Saturday, May 26, 2018

Melihat akar umbi PAS



Oleh: Rossem
Ada seseorang  menuturkan “ Pas sekarang memperolehi 18 kerusi parlimen,  parti itu memerlukan 100 kerusi lagi untuk memerintah Malaysia. Kita sudah boleh berangan-angan mulai  sekarang...”  Saya tak pasti, ungkapan orang  itu serius atau menyinis. Kalau serius fikirannya sedikit berkecamuk,   usianya  sekitar 20an, politiknya belum matang. Apa  yang dibayangkan di benaknya  bahawa  PAS hanya memerlukan 100 kerusi untuk ke Putrajaya.  Mudah bunyinya, tetapi ini bukan  beli kerusi di kedai perabot. 

Pendapat  “aneh” seperti ini  sebenarnya pendapat  majoriti  pengundi muda  PAS masakini. Tetapi bagi orang dewasa seperti saya yang sudah matang dengan selok belok politik Malaysia, 100 kerusi itu merupakan  sebuah khayalan.  Namun pengalaman “berkhayal” seperti itu, di zaman muda  dahulu juga  pernah ada, - mengasyikkan, justeru saya tak marah sangat kepada anak muda yang suka berkhayal.  

Bila kita mengemukakan hujah dan rasional  untuk menyangkal opini   yang lebih mirip kepada “Mat Jenin”,    dengan nada sedikit tinggi ia berkata “ Akan berlaku dengan pertolongan Allah” Disergah kita  “ Apakah  pakcik  tak yakin  pertolongan Allah?”  Bila itu jawabannya, saya mengalah,  membuang masa  berdiskusi  dengan  si fanatik. 

 Dihari lain, ada seseorang  cuba membakar semangat di hadapan saya. “Jika Anwar Ibrahim mahu merampas Kelantan dan Terengganu dari tangan PAS, kami dari kelompok pemuda  bersiap  siaga menyingsing lengan, menumpahkan keringat  mempertahankan negeri ini.  “Baru dua hari keluar penjara sudah cakap besar...Pooooragh”.  Dan banyak lagi kata-kata menjelekkan Anwar tersembur dari mulutnya. 

 Pendokong PAS itu merujuk kepada  ucapan Anwar  di hadapan ribuan khalayak  di Petaling Jaya pada malam sehari selepas beliau mendapat pengampuan Seri Paduka Yang DiPertuan Agung, Sultan Muhammad V .  Dalam pidato itu Anwar menyebut, dua negeri  - Kelantan dan Terengganu yang dimenangi PAS pada PRU14 lalu di masa mendatang  akan kembali ke pangkuan  Pakatan Harapan.
Golongan   pentaksub hanya melihat  kesalahan orang lain, tak nampak akan kesalahan sendiri. 

Mereka lupa   Presiden PAS  Haji Hadi Awang sendiri  pernah suatu   saat berceramah memperkenalkan calon  PAS  di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu  mengatakan  logo PKR  adalah  manifestasi  dari mata lebam Anwar . 

Hadi seolah-olah  yakin, Anwar tumbuk matanya sendiri sehingga lebam.   “Mata lebam itu satu lakonan seperti terdapat dalam filem Tamil”. Demikian kata  Haji Hadi.  Ketika “langkah Kajang” dahulu beliau juga mempersendakan   Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan kata-kata yang tak sepatutnya terbit dari seorang bergelar ulama.


 Kata cerca Haji Hadi itu berlaku ketika Anwar berada dalam penjara, namun tembok penjara tak  menghalang  cercaan itu sampai ke telinganya. Justeru jika Anwar marahkan  PAS pun bisa dianggap wajar dan munasabah.   Hanya pentaksub PAS sahaja tak nampak perbuatan buruk dilakukan pemimpin mereka sendiri. Yang dilihatkan hasrat Anwar (PH) mahu rampas Kelantan dan Terengganu.  Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak.

Seorang lagi, kebetulan kawan lama, kami dahulu sama-sama jentera PAS. Beliau sangat berbangga dengan PAS yang dipimpin Haji Hadi. “ Allah SWT telah membersihkan PAS dari golongan munafik, sekarang munafiqin  sudah keluar PAS . Kini PAS  menjadi wadah yang lebih diberkati” .  Saya diam, tak ada faedah bertengkar dengan orang seperti ini. 

 Akar umbi PAS terutama kaum ibu sangat fanatik kepada PAS, mereka beranggapan PAS adalah satu-satunya parti Islam  di Malaysia, justeru pilihan mereka  hanya satu;   undi PAS bererti undi Islam, undi selain PAS bererti undi bukan Islam.  Hanya PAS boleh menyelamatkan Islam di Malaysia. 

PAS berjaya menanam “doktrin”  ini ke dalam setiap hati pendokongnya melalui  ceramah yang berapi-api, guru-guru halaqah . Ustaz-ustaz  lantikan politik ini menyampaikan kuliah  di dataran-dataran Ilmu yang banyak wujud di Kelantan, juga di  masjid, surau setiap daerah dan kampung. Pernah  suatu ketika saya mengikuti kuliah guru Halaqah yang berbicara tentang hudud.  Hebat penerangannya, sesiapa mendengarnya seolah-olah hudud akan dilaksanakan besok hari.  Si ustaz ini langsung tidak menyentuh  tentang perlembagaan negera dan halangan-halangan   perundangan lainnya jika hudud itu mahu dilaksanakan di Malaysia, kerana mereka bukan pakar dalam bidang perlembagaan dan perundangan.  Namun penerangan seperti ini  berjaya membentuk ketaksuban pendokong  PAS. 

Ini adalah sekelumit   contoh, bagaimana PAS membina   kekuatan  di Kelantan  sehingga sukar ditembusi parti-parti lain. Umno hampir 30 tahun mencuba  mengikis ketaksuban ini namun gagal,  PH juga tak berjaya  sehingga calonnya banyak hilang wang deposit.  Benar seperti kata orang, PAS Kelantan  ibarat gamat di laut, dipotong-potong , dikerat-kerat badanya ,  kembali bertaut , bercantum dan hidup semula . Saranan Anwar Ibrahim untuk merampas Kelantan dan Terangganu pada PRU akan datang tak mungkin tercapai kecuali dengan kebijaksanaan dan pendekatan  luar biasa.  


1 comment: