Sunday, December 16, 2018

Kesusahan lama jangan diulangi



Oleh: Rossem
Selepas  mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957, Malaysia berhadapan dengan pelbagai pancaroba, komunis mengangkat senjata.  Rakyat dipaksa menyokong perjuangan mereka. Sesiapa enggan   dihabisi. Infrastruktur dan pasarana   dimusnah. Jalan keretapi diletupkan. Sejumlah rakyat terkorban di tangan pengganas  komunis.  Darurat terpaksa  diistiharkan.  

Selepas darurat pertama  tamat 1960. Saki baki pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM)  berundur ke Selatan Thailand.  Tahun 1968   bangkit semula.   Dari pengkalan mereka   di  Betong dan Weng,  pengganas menyusup masuk ke Perak, Kelantan, Pahang, Kedah membuat kacau dan onar. Rakayat hidup dalam ketakutan.  Suasana aman hanya dikecapi setelah termenteri perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia - PKM   2 Disember 1987 di Haadyai. 

Tahun 1963   Parti Komunis Kalimantan  Utara (PARAKU)  melancarkan pemberontakan bagi menumpaskan kerajaan Malaysia  yang baharu dibentuk ketika itu.  Kejayaan Vietcong di Vetnam mengalahkan  tentera Amerika Syarikat  menaikkan  semangat juang PKM dan PARAKU .
Siapa yang bergadai nyawa demi mempertahankan tanah air  dari dikuasai petualang?  Tugas berat itu dipikul  Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Orang Melayu. 

 Konfrantasi Malaysia- Indonesia meletus (1962-1966),  gara-gara Presiden Republik Indonesia ketika itu, Bung Karno tak bersetuju  Persekutuan Tanah Melayu  bersatu dengan Sabah, Sarawak.  Teriakan ”Ganyang Malaysia”  dari seberang Selat Melaka  membuat rakyat Malaysia hidup dalam situasi dan kondisi tak aman.  Dengan bilangan tentara Malaysia yang kecil, berhadapan dengan bala tentera Indonesia yang besar ibarat gajah berlawan dengan tikus. Namun semangat juang pasukan tentera dan polis  kita  tak kurang hebatnya. Agi idup agi ngalaban. Selagi hidup terus berjuang. 

 Tragedi 13 Mei 1969 mencatat sejarah hitam bagi Malaysia. Api sengketa kaum marak di Kuala Lumpur. Kehidupan harmoni pelbagai kaum    musnah sekelip mata gara-gara politik rasis yang menebal dikalangan pemuka-pemuka  parti politik ketika itu. Mereka adalah  sumbu yang menyalakan api  perkauman. Pembantaian  pun tak terelakkan.   Mayat bergelimpangan, rumah, kenderaan  dibakar, asap hitam memenuhi angkasa. Warga Kuala Lumpur sebahagiannya    kehilangan tempat tinggal, mereka  menjadi pelarian di tempat sendiri.  Stadium merdeka,  stadium negara dan stadium Chin Wo menjadi rumah baru.   Bayangkan ribuan tinggal di situ dengan tandas  tak sampai 10 buah, bekalan  air  sering terputus. 

 Saya sebahagian dari komponen pasukan keselamatan ketika itu, bertugas  sebagai “polis sukarela tanpa upah dan bayaran. Pihak berkuasa  datang ke asrama kami di Ulu Langat, mempelawa membantu PDRM. Berbekalkan semangat darah muda yang berkobar-kobar kami terima lamaran. Kemudian diberikan selaras  senapang patah dengan lapan biji peluru penabur. Tugas diberikan    mengawal  “pelarian Cina” di Stadium Merdeka. Melihat sendiri dari dekat sengsaranya hidup bila negara tidak aman.    

Kuala Lumpur kehilangan seri wajah. Kuala Lumpur seperti orang tua  tak terurus. Di jalan raya trak-trak tentera dan polis mundar mandir.   Jangan sesiapa cuba menghulurkan kepala dari jendela rumah- peluru tak bermata bila-bila masa  singgah. Perintah berkurung menyukarkan warga  mendapatkan bekalan  makanan. Kepayahan  tak tergambarkan. 

 Generasi sekarang sepertinya tidak mengetahui, susah derita generasi terdahulu di era darurat, konfrantasi, Mei 13, keganasan PARAKU di Sarawak  tersangat pedih. Tiada kata-kata untuk mengambarkan kepayahan itu.  Keharmonian, kebahagian yang dikecapi hari ini dibina di atas tulang empat kerat, keringat, darah dan air mata  generasi dahulu,  maka janganlah ada tangan-tangan gatal yang ingin kerosakannya.
  

1 comment: