Tuesday, May 15, 2018

Perbalahan Pas-Amanah: Siapa boleh jadi orang tengah ?



Oleh: Rossem

Tertarik dengan tulisan penulis veteran Pak Subky Latif dalam Harakahdaily baru-baru  ini “Usah pedulikan Pas dan usah tunggu Pas”. Merujuk kepada usaha-usaha Pakatan Harapan mengajak Pas bersama parti-parti tersebut  menghadapai  PRU ke 14  nanti agar tidak berlaku pertembungan tiga penjuru. Tulisan beliau  mudah difahami, jika masih ada yang tak falam sesudah  membacanya,  ada masalah, harus berubat.

Subky menekankan, kehadiran DAP dan Amanah dalam pakatan pembangkang menjadi
penyebab utama Pas enggan bersama pembangkang."Sekalipun Mahathir dan Anwar dapat cantumkan otak mereka yang bergeliga itu, Pas tetap macam sepat tak makan pancing berumpan emas. Biar kucing bertanduk, cacing dapat telan ular, Pas bersama rakan-rakannya selesa bersendiri. Justeru, "Pembangkang buatlah apa yang patut! Jangan buang masa menunggu Pas!" kata Pak Subky.

Penulis Memoir Kewartawanan “Anak Apak” dan buku lanjutannya “Propagandis Zaman (PZ)” memang saya kagumi sejak dahulu. PZ setebal 670 muka surat. Saya sudah membacanya. Cepat khatam kerana Pak Subky Latif  sebagai   perakam sejarah tanahair, seorang wartawan aktif sejak 1963 sehingga awal 80an,  banyak peristiwa dilaluinya ditulis, saya seronok membaca kerana sebahagian daripada cerita yang ditulis itu berlaku di zaman saya remaja, seperti konfrantasi Indonesia- Malaysia atau Gayang Malaysia, pembentukan Malaysia, pemberontakan  Azahari di Brunei, gagasan Maphilindo dan banyak lagi. Nama-nama yang disebut, adalah nama-nama yang tak asing lagi kepada saya di zaman remaja, pembaca berita radio Malaya ketika itu  sering menyebutnya.

Pengalaman menjadi wartawan kemudian dibukukan sehingga  dua judul (Anak Apak dan Propagandis Zaman), mencecah lebih 600 muka surat setiap satu.   Hakikatnya beliau seorang penulis yang bukan calang-calang.  Dengan menggunapakai  bahasa kewartawanan yang mudah difahami, ramai pembaca tertarik, bukunya laris, ramai peminat bertanya, di mana mahu mendapatkan naskah itu.   Buku “kisah pengalaman” seumpama itu yang paling tebal pernah saya baca ialah buku “Hidup Tanpa Ijazah” karya penulis Indonesia Ajib Rosidi. Buku terbitan Pustaka Jaya itu tebalnya 1330 muka surat. Satu kali ganda dengan ketebalan buku PZ.  Manakala buku yang paling berat ialah “Melakar Sejarah Kelantan” karya Wan Ramli Wan Muhamad.  600 muka surat dengan berat timbangan dua kilo.

Suatu sore, kebetulan saat  minum teh di warung, singgah   salah seorang pemimpin Pas peringkat negeri  Kelantan bergelar Dato’  , lalu kami minum bersama. Dato’  itu bertanya pandangan saya tentang Amanah. Kurang pasti samada beliau  mahu mengetahui  tentang posisi saya masih istiqomah bersama Pas atau sudah berhijrah kepada  Amanah.  Secara jujur saya nyatakan, saya tak suka perpecahan berlaku dalam jamaah seperti  terjadi  sekarang.  Pendirian saya, tak mahu melukakan hati sesiapa lewat percakapan atau tulisan, samada  orang Pas atau Amanah. Bahkan bila penyokong Pas dan akhbar rasmi Pas memanggil  Amanah itu PAN, saya sedih.  Bukankah Islam menegah memanggil  nama-nama   yang jelek, apa salahnya memanggil Parti Amanah Negara dengan nama rasminya iaitu Amanah sepertimana dicatat dalam pendaftaran parti.  
Saya cadangkan kepada  beliau (walaupun sudah terlambat),  carilah “orang lama” dalam Pas yang disegani,  minta tolong   menjadi orang tengah, berunding agar yang bersengketa  bertaut kembali, lupakan peristiwa hitam  dahulu.  Disamping itu kita kerah jamaah  diseluruh negara bersolat hajat, mohon kepada Allah SWT lapangkan dada, jernihkan fikiran, buang egonisme, datangkan  keinginan  untuk kembali berbaik-baik. Kalau masalah  lain kita boleh kerah bersolat hajat pada dini hari, hatta masalah umat Islam luar negara seperti Gaza atau baru-baru  ini solat hajat   RUU355, kenapa untuk mempertautkan silaturahim tak boleh, walhal dituntut oleh Islam.
Saya tak respons, ketika pemimpin Pas bertanya, saiapa orangnya yang layak mendamaikan yang bermusuhan itu. Kemudian dia sendiri memberi jawapan “ Seingat ana, Veteran Pas yang masih ada dan disegani hanya Pak Subky Latif”.
Hakikatnya, sebagai parti berasaskan gerakan Islam, Pas mampu berdiri sendiri. Salah satu parti Islam terkenal di Pakistan ialah Jamaat -e- Islami  yang diasaskan Almarhum Sayyid Abul Ala Maududi, kendatipun  tak pernah berjaya  membentuk kerajaan, tetapi parti itu tak mati , setiap kali pilihan raya umum lima  atau enam kerusi  ditangan mereka. Satu lagi Jamaat -e-Islami Bangladesh.  Sesiapa berhajat  mahu memerintah negara  jangan masuk parti itu. Carilah parti lain.



No comments:

Post a Comment