Sunday, August 19, 2012

Komunis ada kerajaan, demokrasi ada kerajaan, kenapa Islam tak bisa?


Oleh:Rossem
 Ramadhan berlalu pergi. Bagi  mereka yang hatinya  merindui  akan  kelebihan bulan yang dianugerahkan Allah SWT bagi setiap hambanya yang beribadat sepanjang  Ramadhan yang sarat matfirah itu,  pasti tak dapat menahan rasa sedih dan pilu dengan pemergian itu.

Berpisah dengan  Ramadhan  ibarat    seperti melepaskan  bonda yang tersayang pulang ke rahmatullah, kerana  belum pasti, apakah terus diberikan Allah kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadhan mendatang. Sesungguhnya tarikh tutup  usia itu menjadi rahsia Allah dan tiada siapa mengetahuinya kapan ajal tiba.

Setelah menjalani ibadat puasa, solat sunat tarawih dan qiammullal sepanjang  Ramadhan,  tibalah  1 Syawal, iaitu hari raya aidil fitri. Hari   kemenangan melawan hawa nafsu dan dibolehkan pada hari itu makan minum pada siang hari yang ditegah selama sebulan Ramadhan.

Pada pagi aidil fitri, masjid dipenuhi jamaah untuk mendengar khutbah yang akan disampaikan imam atau khatib seusai mengerjakan solat sunat aidil fitri dua rakaat.

Berbeda dengan  Indonesia, di Malaysia solat sunat aidil fitri tak dilakukan di lapangan seperti padang sepakbola dan sebagainya, hanya tertumpu di masjid dan surau. Maka tempat-tempat ibadat seperti itu dipenuhi dengan jamaah yang berpakaian serba baru dari kalangan kaum muslimin, muslimat dan kanak-kanak.

Menteri Besar Kelantan, Malaysia, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetuai solat sunat aidil fitri seperti sering dilakukan setiapa kali 1 Syawal, iaitu  di masjid yang berkembar dengan rumah beliau  di Kampung Pulau Melaka, kurang lebih 12 kilometer dari Kota Bharu.

Ribuan warga lokal bahkan diantaranya  datang dari jauh semata-mata untuk ikut solat bersama serta mendengar khutbah yang disampaikan Tuan Guru.

Inti khutbah Tuan Guru kelmarin,  beliau mengingatkan  setiap umat Islam, agar tetap istiqamah dan  jangan  sekali-kali terpengaruh dengan ‘permainan’ Barat yang mengatakan ‘agama lain, politik lain’ . Kedua-dua harus  berjalan seiring. 

“Agama lain, politik lain adalah  ajaran daripada   Inggeris, Peranchis, Itali, Belanda  dan sebagainya yang pernah menjajah negara umat Islam, sehingga ada diantara umat Islam dari rakyat bawah,  pelajar, guru, bahkan tuan-tuan guru pondok pesantren (kyai) pun  terpengaruh dengan ajaran  sesat itu. Kemudian diterapkan   menjadi  sistem politik di negara umat Islam termasuk di negara kita yang tercinta ini” ujar Tuan Guru.  

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS  selanjutnya berkata; kalau komunis ada kerajaan, demokrasi ada kerajaan, maka kenapa ‘Islam’ tidak boleh ada kerajaan. Walhal Islam itu paling  tinggi, datangnya daripada Allah SWT yang menciptakan  langit, bumi, manusia, haiwan dan segala isinya.

Justeru dalam hal  ‘urusan agama’ dan ‘politik’ haruslah  selari. Setiap umat Islam di mana saja mereka berada harus  mengikuti jalan yang pernah dilalui  Nabi-Nabi dan Rasul termasuk dalam urusan rumah tangga, pemerintahan negara, peperangan dan lain-lain.

“Kerajaan yang berasaskan kepada assobiyah (kebangsaan) tak membawa apa-apa makna kepada umat Islam bahkan tak menyumbang apa-apa kepada perkembangan agama tauhid itu, sebaliknya   terdapat individu  assobiyah ekstrem  dari kalangan kita berani mengatakan; untuk apa kita mengikuti Nabi Muhamad, Baginda orang Arab, sedang kita orang Melayu. Maka perlulah kita mencari nabi Melayu”. Ujar Tuan Guru dengan nada sinis.

Akhir sekali, Tuan Guru  Nik Abdul Aziz, mengingatkan sekali lagi bahawa, Kerajaan Islam lebih mustahak didirikan di muka dunia ini untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan khilafah Uthmaniyah Turki pada abad lalu.



2 comments:

  1. Asaalamu'alaikum warahmatullahi wabarkatuh. . .

    berterusanlah di da’wahkan bahawa didalam ajaran Islam hal ‘urusan agama’ dan ‘politik’ haruslah selari. Setiap umat Islam di mana saja mereka berada harus mengikuti jalan yang pernah dilalui Nabi-Nabi dan Rasul termasuk dalam urusan rumah tangga, pemerintahan negara, peperangan dan lain-lain.

    dan lagi bahawa, Kerajaan Islam lebih mustahak didirikan di muka dunia ini untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan khilafah Uthmaniyah Turki pada abad lalu.

    Selamat berhari raya idul fitri . . mohon maaf zahir dan bathin.

    ReplyDelete