Sunday, October 7, 2012

Perkenal Kelantan Rentas Sempadan



Oleh: Rossem
Berada di Kota Solo, Indonesia  terasa seperti berada di Kota Bharu, Kelantan,  terutama melihat  budaya dan cara hidup masyarakatnya yang hampir kemiripan  dengan orang Kelantan terutama golongan wanita  lebih ramai daripada lelaki menjalankan perniagaan berjualan di bazar-bazar utama seperti pasar Klewer di tengah kota.

Ramai peniaga-peniaga  wanita menjual pelbagai  macam produk keluaran tempatan seperti tekstil khususnya batik. Pembeli akan  melewati lorong-lorong sempit antara ribuan unit kios untuk memilih barangan yang dinginkan.

Kondisinya sama seperti Pasar Siti Khadijah, Pasar Buloh Kubu, Bazar Tok Guru, Bazar Tengku Anis.  Penjual menunggu pelangan di hadapan kios yang ukurannya hampir menyamai Bazar Tok Guru, Kota Bharu.

Kalau di Kota Bharu ada  beca, di Kota Solo juga ada beca, berbeza hanya pada rupa dan bentuk  beca saja.   Di Kelantan tukang beca di posisi tepi, sementara di Solo tukang beca mengayuh dari belakang dengan penumpang di depan.

Jumlah beca di Kota Solo beratus kali lipat berbanding  Kota Bharu disebabkan keperluan kepada kenderaan seperti itu masih tinggi dan pelancong juga tertarik untuk menimba pengalaman menaiki beca keliling kota. Disamping beca, kereta kuda juga digunakan untuk mengangkut penumpang dengan harga lebih mahal berbanding  beca.

Jumlah penduduk kota bersejarah ini satu juta  pada siang hari dan malam hari berkurang sehingga 40  persen kerana mereka  yang bekerja di Solo pulang ke rumah masing-masing  di luar kota pada malam hari.   
Rumah dan bangunan di Solo juga hampir kemiripan rumah  tradisional Melayu  Kelantan terutama pada  rekabentuk  bumbungnya. Malah bangunan Setiausaha Kerajaan  Negeri Kelantan yang menempatkan pejabat Menteri Besar, Exco-Exco  dan pegawai pentadbir negeri jelas menunjukkan ciri-ciri persamaan itu.

Masjid tertua di  Kampung Laut yang sekarang dipindahkan ke Nilam Puri satu lagi contoh nyata  bahawa Kelantan  hakikatnya telah sekian lama ditempiasi pengaruh Jawa dalam merekabentuk bangunan.

Sesuatu yang menarik ketika  berada di Kota Solo ialah setiap kali masuknya waktu solat fardu suara azan kedengaran dari corong-corong masjid yang banyak terdapat di kota. Azan Suboh lebih  jelas kedengaran kerana ketika itu alam masih dibalut sunyi, warga belum keluar menjalankan aktiviti rutin. Situasi  ini mengingatkan  Kota Bharu dengan sapaan azan yang jenuh dari segenap penjuru setiapkali masuknya waktu solat.  

Berada di Kota Solo atau Surakarta  dua hari tanggal 3 -4 Oktober 2012 sangat bermakna, kerana  Solo menjadi sorotan  umum di Indonesia sekarang. Solo menjadi bahan berita utama hampir setiap hari di semua suratkhabar di Indonesia kerana kebetulan  warga Solo,  Joko Widodo atau Jokowi  terpilih menjadi gubernur Jakarta  hasil  kemenangan beliau  pada pemilu 29 September lalu.

Hal ini diberitahu Pengarah Umum Radar Solo  merangkap editor akhbar Jawa Pos cabang Solo, Ananto Priyanto saat  bersilaturahim ke pejabat beliau di Solo, pada  pagi  3 Oktober,  setelah sebulan kami memohon keizinnya.  Pihak  Rada Solo merespons, dan  menerima  kami dengan tangan terbuka. 

Melakukan kunjungan ke kantor Rada Solo merupakan agenda Kembara Solo –Jogja 2012 yang kami rencanakan sejak Julai 2012. Bertujuan menjalin ukhwah Islamiyah sesama pengamal media Kerajaan Negeri Kelantan (Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan) dengan media popular Indonesia  Jawa Pos.

Hampir dua jam berdiskusi bersama editor senior, Ananto Priyanto di kamar mesyuarat  Rada Solo terkait dengan perkembangan media antara dua negara dan isu-isu semasa. Beliau  memberikan  respons pelayanan yang sebaiknya. Walaupun kedatangan kami tidak secara rasmi namun tetap   mesra, telus dan bersahabat, bahkan tanpa diduga, berita kunjungan kami berserta fotonya dimuatkan dalam  akhbar Jawa Pos hari berikutnya.

Saat berucap, Ananto Priyanto menyebut, akhbar Jawa Pos yang beredar ke seluruh Indonesia sebanyak 300 ribu naskah setiap hari bersedia menerima sumbangan berita, artikal dari Malaysia khususnya Kelantan. Penyumbang boleh mengirim langsung kepada alamat email yang diberikan. “Tak sukar kerana Jawa Pos juga ada akhbar online” tutur beliau.

Hal sedemikian tentunya sangat bermanfaat  bagi kami dalam rangka menyebarluaskan informasi tentang Kelantan ke persada  internasional khususnya negara tetangga Indonesia. Kerana sepertimana di sebut Ananto Priyanto, informasi terkait Kelantan amat minimum  di  sini, kalau ada pun berbau negatif.  

Hakikatnya, ramai rakyat Indonesia yang mahukan  informasi sebenar tentang Negeri Kelantan   yang ditadbir  Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan konsep Membangun Bersama Islam namun mereka sukar memperolehinya.

Diakhir majlis,  kami menghadiahkan beberapa buku yang diterbitakan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan kepada Ananto Priyanto, semoga buku itu dapat dijadikan sebagai bahan rujukan bila menulis tentang Malaysia khususnya Kelantan.

  

1 comment: