Sunday, March 8, 2009

Sidang bawah pokok dan kerajaan Pasir Dua Butir


Oleh: Rossem

SMS pun diterima. Dari puluhan banyak khidmat pesanan ringkas itu, antaranya berbunyi “ Negeri saya patut ditukar saja namanya kepada Negeri Pasir Dua Butir (PDB)” Pengirimnya tidak saya kenali, tapi bila ia menyebut “negeri saya” pasti sang pengirim merupakan rakyat negeri Perak. Barangkali ia sangat kecewa dengan apa yang berlaku di negerinya- Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok, berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Memerintah negeri dari bawah pokok seperti ini pernah berlaku di negeri Pasir Dua Butir, iaitu bila Menteri Fasula merampas kuasa daripada kerajaan yang sah. Harta benda termasuk bangunan-bangunan pemerintah diambilalih, maka pemimpin kerajaan yang diguling terpaksa mentadbir negeri itu dari bawah pokok. Hal ini boleh ditonton lewat filem arahan Allahyaram Tan Sri P.Ramle, Laksamana Bo Re Mi, keluaran tahun 1970-an.

Kini, apa yang yang dianggap fantasi bahkan tidak masuk akal, seperti digambarkan P.Ramle lebih 30 tahun dulu itu sudah menjadi realiti. Berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan tanggal 3 Mac 2009. Kenapa terjadi demikian? Apakah gempa bumi sudah berlaku di sekitaran, sehingga menyebabkan banguan DUN tidak boleh digunakan.

Tidak ada berlaku gempa bumi atau tanah mendap di Perak. Bangunan DUN Perak masih berdiri megah, cuma daun pintunya saja dikunci petugas atas arahan pihak tertentu. Sang pemegang kunci mendakwa, arahan speaker negeri dari Pakatan Rakyat, V. Sivakumar untuk mengadakan sidang tergempar DUN Perak tidak dibenarkan kerana dikatakan tidak sah disebabkan tidak mendapat perkenan Baginda Sultan. Namun Sivakumar tetap mahukan sidang itu diteruskan sepertimana direncanakan, kerana Siva juga berpegang dengan peruntukan undang-undang, dalam kondisi apa pun kuasa speaker di tangannya, berdasarkan undang-undang yang gubal BN sendiri.

Dari bawah pokok itu, tiga usul diluluskan. Pertama, sokongan tanpa berbelah bagi kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, kedua, mencadangkan Sultan Perak memperkenankan DUN dibubarkan dan ketiga, mengesahkan larangan Zambry dan enam Exco menghadiri sidang dewan.

Di bawah pokok apa itu? Nama tidak penting, samada pokok bunut, pokok petai atau pokok durian, yang pasti satu sidang DUN telah berlangsung dengan aman oleh sebuah kerajaan yang masih diangap sah oleh rakyat, biarpun mendapat kecaman keras dan sinis dari elit-elit politik Umno dan media pendukung mereka, bahkan dikatakan sebagai sidang kartun, namun kerajaan PR tidak mengaku kalah, masih ada lagi jalan alternatif. Apa yang dilakukan Sivakumar sebenarnya tidak terfikir oleh Umno Perak sendiri.

Inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia, kerajaan negeri bersidang di bawah pokok dan di bawah panas terik matahari pagi. Barangkali burung-burung yang hinggap di dahan pokok itu pun terkejut kehairanan, kenapa jadi begini? Di zaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussain, Tun Hussain On, Tun Dr. Mahthir Mohamad tidak pernah dilihatnya persidangan kayak begini. Tiba-tiba di zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Najib hal-hal yang tidak masuk akal pula terjadi.

Dunia sedang memerhati kita dengan seberkas senyum dan sejumlah pertanyaan: Malaysia sedang mencipta sejarah baru di era Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak, dengan bawah pokok sebagai lokasi diputuskan hal-hal mengenai pentadbiran sebuah negeri. Fenomena seperti ini tidak pernah berlaku di luar negara, hatta di negara yang dianggap mundur seperti di Afrika sekalipun. Tentu dunia kepingin tahu, kenapa boleh terjadi demikian? Namun bagi sang penganalisis, mereka tentunya melihat dari sudut perundangan. Apakah Sidang DUN itu sah atau tidak. Seorang pengamal undang-undang, Prof Dr Aziz Bari mengakui “Sidang DUN tergempar itu sah di sisi perlembagaan” Semenetara Majlis Peguam Malaysia pula mencadangkan, jalan terbaik menyelesaikan kelelut yang berlarutan serta memalukan di Perak itu, bubar saja dewan dan satu pilihan raya diadakan semula di negeri Datuk Maharajalela itu.

Kenapa Umno tidak bersetuju diadakan pilihan raya semula di Perak seperti disaran oleh PR? Kerana mereka khuatir, keputusan pilihan raya nanti tidak memihak kepada mereka. Banyak isu-isu terkini yang dimunculkan seperti isu bahasa (PPSMI), dikatakan akan memberi pukulan teruk kepada Umno/BN.

Dalam isu PPSMI ini sejumlah tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan tersohor tanah air sendiri berperanan mengerakkan massa, melancarkan kempen, bahu membahu dengan PR, berpidato bersama di atas pentas Pas, membantah agar PPSMI dimansuhkan. Dan kemuncaknya, tanggal 7 Mac, mereka berjaya mengumpulkan ribuan massa berarak dari Masjid Negara, Pasar Seni dan Sogo ke Istana Negara, guna menyampaikan memorandam kepada Yang Dipertuan Agung, dengan diiringi trak water canon polis yang siap memacut air pemedih mata.

Keterlibatan kelompok budayaan sebelum ini tidak begitu menonjol, namun kali ini mereka menjadi tulang belakang dan pengerak utama menghidupkan enjin protes terhadap pemerintah. Ini merupakan cabaran baru yang sama sekali diluar jangkaan BN/Umno.

Gelombang mansuhkan PPSMI ini merupakan pergerakan massa kedua terbesar selepas reformasi 1998 dulu, justeru dalam situasi dan kondisi seperti ini tentulah sangat menakutkan elit-elit Umno sekirannya satu pilihan raya semula diadakan bagi negeri Perak.

Berbalik kepada pokok bertuah yang menjadi lokasi sidang DUN Perak! Justeru kita merayu pihak tertentu, selamatkanlah pokok itu daripada menjadi mangsa tangan-tangan gatal yang mahu menebangnya, kerana pokok itu telah melakar satu sejarah negara yang tidak ternilai. Kementerian Warisan seharusnya mewartakannya sebagai salah satu bahan sejarah yang tidak ternilai, ia amat berguna terutama kepada generasi akan datang, bahawa di bawah pokok itulah, pada tanggal 3 Mac 2009, satu sidang DUN telah berlangsung!

1 comment:

  1. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete