Saturday, August 11, 2012

Ijtimak pondok nusantara mempertemukan ulama-ulama pondok Malaysia, Indonesia, Pattani


0leh:Rossem Pagi yang damai di Qaryah Ramadhan Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV,  Kota Bharu, menggamit ramai pelajar-pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK)  dan pelajar-pelajar pondok seluruh Kelantan berkumpul untuk mengikuti sebuah  wacana ilmu yang  disampaikan ulama-ulama pondok terkenal  Nusantara.

Bermula dengan solat sunat Dhuha, kemudian peserta mengambil tempat dengan duduk bersila menjadikan suasana benar-benar seperti sebuah  pengajian tradisional secara menadah kitab seperti dilakukan di pondok-pondok pesantren di Malaysia, Indonesia dan  Pattani (Tahiland). 

Dari Malaysia, Dr Abdul Basit Abdul Rahman dari Pondok Sungai Durian, Kuala Krai membentangkan kertas kerja berjudul   “Peranan Ulama Dalam Amar Makruf Nahi Mungkar. Kertas kerja kemudiannya diulas Mudir Darul Hadis Alor Setar, Kedah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Ramli.

Konsep amar maaruf nahi mungkar menurut Dr Abdul Basit  harus berjalan seiring. Menyuruh orang berbuat baik saja tak memadai  malah tidak  menepati kehendak ayat tersebut,  justeru ia harus disertakan dengan melarang atau mencegah orang berbuat jahat.

Dalam ucapannya juga beliau banyak menyentuh dan melahirkan kekhuatiran tentang nasib umat Islam seperti di Palastin, kaum manoriti Rohingya di Manmyar yang dibunuh  kaum kafir. Kebimbangan juga tentang perkembangan yang berlaku di Republik Azarbaijan apabila pemerintah negara itu   mengarah khatib di seluruh negara  melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu seperti dipetik dari media.  

Alasan diberikan  kerana dianggap mengganggu jam kerja memandangkan hari Jumaat di Azarbaijan hari bekerja

Menurut pemerintah Azarbaijan, pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah.

Isu lebih parah pula berlaku di  Uighur,  Urumqi, Xinjiang, barat laut China di mana masyarakat Islam diharam menunaikan ibadah puasa, bersolat tarawih atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan.
 “Di negara kita pun tidak jauh bezanya kerana hari Jumaat tidak dijadikan hari cuti   bagi kebanyakan negeri. Sepatutnya kita kena tukar menjadikan hari Jumaat sebagai cuti mingguan bagi memudahkan orang ramai melakukan amalan agama,” ujar beliau.

 Ijtimak itu disertai ulama pondok dari seluruh Malaysia termasuk juga  dari Selatan Thailand yang diwakili Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pattani, Wan Mahmood Wan Hussin. Sementara dari Indonesia diwakili Pengasuh dan Pimpinan Pondok Pesantren Darul Ihsan Samarinda, Kalimatan Timur, H. Fakhruddin Wahab M.Thi.

Pagi itu Kyai H. Fakhruddin membentangkan kertas kerja berjudul “Peranan Pusat Pengajian Pondok Pesantren Dalam Melahirkan Kepimpinan Umat di Indonesia” kemudian diulas Ustaz Zulkfli Ismail dari Melaka.

 Fakharuddin berkata, pondok pesantren merupakan institusi pendidikan pertama dan tertua di Indonesia.
 “Pesantren dikenali di Indonesia sejak zaman Walisongo. Ketika itu Sunan Ampel mendirikan rumah yang mengandungi bilik-bilik kecil dan menjadikan sebagai pusat pendidikan di Jawa,” katanya.

Pondok juga tidak hanya sebagai pusat pengembangan aspek keilmuan Islam saja, tetapi sebagai bahagian dari kesedaran masyarakat umum akan ilmu pengetahuan yang intergratif. Sistem kepondokan di Indonesia bersemboyankan “ Hati, otak dan  jiwa  harus Islami” dan ini telah terbukti dengan lahirnya ilmuan-ilmuan Islam di zaman keemasan.

 Beliau juga berkata, banyak pengalaman mengenai pembangunan institusi pondok di Kelantan yang boleh dipelajari untuk dipraktikkan di Indonesia.

Ijtimak pondok Nusantara yang berlangsung selama dua hari dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, 6 Ogos 2012. Turut hadir  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Dato’ Haji Mohd Amar Nik Abdullah.
 .

No comments:

Post a Comment