mohammad Bouyeri pada secebis kertas dan diletakkan pada mayat itu sesudah pembunuhannya.

film ini adalah kombinasi antara petikan  teks al-Quran, ayat 60, surah Al-Anfal yang menyebut tentang perintah Allah agar umat Islam menghimpun kekuatan dan mendatangkan rasa takut ke hati musuh kamu, diikuti dengan klip vedio ketika pesawat terbang merempuh bangunan  World Trade Center New York, 11 September 2001. 

Keseluruhan dari cerita “fitna” mengambarkan al- Quran, bagi mereka  adalah ”buku fasis” yang harus dilarang beredar di  Belanda, kerana kandungannya merangsang kebencian dan pembunuhan.

Kartunis Denmark yang melakar serban Nabi saw berbentuk bom juga khabarnya sudah mati akibat api misteri yang membakar hangus dirinya. Menurut cerita yang dipungut dari internet, saat orang memburu untuk membunuh Kurt, beliau melarikan diri ke bilik bawah tanah dan kemudiannya  menjumpai  kurt dalam kondisi terbakar hangus. Kematian Kurt menunjukkan betapa berkuasa Allah SWT, walaupun pengaturan keselamatan foolproof, tiada dapat menyelamatkan dia dari akhir tragis.

Perbuatan  musuh-musuh Islam  didalangi Yahudi  menghina Rasulullah saw dengan pelbagai cara,   menggunakan  media masa yang pelabagai sewajarnya  dikutuk setiap umat Islam yang beriman, namun perbuatan mereka menghina Nabi Muhamad saw itu dilakukan  atas dasar mereka non-Muslim, bererti bukan suatu hal yang pelik. Anjing mengigit manusia itu lumrah,  tapi kalau manusia mengigit anjing itu luar biasa.  

Yang pelik lagi  luar biasa ialah umat Islam sendiri ada yang menolak syariat Islam daripada dipraktikkan dalam pemerintahan negara, misalnya terangan-terangan menolak hudud, mengatakan Nabi saw tak bercukur kerana di zaman itu tak ada pisau cukur, jika tidak Nabi Muhamad, orang lain akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Olehitu tak perlu mengagung-angungkan Nabi Muhamad. Ucapan-ucapan seperti itu jelas menghina Rasulullah saw tapi dibiarkan tanpa diambil tindakan.

Hakikatnya musuh-musuh Islam mahu melihat umat Islam menjadi  histria, keluar ke lapangan, berteriak menjerit  melepaskan angin amarah  yang membengkak  dada, marahnya bukan alang kepalang   kepada musuh yang berada beribu-ribu batu jauhnya.

Di balik tingkap gedung mewah di kota-kota besar seperti New  York,  Paris dan London  musuh melihat dengan senyum lebar, hatinya puas, matlamatnya  membangkitkan kemarahan umat Islam berhasil. Sedangkan umat Islam sendiri tak pernah bertanya diri mereka “ Berapa buah filem tentang perjuangan Rasulullah saw dihasilkan?”.












Friday, September 7, 2012

Lebih baik muhasabah diri daripada ghairah menghukum anak-anak muda



 Oleh: Rossem
 Wajah-wajah resah dan ketakutan disekitar  kita mula berkokok setelah  sekian lama membungkam. Namun kokokkan  mereka kali ini tidak lagi digeruni kerana taji di kakinya sudah kepatahan.

Pahlawan-pahlawan  yang kehilangan keris itu    merasakan diri mereka  akan  terancam jika  tokoh politik yang satu ini  mencapai kemenangan pada pilihan raya umum 13 nanti dan Pakatan Rakyat (PR)  membentuk kerajaan, kerana suatu masa dulu (1998) mereka sebahagian daripada individu yang berkerja keras mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengiringnya ke penjara.

Inilah saat sesuai  untuk  golongan ini   bersuara dan bertindak, biarpun dendangan lagunya sudah ketiggalan zaman, rentak keroncong tak lagi menarik minat orangramai, ditambah pula dengan muziknya  yang sumbang, namun sekurang-kurangnya hati mereka  puas lantaran dapat terus menerus dengan kerja-kerja menakut-nakutkan rakyat supaya jangan mengundi   PR pada PRU 13 ini.

Golongan ini hanya fikirkan   mahu hidup selamat di Malayisa, lebih-lebih lagi takala usia semakin lanjut. Mereka sangat mengharapkan  tiada  cubaan membongkar kesalahan masa lampau  mereka yang boleh mengheret ke muka  pengadilan.  Dan yang dapat memenuhi impian ini tak lain hanya   jika  UMNO/BN terus berkuasa.  

Dihinggapi penyakit resah gelisah ini diketahui lewat kenyataan yang dilemparkan kadang-kadang janggal bunyinya, menjadi bahan  kritikan umum, bahkan membikin  ketawa orangramai. Pakar psykologi sangat arif dengan orang-orang seperti ini dan bersetuju jika  dikatakan ketakutan golongan ini berada  pada tahap kritikal.

Ada seorang individu berpenyakit resah ini memberi amaran akan wujud gerakan yang mahukan kemerdekaan Malaysia kali kedua. Mahu menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu dan menukar Jalur Gemilang.  Rakyat ketawa dengan argumen itu kerana Pakatan Rakyat melalui dasar bersama dan Buku Jingga sentiasa menjunjung prinsip Perlembagaan Negara, menghormati Raja-Raja Melayu dan  menolak Sang Saka Malaya.

Golongan ini  juga bertindak atas nama NGO. Salah satu dari NGO tersebut terkenal dengan tindakan  ala samseng.   Membaling batu ke arah pemimpin  PR,  kereta, markas   merupakan hobinya.  Merosakkan kenderaan yang digunakan pemimpin dan pendokong Pakatan Rakyat adalah agendanya, seperti berlaku ke atas bas Jelajah Merdeka Pakakatan Rakyat di Kota Bharu baru-baru ini disimbah dengan cat merah dan diketuk cermin.

Paling jijik, menyerang Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di Masjid Al- Husin, Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah. Gerombolan  itu  juga mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling sepatu  ke dalam masjid ketika tazkirah disampaikan. Malah, mereka turut menggunakan loud hailer bertujuan menganggu  Anwar yang ketika itu sedang menyampaikan tazkirah.

Hakikatnya mereka khautir jika PR berkuasa, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan membalas dendam diatas  kezaliman yang pernah dilakukan terhadap  beliau dahulu. Tapi Anwar sudah memberitahu beberapa kali, PR tidak akan membalas dendam kepada sesiapa. “Falsafah kami di  PR, tidak ada istilah dendam politik”. Kata Anwar.

 Namun siapa akan percaya?. Presiden Hosni Mubarak di Mesir juga akhir hidupnya di penjara, Muammar Ghadafi di Libya mati dibunuh, Taksin di Thailand terpaksa mencari suaka politik di luar negara sesudah tak lagi berkuasa di negaranya. Demikian sunatullah, mereka yang pernah menzalimi orang lain tak mungkin terlepas bebas dari pembalasan semasa di dunia, dan di akhirat juga menunggu hukuman yang lebih berat setimpal dengan perbuatannya yang lalu.

Apa  yang menimpa ke atas tokoh-tokoh dunia itu sebenarnya menjadi igauan ngeri dan menyeramkan, lagipun ia baru kelmarin  berlaku, masih segar dalam ingatan. Omongan kerajaan PR nanti  tidak akan mengambil tindakan ibarat musang menari di hadapan ayam,  ayam leka musang pun terkam; demikian  persepsi mereka disebabkan rasa ketakutan yang mendalam.  

Golongan yang benar-benar  resah gelisah ini terdiri mantan Perdana Menteri, politikus tertentu dan  pesara  pejawat awam yang terlibat dengan kasus menfitnah Anwar.

Namun rakyat biasa juga  lewat firasat mereka  merasakan akan berlaku sesuatu yang luar jangka  pada keputusan pilihan raya umum ke 13 ini, Pengamat politik mengandaikan demikian  setelah melihat situasi dan kondisi politik Malayisa mutakhir ini begitu caca marba.

Misalnya,   kebencian  terutama oleh anak-anak muda dan pelajar kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak  dilakukan secara terbuka. Tindakan  mengaibkan  Perdana Menteri dapat dikesan sejak peristiwa menurunkan potret Najib di perkarangan  Ibupejabat UMNO, Kuala Lumpur,  berterusan kepada kejadian memijak potret beliau sewaktu perhimpunan menyambut ulangtahun ke 55 kemerdekaan Malaysia baru-baru ini.  Tak cukup dengan pijak potret disusuli pula dengan   aksi menungging punggung kepada potret.  

Fenomena  seperti ini tak pernah berlaku kepada Perdana Menteri-Perdana Menteri  terdahulu. Marah rakyat kepada Dr Mahathir Mohamad setakat  mengelar Maha Firaun.  Potert beliau selamat dari mangsa pijakan sepatu.  Rasional kemarahan rakyat  waktu itu juga boleh diterima kerana Dr Mahathir memerintah negara terlalu  lama iaitu 22 tahun.

 Kebencian rakyat kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak dilakukan sehingga  memijak  potret beliau, hanya gambar beliau tertidur waktu mesyuarat dan bersama ratu cantik saja disiarkan.

Najib baru tiga tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia dan belum pun menghadapi pilihan raya umum,  namun sudah menghadapi pelbagai bentuk protes dari rakyat dengan pelbagai cara. Justeru, jangan hanya ghairah mahu menghukum  anak-anak muda di atas peristiwa memijak potret dan tungging punggung, tapi harus membuat kajian dan muhasabah diri; kenapa anak-anak muda melakukan tindakan keji seperti itu terhadap beliau.



Sunday, August 19, 2012

Komunis ada kerajaan, demokrasi ada kerajaan, kenapa Islam tak bisa?


Oleh:Rossem
 Ramadhan berlalu pergi. Bagi  mereka yang hatinya  merindui  akan  kelebihan bulan yang dianugerahkan Allah SWT bagi setiap hambanya yang beribadat sepanjang  Ramadhan yang sarat matfirah itu,  pasti tak dapat menahan rasa sedih dan pilu dengan pemergian itu.

Berpisah dengan  Ramadhan  ibarat    seperti melepaskan  bonda yang tersayang pulang ke rahmatullah, kerana  belum pasti, apakah terus diberikan Allah kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan mendatang. Sesungguhnya tarikh tutup  usia itu menjadi rahsia Allah dan tiada siapa mengetahuinya kapan ajal tiba.

Setelah menjalani ibadat puasa, solat sunat tarawih dan qiammullal sepanjang  Ramadhan,  tibalah  1 Syawal, iaitu hari raya aidil fitri. Hari   kemenangan melawan hawa nafsu dan dibolehkan pada hari itu makan minum pada siang hari yang ditegah selama sebulan Ramadhan.

Pada pagi aidil fitri, masjid dipenuhi jamaah untuk mendengar khutbah yang akan disampaikan imam atau khatib seusai mengerjakan solat sunat aidil fitri dua rakaat.

Berbeda dengan  Indonesia, di Malaysia solat sunat aidil fitri tak dilakukan di lapangan seperti padang sepakbola dan sebagainya, hanya tertumpu di masjid dan surau. Maka tempat-tempat ibadat seperti itu dipenuhi dengan jamaah yang berpakaian serba baru dari kalangan kaum muslimin, muslimat dan kanak-kanak.

Menteri Besar Kelantan, Malaysia, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetuai solat sunat aidil fitri seperti sering dilakukan setiapa kali 1 Syawal, iaitu  di masjid yang berkembar dengan rumah beliau  di Kampung Pulau Melaka, kurang lebih 12 kilometer dari Kota Bharu.

Ribuan warga lokal bahkan diantaranya  datang dari jauh semata-mata untuk ikut solat bersama serta mendengar khutbah yang disampaikan Tuan Guru.

Inti khutbah Tuan Guru kelmarin,  beliau mengingatkan  setiap umat Islam, agar tetap istiqamah dan  jangan  sekali-kali terpengaruh dengan ‘permainan’ Barat yang mengatakan ‘agama lain, politik lain’ . Kedua-dua harus  berjalan seiring. 

“Agama lain, politik lain adalah  ajaran daripada   Inggeris, Peranchis, Itali, Belanda  dan sebagainya yang pernah menjajah negara umat Islam, sehingga ada diantara umat Islam dari rakyat bawah,  pelajar, guru, bahkan tuan-tuan guru pondok pesantren (kyai) pun  terpengaruh dengan ajaran  sesat itu. Kemudian diterapkan   menjadi  sistem politik di negara umat Islam termasuk di negara kita yang tercinta ini” ujar Tuan Guru.  

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS  selanjutnya berkata; kalau komunis ada kerajaan, demokrasi ada kerajaan, maka kenapa ‘Islam’ tidak boleh ada kerajaan. Walhal Islam itu paling  tinggi, datangnya daripada Allah SWT yang menciptakan  langit, bumi, manusia, haiwan dan segala isinya.

Justeru dalam hal  ‘urusan agama’ dan ‘politik’ haruslah  selari. Setiap umat Islam di mana saja mereka berada harus  mengikuti jalan yang pernah dilalui  Nabi-Nabi dan Rasul termasuk dalam urusan rumah tangga, pemerintahan negara, peperangan dan lain-lain.

“Kerajaan yang berasaskan kepada assobiyah (kebangsaan) tak membawa apa-apa makna kepada umat Islam bahkan tak menyumbang apa-apa kepada perkembangan agama tauhid itu, sebaliknya   terdapat individu  assobiyah ekstrem  dari kalangan kita berani mengatakan; untuk apa kita mengikuti Nabi Muhamad, Baginda orang Arab, sedang kita orang Melayu. Maka perlulah kita mencari nabi Melayu”. Ujar Tuan Guru dengan nada sinis.

Akhir sekali, Tuan Guru  Nik Abdul Aziz, mengingatkan sekali lagi bahawa, Kerajaan Islam lebih mustahak didirikan di muka dunia ini untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan khilafah Uthmaniyah Turki pada abad lalu.



Saturday, August 11, 2012

Ijtimak pondok nusantara mempertemukan ulama-ulama pondok Malaysia, Indonesia, Pattani


0leh:Rossem Pagi yang damai di Qaryah Ramadhan Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV,  Kota Bharu, menggamit ramai pelajar-pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK)  dan pelajar-pelajar pondok seluruh Kelantan berkumpul untuk mengikuti sebuah  wacana ilmu yang  disampaikan ulama-ulama pondok terkenal  Nusantara.

Bermula dengan solat sunat Dhuha, kemudian peserta mengambil tempat dengan duduk bersila menjadikan suasana benar-benar seperti sebuah  pengajian tradisional secara menadah kitab seperti dilakukan di pondok-pondok pesantren di Malaysia, Indonesia dan  Pattani (Tahiland). 

Dari Malaysia, Dr Abdul Basit Abdul Rahman dari Pondok Sungai Durian, Kuala Krai membentangkan kertas kerja berjudul   “Peranan Ulama Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar. Kertas kerja kemudiannya diulas Mudir Darul Hadis Alor Setar, Kedah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Ramli.

Konsep amar maaruf nahi mungkar menurut Dr Abdul Basit  harus berjalan seiring. Menyuruh orang berbuat baik saja tak memadai  malah tidak  menepati kehendak ayat tersebut,  justeru ia harus disertakan dengan melarang atau mencegah orang berbuat jahat.

Dalam ucapannya juga beliau banyak menyentuh dan melahirkan kekhuatiran tentang nasib umat Islam seperti di Palastin, kaum manoriti Rohingya di Manmyar yang dibunuh  kaum kafir. Kebimbangan juga tentang perkembangan yang berlaku di Republik Azarbaijan apabila pemerintah negara itu   mengarah khatib di seluruh negara  melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu seperti dipetik dari media.  

Alasan diberikan  kerana dianggap mengganggu jam kerja memandangkan hari Jumaat di Azarbaijan hari bekerja

Menurut pemerintah Azarbaijan, pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah.

Isu lebih parah pula berlaku di  Uighur,  Urumqi, Xinjiang, barat laut China di mana masyarakat Islam diharam menunaikan ibadah puasa, bersolat tarawih atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan.
 “Di negara kita pun tidak jauh bezanya kerana hari Jumaat tidak dijadikan hari cuti   bagi kebanyakan negeri. Sepatutnya kita kena tukar menjadikan hari Jumaat sebagai cuti mingguan bagi memudahkan orang ramai melakukan amalan agama,” ujar beliau.

 Ijtimak itu disertai ulama pondok dari seluruh Malaysia termasuk juga  dari Selatan Thailand yang diwakili Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pattani, Wan Mahmood Wan Hussin. Sementara dari Indonesia diwakili Pengasuh dan Pimpinan Pondok Pesantren Darul Ihsan Samarinda, Kalimatan Timur, H. Fakhruddin Wahab M.Thi.

Pagi itu Kyai H. Fakhruddin membentangkan kertas kerja berjudul “Peranan Pusat Pengajian Pondok Pesantren Dalam Melahirkan Kepimpinan Umat di Indonesia” kemudian diulas Ustaz Zulkfli Ismail dari Melaka.

 Fakharuddin berkata, pondok pesantren merupakan institusi pendidikan pertama dan tertua di Indonesia.
 “Pesantren dikenali di Indonesia sejak zaman Walisongo. Ketika itu Sunan Ampel mendirikan rumah yang mengandungi bilik-bilik kecil dan menjadikan sebagai pusat pendidikan di Jawa,” katanya.

Pondok juga tidak hanya sebagai pusat pengembangan aspek keilmuan Islam saja, tetapi sebagai bahagian dari kesedaran masyarakat umum akan ilmu pengetahuan yang intergratif. Sistem kepondokan di Indonesia bersemboyankan “ Hati, otak dan  jiwa  harus Islami” dan ini telah terbukti dengan lahirnya ilmuan-ilmuan Islam di zaman keemasan.

 Beliau juga berkata, banyak pengalaman mengenai pembangunan institusi pondok di Kelantan yang boleh dipelajari untuk dipraktikkan di Indonesia.

Ijtimak pondok Nusantara yang berlangsung selama dua hari dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, 6 Ogos 2012. Turut hadir  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Dato’ Haji Mohd Amar Nik Abdullah.
 .

Wednesday, August 8, 2012

Muslim Rohingya yang dilupai


 Oleh: Rossem
Masih ingat, namanya Aishah, 14, dengan separuh senyum  mendekati meja makan di sebuah warung di Kota Bharu. Gadis hitam manis dengan hidung sedikit mancung berpakian baju kurung Melayu berbunga-bunga dengan berkerudung itu  kemudiannya menghulurkan  senaskah surah Yassin kepada pelangan yang sedang makan. Tanpa berkata apa-apa, cukup dengan lirik mata,   pelangan sudah tahu, kanak-kanak perempuan  itu sebenarnya meminta sumbangan wang dari pelangan.

 Ada pelangan yang membeli naskah Yassin dengan harga RM5, namun paling ramai hanya menghulur  seikhlasnya   seringgit atau dua ringgit bergantung kepada kemampuan, bahkan ada yang tak memberi  langsung. 

 Setelah memperolehi wang, ia beredar ke meja lain, melakukan perkara yang sama, begitu seterusnya dari pagi sampai sore. Mereka berkelompok, tiga atau empat orang beroperasi di satu-satu lokasi yang ramai orang seperti di kedai-kedai makan, pasar dan terminal bas atau teksi.

 Kanak-kanak perempuan  seperti Aishah dan rakan-rakan  yang usia seperti itu sepatutnya bukan berada di jalanan tapi di bangku persekolahan, namun olehkerana situasi  dan kondisi di negaranya tidak aman lantas datang ke Malaysia menumpang kasih umat Islam Malaysia khususnya Kelantan.  

 Selain Aishah, kanak-kanak lelaki Rohingya  yang sebaya dengan Aishah  juga  berkeliaran mendapatkan simpati orangramai. Mereka  menjual naskah Yasin atau tisu seperti Aishah. Barangan yang dijual itu  hanya sebagai mengelabui mata, sedang tujuan sebenarnya meminta sumbangan  orangramai dengan cara terhormat.
 Itulah panorama Kota Bharu tiga tahun dulu, takala ramai kanak-kanak Muslim berbangsa Rohingya dari Myanmar datang mencari kehidupan yang aman di negeri bergelar Serambi Mekah. 

 Kelantan menjadi pilihan mereka kerana negeri itu  berbatasan dengan Thailand. Pendatang Rohingya  memasuki Kelantan melalui jalan darat  Thailand dan memasuki  perbatasan Selatan Thailand –Malaysia (Kelantan) di Rantau Panjang.  

 Mereka  tiada memiliki paspot kerana etnik  Muslim Rohingya  tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar, walhal wilayah  Arakan,  yang berbatasan dengan Bangladesh tempat mereka bermukim adalah tanah tumpah darah mereka sejak turun temurun. 

 Pemerintah Myanmar yang dipimpin junta tentera, General Thein Sein pernah menegaskan bahawa kewujudan etnik Rohingya di Myanmar sememangnya tak diterima  oleh pemerintah  Myanmar kerana kelompok ini adalah pendatang dari Bangladesh. Sementara Bangladesh menafikan etnik Rohingya sebahagian dari bangsa mereka.

 Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), etnik Rohingya sebagai kelompok minoriti yang paling dilupai dan dizalimi di dunia. 

 Kerajaan junta  negara itu memberi laluan kepada etnik Rohingya untuk keluar dari Myanmar, tapi untuk memasuki negara itu kembali mereka akan dihalang dengan alasan tak punya paspot. 

 Kini, sudah tiga tahun kanak-kanak perempuan bernama Aishah dan teman-temannya tak kelihatan di Kota Bharu atau mana-mana tempat di Kelantan. Nasibnya tidak diketahui, sama ada ditangkap pihak berkuasa Malaysia (imigresen) kemudian  diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi  Pelarian (UNHCR) atau pulang ke negara asalnya Manmyar melalui jalan gelap dan kemungkinan menerima nasib buruk di sana.

 Menurut  pegawai  imigresen   Malaysia  yang bertugas di depot tahanan imigresen  di Tanah Merah, Kelantan, pendatang tanpa izin (illegal ) yang berada  di Malaysia, jika ditangkap akan ditahan di depot imigresen  sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing, namun bagi pendatang Rohingya mereka tidak dihantar ke Myanmar, sebaliknya diserahkan kepada UNHCR, pegawai dari UNHCAR kemudiannya menyoalselidik mereka untuk menentukan mereka benar-benar Muslim Rohingya. Jika berpuas hati, UNHCR akan keluarkan kartu khas dan mereka bebas tinggal di Malaysia dan bekerja di negara ini.
 Sebahagian  lelaki Rohingya yang datang antara 10 atau 15 tahun dulu ke Kelantan bernikah dengan warga lokal, hampir setiap desa ada kaum Rohingya di sini, mereka menjalankan perniagaan kedai makan.  Biasanya mereka adalah pembuat  roti canai, capati dan roti nan yang mahir. 

 Wajah mereka sama seperti orang Bangla (Bangladesh). Yang berusia 40an gemar makan  sireh pinang.  Maka jangan merasa aneh, jika melihat orang Rohingya  mulutnya merah. 

 Dulu  ramai yang tidak mengetahui, Muslim Rohingya diseksa begitu dahsyat di tanah tumpah darahnya di wilayah  Arakan, yang berbatasan Myanmar- Bangladesh, kerana media  terutama dari Barat tidak pernah melaporkan, sementara warga Rohingya yang berhijrah ke Malaysia juga tak pernah menceritakan situasi sebenar di negaranya. Mereka lebih senang menyimpan rahsia daripada  menceritakan kepada umum seputar kekejaman pemerintah Rangon ke atas umat Islam Rohingya. 

 Konflik yang berterusan ini memperlihatkan pembabitan dan kerjasama jelas antara polis, tentera dan pemerintah pusat Rangon dengan teroris Rakhine dan sebuah pertubuhan militan iaitu kelompok spra tentera Myanmar (NASAKA) yang dianggota rakyat Myanmar beragama Buddha bagi meneruskan agenda pembersihan etnik.

  Realitinya, anak-anak  perempuan dirogol, dibunuh, remaja dibakar hidup-hidup, rumah kediaman  dijarah, sekolah agama,  masjid dan tanaman dibakar bertujuan untuk menakut-nakutkan Muslim Rohingya supaya meninggalkan tanah tumpah darah mereka  Arakan. 

 Ke mana Muslim Rohingya mahu pergi untuk menyelamatkan diri? Sedang untuk memasuki Bangladesh, satu-satunya tetangga Muslim  dihalang oleh pemerintah negara itu.  Di sebelah Selatan adalah Thailand.   Sejak kurang lebih tiga tahun lalu Negara Gajah Putih telah mengenakan kawalan ketat ke atas Muslim Rohingya yang mahu melintasi negaranya untuk ke Malaysia. Bagaimana nasib   Aishah dan teman-temannya,  Allah SWT saja yang tahu.  


Monday, August 6, 2012

Lebuhraya rakyat KB-KK dan diskriminasi


Oleh:Rossem

Lebuh raya rakyat dan royalti minyak antara isu  paling kerap  diperkatakan  di Kelantan. Bahkan ia antara isu lokal yang cepat popular. Tak sampai tiga bulan sudah menjadi isu yang  meniti dari bibir ke bibir.

Pandangan umum di Kelantan  seputar dua isu itu semakin menunjukkan positif. Rakyat Kelantan tanpa mengira usia bangkit menyokong apa saja tindakan baik yang dilakukan kerajaan negeri bahkan  turut berganding bahu   membantu apa saja dalam perjuangan menuntuk hak yang dinafikan kerajaan Pusat.

Kelompok yang menimbulkan masalah terdiri    beberapa kerat NGO penyokong  Umno juga sudah mula mendiam diri,  tiada lagi protes baru selepas ditertawakan orangramai kerana tindakan mereka  berhimpun  di depan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri  (SUK) sambil membawa  cangkul patah, kereta sorong buruk untuk dihadiahkan kepada Kerajaan Kelantan bagi kegunaan   pembinaan lebuhraya.

Keputusan   Kerajaan Kelantan yang terajui Pas mahu  membina sendiri lebuh raya dari  Kota Bharu –Kuala Krai (KB-KK)  sepanjang 73 kilometer telah mengemparkan rakyat Malaysia, kerana tindakan kerajaan Kelantan itu tak pernah dibuat negeri-negeri lain. 

Semua orang tahu, menurut perlembagaan Malaysia,  tanggungjawab membina lebuh raya terletak di bahu Kerajaan Pusat,  sama seperti  membina klinik, hospital,  sekolah rendah dan menengah bukan dibawah tanggungjawab  kerajaan negeri.

Cadangan pembinaan lebuhraya  KB – KK   pernah dimasukkan dalam  Rancangan Malaysia ke 5 dengan bajet RM800 juta.  Dalam Rancangan Malaysia ke 9 masih kekal, tapi Rancangan Malaysia ke 10 dibatalkan.

Dengan pembatalan itu bermakna Pusat  tidak menepati janji. Bercanggah dengan slogan sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke 55 “Janji Ditepati”. 

 Yang paling jelas   di mata umum ialah tindakan Kerajaan Pusat itu mencerminkan amalan  diskriminasi ke atas  hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan sebuah  lebuh raya, sedangkan  lebuh raya  sangat diperlukan di negeri  itu untuk kemudahan rakyat memandangkan jalan sedia ada sudah tak mampu lagi menampung kenderaan yang terlalu banyak.

Negeri Kelantan juga satu-satu negeri dalam Persekutuan Malaysia yang tak punya lebuhraya.

Justeru, atas dasar tanggungjawab, Kerajaan Negeri mengambilalih pembinaan walaupun terpaksa berdepan dengan masalah kewangan  yang sangat membebankan. Untuk meringankan bebanan, Menteri Besar Kelantan, Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan satu kaedah yakni menerima sumbangan (infak) dari orangramai.

Kaedah infak ini sering digunapakai untuk projek membina masjid atau sekolah tahfiz al-Quran,  sedang  membina lebuhraya tak pernah dipraktikan di zaman moden ini.  Justeru ramai yang merasa aneh dengan saranan Kerajaan Kelantan,  walhal inilah salah satu daripada  amalan datok nenek orang Melayu dulu  bila mahu membina jalan. Konsep gotong royong dan memungut derma merupakan bebiasaan  yang tak pernah dipertikaikan.

Pahala bukan terhad kepada meyedekahkan wang atau material untuk membina  masjid saja, bahkan menyumbang untuk pembinaan jalan raya juga  mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT selama mana jalan itu berfungsi untuk laluan orangramai.

Kerana itulah, seusai  Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan batu asas pembinaan lebuhraya rakyat KB-KK di Felcra Berangan Mek Nab, Machang, 28 Mei 2012.   Tok Guru didatangi seorang perempuan tua dari kampung itu lantas bertanya “ Tok Guru, ambo ada RM7, bolehkah wang sekecil ini ambo sumbangkan untuk pembinaan lebuhraya?” Kebetulan Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan berada sisi Tok Guru ketika itu terharu yang amat sangat melihat seorang perempuan miskin sanggup menginfakkan wang yang baginya sangat bernilai semata-mata  untuk membina  lebuhraya yang menelan kos berbilion ringgit. Tentu dalam perkiraan kita wang RM7 itu untuk   digunakan   membeli cangkul  pun tak cukup, namun itulah pengorbanan yang ditunjukkan  rakyat Kelantan  kepada negeri ini dan penguasanya.  

Hal yang sama pernah berlaku  di zaman Nabi Ibrahim as. Takala Nabi Ibrahim as dihumbankan  oleh Raja Namrud ke dalam ungun api yang sedang marak menyala, beberapa ekor burung yang melihat kejadian itu tersangat sedih lantas pergi mencari air di kali dan air laut yang beratus batu jauhnya.

Setelah air itu diambil, burung-burung tadi terbang menghampiri api yang sedang marak menyala lalu  jatuhkan air melalui paruhnya. Berapa tetes air yang boleh dibawa oleh  seekor burung sekecil itu untuk memadamkan api sebesar rumah.  namun itulah  pengorbanan dan setiap pegorbanan  yang ikhlas kerana Allah SWT, ganjaranya pahala.

Begitu juga halnya dengan wanita  tua itu, RM7 amat kecil untuk membina sebuah lebuhraya yang menalan kos mencerceh  bilion, namun kesedaran wanita itu tak ada tolok bandingnya dan wajar kisah beliau  ditulis  untuk tatapan orang lain, walaupun wanita itu mahu merahsiakan sumbangannya.

Kutipan terkumpul sejak akhir Mei 2012 sehingga Majlis Pelancaran  Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat KB-KK yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam,  4 Ogos 2012 berjumlah RM4 juta. Semua lapisan masyarakat, dari warga kampung, ahli koparat, pelajar, budayawan turut menderma.

Kebijaksanaan pemimpin Pas yang menerajui Negeri Serambi Mekah dengan cara mengambilalih tanggungjawab membina lebuhraya secara otomatik memberi gambaran buruk kepada kerajaan pusat yang ditadbir Umno/BN bahawa diskriminasi yang dinafikan selama ini oleh Perdama Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib  Razak memang benar-benar wujud.

Dengan mengambil  bukti,  Kerajaan Pusat menolak pembinaan   lebuhraya KB-KK,  walhal itu adalah tanggungjawab Pusat, bermakna kejahatan Umno/BN tidak upaya ditutupi lagi, tembelang sudah pecah, rakyat sudah mengetahuinya.