Sunday, July 26, 2009

Parti politik multi-etnik mula diterima


Oleh: Rossem

Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, dua mantan menteri kabinet Malaysia menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Satu pencapaian politik yang sangat drastik oleh parti itu. Didahului tokoh UMNO, Datuk Zaid Ibrahim, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di era Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala MCA menyumbangkan mantan Menteri Kesihatan di era Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Dr. Chua Jui Meng. Dan berita terkini, mantan Naib Presiden MIC, Dato' SS Subramaniam juga menyertai parti tersebut.

Imej parti yang dipimpin Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun melompat satu tangga. Beliau tentunya menarik nafas lega setelah tampak sedikit sesak nafas ekoran peristiwa lompat parti oleh dua Wakil Rakyat PKR di Perak dulu sehingga mengakibatkan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Kini kes itu masih dalam proses mahkamah.

Zaid seorang politikus dan pengamal undang-undang yang punya prinsip sukar digoyah. Ia menolak apa jua yang bertentangan dengan prinsipnya biarpun dengan tindakannya itu mengundang kehilangan jawatan.

Zaid tampak di mata umum sebagai politikus yang melihat Malaysia dari kaca mata multi-etnik, multi-budaya dan multi-agama. Baginya, setiap rakyat tanpa mengira etnik, budaya dan agama harus diberi hak yang sama sebagai warga negara Malaysia. Sifat dan sikap yang dimiliki Zaid itu sangat sinonim dengan falasafah yang mendasari Parti Keadilan Rakyat, maka tidak aneh, kenapa beliau menyertai PKR.

Rasional yang sama diberikan Chua Jui Meng: PKR sebuah parti yang mewakili semua kaum di Malaysia. Justeru ia sangat bertetapan dengan inspirasi rakyat negara ini yang multi-etnik. “Beberapa tahun terakhir dalam MCA, saya cuba untuk menkoreksi parti itu agar diterima umum namun gagal” Kekecewaan itu menyebabkan Chua Jui Meng hilang kepercayaan terhadap parti yang didukungnya selama lebih 23 tahun.

Daripada sudut pandang sang politikus ini ternyata bahawa parti-parti politk yang dibentuk berasaskan etnik yang selama ini mendominasi politk tanah air sudah tidak releven lagi dengan masyarakat Malaysia hari ini. Rakyat kini sudah merasakan betapa selesanya bila pelbagai kaum itu berteduh di bawah satu payung. Bukti-bukti keharmonian itu sudah pun wujud dalam PR, sehingga rakyat merasakan lumayan amat. Orang Cina bertepuk tangan saat orang Melayu berceramah di atas pentas. Orang Melayu juga bertepuk tangan saat Lim Kim Siang atau Gobalakrishnan berceramah.

Situasi seperti itu tidak wujud dalam Barisan Nasional (BN), namun bagi Pakatan Rakyat (PR) merupakan lumrah. Hal ini boleh disaksikan pada setiap kali ceramah PR yang menghadirkan pemimpin dari PAS, PKR dan PAS di atas satu pentas. Saya pernah menyaksikan sendiri ribuan penyokong PAS bersorak gembira saat Lim Kit Siang berpidato dengan penuh semangat di malam pengistyiharan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah bagi pilihan raya kecil N-41, Manek Urai, yang berlangsung di Padang Sekolah Manek Urai Lama baru-baru ini, padahal khalayak keseluruhannya adalah orang Melayu.

Berbalik kepada Zaid. “Dengan menyertai PKR, apakah Datuk berencana untuk bertanding di palimen Bandar Tun Razak atau di parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke -13 nanti?” Secara berseloroh saya bertanya beliau saat pertemuan di hari penamaan calon Dewan Undangan Negeri Manek Urai, di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Jawapanya ringkas “Terserah kepada parti, saya di mana-mana pun boleh”.

Zaid kemudiannya mara selangkah lagi iaitu menyarankan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah agar menolak saja UMNO yang disifatkanya sebagai “perkauman” dan alternatifnya menyertai PKR. Bagi Zaid, Ku Li punya semangat nasionalisma yang kental, seorang pejuang Melayu tulen, tapi sepanjang penglibatanya dalam politik tidak pernah terdengar ungkapan yang dilafazkan putera bangsawan
Kelantan itu yang bersifat membenci dan menghina etnik lain dalam apa-apa isu pun.

Penyertaan Zaid, Chua Jui Meng dan SS Subramaniam ke dalam PKR merupakan difinasi jelas bahawa parti politik multi- etnik sudah mula diterima rakyat Malaysia. Sebaliknya masa depan parti-parti yang berteraskan kaum seperti MCA, MIC dan UMNO akan terus mengucup seperti belon kehabisan angin.

Persedian PR untuk menghadapi peperangan demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bahkan sudah lancar. Para-para jeneral yang dulunya berada di pihak musuh kini menjadi rakan seperjuangan, akan memimpin batalion dan rejemen dengan kaedah dan strategi tersendiri untuk satu tugas besar- mengambilalih pemerintahan negara daripada genggaman Barisan Nasional (BN).

Orang-orang seperti ini, mungkin mereka ingat akan Nelson Mandela. Ia berjuang sebagai pemimpin kaum kulit hitam, tapi akhirnya ia tidak berbuat hanya untuk kebaikan kaumnya. Ia menang untuk meruntuhkan kekuasaan apartheid yang memperlakukan orang secara menghina berdasarkan warna kulit. Maka kemenangan Mandela baru bererti kemenangan bila ia mengalahkan apartheid juga dalam bentuk baru. Demikianlah Mandela tak mendiskriminasikan orang kulit putih di bawah pemerintahannya.

Kita mengharapkan begitu….!

Sunday, July 19, 2009

Bila kaset menguasai masjid

Oleh: Rossem

40 tahun dulu, Ketika kaset belum memasuki pasaran. Ketika dunia Melayu belum mengenali alat perakam, saya masih kanak-kanak.

Dan di masjid tua itu, yang dibina mengunakan kayu cengal bermutu tinggi dengan atap bata diperbuat dari tanah yang dibakar. Seorang sosok yang ikhlas berada di depan mihrab setiap dini pagi, takala orang lain masih nyenyak tidur. Sosok itu ialah muazim atau orang Kelantan menyebutnya -Tok Bilal.

Setiap pagi, sebelum masuk waktu subuh, sebelum beduk kayu sebesar pemeluk itu dipalu, sebelum seruan azan dikumandangkan, ia memperdengarkan dahulu bacaan al-Quran sekitar 20 minit. Bacaannya seperti qari terkenal. Suaranya nyaring. Biar pun tanpa alat pengeras suara. Separuh warga desa dapat menikmati kemerduan suara sang muazim lewat celah-celah keheningan pagi yang syahdu. Pastinya membangkitkan aura agar segera bangun dari tidur dan ke masjid.

Di Masjid Besar Muhammadi, di Kota Bharu, yang jaraknya kurang lebih 14 kilometer, sememanngya sudah lama tersohor dengan muazim-muazim yang miliki suara merdu. Setiap pagi, sebelum masuk waktu subuh, mereka memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Warga berhampiran sangat senang dengan situasi sedemikian
Rutin seperti itu, bukan cuma di dua buah masjid itu, ia berlaku dibanyak masjid, sama ada di Kelantan atau negeri-negeri lain di Malaysia. Muazim-muazim akan datang ke masjid lebih awal, kemudian membaca sendiri al-Quran sementara menanti waktu subuh.

Kini, setelah dunia makin maju, teknologi pembuatan berhasil mencipta pelbagai jenis alat perakam kaset atau cakra padat, maka peranan muazim pun tampak mengecil. Budaya membaca al-Quran oleh muazim seperti diamalkan 40 tahun lalu semakin pupus. Masjid-masjid tidak lagi menggunakan khidmat muazim untuk mengaji al-Quran. Tugasnya kini diambilalih qari-qari terkenal daripada Mesir atau Arab Saudi, seperti Syiekh Abdulrahman Sudisy, Syiekh Mahmood Khalil Al-Khusairi (almarhum), di mana bacaannya sekali lipat lebih baik dan merdu daripada muazim masjid tempatan.

Tapi, tentunya suara itu bukan suara asli. Cuma rakaman kaset atau cakra padat yang dibeli di kedai-kedai kaset. Para muazim hanya perlu datang ke masjid 20 minit sebelum subuh, kemudian memasukkan kaset ke dalam pemain kaset. Muazim kemudiannya balik ke rumah dan datang semula untuk mengumandangkan azan bila masuk waktunya.
Terkadang, di setengah-setengah masjid, volume pemain kaset dibuka melebihi had suara sepatutnya, sehingga mencacatkan kemerduan suara sang qari. Hal ini pasti mendatangkan rasa tidak selesa warga berhampiran. Saya tidak tahu, apakah petisyen yang dilakukan segelintir warga setempat di Selangor baru-baru ini dituju kepada pembesar suara yang tersangat keras bunyinya, atau kepada bacaan kalimah Allah SWT itu sendiri. Dua hal yang berbeza. Kalau protes itu ditujukan kepada kalamullah, seharusnya ia dipandang serius, bahkan amat wajar umat Islam memprotes keras. Namun saya tidak yakin begitu.

Di sisi lain, adakah sama ganjaran pahalanya, antara orang membaca sendiri al-Quran dengan orang yang kerjanya cuma memasukkan kaset atau cakra padat mengaji al-Quran ke dalam alat pemain, kemudian menekan batton, ditinggikan voloume, suara qari pun berkumandang ke udara? Pahalanya tentu tidak sama. Namun, kenapa hal ini tidak diperbetulkan.

Yang tampak kini ialah, muazim, selain tugas hakikinya sebagai juru azan, ialah memainkan kaset mengaji al Quran. Kita khuatir, praktik memperdengarkan al-Quran lewat kaset atau cakra padat seperti ini, kelak akan membudayakan masyarakat. Bila terdapat sebahagian muazim tersalah menekan nada suara sehingga melebihi had kuasa, kemudian diprotes warga setempat , kita justeru akan cepet naik darah atau darjah emosional kita buak-buak, walhal kita juga patut disalahkan.

50 tahun lebih, Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini merdeka, di mana saling mengakui, Islam menjadi agama rasmi negara, namun malangnya, orang bukan Islam masih lagi prejudis kepada Islam. Ini merupakan difinasi dari sikap kita dan kegagalan pemerintahan Barisan Nasioanl itu sendiri, di mana parti induknya adalah Umno, menerangkan Islam yang sebenar kepada orang-orang bukan Islam. Walhal negara memiliki media massa secukupnya- surat khabar dan televisyen, juga Kementerian Penerangan.

Wednesday, July 15, 2009

Selamat tinggal kota agropolitan Manek Urai


Oleh: Rossem

Cukup. Cukup. Cukup. Kata Shamsul, seorang aktivis parti Umno pada suatu petang di sebuah warung kopi selepas berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Lelaki separuh umur dan masih keletihan itu mengaku, ia sudah jemu dengan pilihan raya kecil yang tersangat kerap. Selepas pilihan raya umum 2008 sudah tujuh kali
berlangsungnya Pilihan Raya Kecil dan Manek Urai yang terakhir setakat hari ini.

Seorang aktivis PAS juga menyebutnya dengan nada demikian; pilihan raya kecil yang sangat kerap sangat membosankan, tapi mahu atau tidak mahu terpaksa turun padang, masuk gelanggang dan menyingsing lengan. Kerana sebagai pendukung parti, bila parti memerlukan tenaga dan khidmat ahlinya, justeru tidak boleh ditolak.

Bermula daripada Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selamba, Batang Ai, Penanti dan Manek Urai, petugas-petugas parti yang terlibat telah diletihkan dengan tugasan sejak sebelum penamaan calon sehingga hari mengundi. Sebahagiannya datang bergilir-gilir dan sebahagiannya menetap di lokasi terus.

Pada setiap kali pilihan raya kecil berlangsung, apakah ada rakyat Malaysia yang mendakwa dirinya tidak terlibat? Jawapannya, semua rakyat Malaysia terlibat dengan pilihan raya kecil itu samada secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak langsung.

Secara langsung, iaitu mereka yang terjun di lapangan sebagai petugas parti. Sementara secara tidak langsung ialah rakyat yang tidak terlibat dengan program kempen juga dari kalangan mereka yang tidak berparti, namun terpaksa menerima argumentasi atau saran-saran berupa kempen, lebih tepat propaganda lewat televisyen. Justeru, mahu atau tidak, mata dan telinga penonton tidak boleh ditutupi daripada melihat dan mendengar propaganda murahan termasuk janji-janji manis para pemimpin parti yang disiarkan lewat berita perdana stesen televisyen saban hari sepanjang kempen.

Benar, politik seperti kata mantan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon, kenyataan-kenyatan politik tidak seharusnya tepat seratus peratus dengan fakta, tapi seperti halnya puisi- harus mempersonakan! Kerana itulah, umum melihat setiap isu yang dibangkitkan saat berkempan tidak memerlukan kehadiran bukti seratus peratus, memadai dengan melontarkan ungkapan yang mempersonakan. Para pengundi boleh menerimanya, lantas memberi makna di depan kotak undi nanti.

Selanjutnya, seperti sering diungkapkan sang bijak pandai, politik tanpa kempen adalah seperti biawak pasir yang menyorok kepalanya dalam tanah. Orang tidak akan sekali-kali mengali lubang mencarinya, tinggallah ia di situ, tiada sesiapa akan kepingin melihatnya, apalagi rupanya pula jelek.

Politik harus seperti sebuah sarkas, masuk ke kampung-kampung silih berganti, mengadakan pertunjukan. Masyarakat akan mendatangi untuk melihat kehebatan persembahan sang pemain yang berpengalaman dengan persembahan yang memukaukan. Bahkan turut mengambil bahagian ialah badut-badut yang pandai membikin lucuan supaya penonoton tidak bosan.

Di Manek Urai, Umno masih berkempen seperti tahun 60an- seperti ketika Malaysia baru mencapai kemerdekaan, yakni menjanjikan pembanguan untuk rakyat. Kalau rakyat memberi undi kepada BN, rakyat akan menjadi senang dengan limpahan pembanguan tanpa had daripada pemerintah pusat. Manek Urai akan dibangun kota agropolitan moden, akan dibina jambatan baru Manek Urai Lama dan pelbagai bentuk pembangunan lain yang sama sekali tidak terlintas di benak masyarakat Manek Urai sebelum ini.

Pembangunan “mee segera” dihadirkan dulu untuk menyakinkan rakyat bahawa pemerintah BN benar-benar serius dalam hal ini. Ibarat saudagar jualan langsung, bila mendatangi pelangan mereka menghulur dulu produk hasilannya untuk tujuan cuba dan rasa, sebelum diminta membeli yang sebenar. Atau seperti menonton wayang di panggung wayang era 60an. Sebelum wayang dimainkan, terlebih dulu ditunjukkan sinopsis dari cerita tersebut untuk memberi sedikit harapan kepada penonton.

Padahal masyarakat Manek Urai sudah cukup selesa dengan apa yang ada. Mereka tidak berkehendakkan sangat dengan semua itu yang pastinya akan membebankan kelak. Yang mereka mahu, setiap wakil rakyat yang menjadi ADUN tidak culas, tapi senang didampingi, boleh dijumpai di mana-mana, di warung kopi, masjid dan di tempat-tempat kematian. Sering bersilaturahim ke rumah-rumah warga. Contohnya seperti pernah dilakukan mantan wakil rakyat PAS, Pak Su Mail semasa hayatnya. Allahyarham selama menjadi wakil rakyat berjaya memikat hati warga Manek Urai sehingga berjaya mengekalkan kerusi N-41 selama lima penggal.

Lima penggal, satu tempoh yang lama bagi seseorang wakil rakyat, namun apa yang ditinggalkan selepas kematiannya cuma sebuah rumah lusuh di Kampung Manek Urai Lama dan rumah kedai di Pria, itupun digunakan sebagai pejabat PAS kawasan. Hal ini sangat kontradiktif dengan rumah-rumah kediaman pemimpin-pemimpin UMNO setempat, meskipun hanya berjaya menjadi ADUN satu penggal tapi siap membina banglo mewah tersergam indah di puncak bukit. Istana -istana ini boleh dilhat dari jauh kerana lokasinya sangat strategik.

Yang sangat berkesan, sebuah buku saku berwarna merah berjudul Isu-Isu Negara Hidangan Rakyat Kelantan yang diedar oleh PAS . Dalam buku kecil setebal 22 muka surat itu dipaparkan isu-isu nasional dan lokal termasuk 40 janji-janji UMNO yang tidak dilaksanakan di Kelantan. Sebilangan besar janji-jani manis itu ditaburkan saat berkempen pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Sementara isu nasional yang dibangkitkan adalah seputar wang royalti minyak: Hasil korek minyak dalam perut bumi Kelantan yang dikatakan nilanya berbilion ringgit dikaut terus kerajaan pusat tanpa memberi royalti kepada kerajaan negeri, sedangkan sudah termetri perjanjian diantara kerajaan pusat dengan negeri-negeri sejak lama, bahawa minyak yang dijumpai di wilayah masing-masing, berhak mendapat sebanyak 5 peratus royalti dari hasil pengeluarannnya.

Sementara isu lokal yang hangat diperkatakan ialah kegagalan kerajaan pusat membina jambatan kedua Sultan Yahya Petra. Batu asas sudah disempurnakan sejak era Abdullah Ahmad Badawi. Potret Mantan PM tetera di sana dengan ungkapan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra- Satu lagi projek Kerajan Barisan Nasional. Signboard yang terletak megah dilokasi strategik di kepala jambatan dari Kora Bharu ke Wakaf Baru sebelum pilihan raya umum ke-12 itu semuanya sudah diturunkan. Persoalannya, mana ghaibnya projek penting itu.

Justeru bila pemimpin UMNO datang ke Menek Urai menabur janji, rakyat sudah tidak mempercayainya lagi. Dan rakyat yang dikatakan daif, bodoh itu telah memberi jawapannya pada 14 Juali lalu- Kemenangan untuk PAS, dan selamat tinggal kota agropolitan.

Monday, June 15, 2009

Parapat, Danau Toba dan Masjid Raya Taqwa







Oleh: Rossem

Dalamnya air Danau Toba, dalam lagi cinta ku pada mu. Masih ingat, ungkapan itu sering dilafazkan pasangan kekasih yang sedang dilamun cinta suatu masa dulu, bagi mengambarkan betapa dalamnya perasaan cinta kepada buah hatinya. . Padahal Danau Toba pun mereka tidak pernah melihat, apa lagi menjejakkan kakinya dibibir danau yang luas terbentang. Maka benarlah seperti kata orang, fantasi bisa mengalahkan realiti. Imegenasi bisa mengalahkan mimpi!

Namun, hari ini, tanggal 6 Jun 2009, bukan lagi fantasi, bukan lagi imegenasi, bukan lagi mimpi, segala-galanya sudah menjadi realiti. Danau yang terbesar di dunia yang terletak di Parapat, Sumetara Utara itu sudah berada di depan mata. Biru airnya bagai cermin yang menyuluh diri ku supaya melihat keagungan ciptaan Allah SWT lewat penciptaanNya yang Maha Hebat. Ombaknya yang kecil seolah-olah mengeungkapkan ucapan “Horeh” atau selamat datang ke Tanah Batak.

Siapa tidak kagum dengan kecantikan alam ciptan Allah SWT. Subhanallah- Maha suci Allah. Aku sujud kepada Mu di atas sejadah cinta, bila melihat kehebatan Mu lewat pencitaan Mu. Bukan Danau Toba saja bahkan ciptaan Mu yang lain juga, lebih-lebih lagi rahmat yang Engkau kurniakan pada diri ku selama ini. Dengan kesihatan yang baik masih bisa ku sujud pada Mu dengan sempurna. Masih bisa menjalani ibadat puasa dan solat sunat tarawih di setiap Ramadhan, menunaikan ibadat haji dan mengeluarkan zakat.

Tapi takala melihat kecantikan Danau Toba, aku tidak menangis, tidak seperti pertama kali aku menatap wajah Kabbah di Masjidilharam, Mekah beberapa tahun lalu. Saat itu, tanpa ku sedari air mata mengalir membasahi pipi. Tangisan ku sehingga terisak-isak. Selain merasakan betapa kerdilnya diri ini bila berdepan dengan Kabbah, di hati kecil ku juga berharap, di lokasi aku berdiri itu, 1430 tahun lalu, pernah dilalui atau dipijak pemimpin yang paling ku sayangi, yakni Rasulullah saw. Dan sekiranya benar, aku telah melewati suatu tempat yang pernah kekasih Allah itu berdiri. Harpan ku agar di akhirat nanti bisa bertemu dengannya pula dan mendapat safa’at baginda. Amim.

Parapat, menurut salah seorang warga lokal yang ditanya, dihuni kurang lebih 250 ribu penduduk dari etnik Batak Toba. Daripada sejumlah itu cuma 15 keluarga Muslim. Mungkin jumlahnya sekitar 100 orang, tapi saya berbangga, meskipun tersangat minimum dan serba kekurangan, mereka upaya mendirikan sebuah masjid yang sederhana besar tapi cantik, di lokasi yang strategik, iaitu di pintu masuk ke permukiman warga dan perwisatan Danau Toba.

Menariknya menurut salah seorang warga Muslim dari etnik Melayu Deli yang berkerja di Danatoba International Cottage Parapat (tempat saya menginap) katanya: Masjid Raya Taqwa Parapat dibina oleh tuan punya Restoran Garuda, seorang asal Minang yang kaya. Restorannya bercawangan di mana-mana, di Parapat, Peramatang Siantar, Medan, bahkan di Jakarta. Selama di Tanah Karo, dua kali saya makan siang masakan Minang/Melayu di restorannya, iaitu saat di Permatang Siantar dan Parapat. Restorannya di Parapat terletak berhadapan dengan Masjid Raya Taqwa yang dibinanya.

Semoga Allah SWT membalas kebaikan tuan punya restoran Minang itu dengan kebaikan yang berganda. Amim. Lalu satu pertanyaan pun menerjah diri “ Sumbangan kita kepada Islam, gimana sih?”

Friday, June 12, 2009

Kelantan kini terkenal di Indonesia


Oleh: Rossem

Cerita pertama:

Tiba-tiba saja nama Kelantan terkenal di Indonesia. Ketika singgah di sebuah gedung pakaian di jalan Sudirman, Medan, seorang lelaki yang duduk berhampiran gedung itu menyapa “Bapak dari Malaysia?” “Ya dari Malaysia - Negeri Kelantan” jawab ku. Bila terdengar nama Negeri Kelantan, wajah lelaki asal Minang itu tampak berubah menjadi ceria. Seterusnya melontar pertanyaan “ Itu negeri Tengku Aziz?” “Ya” Jawab ku. Kemudian saya perbetulkan kesalahan pada sebutan nama Menteri Besar Kelantan itu – Bukan Tengku Aziz tapi Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemuda separuh usia itu banyak mengetahui tentang sosok yang bergelar Tok Guru dari Negeri Serambi Mekah, kerana menurutnya ia pernah datang ke Malaysia beberapa tahun lalu.

Kemudian saya mendengar ia ngomong dengan beberapa temannya yang berdiri di sisi dengan serius sekali. “Kelantan itu diperintah Parti Islam Semalaysia ( PAS) dan PAS itu kalau di Indonesia, sama seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS)”. Kemudian banyak lagi yang diberitahu kepada teman-temannya seputar Kelantan, tapi kurang jelas kerana kebetulan saat itu saya mahu menaiki bas persiaran yang akan bergerak ke distinasi lain.

Cerita kedua:

Sewaktu membeli surat khabar (Koran) di sebuah kios di lapangan terbang Polinia, Medan, terdapat banyak akhbar yang diperagakan di atas rak khusus untuk akhbar. Diantara yang mencuri perhatian ialah, dua tabloid dimana muka depannya dihiasi dengan potret berukuran besar wajah yang menjadi kontroversi masakini di Indonesia dan Malaysia. Sosok itu tidak lain Manohara Odelia Pinot atau di Indonesia disapa Mano. Ketika itu ada dua tabloid yang memuatkan kisah detik-detik pembebasan Manohara dan wawancara eksklusif dengan beliau, iaitu Mingguan Nova dan Genie. Saya membeli kedua-duanya, juga akhbar lain seperti Kompas, Waspada, Medan Pos, dan Harian Global. Saya minati Harian Republika tapi pagi itu tidak ada.

Saat ke kaunter untuk membuat bayaran, saya memperkenalkan diri daripada Kelantan, Malaysia. Lelaki petugas kaunter lantas memandang tepat ke muka saya dengan separuh senyum. “Oh ya, orang Kelantan. Negeri Tengku Muhammad Fakhry” Secara spontan petugas kaunter mengungkapkan kata-kata itu. Saya tidak menyangka sama sekali ia akan bertanya demikian. “Ini cewek penipu. Ini cewek penipu” Kata lelaki itu berulang kali, sambil jari telunjuknya menuding ke arah potret Manohara yang terpampang di muka depan tabloid Genie yang saya pegang.

Saya kaget, orang Indonesia sendiri tidak mempercayai cerita dari mulut Monohara dan ibunya Daisy Fajarina tentang penderaan mental dan fizikal oleh suaminya Tengku Temenggung, selama berada di Kelantan, padahal dua buah tabloid ini melaporkan secara besar besaran termasuk wawancara eksklusif dengan Mano dan ibu kandungnya mengenai penderaan yang dialami, bahkan menghadirkan bukti. Tompok-tompok hitam di lengan Monohara ditunjukkan kepada umum lewat media.

Namun laporan seputar isu ini antara akhbar tabloid dan akhbar harian arus perdana jauh berbeza. Dalam akhbar Waspada, 6 Jun 2009, berita tentang Monohara sangat menarik. Beberapa peguam bela yang dilantik Manohara untuk mengendalikan kesnya menarik diri, Sebelum ini Ratna Sarumpaet, sekarang giliran OC Kaligis pula menarik diri. Peguam itu merasakan mantan model itu tdak serius dan hanya sekadar main-main dengan isu penganiayaan oleh suminya, Tengku Muhammad Fakhry.

Seterusnya akbhar yang diterbitkan di Medan itu memetik kata-kata peguam OC Kaligis “Dia dakwa di Malaysia di pukul, disetrika dan sebagainya, tapi sampai sekarang tidak melaporkan kepada pihak polis Indonesia untuk membolehkan disiasat” Maka atas alasan itu, sang peguam membuat keputusan menarik diri.

Akhbar Harian Global tanggal 8 Jun 2009, dalam komentarnya lebih menjuruskan kepada “kebenaran” yang dicari selama ini, khusunya mereka yang mengikuti perkembangan isu yang sangat kontroversi ini, samada di Malaysia atau Indonesia.

Tulis akhbar itu: Kini, Manohara mengalami antiklimik. Sebelum pulang dari Singapura Mano dianggap seperti simbol perjuangan kekerasan. Kini Mano dipandang tidak lebih seperti mesin wang bagi setengah pihak. Daisy Fajarina ibu kandung Mano telah melakukan “blunder”.

Lebih menakjubkan lagi, lapor akhbar itu: Kini Dato’ Kadar Syah, sosok penting disebalik kepulangan Mano pula menuduh Daisy Fajarina telah berbohong. “Saya berharap dia berhenti berbohong di televisyen” Kata Kadar.

Dari laporan dua buah akhbar itu (Waspada dan Harian Global) kita dapat jawapan bahawa sememangnya ada pihak-pihak tertentu di Indonesia yang cuba menanguk di air keruh. Menjadikan Manohara sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu dengan tujuan tertentu. Maka benarlah seperti kata peguam OC Kaligis “Kesihan Mano, dia anak kecil yang tidak tahu apa-apa”.

Sementara Istana Kelantan diam seribu bahasa, kerana di Malaysia istana tidak sepantas itu untuk berargumentasi dengan media.

Tuesday, June 9, 2009

Libur-libur di Medan, Parapat dan Brastagi







Oleh: Rossem

Kabus masih memutih saat pesawat Air Asia AK 450 dari Kuala Lumpur mendarat di Bandara Polinia, jam 7.40 pagi, 6 Juni 2009. Kami menaiki bas melewati jalan raya Kota Medan yang sempit menuju ke distinasi yang sudah direncanakan.

Kota Medan pagi hari Sabtu tidak macet, mobilnya tidak banyak, warganya juga tidak ramai di jalanan kerana libur, kecuali murid-murid sekolahan yang belajar seperti biasa, sesuai dengan Indonesia dimana cuti sekolahnya cuma satu hari dalam seminggu iaitu Ahad.

Di Indonesia, khususnya Provinsi Sumatera Utara banyak sekali lokasi wisata yang memukau pengunjung. Keindahan alam semula jadi anugerah Allah SWT itu pastinya bukan milik warga lokal cuma, ia harus dinikmati bersama penghuni dunia khususnya warga besar nusantara, kerana mereka memiliki ciri-ciri persamaan yang khusus atau sering disebut serumpun bangsa. Justeru terpanggil untuk melihat dari dekat keindahan alam ciptaan Allah SWT yang sangat hampir dengan Malaysia, lantas kami berangkat ke sana dan melupakan kerja-kerja rutin kami di Malaysia buat seketika.

Perjalanan ke pusat peranginan Parapat menaiki bas priwista (persiaran) yang sederhana besar, sopirnya asal Minang, kami menyapa Pak Salleh, sementara pemandu turis pria asli Batak Kharo, 23, Wanda Aditaya Pratama seorang Muslim. Perjalanan melewati jalan sempit yang berselekoh tajam dengan jurang yang amat dalam, pastinya mengecutkan perut kami. Namun kegembiraan juga hadir di hati, kerana ini merupakan pengalaman baru yang sukar dilupakan dan pastinya meninggalkan nostagia.

Sebelum dilanjutkan cerita-cerita seputar pengalaman selama tiga hari dua malam libur di Sumatera Utara, saya ucapakan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengurus Besar SAR Advertising, Encik Soleh Afifi dan Penolong Pengurus Puan Aifrah Osman (isteri) kerana membiayai saya, iaitu tambang pesawat udara, penginapan dan makan minum secara grantis selama di sana. Saya hanya bisa berdoa, semoga Allah SWT memberinya tambahan sukses kepada perusahaan periklanan miliknya. Amim.

SAR Advertising, sebuah nama yang sedang berkembang dan terkenal di Malayisa dalam bidang periklanan, dibangunkan kira-kira lima tahun lalu oleh seorang pria yang bersemangat waja dengan dibantu isterinya yang tercinta. Mereka berdua memiliki deploma dalam jurusan bisnis studi dan pernah berkerja di beberapa perusahan lain sebagai pegawai periklanan dan pemasaran sebelum membuka perusahan sendiri.

Sebagai agensi periklanan, banyak sekali iklan-iklan yang perolehinya, kemudiannya disiarkan saban hari dalam hampir semua koran dan majalah yang terbit di Malayisa, seperti koran Utusan Malaysia, Mingguan Malayisa, Berita Harian, Berita Minggu, Harian Metro, Metro Ahad, Harakah, bahkan majalah-majalah. Selain itu perusahaannya juga menerbitkan Info Adv untuk diedarkan secara grantis di sekitar Lembah Klang.

Perusahaan yang berkantor di Batu Caves itu dibantu dua karyawan dan tiga karyawati. Para petugas yang cekap dan berwawasan ini merupakan tenaga penting dalam menggerakan perusahan agensi periklanan tersebut untuk terus berdaya maju dan sukses. Justeru kerana itulah, Pengurus Besarnya, Encik Soleh Afifi dan penolong Pengurus (pegawai kewangan) Puan Aifrah membawa para karyawaan dan karyawatinya termasuk saya dan isteri terbang ke Medan- libur-libur di sana. Sambil menikmati situasi alam semula jadi ciptaan Allah SWT yang Maha Hebat buat hamba-hambaNya, tapi malangnya, ramai dikalangan hamba-hambaNya yang tidak tahu bersyukur, bahkan paling menyedihkan sebahagian besar warga di sekitar permukiman yang kami lawati sangat kuffur kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun menunjuki mereka jalan keluar daripada kesesatan ke jalan benar. Dibukakan pintu hati mereka, agar tidak terus tersesat dalam terang. Juga agar mereka semua tahu, bahawa yang menciptakan alam ini, termasuk Danau Toba yang jernih airnya, Pulau Somsior yang dikatakan sarat legenda itu adalah Engkau ya Allah. Suatu hari yang mendatang gantikanlah gereja yang jumlahnya tidak terhitung itu dengan masjid ya Allah. Amim ya robul alami. (Bersambung)

Sunday, May 31, 2009

Pesantren Cinta IV


(Cinta saudara)
Oleh: Rossem

Tahun 1500an. Negara Pattani Darusalam ketika itu diperintah Sultan Ismail. Negara yang sebelumnya makmur dan kehidupan rakyatnya tenteram menjadi tidak aman kerana sering diancam tetangganya Siam. Tentera Siam berpusat di Ayuhtia yang punya kekuatan berganda sering melancarkan serangan demi serangan ke atas negara Melayu / Islam itu, bertujuan untuk menaklukinya. Dengan kekuatan militer yang tidak seimbang, maka Pattani menjadi cemas. Hampir dilkalahkan.

Suatu hari, seorang lelaki dari Selatan China singgah di Pelabuhan Pattani. Kedatangan sang pengembara itu biasa-biasa saja, kerana pelabuhan Pattani sering disinggahi sesiapa saja terutama pedagang dari seluruh rantau Asia.

Setelah beberapa bulan lelaki Cina itu bermukim di Pattani, sang Sultan dapat mengesan, lelaki itu rupanya punya bakat istimewa yang bisa dimanfaatkan untuk negara.

Lim Tok Kian, demikian nama pria itu atau disapa Tok Kian, seorang sosok yang mahir dalam pembuatan meriam. Senjata yang sangat diperlukan pemerintah Pattani ketika itu, untuk digunakan dalam peperangan melawan tentera Buddha Siam yang jauh lebih kuat dan punya persenjataan lengkap.

Selama di Pattani, Tok Kian berhasil membina berpuluh-puluh meriam besar. Meriam-meriam itu kemudiannya oleh Baginda Sultan digunakan untuk menembaki musuh sehingga berjaya menghentikan kemaraan mereka.

Tok Kian memeluk agama Islam dan bernikah dengan puteri baginda sultan dan tinggal di istana. Ia merupakan sosok istimewa dalam sejarah besar Pattani sampai hari ini. Sebuah masjid telah dibangun Tok Kian atau nama Islamnya Tok Akub di Desa Kerisek, berhampiran kota Pattani. Thailand.

Tahun 2005 saya mengunjungi masjid ini yang terletak di lebuh raya Sungai Golok- Hatnyai, dan melihat dari dekat masjid bersejarah dan sarat misteri. Saat saya bersilaturahim ke masjid itu, bau darah syuhada masih harum. Kerana sebulan sebelum itu berlaku tragedi hitam yang sangat menyedihkan ummah. Sejumlah 130 umat Islam yang sedang berjamaah Suboh dibantai tentera kuffar atas arahan Perdana Menteri Thailand ketika itu, Taksin Sinawarta. Kononnya pemuda-pemuda Muslim itu terlibat dengan gerakan pemisah.

Umat Islam terkejut dengan tindakan brutal komondo-komondo Thai yang didatangkan khas dari utara, yang langsung tidak memahami budaya masyarakat setempat yang Muslim dan berstatus minoriti yang mendiami wilayah Selatan. Mereka membunuh jamaah yang tidak bersenjata, bahkan tidak tahu apa-apa pun kenapa mereka ditembak mati.
Ini bukan kali pertama Masjid Kerisek bersimbah darah para syuhadah. Pada era pemerintahan raja-raja Siam di abad yang silam pernah berlaku pembunuhan massa . Sejumlah umat Islam yang mempertahankan masjid itu syahid. Semasa serangan Siam kali ketiga, diabad lalu, Masjid Kerisek berjaya dibakar hangus. Dan sekarang struktur bangunan itu masih dalam kondisi seperti baru terbakar, walaupun beratus tahun berlalu.

Uamat Islam Pattani tidak membaikinya sampai sekarang, kerana menurut salah seorang warga desa Kerisek yang saya temui mengatakan; untuk memberi peluang generasi Muslim sekarang dan akan datang melihat kesan-kesan sejarah panjang dan menyakitkan yang dilalui umat Islam terdahulu, ketika Islam menjadi tunggak kekuasaan di wilayah ini sebelum dikalahkan secara total oleh Siam tanggal 1875.

Sesiapa yang melihat masjid ini, dengan struktur bangunan yang agak pelik, dindingnya diperbuah dari batu merah dan tanpa bumbung, cuma dipasang plastik untuk berteduh daripada panas dan hujan, pasti akan bertanya; kenapa masjid ini dibiarkan dalam kondisi seperti ini. Namun seperti dijelaskan; tujuannya tidak lain, melainkan buat tontonan generasi hari ini dan hari mendatang, bahawa nilai sejaranya yang sangat mengagumkan itu harus dipertahankan.

Yang lebih membingungkan, termasuk saya yang mengunjunginya ialah, di sebelah masjid itu terdapat sebuah taman berkonsepkan senibina Cina, siap dengan bangunan berbentuk pagoda, sedangkan di Kerisek tidak ada warga Cina. Setelah bertanya dan mendapatnya daripada sumber-sumber yang sahih, rupa-rupanya kisah Tok Kian ini tidak habis setakat itu saja, banyak lagi rahsia disebalik sosok tersohor ini.

Setelah Tok Kian menetap terus di Pattani dan tidak pulang-pulang ke China, adek perempuannya yang berada di benua China, yang sudah sekian lama tidak ketemu abangnya, kepingin untuk bertemu. Rasa rindunya bagaikan tidak tertahan. Ia bertanya khabar, di mana sih bisa ketemu saudaranya itu. Setelah mendapat petunjuk dari firasat hati, adek Tok Kian, Lim Ku Niu merantau ke Pattani dan akhirnya bertemu dengan Tok Kian. Aira mata kegembiraan dua bersaudara itu membasahi pipi. Rindu terubat. Akhirnya Ku Niu seperti abangnya juga bermukim di Pattani.

Malangnya Ku Niu tidak mahu memeluk Islam dan kekal dengan agama Buddha,
namun perbedaan agama itu tidak sedikit pun memisahkan mereka dari kehidupan bersaudara. Mereka saling sayang menyanyangi, bantu membantu. Sebagai bukti kasih sayang mereka berdua, Tok Kian telah membina pagoda di sebelah masjid Kerisek, sabagai lambang cinta bersaudara yang abadi dan agung.

.