Friday, May 8, 2009

Matangkanlah cara berkempen Umno

Oleh: Rossem

Setiap kali diberitahu pilihan raya kecil akan diadakan, ia pun geleng kepala, bibir mulutnya menjueh. Ia bosan mendengar istilah itu, ia bosan sungguh untuk menghadapi kondisi pilihan raya kecil yang terlalu kerap, kerana baginya, nama saja kecil, ongkos dan penat lelahnya tidak sekecil sebutan.

Yang paling Pak Nik benci, walaupun pilihan raya kecil itu hanya berlangsung di suatu lokasi pilihan raya tertentu, namun gegarannya sampai ke seluruh negara. Bahkan seluruh rakyat merasai seolah terlibat sama secara langsung, sedangkan mereka berada jauh dari lokasi berkaitan.

Pak Nik adalah rakyat kecil yang tinggal jauh di desa. Kehidupan sehariannya sangat sederhana, punya sebuah motokar model 80an, rutin paginya seusai solat Subuh di masjid, ia bergegas ke warung nasi berlauk untuk sarapan pagi sambil memanaskan tekak dengan secawan the tiga dalam satu. Saat bertemu teman-teman seperti inilah kesempatan baginya meluahkan rasa muaknya kepada pilihan raya kecil yang sangat kerap kini.

Hal ini terjadi disebabkan media massa yang membuat liputan seputar pilihan raya kecil menyebarluas ke seluruh negara. Televisyen dan suaratkhabar menyedut berita kempen khususnya aktiviti dan amanat Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet yang turun berkempen untuk memenangkan calon BN menjadi berita nasional. Justeru rakyat keseluruhannya, samada mahu atau tidak mahu, suka atau tidak suka, yang tinggal di kota mahupun di desa, terpaksa menelan berita itu biarpun bosan dan separuh benci.

“Bukankah ini pilihan raya kecil untuk kawasan tertentu, cukuplah berkempen di kawasan itu” Pak Nik marah kepada stesen televisyen kerana turut berkempen, sedangkan berkempen lewat televisyen sasarannya umum, rakyat yang tiada terlibat pun saoalah-olah dipaksa menerima realiti yang tiada kaitan dengan mereka.
Yang paling tidak disukainya ialah projek mee segera. Setiap kali pilihan raya kecil diadakan, pemerintah mengarahkan agensi-agensi mereka melakukan pembaikan segera seperti menggali parit, membina jambatan, membaiki aspal. Jengkaut dan lori muatan krikil pun berderetan sepanjang jalan dari siang sampai malam. Walhal, kerja-kerja seperti itu, apa salahnya jika dilakukan di luar waktu pilihan raya kecil. Kerana sebelum itu pun rakyat sememangnya berdepan dengan kesukaran akibat jalan rosak atau sebagainya. Praktik inilah yang membuat rakyat ketawa dan Pak Nik geleng kepala.

“Cara berkempen seperti itu sudah ketinggalan kereta api. Justeru, sudah sampai masanya elit-elit Umno berfikir, bagaimana mematangkan cara berkempen” Keluh Pak Nik.

Seusai pilihan raya umum ke 12, mac 2008 sudah lima kali berlangsung pilihan raya kecil. Bermula dengan Permatang Pauh, diikuti Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai dan 23 Mei ini di Penanti. Selepas itu kemungkinan pula Kota Alam Shah di Selangor, kerana ADUN kawasan tersebut yang masih dalam tahanan ISA, M. Manoharam bercadang untuk melepaskan jawatan, kerana hasratnya untuk mendekati warga kawasanya (DUN) sering terabai lantaran meringkut dalam tahanan yang tiada tahu bila noktah.

Pilihan raya kecil Penanti paling tidak disukai Umno, kerana kawasan itu adalah kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibarahim sendiri Mereka pastinya tidak mahu pisang berbuah empat kali. Gagal merebut Permatang Pauh, kecundang di Kuala Terengganu, kalah di Bukit Gantang dan tersungkur di Bukit Selambau.

Presiden Umno, merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak awal-awal lagi sudah tawar hati untuk bertarung di gelanggang Penanti. Namun keputusannya sama ada mahu bertanding atau tidak bergantung kepada kesepakatan biro politik atau kerana pengaruh pihak lain. Namun jika ikut bertanding disebabkan desakan orang lain, pasti kuali politik Umno semakin panas. Sementara kaum oposisi akan memperolehi senjata baru untuk menikam.

Apakah ini semua perang psikologi Anwar Ibrahim untuk melemahkan Umno khusunya Najib. Setiap orang berhak mengeluarkan opini, namun yang pasti terdapat para elit Umno yang merasa “sejuk kaki” berdepan dengan situasi dan kondisi ini. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan kegagalan total jentera Umno dan Barisan Nasional merampas dua bukit, yakni Bukit Gantang dan Bukit Selambau baru-baru ini.

Isu-isu yang menyebabkan rakyat tidak senang dengan pemerintah yang diterajui Umno/BN masih melekat dalam minda setiap rakyat Malaysia terutama pengundi saluran empat (orang muda). Golongan ini paling ramai menganggur. Untuk mendapatkan pekerjaan di desa-desa ibarat mananti hujan turun di musim kemarau. Belum tentu kedapatan. Lalu mereka berhijrah ke kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, mundar mandir di kilang-kilang merisik kerja, namun tetap juga gagal, kerana pekerja-pekerja asing sudak monopoli pekerjaan di sektur ini. Ini yang megkhuatirkan rakyat sekarang.

Kes jenayah yang dilakukan remaja tempatan juga semakin serius, sehingga rakyat merasakan negara ini antara negara yang tidak aman. Inilah yang menjadi hambatan rakyat sekarang, namun ia tidak dibangkitkan elit-elit politik Umno/BN saat berkempen pilihan raya kecil. Maka jangan menyalahkan rakyat sekiranya tidak memangkah Dacing.

Tuesday, April 14, 2009

Dalam ilmu peperangan, kejayaan menawan bukit bererti kemenangan seluruhnya

Oleh: Rossem

Di Malaysia, sosok-sosok dengan wajah senyum sedang merayakan kemenangan, sementara sosok-sosok dengan wajah duka sedang meratap kekalahan. Dalam keputusan peperangan demonkrasi, 7 Mac, yang sangat mendebarkan itu, dua buah bukit dimenangi pemenang terdahulu-PR, sementara Batang Ai menjadi milik BN.

Dalam strategik ilmu peperangan, mana-mana tentera yang berjaya menguasai bukit ia bakal menguasai lembah dan kota, bahkan berkemungkinan besar akan menguasai seluruh negara pada suatu hari yang mendatang. Inilah yang membuat pakar-pakar strategi dari Umno cuba mencari kaedah terbaru supaya hambatan kekalahan dapat diperlahankan atau dapat dipatahkan di semua medan.

Kekalahan dua bukit, yakni Bukit Gantang dan Bukit Selambau sangat terpukul buat Umno, sekali lipat daripada yang pernah dirasainya saat kekalahan parti itu di Permatang Pauh dan selepas itu di Kuala Terengganu.

“Mengejutkan ” demikian kata seorang aktivis Umno. Mereka tidak menduga, pilihan raya kecil ini Umno/BN boleh kalah, kerana kebiasaannya setiap kali Perdana Menteri baru mengambilalih pemerintahan negara, rakyat akan segera memberi respons yang menyenangkan hati, dengan memberi undi kepada calon Umno/BN yang bertanding, sebagai sembolik merestui kepemimpin baru, seperti pernah diberikan kepada Abdullah Ahmad Badawi saat ia mengambilalih pemerintahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dulu.

Pada pilihan raya itu (2003), BN menang besar, Terengganu berjaya dirampas dari tangan Pas, kerusi BN bertambah di Kelantan. Pencapaian Abdullah itu mengatasi apa yang pernah diperolehi Dr Mahathir di penghujung peperintahannya. Dan saat Abdullah di tuding Dr Mahathir kerana bertanggungjawab melemahkan Umno, Abdullah yang waktu itu terkial-kial untuk menangkis serangan sempat mengklaimkan kepada umum; Umno kuat ialah di era saya dan Umno lemah juga di era saya, justeru jangan cuba diungkit-ungkit lagi seputar itu.

Kenapa BN tidak berjaya menawan dua bukit itu, bahkan mengalami kemerosokan undi yang ketara khususnya dari kalangan pemilih Cina dan India, sedangkan BN memunculkan seorang negarawan tersohor, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tukang kempen. Di dua bukit itu Dr Mahathir mengingatkan para pengundi agar mengundi Umno. Tapi kita pun bagaikan tidak terperasan; apakah pesan-pesan Tun itu cuma didengari petugas-petugas Umno yang dimport dari luar Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang saat itu bermukim di situ atau benar-benar pengundi dari kawasan tersebut.

Kendati pun, dengan peristiwa itu telah melakar sejarah, Bukit Gantang dan Bukit Selamba adalah gelanggang pertama Tun berkempen untuk Umno selepas setahun sang negarawan itu meninggalkan parti lantaran marahkan Abdullah.

Seorang pengundi “atas pagar” di Bukit Gantang dengan lucu berkomenter “pada mulanya saya mahu mengundi BN, sebagai hadiah kepada Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Najib Tun Razak, tapi melihat Tun Dr Mahathir turun di lapangan dan berkempen untuk kemenangan BN, justeru patah semangat, lalu batalkan saja hasrat mengundi Dacing, sebaliknya mengundi Bulan Purnama”.

Orang seperti itu bukan berseorangan, cuma diantaranya ada yang bersuara, manakala yang lain memilih untuk berdiam diri. Namun dikalangan mereka ini ternyata masih belum lupa peristiwa tahun 1998 yang panas. Reformasi itu telah mengajar rakyat berani berkata “no” kepada pemerintah yang tidak mereka sukai. Dan ketua pemerintah yang yang dikatakan “no” itu tidak lain adalah si negarawn itu. Beliau adalah sosok yang menyebabkan tercetusnya reformasi di Malaysia.

Justeru ramai beranggapan, Tun sebagai seorang bergelar negarawan seharusnnya tidak ikut campur dalam pesta demokrasi mini seperti ini. Lebih dihormati kalau ia cuma melihat situasi pertarungan antara BN-PR dari jauh. Hanya memberi sedikit komenter saat diperlukan, itu pun yang melibatkan kepentingan negara, bukan kepentingan pemimpin tertentu seperti berlaku sekarang.

Namun keuntungan tetap ada. Dalam kabinet baru yang diumumkan Najib, putera Tun Mahathir, Dato’ Mukhriz terpilih sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industeri (MITI). Manakala menantu Abdullah Badawi merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berputih mata.

Tuesday, April 7, 2009

Najib akhirnya PM

Oleh: Rossem

Sudah sekian lama kuali politik Malaysia panas. Apakah selepas ini kuali itu menjadi dingin. Ramai orang telah berkomenter seputar ini, antara yang menarik “ Perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri dijangka membawa kestabilan politik, ekonomi dan kelangsungan sosial. Najib akan mengikuti teladan baik yang ditunjukkan oleh ayahandanya Tun Razak yang mengambilalih jawatan Perdana Menteri saat krisis politk memuncak”. Jika benar dan bukan cuma sebuah fantasi atau mimpi disiang hari, maka sesuatu yang ditunggu sekian lama rakyat Malaysia akan menjadi realiti. Peperangan politik akan reda, hidup pun santai.

Namun di luar perhitungan itu, seberkas lagi opini dimunculkan dan dijaja: Najib belum bersih secara total dari sejumlah kesalahan masa lalu. Banyak kes-kes yang menjadi kesangsian rakyat perlu diputihkan sebelum fail biru bertukar milik.

Namun dengan adab politik yang berkembang dan meluas, tohmohan berlangsung atau terjadi secara negatif. Publik tidak pernah bertambah cardas, tapi justeru menjadi kian bengung dan penuh prasangka, bahkan keji dalam menjalankan fitrah politisnya, sehingga meninggalkan nilai utama dan luhur.

Disisi lain, bahkan sebahagian orang tidak mahu pun menyentuh seputar ini, padahal ia penting kerana berkaitrapat dengan akidah seseorang Muslim. Persoalah takdir atau ketentuan yang menurut istilah rukun imannya disebut sebagai qada dan qadar. Dua elemen ini sebenarnya yang menentukan keberadaan kita kini. Jatuh bangunnya sesorang, organisasi, bahkan ummah tidak dapat dipisahkan dari ketentuan yang sudah pun ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali. Tidak ada satu pun yang berlaku di muka bumi melainkan sudah tertulis dalam kitab di luhmahfudz sebelum kita dilahirkan.

“ Dan Ya’qub berkata: Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanya hak Allah; kepada-Nya lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang bertawakkh diri” (al-Quran. Surah Yusuf: 67)

Justeru keberadaan Najib di kerusi Perdana Menteri Malaysia ke -6, pada Jumaat, 7 Rabiulakhir 1430 Hijrah, bersamaan 3 Mac 2009 tidak dapat dipisahkan dari elemen ketentuan atau qada dan qadar Allah SWT. Sesiapa pun tidak dapat menafikan keberadaan Najib di posisi terpenting negara itu melainkan sudah tercatat di sejak azali.

Pertama dilakukan Najib setelah menjadi PM ialah memenangi hati rakyat, meluruskan persepsi bengkok rakyat seputar pribadi dan gaya kemimpinan. Untuk itu, sebagai pembuka bicara, pada langkah pertama dalam perjalanannya yang masih jauh, ia mengizinkan diterbit kembali dua buah akhbar alternatif- Harakah (PAS) dan Suara Keadilan (PKR) yang direntap dengan bengis pada tanggal 23 Mac.

Kita pun tidak begitu arif, siapa sebenarnya punya angkara menarik surat izin terbit itu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Hamid Albar atau sosok yang lain. Dan bila Najib mengizinkan kedua-dua akhbar itu terbit semula, maka sejambak tahniah buat Najib, bahkan dikatakan, Najib seorang pemimpin yang sangat menekankkan kebebasan akhbar dan kebebasan beropini.

Hanya 11 hari saja kedua-dua akhbar itu dipasung, kerana tanggal 3 April, saat menyampaikan perutusan pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 6, Najib telah mengisytiharkan, dua buah akhbar lidah rasmi parti itu dibenarkan beroperasi semula. Turut dibebaskan, sejumlah 13 tahanan Isa.

Selanjutnya, dengan mengenakan baju dan seluar kain khaki, seperti seorang pekerja yang lasak, dan tanpa meminformasi lebih awal, Najib telah melakukan kunjungan silaturahim ke jalan Petaling dan rumah pangsa di sekitar Kuala Lumpur, tanpa perlu sambutan red carpet, paluan kompang dan bunga manggar. Bahkan saat diwawancara sebuah stesen televisyen Malaysia, Najib cuma mengenakan t’shirt.

Suatu praktik yang tidak biasa dilakukan pemimpin Malaysia terdahulu. Ini merupakan sebahagian yang dapat kita saksikan; bagaimana Najib mengolah diri, sebagai seorang pemimpin nombor satu negera saat berdepan dengan masyarakat yang meragui kepimpinannya, guna menarik simpati dan sokongan mereka agar turut bahu -membahu bersamanya dalam sebuah perjalanan yang panjang dan berliku sebagai PM.

Namun, sebagai pemimpin parti dan negara, tanpa memilih siapa tokohnya, setiap perbutan salah akan ditegur rakyat, kritikan akan semakin pedas andai lebih banyak hal-hal yang tidak menyenangkan hati rakyat dilakukannya. Politik wang harus dikuburkan. Terhadap gerakan Islam, berlembutlah, jangan bersikap seperti harimau lapar, mulut menyangga, siap mahu menerkam.

Monday, March 30, 2009

Dosa Pejuang

Oleh: Rossem

Dosa Pejuang dianggap karya yang luarbiasa. Kenapa dikatakan luarbiasa? Menurut sang penulis, A.Samad Said. Cerpen itu ditulis dekad 90-an, yakni dekad yang kacau. Pada tahun-tahun itulah krisis rebutan kuasa menyala, dan pada dekad itu juga serangan ekonomi amat melukakan. Tapi Dosa Pejuang ditulis seputar 1992, awal dekad 90-an yang sudah pun memercitkkan bahang kegelisahan, khususnya keresahan politik.

Selanjutnya, sasterawan negara menyebut dalam bukunya Ilham Di Tepi Tasik: Dekad tersebut mula menyala pelbagai perjuangan lain, dan bukannya perjuangan menentang. Di sini masalah atau krisis ekonomi sudah mula dominan dan genting, juga soal memperkekal kuasa dengan pelbagai cara serong dan kasar.

Akhirnya dekad 90-an berlalu dengan seribu kejadian. Fenomena politik yang mencemaskan. Umno yang dianggap kebal sejak sekian lama, teruji dengan kemelut politik yang parah. Rupanya luka akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibarhim sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak mudah disembuhkan. Nanahnya masih berbau hanyir hingga ke hari ini, walhal perstiwa itu sudah lebih 10 tahun berlalu.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu, dikatakan menjadi punca pemasalahan. Rakyat persalahkan beliau dan akibatnya - reformasi pun pecah. Kemuncak kemarahan rakyat bila Anwar diseret ke penjara setelah melewati proses pengadilan yang panjang dan membingungkan. Dalam hal ini, rakyat mengira bahawa keadilan sudah berkubur!

Bagaimana kondisi sasterawan ketika itu bila berdepan kemelut politik yang serong dan kasar? Antara yang awal terpanggil memberi reaksi ialah Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, diikuti dengan penyair Dinsman. Shahnon terjun langsung ke gelanggang politik dan bertanding pada pilihan raya umum ke-11 (1999) atas tiket Pas dan memenangi kerusi Perlimen Sik, Kedah. Sementara Dinsman masih istiqamah dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

Sasterawan adalah manusia seni yang mudah tersentuh dengan politik “serong dan kasar” yang dimunculkan oleh elit-elit pemerintah khusunya Umno. Namun hakikatnya, mereka adalah kaum yang sabar dan beretika. Jarang bersikap emosional. Mereka punya ilmu yang cukup untuk mengawal diri daripada menghemborkan kata-kata yang tidak sopan sepertimana dilakukan pemidato politik bila berdepan dengan isi-isu yang mencabar bangsa atau bahasa. Mereka hanya berkomentar lewat bait-bait puisi yang indah tapi tajam makna serta maksud. Tapi malang, bahasa puisi tidak pernah difahami orang-orang politik khususnya Umno.

Misalnya, Isu Pendidikan, Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sasterawan dan tokoh-tokoh bahasa telah sekian lama melahirkan rasa sangsi mereka lewat bait-bait puisi dan cerpen, memprotes kepada pemerintah khususnya Kementeraan Pelajaran Malaysia kerana mengantikan bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris bagi subjek sains dan matamatik di sekolah menengah. Sang tokoh khuatir, PPSMI menyekat perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Dalam jangkan masa panjang, seputar 50 tahun akan datang, akhbar Melayu akan menjadi akhbar sisipan dalam The Straits Times; kata Sasterawan Negara. Datuk A. Samad Said. Namun telinga elit-elit politik itu terlalu sempit untuk menangkap makna penuh simbolik.

Kemuncak penentangan itu berlangsung di Kuala Lumpur tanggal 7 Mac 2009. Ribuan massa berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara, dikepalai sendiri pejuang-pejuang bahasa, seperti A.samad Said, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan lain-lain. Ironisnya mereka diiringi ratusan petugas polis yang menyejukkan suhu panas sore itu dengan pacutan air dari track Water Canoun. Bahkan berlaku gari mengari. Berpuluh orang digiring ke balai polis !.

Penentangan terbuka kelompok sasterawan ini merupakan jawapan langsung terhadap kedegilan pemerintah, yang terus menutup telingga, tidak mahu mendengar rintihan seputar isu memasuhkan PPSMI yang diperjuangkan majoriti rakyat selama ini.

Dengan secara subrono dan tanpa berlapik, Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Tun Hussien menuding jari khusus buat dua tokoh bahasa yang sangat lanjut usia itu dengan menuduhnya sebagai telah diperalatkan kaum oposisi negara ini. Kesucian sang tokoh itu telah dinodai kerana mengangkat sepanduk “ Jangan Bunuh Bahasa Ibunda”. Satu tuduhan berat, bahkan boleh mengalirkan air mata bagi sosok-sosok yang ikhlas sepertinya.

“Apa yang saya perjuangkan adalah berdasarkan akal dan ilmu saya. Saya boleh berfikir, ada jiwa, saya makhluk Allah dan saya bukan moyet. Tidak ada hantu di belakang GMP” Demikian marah Dr Hassan Ahmad mendegar komenter sang menteri.
Rupanya perjuangan “Jangan Bunuh Bahasa Ibunda” disisi lain adalah satu kesalahan besar. Barangkai itulah yang dimaksudkan A. Samad Said atau Pak Samad – Inilah Dosa Pejuang!

Thursday, March 19, 2009

Pilihan raya Indonesia 2009 - Alangkah baiknya parti-parti Islam bersatu








Oleh: Rossem
Melewati jalan yang banyak kelok (selekoh) dari Kota Padang ke Bukit Tinggi merupakan pengalaman baru bagi saya, bukan saja dapat menyaksikan panorama keindahan alam semula jadi kurnia Allah SWT buat Ranah Minang khususnya dan Indonesia amnya, malah yang lebih menonjol saat ini,sedang berlangsungnya pesta demokrasi di negara umat Islam paling ramai di dunia.

Di sekitar Padang, ibu kota provinsi Sumatera Barat dan sepanjang jalan ke Bukit Tinggi, bahkan di desa-desa tepencil, poster pelbagai parti-parti politik yang menyertai pilihan raya umum Indonesia (Pemilu 2009) 9 April ini siap dipasang, dalam pelbagai bentuk dan ukuran. Dengan menggunakan bahasa yang indah dan menyentuh nurani. Setiap calon mengajak warga yang layak mengundi keluar membuang undi dengan memangkah parti mereka berdasarkan nombor urutan yang tentera disetiap poster calon.

Antara ungkapan menarik, “ Jangan lupa pilih Anum…” Saya ketawa sendiri bila terpandang poster berukuran besar itu. Anum yang dimaksudkan ialah nama calon wanita yang rupa parasnya cantik sekali – calon tempatan dari parti Pengusaha dan Pekerja Indonesia, tapi sayang tidak memakai tudung. Contoh lain ialah “ Mohon dukungan dan doa restu”. Ungkapan ini paling banyak digunakan.

Menariknya, dalam ribuan sepanduk yang ditemui, tidak terdapat sepanduk, poster atau risalah menggunakan kata-kata kesat menyerang parti lawan. Keseluruhan media propaganda parti yang bertanding hanya menceritakan seputar parti masing-masing, terutama biodata calon serta misi dan visi perjuangannya.

“Di Indonesia majoriti memilih calon, bukan parti. Mana calon yang baik, ikhlas perjuangannya, maka kita angkat” kata seorang warga Indonesia yang saya temui di Bukit Tinggi. Justeru sepanjang tempoh berkempen secara terbuka bermula 16 Mac, yang ditonjolkan pada bill board atau poster ialah gambar calonnya lebih besar dari lambang parti yang diwakilinya.

Ukuran bill board, poster atau kekerapan aktiviti kempen seperti ceramah, perarakan atau kempen pintu ke pintu pula tidak sama, bergantung pada “peluru”. Demikian istilah yang sering digunakan. Yang dimaksudkan “peluru” oleh warga tempatan ialah wang. Setiap kempen memerlukan wang secukupnya, justeru yang tampak menyerlah dalam perang propanganda seperti ini ialah parti yang punya banyak wang, misalnya parti Demokrat, tabungannya pasti penuh, kerana Ketua Dewan Pembina parti tersebut ialah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY). Justeru di setiap lokasi strategik ada saja bill board Demokrat berukuran gergasi siap terpasang.

Banyaknya parti politik menyertai pilihan raya Indonesia 2009 mencapai 38 parti, menyebabkan persaingan antara mereka sangat mencabar. Di provinsi Sumatera Barat saja kurang lebih 20 parti bertanding. Justeru tidak aneh, bila melihat poster parti dipasang berdekatan antara satu sama lain.

Pasca pilihan raya 2009, parti besar mengalami perpecahan atau beranak, misalnya Parti Golkar pecah menjadi Parti Hanura dan Parti Gerindra, PDI Perjuangan pecah menajadi Parti Demokrasi Pembaruan (PDP), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) pecah menjadi Parti Kebangkitan Nasional Ulama (PKNU), sementara Parti Matahari Bangsa (PMB) lahir setelah para tokohnya mengalami keretakkan dengan PAN.

Sekarang, dalam menghadapi pilihan raya 2009, parti induk dan pecahannya saling berlumba untuk meraih simpati rakyat bagi memperolehi undi terbanyak. Pelbagai cara dilakukan, justeru muncullah hal-hal yang kreatif dilakukan pengerak parti untuk meraih undi semaksimum mungkin.

Sebanyak 560 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) direbut hampir 12 ribu calon dari seluruh parti yang menjadi peserta pilihan raya ini. Siapa yang memperolehi undi terbanyak berhak mendapat kerusi tersebut, justeru mereka berusaha sekuat tenaga meski dengan menggunakan teori Machiavelli yakni menghalalkan cara asalkan boleh menang.

Pada pilihan raya ini, seramai 171 juta daripada 230 juta rakyat Indonesia berhak mengundi, untuk memilih wakil masing-masing di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), suatu jumlah yang besar, hampir menyamai jumlah pengundi di India dan Amerika Syarikat (AS). Maka tidak menghairankan jika Indonesia mendapat pengakuan sebagai negara demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan AS.

Kemuncaknya, setiap parti politik mengidamkan tokoh politik dari kalangan parti masing-masing sebagai calon presiden dan wakil presiden (timbalan) dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung Jun 2009. Namun dalam pilihan raya memilih presiden dan wakil presiden itu nanti, hanya parti atau gabungan parti yang memperolehi 20 peratus undi total layak mengajukan tokoh mereka sebagai calon presiden dan calon wakil presiden.

PDI Perjuangan merupakan salah satu parti besar yang secara rasmi telah memiliki calon presiden iaitu Ketua Umumnya sendiri Megawati Sukarnoputri, sementara parti besar yang lain seperti Parti Golkar dan parti PKB, PAN, PPP dan PKS hingga sekarang belum menamakan secara rasmi calon presiden. Namun ura-ura Parti Golkar mencalonkan Ketua Umumnya, Jusuf Kalla (JK) sudah kedengaran. Selama ini, orang nombor dua Indonesia itu merupakan rakan kongsi SBY (Demokrat), namun sejak terjadinya insiden “Ahmad Mubarok”(Golkar) para pendukung Golkar terasa terpukul dan marah, lalu mengesyorkan agar JK dicalonkan melawan SBY.

Rakyat Indonesia meyakini hanya tiga tokoh yang akan berentap merebut kerusi presiden Republik Indonesia iaitu SBY, JK dan Megawati dalam pilihan raya pusingan kedua tanggal Jun nanti.
Parti baru yang mengumumkan calon presiden hanyalah PMB dengan Ketua Umum PP Muhammadiyah, Din Syamsuddin sebagai calon presiden . Sedangkan parti baru Hanuria, Gerindra dan PKNU belum secara rasmi mengumumkan nama calon.

Ketiga-tiga tokoh yang bakal merebut kerusi presiden nanti datangnya daripada parti nasionalis, bagaimana dengan parti Islam atau parti yang berasaskan Islam. Tidak ramai pengamat politik memperkatakan kondisi ini. Namun menurut Ketua Umum Parti Bulan Bintang (PBB), merangkap Menteri Kehutanan, H.MS. Ka’ban, “saya yakin pada pilihan raya 9 Mac ini, perolehan undi parti Islam akan melebihi parti nasionalis dengan 50 peratus lebih”. Kalau ini menjadi realiti, maka pilihan raya kali ini, pendukung gerakan Islam di Indonesia akan malakar sejarah - pertama kali sejak pilihan raya pertama 1955, suara gerakan Islam majoriti.

Kenapa selama ini perolehan suara parti Islam lebih kecil berbanding parti nasionalis? Hal ini disebabkan tidak adanya persatuan diantara para pemimpin parti-parti Islam, padahal dari 38 parti yang bertanding, parti Islam memunculkan sembilan parti, selebihnya parti nasionalis, sosialis dan Kristian.

Logiknya, parti nasionalis itu mudah dipersatukan dalam sebuah komponen besar, namun realitinya sehingga saat ini, parti Islam masih sukar untuk dipersatukan dalam sebuah koalisi besar.

“Selain itu para pemimpin parti Islam tidak ada yang mahu mengalah. Mereka semuanya mahu tampil untuk menjadi pemimpin, bahkan kalau dapat dengan saling menjatuhkan saudaranya sendiri sesama pemimpin parti Islam” Ujar Ketua Umum PBB.

Selanjutnya dikatakan bahawa, para pemipin parti Islam majoritinya masih muda, tapi berpontensi besar untuk maju. Barangkali mereka akan memimpin negara pasca 2014 nanti, Megawati, SBY dan JK saat itu mulai gelunsur dari kepimpinan negara. Saat itulah para pemimpin parti Islam tampil untuk memimpin negara menuju baldatun thoyyibatun wa robbun ghofur, negara adil makmur sejahtera dibawah lindungan Allah SWT.

Sunday, March 8, 2009

Sidang bawah pokok dan kerajaan Pasir Dua Butir


Oleh: Rossem

SMS pun diterima. Dari puluhan banyak khidmat pesanan ringkas itu, antaranya berbunyi “ Negeri saya patut ditukar saja namanya kepada Negeri Pasir Dua Butir (PDB)” Pengirimnya tidak saya kenali, tapi bila ia menyebut “negeri saya” pasti sang pengirim merupakan rakyat negeri Perak. Barangkali ia sangat kecewa dengan apa yang berlaku di negerinya- Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok, berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Memerintah negeri dari bawah pokok seperti ini pernah berlaku di negeri Pasir Dua Butir, iaitu bila Menteri Fasula merampas kuasa daripada kerajaan yang sah. Harta benda termasuk bangunan-bangunan pemerintah diambilalih, maka pemimpin kerajaan yang diguling terpaksa mentadbir negeri itu dari bawah pokok. Hal ini boleh ditonton lewat filem arahan Allahyaram Tan Sri P.Ramle, Laksamana Bo Re Mi, keluaran tahun 1970-an.

Kini, apa yang yang dianggap fantasi bahkan tidak masuk akal, seperti digambarkan P.Ramle lebih 30 tahun dulu itu sudah menjadi realiti. Berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan tanggal 3 Mac 2009. Kenapa terjadi demikian? Apakah gempa bumi sudah berlaku di sekitaran, sehingga menyebabkan banguan DUN tidak boleh digunakan.

Tidak ada berlaku gempa bumi atau tanah mendap di Perak. Bangunan DUN Perak masih berdiri megah, cuma daun pintunya saja dikunci petugas atas arahan pihak tertentu. Sang pemegang kunci mendakwa, arahan speaker negeri dari Pakatan Rakyat, V. Sivakumar untuk mengadakan sidang tergempar DUN Perak tidak dibenarkan kerana dikatakan tidak sah disebabkan tidak mendapat perkenan Baginda Sultan. Namun Sivakumar tetap mahukan sidang itu diteruskan sepertimana direncanakan, kerana Siva juga berpegang dengan peruntukan undang-undang, dalam kondisi apa pun kuasa speaker di tangannya, berdasarkan undang-undang yang gubal BN sendiri.

Dari bawah pokok itu, tiga usul diluluskan. Pertama, sokongan tanpa berbelah bagi kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, kedua, mencadangkan Sultan Perak memperkenankan DUN dibubarkan dan ketiga, mengesahkan larangan Zambry dan enam Exco menghadiri sidang dewan.

Di bawah pokok apa itu? Nama tidak penting, samada pokok bunut, pokok petai atau pokok durian, yang pasti satu sidang DUN telah berlangsung dengan aman oleh sebuah kerajaan yang masih diangap sah oleh rakyat, biarpun mendapat kecaman keras dan sinis dari elit-elit politik Umno dan media pendukung mereka, bahkan dikatakan sebagai sidang kartun, namun kerajaan PR tidak mengaku kalah, masih ada lagi jalan alternatif. Apa yang dilakukan Sivakumar sebenarnya tidak terfikir oleh Umno Perak sendiri.

Inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia, kerajaan negeri bersidang di bawah pokok dan di bawah panas terik matahari pagi. Barangkali burung-burung yang hinggap di dahan pokok itu pun terkejut kehairanan, kenapa jadi begini? Di zaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussain, Tun Hussain On, Tun Dr. Mahthir Mohamad tidak pernah dilihatnya persidangan kayak begini. Tiba-tiba di zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Najib hal-hal yang tidak masuk akal pula terjadi.

Dunia sedang memerhati kita dengan seberkas senyum dan sejumlah pertanyaan: Malaysia sedang mencipta sejarah baru di era Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak, dengan bawah pokok sebagai lokasi diputuskan hal-hal mengenai pentadbiran sebuah negeri. Fenomena seperti ini tidak pernah berlaku di luar negara, hatta di negara yang dianggap mundur seperti di Afrika sekalipun. Tentu dunia kepingin tahu, kenapa boleh terjadi demikian? Namun bagi sang penganalisis, mereka tentunya melihat dari sudut perundangan. Apakah Sidang DUN itu sah atau tidak. Seorang pengamal undang-undang, Prof Dr Aziz Bari mengakui “Sidang DUN tergempar itu sah di sisi perlembagaan” Semenetara Majlis Peguam Malaysia pula mencadangkan, jalan terbaik menyelesaikan kelelut yang berlarutan serta memalukan di Perak itu, bubar saja dewan dan satu pilihan raya diadakan semula di negeri Datuk Maharajalela itu.

Kenapa Umno tidak bersetuju diadakan pilihan raya semula di Perak seperti disaran oleh PR? Kerana mereka khuatir, keputusan pilihan raya nanti tidak memihak kepada mereka. Banyak isu-isu terkini yang dimunculkan seperti isu bahasa (PPSMI), dikatakan akan memberi pukulan teruk kepada Umno/BN.

Dalam isu PPSMI ini sejumlah tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan tersohor tanah air sendiri berperanan mengerakkan massa, melancarkan kempen, bahu membahu dengan PR, berpidato bersama di atas pentas Pas, membantah agar PPSMI dimansuhkan. Dan kemuncaknya, tanggal 7 Mac, mereka berjaya mengumpulkan ribuan massa berarak dari Masjid Negara, Pasar Seni dan Sogo ke Istana Negara, guna menyampaikan memorandam kepada Yang Dipertuan Agung, dengan diiringi trak water canon polis yang siap memacut air pemedih mata.

Keterlibatan kelompok budayaan sebelum ini tidak begitu menonjol, namun kali ini mereka menjadi tulang belakang dan pengerak utama menghidupkan enjin protes terhadap pemerintah. Ini merupakan cabaran baru yang sama sekali diluar jangkaan BN/Umno.

Gelombang mansuhkan PPSMI ini merupakan pergerakan massa kedua terbesar selepas reformasi 1998 dulu, justeru dalam situasi dan kondisi seperti ini tentulah sangat menakutkan elit-elit Umno sekirannya satu pilihan raya semula diadakan bagi negeri Perak.

Berbalik kepada pokok bertuah yang menjadi lokasi sidang DUN Perak! Justeru kita merayu pihak tertentu, selamatkanlah pokok itu daripada menjadi mangsa tangan-tangan gatal yang mahu menebangnya, kerana pokok itu telah melakar satu sejarah negara yang tidak ternilai. Kementerian Warisan seharusnya mewartakannya sebagai salah satu bahan sejarah yang tidak ternilai, ia amat berguna terutama kepada generasi akan datang, bahawa di bawah pokok itulah, pada tanggal 3 Mac 2009, satu sidang DUN telah berlangsung!

Monday, March 2, 2009

Ustaz Wan Jamil- Pemergiannya kehilangan besar kepada Pas


Oleh: Rossem

Enam bulan lalu, sekitar September 2008, saat mengikuti sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) di Kota Darulnaim, tiba-tiba handset saya berbunyi- Perlahan, sengaja tidak dikuatkan deringannya kerana di dalam DUN handpset sememangnya tidak dibenarkan, boleh menganggu perbahasan. Peraturan sudah menetapkan begitu dan harus dipatuhi.

Saya rapatkan handset ke telinga dengan sedikit membongkok agar tidak dilihat orang. Suara yang yang kurang jelas, seolah seperti berbisik memberitahu “ Datanglah ke wad tingkat 7, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian” Saya cuba meneka suara siapa itu, kemudian baru tahu; ia ialah mantan boss saya dulu, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood . “Apa Ustaz sakit?” Tanya saya. “Ya. Datanglah…” Jawapnya ringkas kemudian meletakkan telefon.

Saat itu sekitar jam 12 tengah hari. Sebentar lagi hospital akan dibuka untuk pelawat. Saya lantas bergegas ke sana. Setelah menunggu beberapa minit di pintu besar, tepat jam 1 tengah hari saya memasuki lobi hospital, menaiki lif dan langsung ke tingkat tujuh. Ustaz Wan Jamil sedang baring di katil, Isterinya yang tercinta berada di sisi. Saat itu Ustaz tampak masih bertenaga, kemudian bersalam dan ngomong. Diantara yang ditanya; bagaimana kondisi perbahasan sidang DUN tadi pagi. Satu soalan politik dari seorang politikus sejati. Rupanya “sakit” itu tidak menghalangi ia dari mengikuti perkembangan politik semasa.

“Apa sakit Ustaz” Saya bertanya. Sang Ustaz menjawab dengan separuh lucuan tapi sarat dengan falasafah. “Kata doktor; dalam tubuh manusia ada sejumlah kuman yang bertindak sebagai pertahanan badan (anti body). Kuman ini sangat diperlukan oleh tubuh manusia untuk melawan serangan kuman-kuman jahat, malangnya seekor atau lebih daripada kuman baik itu telah munafik dan menyerang yang baik, sekarang doktor sedang memujuk si munafik itu agar kembali berfungsi seperti biasa”.

Pada peringkat awal, sakit Ustaz ialah kondisi darahnya tidak setabil. Kadang-kadang tinggi dan kadang-kadang rendah, sehingga terpaksa keluar masuk hospital beberapa kali. Sakitnya semakin kritikal sebulan lalu. Buah pinggangnya dijangkiti kuman. Jam 1.00 pagi, tanggal 28 Februari dia pergi menemui TuhanNya dalam kondisi redho ketika usia 64 tahun, di HSUM, Kubang Kerian. Kelantan.

Teman-teman seperjuangan sangat merasai kehilangannya, kerana semasa hayat Allahyaraham dikenali sebagai sosok yang sangat komited dengan perjuangan Islam lewat parti Islam SeMalaysia (Pas). Seorang yang berdisplin. Opini politiknya sangat tajam dan pernah merasai pahit manis bersama Pas (Kelantan) dalam dua period iaitu era Datuk Asri Haji Muda dan era Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagi pejuang-pejuang baru, Allahyaraham merupakan “guru politik” yang tidak pernah jemu mendidik kader-kader parti dari masa ke semasa. Kini sebahagiannya telah berjaya memegang jawatan-jawatan penting dalam parti, menjadi wakil rakyat dan exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Allahyaraham juga merupakan mantan Ahli Parlimen Tumpat selama dua penggal (1990-1995-1999), mantan Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan. Jawatan lain pernah disandang ialah Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan, Yang Dipertua Pas Tumpat, Penyelia DUN Tumpat dan Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat.

Mendapat pendidikan dari Universiti Islam Indonesia (UII), Jogjakarta, jurusan hukum (sarjana muda). Barangkali latar belakang pendidikannyanya dari Indonesia, justeru Allahyaraham begitu rapat dengan negara tersebut, pidatonnya malah mirip loghat Indonesia, gemar membaca majalah-majalah dan buku Indonesia, tidak ketinggalan sering mengikuti situasi semasa negara itu terutama seputar politik. Bahkan menurut sepertimana pernah diceritakan kepada saya; ada diantara teman-teman sekuliah ketika di UII dulu pernah menjawat jawatan wakil rakyat bahkan menteri kabinet Republik Indonesia.

Pernah menyertai delegasi Pas Kelantan melakukan kunjungan silturahmi kepada Pemimpin Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Hidayat Nur Wahid saat parti Islam itu meraih kejayaan seusai pilihan raya Indonesia beberapa tahun lalu. Dan kunjungan lainnya seperti ke Acheh serta Misi Kemanusian Yayasan Amal Jogjakarta ketika meletus gunung berapi Jogja.

Allahyaraham meninggalkan seorang balu, Arniwati Sabirin, kelahiran Bukit Tinggi, Indonesia yang dikenalinya saat di Universiti Islam Indonesia dulu.

Jenazahnya disembahyangkan kurang lebih jam 11.00 pagi di Masjid Pasir Pekan tidak jauh dari rumahnya, diimamkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berserta lebih seribu jamaah. Jenazah kemudian disemadikan di tanah perkuburan berhampiran. Alfatihah.