Thursday, March 19, 2009

Pilihan raya Indonesia 2009 - Alangkah baiknya parti-parti Islam bersatu








Oleh: Rossem
Melewati jalan yang banyak kelok (selekoh) dari Kota Padang ke Bukit Tinggi merupakan pengalaman baru bagi saya, bukan saja dapat menyaksikan panorama keindahan alam semula jadi kurnia Allah SWT buat Ranah Minang khususnya dan Indonesia amnya, malah yang lebih menonjol saat ini,sedang berlangsungnya pesta demokrasi di negara umat Islam paling ramai di dunia.

Di sekitar Padang, ibu kota provinsi Sumatera Barat dan sepanjang jalan ke Bukit Tinggi, bahkan di desa-desa tepencil, poster pelbagai parti-parti politik yang menyertai pilihan raya umum Indonesia (Pemilu 2009) 9 April ini siap dipasang, dalam pelbagai bentuk dan ukuran. Dengan menggunakan bahasa yang indah dan menyentuh nurani. Setiap calon mengajak warga yang layak mengundi keluar membuang undi dengan memangkah parti mereka berdasarkan nombor urutan yang tentera disetiap poster calon.

Antara ungkapan menarik, “ Jangan lupa pilih Anum…” Saya ketawa sendiri bila terpandang poster berukuran besar itu. Anum yang dimaksudkan ialah nama calon wanita yang rupa parasnya cantik sekali – calon tempatan dari parti Pengusaha dan Pekerja Indonesia, tapi sayang tidak memakai tudung. Contoh lain ialah “ Mohon dukungan dan doa restu”. Ungkapan ini paling banyak digunakan.

Menariknya, dalam ribuan sepanduk yang ditemui, tidak terdapat sepanduk, poster atau risalah menggunakan kata-kata kesat menyerang parti lawan. Keseluruhan media propaganda parti yang bertanding hanya menceritakan seputar parti masing-masing, terutama biodata calon serta misi dan visi perjuangannya.

“Di Indonesia majoriti memilih calon, bukan parti. Mana calon yang baik, ikhlas perjuangannya, maka kita angkat” kata seorang warga Indonesia yang saya temui di Bukit Tinggi. Justeru sepanjang tempoh berkempen secara terbuka bermula 16 Mac, yang ditonjolkan pada bill board atau poster ialah gambar calonnya lebih besar dari lambang parti yang diwakilinya.

Ukuran bill board, poster atau kekerapan aktiviti kempen seperti ceramah, perarakan atau kempen pintu ke pintu pula tidak sama, bergantung pada “peluru”. Demikian istilah yang sering digunakan. Yang dimaksudkan “peluru” oleh warga tempatan ialah wang. Setiap kempen memerlukan wang secukupnya, justeru yang tampak menyerlah dalam perang propanganda seperti ini ialah parti yang punya banyak wang, misalnya parti Demokrat, tabungannya pasti penuh, kerana Ketua Dewan Pembina parti tersebut ialah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY). Justeru di setiap lokasi strategik ada saja bill board Demokrat berukuran gergasi siap terpasang.

Banyaknya parti politik menyertai pilihan raya Indonesia 2009 mencapai 38 parti, menyebabkan persaingan antara mereka sangat mencabar. Di provinsi Sumatera Barat saja kurang lebih 20 parti bertanding. Justeru tidak aneh, bila melihat poster parti dipasang berdekatan antara satu sama lain.

Pasca pilihan raya 2009, parti besar mengalami perpecahan atau beranak, misalnya Parti Golkar pecah menjadi Parti Hanura dan Parti Gerindra, PDI Perjuangan pecah menajadi Parti Demokrasi Pembaruan (PDP), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) pecah menjadi Parti Kebangkitan Nasional Ulama (PKNU), sementara Parti Matahari Bangsa (PMB) lahir setelah para tokohnya mengalami keretakkan dengan PAN.

Sekarang, dalam menghadapi pilihan raya 2009, parti induk dan pecahannya saling berlumba untuk meraih simpati rakyat bagi memperolehi undi terbanyak. Pelbagai cara dilakukan, justeru muncullah hal-hal yang kreatif dilakukan pengerak parti untuk meraih undi semaksimum mungkin.

Sebanyak 560 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) direbut hampir 12 ribu calon dari seluruh parti yang menjadi peserta pilihan raya ini. Siapa yang memperolehi undi terbanyak berhak mendapat kerusi tersebut, justeru mereka berusaha sekuat tenaga meski dengan menggunakan teori Machiavelli yakni menghalalkan cara asalkan boleh menang.

Pada pilihan raya ini, seramai 171 juta daripada 230 juta rakyat Indonesia berhak mengundi, untuk memilih wakil masing-masing di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), suatu jumlah yang besar, hampir menyamai jumlah pengundi di India dan Amerika Syarikat (AS). Maka tidak menghairankan jika Indonesia mendapat pengakuan sebagai negara demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan AS.

Kemuncaknya, setiap parti politik mengidamkan tokoh politik dari kalangan parti masing-masing sebagai calon presiden dan wakil presiden (timbalan) dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung Jun 2009. Namun dalam pilihan raya memilih presiden dan wakil presiden itu nanti, hanya parti atau gabungan parti yang memperolehi 20 peratus undi total layak mengajukan tokoh mereka sebagai calon presiden dan calon wakil presiden.

PDI Perjuangan merupakan salah satu parti besar yang secara rasmi telah memiliki calon presiden iaitu Ketua Umumnya sendiri Megawati Sukarnoputri, sementara parti besar yang lain seperti Parti Golkar dan parti PKB, PAN, PPP dan PKS hingga sekarang belum menamakan secara rasmi calon presiden. Namun ura-ura Parti Golkar mencalonkan Ketua Umumnya, Jusuf Kalla (JK) sudah kedengaran. Selama ini, orang nombor dua Indonesia itu merupakan rakan kongsi SBY (Demokrat), namun sejak terjadinya insiden “Ahmad Mubarok”(Golkar) para pendukung Golkar terasa terpukul dan marah, lalu mengesyorkan agar JK dicalonkan melawan SBY.

Rakyat Indonesia meyakini hanya tiga tokoh yang akan berentap merebut kerusi presiden Republik Indonesia iaitu SBY, JK dan Megawati dalam pilihan raya pusingan kedua tanggal Jun nanti.
Parti baru yang mengumumkan calon presiden hanyalah PMB dengan Ketua Umum PP Muhammadiyah, Din Syamsuddin sebagai calon presiden . Sedangkan parti baru Hanuria, Gerindra dan PKNU belum secara rasmi mengumumkan nama calon.

Ketiga-tiga tokoh yang bakal merebut kerusi presiden nanti datangnya daripada parti nasionalis, bagaimana dengan parti Islam atau parti yang berasaskan Islam. Tidak ramai pengamat politik memperkatakan kondisi ini. Namun menurut Ketua Umum Parti Bulan Bintang (PBB), merangkap Menteri Kehutanan, H.MS. Ka’ban, “saya yakin pada pilihan raya 9 Mac ini, perolehan undi parti Islam akan melebihi parti nasionalis dengan 50 peratus lebih”. Kalau ini menjadi realiti, maka pilihan raya kali ini, pendukung gerakan Islam di Indonesia akan malakar sejarah - pertama kali sejak pilihan raya pertama 1955, suara gerakan Islam majoriti.

Kenapa selama ini perolehan suara parti Islam lebih kecil berbanding parti nasionalis? Hal ini disebabkan tidak adanya persatuan diantara para pemimpin parti-parti Islam, padahal dari 38 parti yang bertanding, parti Islam memunculkan sembilan parti, selebihnya parti nasionalis, sosialis dan Kristian.

Logiknya, parti nasionalis itu mudah dipersatukan dalam sebuah komponen besar, namun realitinya sehingga saat ini, parti Islam masih sukar untuk dipersatukan dalam sebuah koalisi besar.

“Selain itu para pemimpin parti Islam tidak ada yang mahu mengalah. Mereka semuanya mahu tampil untuk menjadi pemimpin, bahkan kalau dapat dengan saling menjatuhkan saudaranya sendiri sesama pemimpin parti Islam” Ujar Ketua Umum PBB.

Selanjutnya dikatakan bahawa, para pemipin parti Islam majoritinya masih muda, tapi berpontensi besar untuk maju. Barangkali mereka akan memimpin negara pasca 2014 nanti, Megawati, SBY dan JK saat itu mulai gelunsur dari kepimpinan negara. Saat itulah para pemimpin parti Islam tampil untuk memimpin negara menuju baldatun thoyyibatun wa robbun ghofur, negara adil makmur sejahtera dibawah lindungan Allah SWT.

1 comment:

  1. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete