Saturday, July 28, 2012

Ramadhan, bacaan al-Quran dan lagu tema hari kebangsaan


Oleh: Rossem
Pemandangan Qaryah Ramadhan, Kota Bharu, Kelantan.

Dua wanita Inggeris dipakaikan kerudung.
Sambil memandu mobil ke pejabat. Antara sering  dilakukan ialah mendengar   kaset bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari terkenal Masjidil Haram, Mekah, Sheikh Abdulrahman Al- Sudais. Tapi mendengar sang Sheikh  membaca  ayat-ayat suci al-Quran di bulan Ramadhan  membawa kesan tersendiri yang sukar digambarkan. Ia samasekali berbeza dengan bulan-bulan lain.

Mendengar dan mengamati dibulan Ramadhan,  hati terasa benar-benar sayu, kalammullah itu meresap jauh ke lubok hati yang paling dalam sehingga tak sedar kelopak mata bertakung air.  Barangkali inilah kelebihan bulan Ramadhan seperti dijanjikan Allah SWT sebagai bulan keampunan dosa, rahmat; dan pembebasan dari api neraka. Juga bulan yang boleh membentuk hati manusia yang keras menjadi selembut sutera.

 Sheikh Abdulraham Al-Sudais telah dikurniakan Allah dengan suara yang merdu. Saya meminati bacaan beliau sudah lebih 20 tahun, kaset-kasetnya banyak  dalam simpanan.

Pernah berangan-angan untuk bertemu sang Sheikh dan alhamdulillah Allah SWT telah memperkenankan hajat itu,  pada musim haji 2006 dapat melihat dari dekat imam  terkenal Masjidil Haram serta kesempatan mengerjakan  solat dengan berimamkan beliau selama berada di Tanah Haram.

Naluri manusia itu berbeza. Ada yang   cepas tesentuh hatinya  disebabkan  kerana mendengar alunan suara  yang sangat merdu lantas meresap langsung ke jiwa. Nyanyian-nyanyian Tan Sri P. Ramlee (Allayarham) misalnya masih  terus diminati sehingga sekarang tak lain kerana penyanyi itu memiliki suara yang  merdu.

 Kalau suara yang merdu digunakan untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran dengan tawjuid yang betul, lebih ramai  akan tertarik,  kerana selain suara merdu, ayat-ayat al-Quran itu sendiri sarat dengan makna yang mendalam, petunjuk, penyembuhan dan sastera yang tak ada tandingan.

Malam kelmarin, di perkampungan Ramadhan atau Qaryah Ramadhan, Dataran Stadium Sulan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, saya melihat dengan takjub, dua wanita Inggeris duduk di belakang jamaah muslimat yang sedang solat sunat tarawih melihat umat Islam beribadat. Anak-anak mereka  sekitar usia empat dan  lima tahun dibiar berlari di ruang kosong antara batas jamaah.

Dari penampilan terutama  pakaiannya, mungkin mereka bukan wanita muslim, hanya  singgah di Qaryah Ramadhan semata-mata  tertarik dengan situasi perkampungan Ramadhan yang diwujudkan pemerintah negeri Kelantan sejak 6 tahun tahun yang bercirikan “Padang Arafat” di Mekah. Situasi ini tidak ada di tempat lain. Di sini  jamaah  bersolat dalam   khemah besar,  berhawa dingin,  yang boleh memuatkan lebih dua ribu jamaah, sementara di luar khemah juga disediakan tikar.

Wanita Inggeris (Eropah) itu  barangkali saat melalui lokasi itu, mereka mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari yang diundang  khusus dari Mesir  untuk mengimamkan solat sunat tarawih sepanjang Ramadhan kareem, yangmana  bacaanya juga kemiripan Sheikh Abdulrahman Al Sudais, lantas tertarik dan duduk-dukuk di situ dengan santai.

Ramai jamaah yang hadir dan lalu lalang  memerhatikan gelagat wanita Inggeris itu dengan bangga sambil hati kecilnya  membisikkan sebuah doa; semoga di bulan Ramadhan yang penuh barakkah ini Allah SWT memberikan  wanita itu hidayah dengan menyinari  mereka dengan cahaya Islam suatu hari nanti.

Tema lagu hari kebangsaan

Suara dan lirik yang berkualiti pasti berbekas dalam hati nurani mereka yang mendengarnya, kerana suara dan lirik adalah dua eleman yang memiliki kekuatan tersendiri dalam merubah kehidupan manusia.

Sekarang dua elemen itu cuba diterapkan pada  rakyat Malaysia.  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim telah menulis sendiri  lirik untuk lagu tema hari kebangsaan tahun ini iaitu “Janji Ditepati” manakala melodinya  oleh Aye, Jasnie dan Arman E six.

Saya  pertama kali mendengar lagu itu juga dari kaset mobil. Mula-mula tak tahu bahawa lagu itu sebuah lagu tema hari kebangsaan. Setelah mengamati liriknya baru sedar ia adalah sebuah lagu tema atau lebih tepatnya lagu kempen Barisan Nasional untuk pilihan raya umum ke 13. Antara liriknya berbunyi:

Ini janji kita, BR1M Satu Malaysia
Ini janji Satu Malaysia, terima satu Satu Malaysia
Kata kita dikota
Janji kita ditepati, kedai Satu Malaysia

Maka ramai yang ikut protes, Buddhi Hekayat - penulis lirik lagu yang memenangi anugerah, Awan Nano - lagu tema Hari Kebangsaan merupakan satu "propaganda yang kasar".

"Bahasanya mungkin halus tetapi ia tak dapat timbulkan rasa cinta pada negara. Penulis liriknya seperti pemerintah yang puji diri sendiri," komentarnya  yang saya petik  dari Malaysiakini.

Bahkan dengan nada lebih keras beliau mengatakan "Janji sudah ditepati, kini masa balas budi" adalah seperti "meletak pisau ke leher rakyat".

Pandangan Buddhi Hekayat turut disokong oleh Bob Lokman, sosok yang menulis  lirik lagu hit rock blada 80-an - Isabella - yang berkata bahawa lagu tema Hari Kebangsaan itu "murah dari segi tulisan, tiada nilai puitis, kata-kata yang digunakan sangat murah. Tiada nilai patriotik."

Selanjutnya Bob berhujah: Lagu patriotik perlu sesuatu yang menimbulkan semangat rakyat, bukan mengajar mereka membodek. Lagu ini membodek dan memberitahu orang yang mereka tiada pilihan. Ia kempen politik dan bukannya lagu Hari Kebangsaan.






 

No comments:

Post a Comment