Monday, March 2, 2009

Ustaz Wan Jamil- Pemergiannya kehilangan besar kepada Pas


Oleh: Rossem

Enam bulan lalu, sekitar September 2008, saat mengikuti sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) di Kota Darulnaim, tiba-tiba handset saya berbunyi- Perlahan, sengaja tidak dikuatkan deringannya kerana di dalam DUN handpset sememangnya tidak dibenarkan, boleh menganggu perbahasan. Peraturan sudah menetapkan begitu dan harus dipatuhi.

Saya rapatkan handset ke telinga dengan sedikit membongkok agar tidak dilihat orang. Suara yang yang kurang jelas, seolah seperti berbisik memberitahu “ Datanglah ke wad tingkat 7, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian” Saya cuba meneka suara siapa itu, kemudian baru tahu; ia ialah mantan boss saya dulu, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood . “Apa Ustaz sakit?” Tanya saya. “Ya. Datanglah…” Jawapnya ringkas kemudian meletakkan telefon.

Saat itu sekitar jam 12 tengah hari. Sebentar lagi hospital akan dibuka untuk pelawat. Saya lantas bergegas ke sana. Setelah menunggu beberapa minit di pintu besar, tepat jam 1 tengah hari saya memasuki lobi hospital, menaiki lif dan langsung ke tingkat tujuh. Ustaz Wan Jamil sedang baring di katil, Isterinya yang tercinta berada di sisi. Saat itu Ustaz tampak masih bertenaga, kemudian bersalam dan ngomong. Diantara yang ditanya; bagaimana kondisi perbahasan sidang DUN tadi pagi. Satu soalan politik dari seorang politikus sejati. Rupanya “sakit” itu tidak menghalangi ia dari mengikuti perkembangan politik semasa.

“Apa sakit Ustaz” Saya bertanya. Sang Ustaz menjawab dengan separuh lucuan tapi sarat dengan falasafah. “Kata doktor; dalam tubuh manusia ada sejumlah kuman yang bertindak sebagai pertahanan badan (anti body). Kuman ini sangat diperlukan oleh tubuh manusia untuk melawan serangan kuman-kuman jahat, malangnya seekor atau lebih daripada kuman baik itu telah munafik dan menyerang yang baik, sekarang doktor sedang memujuk si munafik itu agar kembali berfungsi seperti biasa”.

Pada peringkat awal, sakit Ustaz ialah kondisi darahnya tidak setabil. Kadang-kadang tinggi dan kadang-kadang rendah, sehingga terpaksa keluar masuk hospital beberapa kali. Sakitnya semakin kritikal sebulan lalu. Buah pinggangnya dijangkiti kuman. Jam 1.00 pagi, tanggal 28 Februari dia pergi menemui TuhanNya dalam kondisi redho ketika usia 64 tahun, di HSUM, Kubang Kerian. Kelantan.

Teman-teman seperjuangan sangat merasai kehilangannya, kerana semasa hayat Allahyaraham dikenali sebagai sosok yang sangat komited dengan perjuangan Islam lewat parti Islam SeMalaysia (Pas). Seorang yang berdisplin. Opini politiknya sangat tajam dan pernah merasai pahit manis bersama Pas (Kelantan) dalam dua period iaitu era Datuk Asri Haji Muda dan era Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagi pejuang-pejuang baru, Allahyaraham merupakan “guru politik” yang tidak pernah jemu mendidik kader-kader parti dari masa ke semasa. Kini sebahagiannya telah berjaya memegang jawatan-jawatan penting dalam parti, menjadi wakil rakyat dan exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Allahyaraham juga merupakan mantan Ahli Parlimen Tumpat selama dua penggal (1990-1995-1999), mantan Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan. Jawatan lain pernah disandang ialah Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan, Yang Dipertua Pas Tumpat, Penyelia DUN Tumpat dan Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat.

Mendapat pendidikan dari Universiti Islam Indonesia (UII), Jogjakarta, jurusan hukum (sarjana muda). Barangkali latar belakang pendidikannyanya dari Indonesia, justeru Allahyaraham begitu rapat dengan negara tersebut, pidatonnya malah mirip loghat Indonesia, gemar membaca majalah-majalah dan buku Indonesia, tidak ketinggalan sering mengikuti situasi semasa negara itu terutama seputar politik. Bahkan menurut sepertimana pernah diceritakan kepada saya; ada diantara teman-teman sekuliah ketika di UII dulu pernah menjawat jawatan wakil rakyat bahkan menteri kabinet Republik Indonesia.

Pernah menyertai delegasi Pas Kelantan melakukan kunjungan silturahmi kepada Pemimpin Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Hidayat Nur Wahid saat parti Islam itu meraih kejayaan seusai pilihan raya Indonesia beberapa tahun lalu. Dan kunjungan lainnya seperti ke Acheh serta Misi Kemanusian Yayasan Amal Jogjakarta ketika meletus gunung berapi Jogja.

Allahyaraham meninggalkan seorang balu, Arniwati Sabirin, kelahiran Bukit Tinggi, Indonesia yang dikenalinya saat di Universiti Islam Indonesia dulu.

Jenazahnya disembahyangkan kurang lebih jam 11.00 pagi di Masjid Pasir Pekan tidak jauh dari rumahnya, diimamkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berserta lebih seribu jamaah. Jenazah kemudian disemadikan di tanah perkuburan berhampiran. Alfatihah.

No comments:

Post a Comment