Friday, June 12, 2009

Kelantan kini terkenal di Indonesia


Oleh: Rossem

Cerita pertama:

Tiba-tiba saja nama Kelantan terkenal di Indonesia. Ketika singgah di sebuah gedung pakaian di jalan Sudirman, Medan, seorang lelaki yang duduk berhampiran gedung itu menyapa “Bapak dari Malaysia?” “Ya dari Malaysia - Negeri Kelantan” jawab ku. Bila terdengar nama Negeri Kelantan, wajah lelaki asal Minang itu tampak berubah menjadi ceria. Seterusnya melontar pertanyaan “ Itu negeri Tengku Aziz?” “Ya” Jawab ku. Kemudian saya perbetulkan kesalahan pada sebutan nama Menteri Besar Kelantan itu – Bukan Tengku Aziz tapi Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemuda separuh usia itu banyak mengetahui tentang sosok yang bergelar Tok Guru dari Negeri Serambi Mekah, kerana menurutnya ia pernah datang ke Malaysia beberapa tahun lalu.

Kemudian saya mendengar ia ngomong dengan beberapa temannya yang berdiri di sisi dengan serius sekali. “Kelantan itu diperintah Parti Islam Semalaysia ( PAS) dan PAS itu kalau di Indonesia, sama seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS)”. Kemudian banyak lagi yang diberitahu kepada teman-temannya seputar Kelantan, tapi kurang jelas kerana kebetulan saat itu saya mahu menaiki bas persiaran yang akan bergerak ke distinasi lain.

Cerita kedua:

Sewaktu membeli surat khabar (Koran) di sebuah kios di lapangan terbang Polinia, Medan, terdapat banyak akhbar yang diperagakan di atas rak khusus untuk akhbar. Diantara yang mencuri perhatian ialah, dua tabloid dimana muka depannya dihiasi dengan potret berukuran besar wajah yang menjadi kontroversi masakini di Indonesia dan Malaysia. Sosok itu tidak lain Manohara Odelia Pinot atau di Indonesia disapa Mano. Ketika itu ada dua tabloid yang memuatkan kisah detik-detik pembebasan Manohara dan wawancara eksklusif dengan beliau, iaitu Mingguan Nova dan Genie. Saya membeli kedua-duanya, juga akhbar lain seperti Kompas, Waspada, Medan Pos, dan Harian Global. Saya minati Harian Republika tapi pagi itu tidak ada.

Saat ke kaunter untuk membuat bayaran, saya memperkenalkan diri daripada Kelantan, Malaysia. Lelaki petugas kaunter lantas memandang tepat ke muka saya dengan separuh senyum. “Oh ya, orang Kelantan. Negeri Tengku Muhammad Fakhry” Secara spontan petugas kaunter mengungkapkan kata-kata itu. Saya tidak menyangka sama sekali ia akan bertanya demikian. “Ini cewek penipu. Ini cewek penipu” Kata lelaki itu berulang kali, sambil jari telunjuknya menuding ke arah potret Manohara yang terpampang di muka depan tabloid Genie yang saya pegang.

Saya kaget, orang Indonesia sendiri tidak mempercayai cerita dari mulut Monohara dan ibunya Daisy Fajarina tentang penderaan mental dan fizikal oleh suaminya Tengku Temenggung, selama berada di Kelantan, padahal dua buah tabloid ini melaporkan secara besar besaran termasuk wawancara eksklusif dengan Mano dan ibu kandungnya mengenai penderaan yang dialami, bahkan menghadirkan bukti. Tompok-tompok hitam di lengan Monohara ditunjukkan kepada umum lewat media.

Namun laporan seputar isu ini antara akhbar tabloid dan akhbar harian arus perdana jauh berbeza. Dalam akhbar Waspada, 6 Jun 2009, berita tentang Monohara sangat menarik. Beberapa peguam bela yang dilantik Manohara untuk mengendalikan kesnya menarik diri, Sebelum ini Ratna Sarumpaet, sekarang giliran OC Kaligis pula menarik diri. Peguam itu merasakan mantan model itu tdak serius dan hanya sekadar main-main dengan isu penganiayaan oleh suminya, Tengku Muhammad Fakhry.

Seterusnya akbhar yang diterbitkan di Medan itu memetik kata-kata peguam OC Kaligis “Dia dakwa di Malaysia di pukul, disetrika dan sebagainya, tapi sampai sekarang tidak melaporkan kepada pihak polis Indonesia untuk membolehkan disiasat” Maka atas alasan itu, sang peguam membuat keputusan menarik diri.

Akhbar Harian Global tanggal 8 Jun 2009, dalam komentarnya lebih menjuruskan kepada “kebenaran” yang dicari selama ini, khusunya mereka yang mengikuti perkembangan isu yang sangat kontroversi ini, samada di Malaysia atau Indonesia.

Tulis akhbar itu: Kini, Manohara mengalami antiklimik. Sebelum pulang dari Singapura Mano dianggap seperti simbol perjuangan kekerasan. Kini Mano dipandang tidak lebih seperti mesin wang bagi setengah pihak. Daisy Fajarina ibu kandung Mano telah melakukan “blunder”.

Lebih menakjubkan lagi, lapor akhbar itu: Kini Dato’ Kadar Syah, sosok penting disebalik kepulangan Mano pula menuduh Daisy Fajarina telah berbohong. “Saya berharap dia berhenti berbohong di televisyen” Kata Kadar.

Dari laporan dua buah akhbar itu (Waspada dan Harian Global) kita dapat jawapan bahawa sememangnya ada pihak-pihak tertentu di Indonesia yang cuba menanguk di air keruh. Menjadikan Manohara sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu dengan tujuan tertentu. Maka benarlah seperti kata peguam OC Kaligis “Kesihan Mano, dia anak kecil yang tidak tahu apa-apa”.

Sementara Istana Kelantan diam seribu bahasa, kerana di Malaysia istana tidak sepantas itu untuk berargumentasi dengan media.

No comments:

Post a Comment