Monday, August 6, 2012

Lebuhraya rakyat KB-KK dan diskriminasi


Oleh:Rossem

Lebuh raya rakyat dan royalti minyak antara isu  paling kerap  diperkatakan  di Kelantan. Bahkan ia antara isu lokal yang cepat popular. Tak sampai tiga bulan sudah menjadi isu yang  meniti dari bibir ke bibir.

Pandangan umum di Kelantan  seputar dua isu itu semakin menunjukkan positif. Rakyat Kelantan tanpa mengira usia bangkit menyokong apa saja tindakan baik yang dilakukan kerajaan negeri bahkan  turut berganding bahu   membantu apa saja dalam perjuangan menuntuk hak yang dinafikan kerajaan Pusat.

Kelompok yang menimbulkan masalah terdiri    beberapa kerat NGO penyokong  Umno juga sudah mula mendiam diri,  tiada lagi protes baru selepas ditertawakan orangramai kerana tindakan mereka  berhimpun  di depan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri  (SUK) sambil membawa  cangkul patah, kereta sorong buruk untuk dihadiahkan kepada Kerajaan Kelantan bagi kegunaan   pembinaan lebuhraya.

Keputusan   Kerajaan Kelantan yang terajui Pas mahu  membina sendiri lebuh raya dari  Kota Bharu –Kuala Krai (KB-KK)  sepanjang 73 kilometer telah mengemparkan rakyat Malaysia, kerana tindakan kerajaan Kelantan itu tak pernah dibuat negeri-negeri lain. 

Semua orang tahu, menurut perlembagaan Malaysia,  tanggungjawab membina lebuh raya terletak di bahu Kerajaan Pusat,  sama seperti  membina klinik, hospital,  sekolah rendah dan menengah bukan dibawah tanggungjawab  kerajaan negeri.

Cadangan pembinaan lebuhraya  KB – KK   pernah dimasukkan dalam  Rancangan Malaysia ke 5 dengan bajet RM800 juta.  Dalam Rancangan Malaysia ke 9 masih kekal, tapi Rancangan Malaysia ke 10 dibatalkan.

Dengan pembatalan itu bermakna Pusat  tidak menepati janji. Bercanggah dengan slogan sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke 55 “Janji Ditepati”. 

 Yang paling jelas   di mata umum ialah tindakan Kerajaan Pusat itu mencerminkan amalan  diskriminasi ke atas  hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan sebuah  lebuh raya, sedangkan  lebuh raya  sangat diperlukan di negeri  itu untuk kemudahan rakyat memandangkan jalan sedia ada sudah tak mampu lagi menampung kenderaan yang terlalu banyak.

Negeri Kelantan juga satu-satu negeri dalam Persekutuan Malaysia yang tak punya lebuhraya.

Justeru, atas dasar tanggungjawab, Kerajaan Negeri mengambilalih pembinaan walaupun terpaksa berdepan dengan masalah kewangan  yang sangat membebankan. Untuk meringankan bebanan, Menteri Besar Kelantan, Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan satu kaedah yakni menerima sumbangan (infak) dari orangramai.

Kaedah infak ini sering digunapakai untuk projek membina masjid atau sekolah tahfiz al-Quran,  sedang  membina lebuhraya tak pernah dipraktikan di zaman moden ini.  Justeru ramai yang merasa aneh dengan saranan Kerajaan Kelantan,  walhal inilah salah satu daripada  amalan datok nenek orang Melayu dulu  bila mahu membina jalan. Konsep gotong royong dan memungut derma merupakan bebiasaan  yang tak pernah dipertikaikan.

Pahala bukan terhad kepada meyedekahkan wang atau material untuk membina  masjid saja, bahkan menyumbang untuk pembinaan jalan raya juga  mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT selama mana jalan itu berfungsi untuk laluan orangramai.

Kerana itulah, seusai  Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan batu asas pembinaan lebuhraya rakyat KB-KK di Felcra Berangan Mek Nab, Machang, 28 Mei 2012.   Tok Guru didatangi seorang perempuan tua dari kampung itu lantas bertanya “ Tok Guru, ambo ada RM7, bolehkah wang sekecil ini ambo sumbangkan untuk pembinaan lebuhraya?” Kebetulan Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan berada sisi Tok Guru ketika itu terharu yang amat sangat melihat seorang perempuan miskin sanggup menginfakkan wang yang baginya sangat bernilai semata-mata  untuk membina  lebuhraya yang menelan kos berbilion ringgit. Tentu dalam perkiraan kita wang RM7 itu untuk   digunakan   membeli cangkul  pun tak cukup, namun itulah pengorbanan yang ditunjukkan  rakyat Kelantan  kepada negeri ini dan penguasanya.  

Hal yang sama pernah berlaku  di zaman Nabi Ibrahim as. Takala Nabi Ibrahim as dihumbankan  oleh Raja Namrud ke dalam ungun api yang sedang marak menyala, beberapa ekor burung yang melihat kejadian itu tersangat sedih lantas pergi mencari air di kali dan air laut yang beratus batu jauhnya.

Setelah air itu diambil, burung-burung tadi terbang menghampiri api yang sedang marak menyala lalu  jatuhkan air melalui paruhnya. Berapa tetes air yang boleh dibawa oleh  seekor burung sekecil itu untuk memadamkan api sebesar rumah.  namun itulah  pengorbanan dan setiap pegorbanan  yang ikhlas kerana Allah SWT, ganjaranya pahala.

Begitu juga halnya dengan wanita  tua itu, RM7 amat kecil untuk membina sebuah lebuhraya yang menalan kos mencerceh  bilion, namun kesedaran wanita itu tak ada tolok bandingnya dan wajar kisah beliau  ditulis  untuk tatapan orang lain, walaupun wanita itu mahu merahsiakan sumbangannya.

Kutipan terkumpul sejak akhir Mei 2012 sehingga Majlis Pelancaran  Tabung Amanah Lebuhraya Rakyat KB-KK yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam,  4 Ogos 2012 berjumlah RM4 juta. Semua lapisan masyarakat, dari warga kampung, ahli koparat, pelajar, budayawan turut menderma.

Kebijaksanaan pemimpin Pas yang menerajui Negeri Serambi Mekah dengan cara mengambilalih tanggungjawab membina lebuhraya secara otomatik memberi gambaran buruk kepada kerajaan pusat yang ditadbir Umno/BN bahawa diskriminasi yang dinafikan selama ini oleh Perdama Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib  Razak memang benar-benar wujud.

Dengan mengambil  bukti,  Kerajaan Pusat menolak pembinaan   lebuhraya KB-KK,  walhal itu adalah tanggungjawab Pusat, bermakna kejahatan Umno/BN tidak upaya ditutupi lagi, tembelang sudah pecah, rakyat sudah mengetahuinya.  

No comments:

Post a Comment