Sunday, August 5, 2012

Sabah bukan lagi “fixed deposit” Umno/BN?


Oleh: Rossem

Saya mendapat layanan kelas satu dari kerajaan, sebaliknya rakyat Sabah mendapat layanan jauh berbeza  berbanding apa  yang  dinikmati rakyat di  negeri-negeri lain dalam Malaysia. Kata tokoh  itu ketika berucap di depan pendokongnya,   disambut  gegak gempita tepuk tangan membuktikan kata-kata sang pemimpin benar.

Tahukah anda, sebagai Timbalan Menteri, gaji saya mencerceh belasan ribu ringgit, namun demi   rakyat Sabah saya ketepikan gaji sebesar itu, sanggup menghadapi risiko  dengan melepaskan jawatan Timbalan Menteri kabinet dan keluar Umno semata-mata untuk meneruskan perjuangan membela rakyat Sabah  yang menjadi mangsa diskrimanasi Pusat. Sekali lagi pendokong setia bertepuk tangan, kali ini gemuruh gelora semakin kuat.   

Malam itu, tanggal 29 Julai 2012, Pekan Beaufort menjadi saksi, Ahli Parlimen, Ahli Majlis Tetinggi Umno dan Ketua Umno Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Wilfred Bumburing,  meninggalkan Barisan Nasional (BN)  dan menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Mereka berucap di depan pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibarim yang dijemput khusus bersama Dr Hatta Ramli  mewakili PAS.
Turut mengucapkan selamat tinggal buat Umno/BN ialah pemipinan tertinggi Upko, Datuk Herman, Denis Gimpah, Lesaya Lopog dan Petrus Guriting.
Rasional mereka meninggalkan Umno kerana parti itu  gagal menyelesaikan isu  kemiskinan rakyat Sabah, dasar sabotaj, royalti minyak, diskriminasi kaum, rampasan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan pendatang tanpa izin yang tiada noktah. 

Respons daripada pemimpin Umno/BN  di atas tindakan keluar parti oleh Lajim Ukin dan Wilfred  serta teman-temannya simple  saja “ Umno/BN Sabah bahkan Semenanjung  tak tergugat dengan tindakan mereka itu”
Pemimpin Umno  memberi jawapan sebelum  puak oposisi bertanya. Dalam hal ini saya teringat kawan saya  yang dilanda masalah, berjumpa saja  terus menceritakan pemasalahan yang dihadapinya.  Nasib baik saya tak kata “Tak tanya pun”. Kalau kata demikian, pasti  malu besar.
Alasan yang diberikan  dilihat umum sabagai satu cara orang sakit lama mengubati diri sendiri setelah bercupak ubat ditelannya  namun tak  sembuh,  maka satu kaedah untuk menenangkan kekhawitiran  ialah dengan mengatakan; penyakit yang aku hidapi ini tak berbahaya. Tak ada seorang  pun  mati disebabkan  penyakit ini.  

Politik  Sabah berbeza dengan politik orang semenanjung. Setiap  keputusan mereka buat  seringnya mengambilkira kondisi politik di Semenanjung.  Mereka meneropong dulu,  parti mana yang bakal menerajui negara selepas PRU ke 13 ini?. Dan parti yang difikirnya boleh menang  di situ  mereka akan  bertenggek.

Imbas kembali keputusan PRU ke 12 (2008) yang mencemaskan Umno/BN kerana parti kolusi itu hanya mampu meraih kemenangan tipis kurang lebih 30 kerusi.  Bagi orang Sabah mereka berbangga,  mereka menepuk dada,  kalau bukan kerana pertolongan  Sabah dan Sarawak  Umno/BN masuk muzium. Keputusan kerusi di  Semenanjung tidak memihak kepada Umno/BN.  Enam  negeri termasuk Wilayah Persekutan Kuala Lumpur sudah jatuh ke tangan PR ketika itu.

Sebab itulah bila menterjemahankan  ucapan ahli politik Sabah yang keluar Umno/BN mereka seolah-olah menyesal tidak menyebelahi  PR pada PRU ke 12 dulu, kalau rakyat dua negeri di Pulau Borneo itu memilih PR ketika itu, pasti situasi dan kondisi politik Malayasia berubah total.

PR menjanjikan jika mereka bertahkta di Putrajaya, 20 peratus royalti  minyak Sabah diberikan kepada negeri itu, pertambahan sebanyak 15 peratus dari yang diberikan kerajaan BN selama ini.

Itu yang menjadi idaman pemimin politik dan masyarakat Sabah sekarang.

Secara fizikal Sabah sebuah negeri yang cepat membangun. Saya melihat sendiri saat berkunjung  ke Negeri Bawah Bayu itu Mei 2012, namun pembangunannya tak seimbang. Orang kaya terlalu kaya dan orang miskin menjalani hidup dalam keadaan daif. Rumah-rumah kediaman di Kota Kinabalu tersergam indah yang hanya mampu dibeli orang kaya dan orang yang layak membuat pinjaman bank, sebaliknya di kampung-kampung rumah warganya dibina ala kadar.

No comments:

Post a Comment