Tuesday, May 15, 2018

Kampungku zaman Malaya



Oleh: Rossem
60 tahun dahulu,   tahun 1950an, kampungku hanya dihuni masyarakat yang punya tali kekeluargaan antara  satu sama lain, kalau terdapat orang luar, samada lelaki atau perempuan kerana mereka berkahwin dengan  salah seorang warga desaku, cepat menyesusuaikan diri dengan masyarakat , membentuk ikatan kekeluargaan, akhirnya dapat diterima sebagai  orang asal kampung  itu.
Berkerja  berasakan gotong royong, daripada menyiapkan rumah hingga membuat /membaiki jalan  semuanya hasil titik peluh bersama warga desa.  Kerangka rumah (Kayu)  memang dibangunkan oleh tukang rumah, bila tiba kepada pemasangan  atap dikerah orang kampung memasangnya,  dengan semangat gotong royong bisa disiapakan  hanya dalam masa satu hari,    tuan rumah hanya menjamu makan  bubur caca. Sejenis bubur yang  diperbuat daripada beras pulut, sangat popular di Kelantan  zaman Malaya. 

Begitu juga membuat jalan baru atau membaiki jalan lama, waktu itu jalan tanah, belum diturap dengan aspal,  ketua kampung  atau orang  disegani di desaku mengerahkan  orang -orang kampung  bergotong royong , masing-masing membawa cangkul, kapak dan parang.  Kami belum kenal jentolak.  Usai gotong royong dijemu  bubur caca.  Hebat semangat kerja sama antara warga desaku tahun sebelum merdeka dan beberapa tahun selepas Malaya mencapai kemerdekaan.

 Tahun 1958, menyedari  desaku tak punya sekolah untuk tempat anak-anak  warga  belajar  khususnya diperingakat rendah,  orang-orang kampung  bergotong royong  membangunkan sekolah.  Sebuah penitia dibentuk,  almarhum ayahku termasuk salah  seorang penitia iaitu sebagai bendahari.  Setiap penitia dipertanggungjawabkan  mencari kayu  di bukit bukau hutan rimba untuk membuat tiang, mencari buluh untuk dinding, rumbia untuk  atap dan sebagainya.  Paku dan dawai sahaja beli.  Semantara lantai dibiarkan tanah, olehkerana dipijak-pijak, tanah menjadi keras seperti simen yang dikonkrit. 

Di musim tengkujuh  atau musim hujan, lantai tanah seperti bendang padi, lebih-lebih lagi bila atap rumbia sudah mula tiris. Ketika itu,  70 peratus murid-murid ke sekolah berkaki ayam, tak boleh  pakai sepatu,  tak siapa yang melarang, cikgu pun pakai selipar Jepun.  Waktu itu selipar Jepun  cukup terkenal , buatan asli dari Negara Matahri Terbit, orang miskin tengok keluar air liur, nak beli tak mampu, harganya dikala itu RM2.50.  Mahal!

Tenaga pelajar atau guru disumbangkan oleh setiap penitia tanpa apa-apa upah. Mereka mengajar secara percuma, hanya dijanjikan oleh kerajaan, akan diserapkan sebagai guru tetap. Akhirnya janji dikotakan, setahun kemudian  diberikan gaji sebanyak RM60 sebulan bersama tunggakan setahun.  Guru-guru pun mula pakai motosikal  Honda Belly atau skuter Lambareta  ke sekolah.
  
Ketika itu tak ada pun orang kampung  bercakap  tentang wakil rakyat, apalagi mahu meminta bantuan kepada Yang Berhormat.  Masyarakat sedar , negara baru mencapai kemerdekaan , menteri baru nak belajar bagaimana mengurus negara.  Wakil rakyat  baru nak belajar pakai songkok senget.  Kewangan negara  tak mengizinkan untuk membangun ribuan  sekolah, menurap jalan raya seluruh negara  sekaligus. . 

Rakyat percaya keikhlasan menteri-menteri  kabinet dalam mengurus negara yang baru lepas dari penjajah Inggeris. Justeru rakyat memahami dan tidak bersungut.  Rela  melakukan sendiri , walaupun  membina jalan kampung dan sekolah rakyat adalah tugas kerajaan. Jauh berbeda dengan sekarang,  mangkok tandas  pun minta dari wakil rakyat.  Tak pula terdengar , menteri  melesapkan wang negara waktu  itu.  

Berbalik kepada cerita awal tadi. Kampungku  kekal dalam situasi dihuni penduduk asal sehingga tahun 1900, bila warga desa menjual tanah kepada pemaju perumahan , lalu berdirilah taman-taman perumahan dengan rumah-rumah teres di beberapa tempat.   Kemasukan orang luar pun tak terelakan.  Harga tanah semakin tinggi saban tahun.  Keghirahan orang-orang  kampuang menjual tanah pusaka mereka  setinggi angan-angan wang yang bakal diperolehi.  Tanah kemudian dipecah lot kepada lot perumahan, dijual  lepas sebidang sebidang, orang luar membeli tanah tersebuh kemudian mendirikan rumah banglo yang besar dan megah. 

Sekarang (1917), penduduk asal kampung saya tinggal 50 persen.  Struktur masayarakat berubah total. Lalu teringat kisah yang pernah ditulis Munsyi  Abdullah bin Abdul Kadir dalam bukunya- Hikayat Abdullah (1849).  Ketika itu  pada abad ke 18, orang Melyu memiliki tanah yang luas di Singapura. Pendatang Cina dan penjajah Inggeris  menawarkan harga yang tinggi, lalu tanah itu dijual. Orang Melayu menjadi  kaya. Wang hasil jualan tanah dibelinya kereta, olehkerana jalan raya belum banyak, hanya sekitar Kampung Gelam, kereta akhirnya  menjadi  perhiasan di hadapan rumah.  Sekarang tinggal berapa helkar sahaja lagi tanah milik orang Melayu di Republik Singapura. Kuasa politik bertukar tangan.  Temasik tinggal kenangan.  Berputih mata. 

Ada lagi cerita Allahyarham Abdullah Munsyi yang tersentuh nurani “ Sejak Singapura menjadi negeri, kain cita Eropah menjadi basahan, kain sakhlat dibuat seluar, kain Bugis berkilat dan sapu tangan batek tercacang di kepala. Ada yang berpayung sutera di tangan dan bercapal di kaki.  Mereka (Orang Melayu) bertutur bahasa Inggeris seperti air mengalir. Kalau orang Inggeris  hendak bertutur bahasa Melayu dijawab dalam bahasa Inggeris”.  Sekarang pun serupa! Bahasa ibunda  seperti melukut di tepi gantang.  Kalau dahulu dilakukan sultan Singapura, sekarang elit-elit politik bangsa Melayu sendiri.  Apa nasib bahasa Melayu akan datang,  wallahualam. 

Itu realiti  kampung saya,  dalam  tempoh   40 tahun warga asal tinggal hanya 50 peratus. Malaysia juga begitu, semakin surut dari masa ke semasa.







1 comment: