Wednesday, August 8, 2012

Muslim Rohingya yang dilupai


 Oleh: Rossem
Masih ingat, namanya Aishah, 14, dengan separuh senyum  mendekati meja makan di sebuah warung di Kota Bharu. Gadis hitam manis dengan hidung sedikit mancung berpakian baju kurung Melayu berbunga-bunga dengan berkerudung itu  kemudiannya menghulurkan  senaskah surah Yassin kepada pelangan yang sedang makan. Tanpa berkata apa-apa, cukup dengan lirik mata,   pelangan sudah tahu, kanak-kanak perempuan  itu sebenarnya meminta sumbangan wang dari pelangan.

 Ada pelangan yang membeli naskah Yassin dengan harga RM5, namun paling ramai hanya menghulur  seikhlasnya   seringgit atau dua ringgit bergantung kepada kemampuan, bahkan ada yang tak memberi  langsung. 

 Setelah memperolehi wang, ia beredar ke meja lain, melakukan perkara yang sama, begitu seterusnya dari pagi sampai sore. Mereka berkelompok, tiga atau empat orang beroperasi di satu-satu lokasi yang ramai orang seperti di kedai-kedai makan, pasar dan terminal bas atau teksi.

 Kanak-kanak perempuan  seperti Aishah dan rakan-rakan  yang usia seperti itu sepatutnya bukan berada di jalanan tapi di bangku persekolahan, namun olehkerana situasi  dan kondisi di negaranya tidak aman lantas datang ke Malaysia menumpang kasih umat Islam Malaysia khususnya Kelantan.  

 Selain Aishah, kanak-kanak lelaki Rohingya  yang sebaya dengan Aishah  juga  berkeliaran mendapatkan simpati orangramai. Mereka  menjual naskah Yasin atau tisu seperti Aishah. Barangan yang dijual itu  hanya sebagai mengelabui mata, sedang tujuan sebenarnya meminta sumbangan  orangramai dengan cara terhormat.
 Itulah panorama Kota Bharu tiga tahun dulu, takala ramai kanak-kanak Muslim berbangsa Rohingya dari Myanmar datang mencari kehidupan yang aman di negeri bergelar Serambi Mekah. 

 Kelantan menjadi pilihan mereka kerana negeri itu  berbatasan dengan Thailand. Pendatang Rohingya  memasuki Kelantan melalui jalan darat  Thailand dan memasuki  perbatasan Selatan Thailand –Malaysia (Kelantan) di Rantau Panjang.  

 Mereka  tiada memiliki paspot kerana etnik  Muslim Rohingya  tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar, walhal wilayah  Arakan,  yang berbatasan dengan Bangladesh tempat mereka bermukim adalah tanah tumpah darah mereka sejak turun temurun. 

 Pemerintah Myanmar yang dipimpin junta tentera, General Thein Sein pernah menegaskan bahawa kewujudan etnik Rohingya di Myanmar sememangnya tak diterima  oleh pemerintah  Myanmar kerana kelompok ini adalah pendatang dari Bangladesh. Sementara Bangladesh menafikan etnik Rohingya sebahagian dari bangsa mereka.

 Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), etnik Rohingya sebagai kelompok minoriti yang paling dilupai dan dizalimi di dunia. 

 Kerajaan junta  negara itu memberi laluan kepada etnik Rohingya untuk keluar dari Myanmar, tapi untuk memasuki negara itu kembali mereka akan dihalang dengan alasan tak punya paspot. 

 Kini, sudah tiga tahun kanak-kanak perempuan bernama Aishah dan teman-temannya tak kelihatan di Kota Bharu atau mana-mana tempat di Kelantan. Nasibnya tidak diketahui, sama ada ditangkap pihak berkuasa Malaysia (imigresen) kemudian  diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi  Pelarian (UNHCR) atau pulang ke negara asalnya Manmyar melalui jalan gelap dan kemungkinan menerima nasib buruk di sana.

 Menurut  pegawai  imigresen   Malaysia  yang bertugas di depot tahanan imigresen  di Tanah Merah, Kelantan, pendatang tanpa izin (illegal ) yang berada  di Malaysia, jika ditangkap akan ditahan di depot imigresen  sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing, namun bagi pendatang Rohingya mereka tidak dihantar ke Myanmar, sebaliknya diserahkan kepada UNHCR, pegawai dari UNHCAR kemudiannya menyoalselidik mereka untuk menentukan mereka benar-benar Muslim Rohingya. Jika berpuas hati, UNHCR akan keluarkan kartu khas dan mereka bebas tinggal di Malaysia dan bekerja di negara ini.
 Sebahagian  lelaki Rohingya yang datang antara 10 atau 15 tahun dulu ke Kelantan bernikah dengan warga lokal, hampir setiap desa ada kaum Rohingya di sini, mereka menjalankan perniagaan kedai makan.  Biasanya mereka adalah pembuat  roti canai, capati dan roti nan yang mahir. 

 Wajah mereka sama seperti orang Bangla (Bangladesh). Yang berusia 40an gemar makan  sireh pinang.  Maka jangan merasa aneh, jika melihat orang Rohingya  mulutnya merah. 

 Dulu  ramai yang tidak mengetahui, Muslim Rohingya diseksa begitu dahsyat di tanah tumpah darahnya di wilayah  Arakan, yang berbatasan Myanmar- Bangladesh, kerana media  terutama dari Barat tidak pernah melaporkan, sementara warga Rohingya yang berhijrah ke Malaysia juga tak pernah menceritakan situasi sebenar di negaranya. Mereka lebih senang menyimpan rahsia daripada  menceritakan kepada umum seputar kekejaman pemerintah Rangon ke atas umat Islam Rohingya. 

 Konflik yang berterusan ini memperlihatkan pembabitan dan kerjasama jelas antara polis, tentera dan pemerintah pusat Rangon dengan teroris Rakhine dan sebuah pertubuhan militan iaitu kelompok spra tentera Myanmar (NASAKA) yang dianggota rakyat Myanmar beragama Buddha bagi meneruskan agenda pembersihan etnik.

  Realitinya, anak-anak  perempuan dirogol, dibunuh, remaja dibakar hidup-hidup, rumah kediaman  dijarah, sekolah agama,  masjid dan tanaman dibakar bertujuan untuk menakut-nakutkan Muslim Rohingya supaya meninggalkan tanah tumpah darah mereka  Arakan. 

 Ke mana Muslim Rohingya mahu pergi untuk menyelamatkan diri? Sedang untuk memasuki Bangladesh, satu-satunya tetangga Muslim  dihalang oleh pemerintah negara itu.  Di sebelah Selatan adalah Thailand.   Sejak kurang lebih tiga tahun lalu Negara Gajah Putih telah mengenakan kawalan ketat ke atas Muslim Rohingya yang mahu melintasi negaranya untuk ke Malaysia. Bagaimana nasib   Aishah dan teman-temannya,  Allah SWT saja yang tahu.  


No comments:

Post a Comment