Saturday, September 3, 2011
Meluruskan sejarah amat menyakitkan
Oleh: Rossem
Generasi Malaysia yang lahir selepas kemerdakaan rata-rata dilanda kecelaruan sejarah yang sangat membingungkan. Harus dimulai dari mana sejarah kemerdekaan itu?
Kerana yang didendangkan selama ini lewat radio, televisyen, mahupun coretan sejarah yang tertulis di lembaran kertas; kemerdekaan tanahair diperolehi lewat tangan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera dan teman-temannya pada 31 Ogos 1957. Maka sejarah kemerdekaan pun bermula daripada tanggal tersebut.
Sedangkan seperti umum mengetahui, Malaysia (dulu Tanah Melayu) dijajah oleh bangsa Barat selama hampir 500 tahun sejak Portugis menakluki Melaka 1511, diikuti dengan Inggeris sehingga 1957. Tempoh 500 tahun itu sangat panjang, apakah sepanjang tempoh itu bangsa kita tidak pernah melahirkan putera puteri pejuang kemerdekaan?
Dan sememangnya bangsa kita tidak pernah kemarau dengan tokoh yang berani mengangkat senjata melawan Inggeris. Nama-nama seperti Haji Hassan (Tok Janggut), Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Abdulrahman Limbong, Dol Said, adalah nama-nama besar yang terjun dalam gelanggang perlawanan terhadap Inggeris. Malangnya mereka tidak ditempatkan diwilayah yang selayaknnya sebagai menghargai sumbangan sang perintis kemerdekaan itu.
Tahun 40an dan 50an, sederet lagi tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan lahir, seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ahmad Boestaman, Ishak Haji Muhamad (Pak Sako). Tokoh-tokoh ini, disebabkan sejarah perjuangan mereka tidak sehaluan dengan semangat UMNO, lalu jasa mereka ditutupi dengan tirai hitam dari pengetahuan umum.
Walhal, mereka adalah perintis kemerdekaan sejati yang sebahagiannya pernah meringkuk begitu lama dalam penjara Inggeris, bahkan diantaranya ada yang syahid, seperti Tok Janggut. Namun tokoh-tokoh awal yang menyumbangkan keberanian yang tiada tolok banding ini bagaikan “orang asing” dalam pentas kemerdekaan Malaysia. Jasa mereka tidak pernah dikenang.
Umum tidak menafikan peranan Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj sebagai bapa kemerdekaan Malaysia. Sejarah tetap mengarap nama besar itu, tapi disebalik Tunku dan teman-temannya, tokoh-tokoh yang disebut itu jangan dipinggirkan, kerana generasi sekarang punya hak untuk mengetahui sejarah kental perjuangan sang pemberani itu, lama sebelum Tunku berperanan.
Kecelaruan minda kita semakin kusut bila setiap kali menyambut perayan ulangtahun kemerdekan, televisyen menayangkan filam, contohnya “Bukit Kepong”. Filem yang disutradara Jin Shamsuddin 1980an itu mengesahkan serangan pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas balai polis Bukit Kepong.
Cerita sebenar disebalik serangan itu ialah, PKM yang memiliki kekuatan 200 seldadu, majoritinya Cina, diketuai orang Melayu, iaitu Mat Indera. Namun atas permintaan tertentu, untuk filem itu peranan Mat Indera dikecilkan dengan ketuanya digantikan dengan orang Cina. Mat Indera hanya sebagai peniup serunai (trumpet), namun kebaikannya masih dikekalkan, iaitu beliaulah yang mengarahkan supaya isteri dan anak-anak anggota polis keluar dari kawasan maut (tembakan) dengan signal kenyet mata supaya tidak menjadi mangsa peluru dari pasukannya.
Kejadian itu berlaku tahun 1950, iaitu 7 tahun sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957. Waktu itu Jalur Gemilang belum wujud. Yang berkibar di mana-mana di Malaysia ialah bendera Union Jack (Inggeris). Mat Indera waktu itu melawan penjajah Inggeris, sementara anggota polis pula bermajikankan Inggeris.
Timbalan Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu mengejutkan ramai orang dari terlena bila dalam ceramahnya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang, tanggal 21 Ogos 2011 menyebut Mat Indera sosok yang melawan Inggeris. Maka sesiapa juga, waktu itu yang melawan Inggeris dikatogerikan sebagai jahat, pengganas, walhal mereka berjuang menghalau Inggeris dari tanahair. Mereka mahu membebaskan negara dari penjajah Inggeris.
Kata-kata Mat Sabu itu menimbulkan kontroversi. UMNO mengambil kesempatan, mengeksploit isu. Serangan media pro kerajaan ke atas Mat Sabu pun bagaikan bertih di goreng.
Bagi saya, Polis Diraja Malysia (PDRM) tidak salah berbangga dengan keberanian anggota pasukannya mempertahankan balai polis tempat mereka bertugas. Seperti juga Angkatan Tentera Malaysia berbangga dengan keberanian Leptenan Adnan mempertahankan Changi, Singapura, dalam peperangan Dunia Kedua. Cuma sejarah itu harus dilurukan agar tidak miring sebelah, biarlah sejarah berjalan di atas fakta yang benar, agar generasi kini dan akan datang memahaminya dengan betul.
Sebaliknya, serangan bertubi-tubi media pro UMNO ke atas Mat Sabu rupa-rupanya membuka mata ramai rakyat Malaysia. Buku sejarah Malaysia pun laris dipasaran. Seperti serangan 11 September 2001 yang meranapkan Word Trade Centre New York. Oleh media Barat mengklimkan pengeboman itu dilakukan teroris dari kelompok Islam. Maka berebut-rebutlah orang Barat membeli al-Quran dan buku-buku Islam untuk mengetahui dengan mendalam tentang Islam. Itulah hikmah disebalik kontroversi yang diciptakan pihak tertentu.
Saya pun mencari info tentang Mat Indera lewat Wikipedia. Inilah secara ringkas info yang ditemui:
Ahmad bin Indera berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela, Pahlawan Siak Seri Inderapura yang pernah menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.
Seorang hafiz al-Quran, gemar bernasyid, berkasidah dan berzanji. Berguru kepada Kiyai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat DYMM Sultan Ibrahim.
Dilahirkan pada 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor. Menamatkan persekolahan peringkat darjah enam sekolah agama pada tahun 1937, dan berkhidmat sebagai seorang guru agama di Sekolah Agama Parit Setongkat, Muar.
Melibatkan diri dalam politik dengan tujuan untuk memerdekakan tanahair daripada penjajah Inggeris.
Menjadi sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ketika itu dipimpin Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Muhamad (Pak Sako). Beliau juga aktif dalam pergerakan Angkatan Pemuda Insaf (API).
Memilih masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan secara gerlia pada Juni 1948, kerana terpengaruh dengan perjuangan revolusi Indonesia menentang Belanda.
Beliau kemudiannya menjadi ketua gerlia Parti Komunis Malaya (PKM) ketumbukan Melayu khusus bahagian selatan iaitu daerah Muar, Batu Pahat, Segamat dan Melaka.
Mat Indera menempa nama sebagai pejuang gerlia yang paling dikehendaki Inggeris apabila namanya dikaitkan dengan peristiwa serangan PKM ke atas balai polis Bukit Kepong yang mengorbankan ramai anggota polis.
Akibatnya, pihak Inggeris menawarkan $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan Muhammad Indera. Pada 14 Oktober 1952, Muhammad Indera telah diperangkap oleh anggota Cawangan Khas Batu Pahat dalam satu perjumpaan di Kampung Seri Medan, dan beliau ditangkap.
Muhammad Indera kemudiannya menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam, 30 Januari 1953 di penjara Taiping. Keesokan hari, mayatnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping. (Sinar Harian, Sabtu, 3 September 2011-ms 2)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment