Tuesday, July 11, 2017

Cipta sengketa bijak, mendamaikan no!




Oleh: Rossem

Di Malaysia, ramai orang memiliki ilmu mencipta sengketa. Jumlah itu semakin bertambah dengan bertambahnya alat  untuk menyebarkan sengketa.  Jarum untuk menikam seseorang boleh dikirim melalui facebook, tweter, watShap, blok  dengan hanya dikenakan sedikit kos  bil internet.  Dahulu, kalau  marahkan  seseorang ,  jumpa bomoh, guna khidmat syaitan, kirim jarum terbang  waktu malam, menikam mangsa yang sedang nyenyak tidur.  Zaman santet sudah berlalu. Datang pula media baru. 

Kebaikan media baru seperti facebook, tweter, watshap, blok,  tidak dinafikan!  Kereta digunakan untuk kemudahan  berulang alik ke pejabat mencari rezeki, membawa anak isteri makan angin, menziarahi  keluarga dan sahabat, ke pasar membeli barangan keperluan. Kereta juga digunakan untuk tujuan pergi mencuri, merompak. Bukan salah kereta, salah orang yang mengendalikan kereta.  Kereta tak masuk neraka!

Rakyat  Malaysia khususnya orang Melayu, agak ke depan dalam mencipta sengketa terutama sengketa sesama sendiri. Bijaknya mengalahkan orang Barat. Mereka akan  merasa hebat  kalau dapat membongkar serta mendedahkan rahsia orang lain.  Jika diperingatkan, jawapannya ; kami melaksanakan amal maarof nahi mungkar.  Kejahatan yang dilakukan oleh seseorang  individu mesti diwar-warkan kepada umum. Bukti di tangan!. Terimalah hukumannya. 

Mencipta sengketa itu mudah, menyelesaikan sangat sukar.  Ilmu mencari gaduh tak perlu  lepasan sekolah tinggi, sesiapa sahaja  boleh melakukannya.  Akibatnya maka tercetuslah pelbagai krisis dalam masyarakat. Organisasi politik  paling ke depan dalam bab  gaduh ini, kalau di Malaysia ada sayembara khusus mencari juara gaduh, parti politk pasti  meraih tempat utama, ke dua dan ketiga. Walhal  pemimpin politik   adalah ikon rakyat. Tempat rujukan, serta  tumpuan setiap  orang.

Seorang  kawan saya,  seorang politikus,  pernah mengambil mata pelajaran “Pengurusan  Krisis” ketika di universiti dahulu mengeloh,  krisis yang melanda parti politik sekarang  semakin parah, pemimpin hanya tahu mencipta krisis, tapi tidak tahu untuk menyelesaikan krisis. Lalu dibiarkan “krisis” itu seperti air banjir,  ke mana mahu pergi tak dipedulikan. Dalam perjalanannya  air banjir telah  merempuh rumah, tanaman, ternakan sehingga rosak binasa.  Tiada satu usaha, bagaimana untuk menyekat air banjir daripada terus mengganas.

Secara  lucuan saya menyarankan , sistem pembelanjaran Malaysia perlu diubah di peringkat menengah lagi dengan memasukan mata pelajaran “Pengurusan  krisis” supaya  generasi akan datang tahu dan bijak, bagaimana  untuk mematikan setiap krisis yang datang secepat mungkin. 

Tentang pemimpin, teringat sebuah tulisan pernah dibaca; seorang pemimpin yang baik, ibarat sebuah danau. Dia tak lasak seperti sungai di gunung, tapi dalam. Dia tidak berada di puncak yang tinggi, tapi menampung. Dia tahu bahawa sumbernya adalah air yang datang dari jauh di pendalaman; sebuah telaga tak bermula dari air yang tergenang setelah kebetulan hujan.

Kerana itu, kepemimpin yang baik tak dinilai dari keberanian bertindak. Kepimpinan yang baik terjadi ketika sesuatu tindakan maka tindakannya dilakukan secara cermat dan berhemah .

Poilitik, Politikus, Tetikus

Oleh: Rossem

Kata orang,  politikus datang dan pergi seperti sebuah sarkas yang datang membuat pertunjukan di pekan kita, dengan pelbagai aksi hebat yang mengagum dan mempersonakan, kemudian balik. Sedang masyarakat tidak mendapat apa-apa manfaat daripada persembahan  yang ditunjukkan, kecuali cuma  mengangguk-angguk kepala; sebagai pengiktirafan akan kehebatan persembahan anak-anak sarkas itu.

Manakala politik menurut mantan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon adalah seperti sebuah puisi. Ia upaya menggetarkan jiwa, membangkitkan gelora hati. Dengan politik, seperti juga puisi yang baik , boleh mempersonakan. Justeru politik itu menjadi candu kepada orang ramai. Politik hadir tanpa mengira masa dan tempat. Kedai kopi boleh bertukar jadi seperti dewan rakyat. Berhujah, berbahas, ketawa, senyum bahkan masam muka.

Politik itu seperti api, ia boleh membakar, bahkan lebih banyak membakar daripada memadam kebakaran. Terlalu sedikit politik menjadi seperti air dingin yang menyejukkan hati dan perasaan. Kerana itulah ulama dan politikus terkenal, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hayatnya menekankan bahawa; politik dan politikus harus bersalut keimanan, kalau tidak pasti kacau. Namun, politik yang dibentuk Almarhum Nik Aziz lebih 20 tahun dengan kerangka keimanan, sesudah ketiadaan beliau menjadi seperti sebatang pohon yang reput di dalam, akhirnya hilang kekuatan.
Politik satu usaha menggugat. Usaha merampas kekuasaan dari orang lain. Maka tak hairanlah jika berlaku sesuatu di luar kotak pemikiran orang ramai. Siapa pernah menyangka Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usia 90 tahun berkerja keras untuk menjatuhkan seoarng perdana menteri. Perdana menteri itu anak didiknya sendiri. Begitu wajah politik yang dilahirkan di Malaysia.

Disaat-saat getir seorang politikus, tatakala hampir ke garis penamat. Saat kritikal seperti itu, ia bagaikan seorang pelumba kereta, merempuh apa saja  abjek yang berada di hadapan, kiri dan kanan, kerana mata mereka sebenarnya buta, yang tampak hanya kilauan cahaya “kekuasaan” yang menunggu di hadapan.

Di dunia yang tidak sempurna dan sementara ini, tidak semua orang boleh jadi pemenang. Sebahagian akan menderita kekalahan. Benar seperti kata seorang penulis Barat; Politik berlangsung seperti permainan bolesepak di saat final- piala  tidak boleh dibahagi sama.

Selanjutnya penulis itu berkata lagi: Di dunia yang banyak sedih dari kegembiraan ini, selalu saja orang bertanding  yang berakhir dengan tidak tenteram, kerana setiap ada pemenang, pasti ada yang kalah. Kata-kata itu sebenarnya  ialah kata-kata Lester G. Thurow, ahli ekonomi dari Amerika Syarikat. Dia menulis takala melihat manusia semakin rakus merebut takhta, pangkat dan ringgit.
 20 Januari 2017, Presiden Amerika Syarikat, Barrak Obama akan bergelar mantan. Rumah Putih yang didudukinya selama dua penggal akan ditinggalkan. Donald Trump mengambilalih pentadbiran negara kuasa besar itu. Obama dikenang kerana sepanjang menjadi Presiden Amerika Syarikat tidak menyerang negara umat Islam.  Tidak seperti presiden terdahulu, Afghanistan, Iraq menjadi sasaran. Kita berdoa, mudah-mudahan Trump juga sekurang-kurangnya seperti Obama.

Tertarik dengan komentar pakar ekonomi terkenal Malaysia, Dr Jomo Kwame Sundaram, memberi markah “kemenangan” kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 nanti. Ramalannya itu berdasarkan kegagalan oposisi menawarkan pilihan lebih baik kepada rakyat. Rakyat juga masih belum nampak kasatuan yang kukuh terbina antara parti-parti oposisi. Yang terbayang difikiran ialah; pertandingan tiga penjuru tak dapat diselakkan. Dan kalau ia benar-benar berlaku. BN akan terus mentadbir Malaysia.









“Wajah Disekitar Kita” Pameran Karikatur Antarabangsa 1 Mac - 1 Jun 2017 BSLK



Oleh: Rossem.

Karikatur adalah suatu hasil karya lukisan objek wajah seseorang yang dilebih-lebihkan atau dikurangkan tetapi masih boleh dikenali. Tujuannya untuk sindiran, pujian dan hiburan. Sindiran selalunya melibatkan karikatur tokoh-tokoh politikus, karikatur jenis ini boleh ditemui di halaman editorial sesebuah suratkhabar.  Namun karikatur sebagai bahan hiburan paling popular, kerana tidak menimbulkan amarah mereka yang dikarikaturkan sehingga begitu rupa.  Pelukis karikatur disebut karikaturis. Di Malaysia muncul ramai karikaturis dan mereka mencari rezeki dengan merubah wajah asal seseorang tanpa bertujuan mempersendakan mereka.

Peminat karikatur sanggup melanggan suratkhabar atau majalah semata-mata untuk melihat karikatur yang dimuatkan dalam akhbar,  selalunya karikatur yang bersalut  dengan mesej politik. Mereka menyesal  dan merasa rugi kalau tidak menatapnya. Namun karikatur yang bercorak hiburan senang ditemui di media baru sekarang dan di tempat-tempat  terbuka  yang sering karikaturis mencari rezeki dengan mengkarikaturkan pelangan. Duduk sahaja dihadapan karikaturis, 15 minit, sebuah karikatur wajah sendiri siap dengan dikenakan bayaran.  

Saya sudah lama berhasrat untuk mengumpul para karikaturis bersama dalam sebuah pameran terbesar karikatur. Kalau boleh melibatkan penyertaan karikaturis luar negara. Untuk itu, saya menghubungi rakan-rakan karikaturis Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina. Mereka bersetuju bahkan mengalu-alukan pameran seperti itu.

Sesudah  ditetapkan tarikhnya, masing-masing mengirim karya lewat email, pihak penganjur mencetak secara digital dan bingkaikan.

Pameran Karikatur Antarabangsa (International Caricature Exhibition) dengan tema “Wajah Disekitar Kita” berjaya diadakan  di Balai Seni Lukis Kelantan (BSLK) selama tiga bulan mulai 1 Mac – 1 Jun 2017.Inilah  pameran karikatur melibatkan negara luar julung-julung kali diadakan di Malaysia.  Dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Balai Kartun Rossem (BKR) dan Persatuan Senilukis Kelantan (PESENI).
 Sebanyak 80 buah karya  dihasilkan karikaturis terkenal daripada 4 negara iaitu  Malaysia,  Indonesia, Singapura dan Filipina.  karikaturis  Malaysia antara paling ramai mengambil bahagian, 20 oarng, diikuti  Indonesia  11 orang, Filipina dua dan Singapura seorang.
Kartunis terkenal Malaysia Dato Mohd Nor Khalid atau Lat turut mempamerkan karya beliau. Lain-lain ialah Rossem, Don, Mie, Kerengge, Yaz Malee, Imuda, Kamal Nawie,  Syahiran, Maro, Katon Aqhari A. Rahman, Art Saad, Olylukis, Halia, Bahar Onan. Gayour, Tarzidi, Sireh, Shah,  Oden, Mohamad Taufik Ikhwan. Sementara Indonesia, Jiwenk, Romeo Jericho, Bilal Zulfiqar Abidin, Djoko Susilo, Ahmad Antawirya, Eko Supa, Ferry Way, Joen Yunus, Leo  Si Penatap Bulan, Poejiyanto, Priyo Puji Raharjo. Donny Adam, Oscar Budi Trianto. Mewakili Filipina, Neil Bayan, Tivo  Aguilar, Singapura, Kamal Dolah.  Kesemua yang mengambil bahagian adalah karikaturis terbaik di negara masing-masing.
Tivo Aguilar berasal dari Manila, bertugas di Kuwait sebagai pengarah di Albaad Media. Saat saya menghubunginya, katanya  sibuk, tetapi tetap mengirim dua karikatur untuk pameran itu.
Sambutan orangramai amat memberangsangkan, lebih-lebih lagi musim cuti sekolah. Pelawat dari luar Kelantan sambil bercuti di Negeri Serambi Mekah tak ketinggalan berkunjung ke Balai Seni Lukis Kelantan melihat pameran karikatur. Mantan kurator Muzium Negara, Dato Dr Othman Yatim dan isteri adalah orang mula-mula masuk melihat pameran iaitu pada pagi 1 Mac,  diikuti kartunis, pelakon, pelawak Imuda pada hari berikutnya.
“Pameran ini tentu  menjadi langkah besar bagi kita sebagai pelaku kartun/karikatur. Saya senang sekali dan  support penuh acara tersebut. Kalau nanti acaranya sukses, saya berharap ini menjadi acara tahunan bahkan bisa dihadiri langsung para pelaku yang terlibat ‘    tutur karikaturis palig top dari Sukabumi, Indonesia, Nurwenda Juniarta atau lebih dikenali dengan Jiwenk. 


Doktor tahu bahasa Melayu dua patah perkataan “Sakit Apa





Suatu hari yang sudah agak lama, di Hospital Besar Kota Bharu, sekarang Hospital Raja Perempuan Zainab II.  Kondisi  badan saya ketika itu kurang sihat, memaksa saya  mengisi borang sakit dari majikan untuk ke hospital. Tahun 1980an doktor tempatan amat berkurang, Kerajaan Malaysia terpaksa membawa masuk doktor dari luar negara, seperti Indonesia dan Mesir untuk menampung kekurangan doktor tempatan itu.

Nama saya dipanggil, daun pintu ditolak perlahan. Tampak doktor sedang menulis sesuatu di meja. Wajahnya seperti orang Arab, hidung mancung, kepala botak, bertali leher.  Saya beri salam- tak berjawab.  Saya duduk di kerusi pesakit di sisinya. Tak tergambarkan, gembiranya hati saya dapat berubat dengan doktor Arab Mesir yang saya kira  memiliki ilmu kedoktoran terbaik dan bersikap lemah lembut.

“Sakit apa?”  Tanya doktor Mesir.  Matanya merenung wajah saya yang sedikit pucat.  Saya memberitahu  secara terperinci tentang sakit saya. Doktor Mesir itu bertanya lagi “ Sakit apa?” suaranya kali ini sedikit meninggi.  Saya ulangi cerita tentang sakit. “ SAKIT APA?” dia bertanya lagi. Tahap ketiga ini suaranya sudah lain macam.  Vokalnya seperti  harimau menggaum,  memaksa  juruwawat  datang.

Selepas itu baru saya tahu, rupanya doktor Mesir ini tahu bahasa Melayu hanya dua patah sahaja iaitu Sakit Apa?.  Yang saya cerita  panjang lebar itu rupanya ia tak faham.


Kecil tidak seperti perahu, besar tidak seperti kapal




Oleh: Rossem

Di sebuah pentas, jika ada dua orang   dan satu orang memberitahu;  saya dapat tunjukkan orangnya yang dapat menyelesaikan  perbalahan politik  di Malaysia  dan  orang yang satu lagi memberitahu,   saya cadangkan  Datuk Husam Musa menjadi Menteri Besar Kelantan selepas PRU 14 nanti  jika Pakatan Harapan menang.  Anda tahu, siapa yang  masuk berita  televisyen atau suratkhabar  pada malam itu atau esok  pagi? Tentulah Husam Musa sebagai  bahan berita, tak kira samada ditulis  wartawan   TV atau  akhbar.

Berita itu  menarik perhatian publik, wajar diangkat menjadi  berita utama. Sebaliknya  cerita  ada seseorang berusaha  kearah untuk mendamaikan parti-parti politik yang bertelegah tidak menarik. Tak ramai yang suka membacanya, ia bukan sebuah berita yang diburu wartawan. Disisi lain, barangkali, kita tak berminat untuk berbaik-baik sesama kita.

Itulah realiti yang berlaku di Malaysia.  Cerita  Husam Musa  dicadangkan sebagai Menteri Besar  Kelantan jika Pakatan Harapan menang di negeri itu  pada PRU14 menjadi isu  panas, walhal cadangan yang disuarakan penasihat DAP, Lim Kit Siang  usai  makan ketupat dan rendang di majlis sambutan hari raya aidilfitri di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu baru-baru ini secara berseluroh, spontan dan berstatus  bercanda.  

Kata bersahut;  lawan politik Husan Musa dari PAS terutama pemimpin mereka memberi komentar  dengan ayat-ayat berbau  sindiran. Menulis dalam facebook, twitter dengan kata-kata panas, Polemik pun tak terelakkan. Hasilnya,   tanpa sedar nama Husam Musa naik satu anak tangga. Turut tersenyum simpul ialah Lim Kit Siang, dirinya menjadi orang “hebat” , setiap yang keluar dari mulutnya diangkat menjadi isu.

Tak keterlaluan kalau dikatakan, rakyat Malaysia suka kepada  sesuatu yang  mengkhayalkan.   Benda yang tak pasti, itulah yang difikir, dibahas malam siang. Bagaimana nak menurunkan harga barangan keperluan, seperti  daging ayam, ikan, sayur tak pernah fikirkan.

Hakikatnya, perbalahan antara PAS dengan AMANAH perbalahan adek beradek. Setahun dahulu, setelah melihat  bibit-bibit perpecahan  akan berlaku, saya sudah menulis sebuah kata-kata keras berbau “amaran”- Awas bahaya besar menunggu di hadapan.  Sebagai seorang yang sudah melewati usia, perasaan “takut” terjadi  perpecahan di dalam jamaah PAS  lebih terserlah berbanding  orang muda.  Sekarang menjadi realiti. Telan pill killer pun  kesakitannya tak berkurang, tunggu dan lihat satu-satunya jalan yang dipilih.

Bahayanya, masing-masing  tahu kelemahan diri  masing-masing, kerana dahulu pernah tinggal sebumbung. makan minun, mesyuarat, membuat keputusan bersama. Pemimpin dan pendokong PAS tahu, di mana kelemahan pemimpin  AMANAH, begitu sebaliknya.  Rahsia anda  dalam saku saya, rahsia saya dalam saku anda.  Berbeza bergaduh  politik dengan Umno, mereka tak mengetahui  hal  dalaman PAS secara jelas, andai mereka tahu sekalipun, tak berani bongkar, kerana mereka juga kemungkinan melakukan perkara yang sama bahkan lebih  parah, baik tutup sahaja.

Saya pun tulis sebuah sajak satira:

 ASAL SEKAPAL

Dahulu  sekapal
sama-sama meredah samudera
panas mentari membakar kepala
dingin suhu  di malam hari
dilambung badai  musim tengkujuh
tetap berpaut di kaki nahkoda
tak terlepas walau sesaat
ia satu-satunya nahkoda 
yang bernama nahkoda


Kini, setelah kematian nahkoda
yang bernama nahkoda,
diangkat nahkoda baru
sebahagian awak-awak kapal   tak  bersetuju
mereka  lalu meninggalkan kapal
dan membina kapal baru


Kecil tidak seperti perahu
besar tidak seperti kapal
mula berlepas dari pelabuhan
belajar bermain ombak
terumbang ambing
sekejap ke tengah sekejap ke tepi


Tampak jelas  kain layar
tidak putih tetapi oren
sangat kontradik dengan warna laut
yang kebiruan dan kehijauan


Dahulu sekapal
seperti adek beradek
rahsiamu di tanganku
rahsiaku di tanganmu
simpan dalam peti
sekarang sedikit-sedikit  sudah terbuka
akan datang banyak lagi peti akan dibuka


Benar kata orang tua-tua
jangan bergaduh adek beradek
dua-dua akan jadi abu
yang tinggal ialah puing-puing sejarah
keegoan  seorang bernama pemimpin!