Tuesday, April 7, 2009

Najib akhirnya PM

Oleh: Rossem

Sudah sekian lama kuali politik Malaysia panas. Apakah selepas ini kuali itu menjadi dingin. Ramai orang telah berkomenter seputar ini, antara yang menarik “ Perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri dijangka membawa kestabilan politik, ekonomi dan kelangsungan sosial. Najib akan mengikuti teladan baik yang ditunjukkan oleh ayahandanya Tun Razak yang mengambilalih jawatan Perdana Menteri saat krisis politk memuncak”. Jika benar dan bukan cuma sebuah fantasi atau mimpi disiang hari, maka sesuatu yang ditunggu sekian lama rakyat Malaysia akan menjadi realiti. Peperangan politik akan reda, hidup pun santai.

Namun di luar perhitungan itu, seberkas lagi opini dimunculkan dan dijaja: Najib belum bersih secara total dari sejumlah kesalahan masa lalu. Banyak kes-kes yang menjadi kesangsian rakyat perlu diputihkan sebelum fail biru bertukar milik.

Namun dengan adab politik yang berkembang dan meluas, tohmohan berlangsung atau terjadi secara negatif. Publik tidak pernah bertambah cardas, tapi justeru menjadi kian bengung dan penuh prasangka, bahkan keji dalam menjalankan fitrah politisnya, sehingga meninggalkan nilai utama dan luhur.

Disisi lain, bahkan sebahagian orang tidak mahu pun menyentuh seputar ini, padahal ia penting kerana berkaitrapat dengan akidah seseorang Muslim. Persoalah takdir atau ketentuan yang menurut istilah rukun imannya disebut sebagai qada dan qadar. Dua elemen ini sebenarnya yang menentukan keberadaan kita kini. Jatuh bangunnya sesorang, organisasi, bahkan ummah tidak dapat dipisahkan dari ketentuan yang sudah pun ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali. Tidak ada satu pun yang berlaku di muka bumi melainkan sudah tertulis dalam kitab di luhmahfudz sebelum kita dilahirkan.

“ Dan Ya’qub berkata: Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanya hak Allah; kepada-Nya lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang bertawakkh diri” (al-Quran. Surah Yusuf: 67)

Justeru keberadaan Najib di kerusi Perdana Menteri Malaysia ke -6, pada Jumaat, 7 Rabiulakhir 1430 Hijrah, bersamaan 3 Mac 2009 tidak dapat dipisahkan dari elemen ketentuan atau qada dan qadar Allah SWT. Sesiapa pun tidak dapat menafikan keberadaan Najib di posisi terpenting negara itu melainkan sudah tercatat di sejak azali.

Pertama dilakukan Najib setelah menjadi PM ialah memenangi hati rakyat, meluruskan persepsi bengkok rakyat seputar pribadi dan gaya kemimpinan. Untuk itu, sebagai pembuka bicara, pada langkah pertama dalam perjalanannya yang masih jauh, ia mengizinkan diterbit kembali dua buah akhbar alternatif- Harakah (PAS) dan Suara Keadilan (PKR) yang direntap dengan bengis pada tanggal 23 Mac.

Kita pun tidak begitu arif, siapa sebenarnya punya angkara menarik surat izin terbit itu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Hamid Albar atau sosok yang lain. Dan bila Najib mengizinkan kedua-dua akhbar itu terbit semula, maka sejambak tahniah buat Najib, bahkan dikatakan, Najib seorang pemimpin yang sangat menekankkan kebebasan akhbar dan kebebasan beropini.

Hanya 11 hari saja kedua-dua akhbar itu dipasung, kerana tanggal 3 April, saat menyampaikan perutusan pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 6, Najib telah mengisytiharkan, dua buah akhbar lidah rasmi parti itu dibenarkan beroperasi semula. Turut dibebaskan, sejumlah 13 tahanan Isa.

Selanjutnya, dengan mengenakan baju dan seluar kain khaki, seperti seorang pekerja yang lasak, dan tanpa meminformasi lebih awal, Najib telah melakukan kunjungan silaturahim ke jalan Petaling dan rumah pangsa di sekitar Kuala Lumpur, tanpa perlu sambutan red carpet, paluan kompang dan bunga manggar. Bahkan saat diwawancara sebuah stesen televisyen Malaysia, Najib cuma mengenakan t’shirt.

Suatu praktik yang tidak biasa dilakukan pemimpin Malaysia terdahulu. Ini merupakan sebahagian yang dapat kita saksikan; bagaimana Najib mengolah diri, sebagai seorang pemimpin nombor satu negera saat berdepan dengan masyarakat yang meragui kepimpinannya, guna menarik simpati dan sokongan mereka agar turut bahu -membahu bersamanya dalam sebuah perjalanan yang panjang dan berliku sebagai PM.

Namun, sebagai pemimpin parti dan negara, tanpa memilih siapa tokohnya, setiap perbutan salah akan ditegur rakyat, kritikan akan semakin pedas andai lebih banyak hal-hal yang tidak menyenangkan hati rakyat dilakukannya. Politik wang harus dikuburkan. Terhadap gerakan Islam, berlembutlah, jangan bersikap seperti harimau lapar, mulut menyangga, siap mahu menerkam.

No comments:

Post a Comment