Sunday, December 16, 2018

Selamat jalan 2018.



Oleh: Rossem

Akhir tahun yang mendebarkan, bahkan merentap perasaan. Hampir 600 pekerja Utusan Melayu diberhentikan kerja. Nasib  yang sama menimpa pekerja TV3. Sektor perkilangan, gedung-gedung perniagaan, perladangan juga  mengurangkan  kakitangannya atas aasan kemerosotan ekonomi. 
Yang paling tarjis ialah pekerja media khususnya media cetak. Sebuah syarikat media gergasi seperti Utusan Melayu  pun tak dapat menongkah arus zaman yang  deras,  terpaksa mengecilkan size kakitangannya menjelang tahun baharu 2019. Tinggal beroperasi ialah akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo. Semua penerbitan majalah khabarnya diberhentikan. Majalah tertua -Mastika diiringi ke liang lahad.  Sebagai orang Melayu, dilanda kesedihan mendalam, tersentap nurani; Mastika daripada tulisan jawi kemudiuan ditukar kepada tulisan rumi, akhirnya disemadikan di pusara kenangan buat bangsaku yang sedang  diragut zaman digital. 

Di parlimen, Ahli Parlimen PH Kampar, Abdullah Sani membangkitkan isu pembuangan kerja begitu ramai dikalangan pengamal media; apakah tiada satu cara bagi kerajaan untuk mengatasi hal tersebut. Beliau  bercakap membela kaum pekerja kerana dahulu  beliau dari kesatuan sekerja.

Saya pernah mengalami nasib  sama dengan kakitangan Utusan Melayu yang diberhentikan kerja. Berkongsi perasaan suka duka. Di hadapan umum senyum bahkan ketawa, di dalam hati  resah gelisah Tuhan sahaja yang tahu. Hidup di Kuala Lumpur  memerlukan wang. Mencari wang juga dengan wang. Teringat anak-anak masih bersekolah. Kemiskinan bandar lebih parah daripada kemiskinan kampung, hanya di bandar orang tak tahu. 

Ketika itu tahun 2001. Genap 9 tahun bekerja dengan akhbar The Sun di Petaling Jaya,  tiba-tiba majikan memberitahu, akan mengecilkan size kakitangan hingga 85 peratus. Daripada 500  kakitangan hanya tinggal 50 orang. Masing-masing bertanya, siapa yang tersenarai dalam 450 itu. Berbulan-bulan  bermain teka teki. Kami ada “union”. Ketua Kesatuan Sekerja kami orang India, mengajak  berpiket  di tepi Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya. Selepas habis waktu kerja, kami angkat sepanduk di lebuhraya. Kereta-kereta bertali arus membunyikan hon tanda simpati. Pemimpin kesatuan sekerja Malaysia dan pemimpin politik pembangkang ketika itu DAP pun datang tunjuk simpati  kami yang dilanda musibah. Akhirnya majikan mengeluarkan senarai mereka yang tak dikehendaki. Yang terlibat dengan piket semua diberhentikan kerja termasuk saya, walhal saya cuma ikut-ikutan sahaja.

 Bukan marahkan majikan kerana memecat kami. Ketika itu ekonomi merudum, jualan akhbar pula tak mencapai sasaran. Mengecilkan size kakitangan solusi terbaik. Kami terima dengan  reda. Mungkin rezeki kami di tempat lain.   

Hujung tahun memang mendebarkan. Bagi pekerja kontrak,  satu pertanyaan bermain di benak; apakah perkhidmatan disambung atau tidak?. Sembilan tahun saya menyimpan pengalaman sebagai kakitangan  kontrak di jabatan kerajaan negeri.  Di bawah saya ada lima staf. Bulan November saya mengisi borang penilaan kerja mereka. Pekerja kontrak berbeza dengan pekerja biasa.   Tahap markah penilaian mesti tinggi mencecah  90 peratus. Kurang daripada itu tak layak disambung.  Sedangkan kita tahu, untuk memberikannya 70 peratus pun  sukar.  

Kepada yang diberhentikan kerja, tanpa mengira  “istilah”  digunapakai, sabar dan reda, ada rezeki di tempat baru nanti. Orang  kampung, nelayan, penoreh getah hidupnya lagi mencabar  terutama musim tenkujuh di akhir tahun.



1 comment: