Sunday, July 22, 2012

Menghayati suasana puasa dan solat tarawih di Kelantan


Oleh: Rossem
Wajah orang-orang beriman   berseri-seri dengan ketibaan Ramadhan  yang ditunggu-tunggu. Mereka seperti tidak sabar untuk melipatgandakan ibadat masing-masing kerana tawaran  pahala yang dijanjikan Allah kepada sesiapa  yang beribadat sepanjang  bulan Ramadhan besar sekali   berbanding  bulan-bulan  biasa.

Siang  mereka  melakukan ibadat puasa, manakala malam hari mengerjakan  solat-solat sunat seperti solat tarawih, witir, tadarus al-Quran dan lain-lain. Dibulan ini juga mereka memperbanyakkan infak  dan memberi makan fakir miskin.

 Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa saja  kelebihan yang disebut dalam al-Quran. Maka sepanjang bulan Ramadhan umat Islam mendatangi masjid-masjid untuk melakukan solat tarawih secara berjamaah.

Masjid-masjid dipenuhi makmum sehingga di setengah-setengah tempat bersolat di luar masjid atau dibawah khemah yang dipasang   untuk menampung kehadiran jamaah yang ramai. Sebagian masjid mengambil Imam-imam dari Mahaad  tahfidz al-Quran  untuk mengimami solat secara bergantian. 

 Di Kota Baharu, Kelantan,  terdapat sebuah masjid negeri yang dibina pada akhir abad 19 iaitu Masjid Muhammadi. Sepanjang bulan Ramadhan masjid ini penuh dengan jamaah yang datang  untuk menghidupkan malam dengan  beribadat kepada Allah.  

Selain Masjid Muhammadi yang berusia ratusan tahun, ratusan  lagi masjid terdapat di Kota Bharu dan seluruh Kelantan,  bahkan lebih besar daripada Masjid Muhammadi. Semuanya penuh dengan jamaah solat sunat tarawih. 

 Atas perihatin  Kerajaan  Kelantan yang dipimpin Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,  sebuah  khemah besar didirikan di lapangan yang strategik iaitu di Dataran Stadium Sultan Muhamad IV, di tengah-tengah Kota Bharu untuk kemudahan jamaah mengerjakan solat sunat tarawih. 

Khemah berhawa dingin itu boleh memuatkan  dua  ribu jamaah, sementara di bahagian luarnya juga disediakan tikar untuk kemudahan  jamaah bersolat sekiranya di bahagian dalam penuh. 

Tradisi solat di dalam khemah sudah berlangsung sejak enam tahun lalu dan menjadi tarikan utama kepada pelancong  dan juga warga Kota Bharu  kerana keunikannya yang tersendiri. Bagi Kerajaan  Negeri; ini merupakan suatu produk pelancongan Islam yang dilahirkan di Kelantan sesuai dengan dasar pemerintahan negeri: Membangun Bersama Islam. 

 Mewujudkan khemah Ramadhan atau Qaryah Ramadhan bukan untuk bersaing dengan mana-mana masjid, surau atau musalla, tapi tujuannya seperti sering diungkapkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aiz Nik Mat  ialah menghadirkan dalam diri setiap umat Islam suasana Padang Arafah di negeri bergelar Serambi Mekah ini. 

Untuk merealisasikan agar ia benar-benar bercirikan Padang Arafah,  dua orang qari dan tahfidz al-Quran didatangkan dari Mesir untuk menjadi imam solat Insya dan sunat tarawih di Qaryah Ramadhan. 

Sesiapa yang pernah solat di perkampungan Ramadhan ini terasa seperti bukan berada di Kelantan atau Asia Tenggara, kerana pihak penganjur iaitu Majlis Perbandaraan Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI)  telah berjaya mewujudkan suasana Timur Tengah di sini dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang baca sang imam teramat merdu sehingga makmum tak terasa kepenatan berdiri lama waktu solat. 

 Lain padang lain belalang, lain tempat lain cara pendekatannya. Di  Kelantan,  persiapan untuk menyambut ketibaan Ramadhan setiap tahun diadakan  seminggu  sebelum tanggal  1 Ramadhan dengan acara menitipkan spiritual kepada umat Islam agar mereka lebih bersemangat menghadapi bulan yang penuh barkat yang bakal tiba. 

 Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar mengadakan  program  khusus iaitu Ihya Ramadhan. Pengisiannya berupa ceramah  dan diskusi oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam  terkenal yang dijemput khusus membicarakan tentang kelebihan bulan Ramadhan, agar setiap umat Islam negeri ini dapat menghayatinya dengan kerkesan sesuai dengan tuntutan Islam.




No comments:

Post a Comment