Wednesday, September 21, 2011

Bicara sejarah masuk penjara


Oleh:Rossem
Sejarah ditulis sang pemenang, maka yang menjadi mangsa ialah yang kalah. Pemenang menulis semahu-mahunya, sementara yang kalah menulis sajak.

Dalam konteks sejarah kemerdekan Malaysia, yang menang ialah UMNO melalui tangan Tuaku Abdul Rahman Putera dan rakan-rakan seperjuangannya. Maka sejarah pun ditulis mengikut perpesktif mereka. Kelompok yang menang ini pastinya akan bolot dan mereka cipta sejarah yang menguntungkan mereka.

Golongan kiri yang lebih dulu memperjuangan kemerdekaan daripada UMNO diketepikan. Jasa dan pengorbanan mereka tersimpan rapi dalam lipatan sejarah dan menjadi rahsia umum, kerana golongan ini dianggap yang kalah.

Kenapa sesudah 54 tahun kemerdekaan berlalu, hanya baru sekarang ada suara berani menuntut agar sejarah kemerdekaan dikaji semula? Jawabnya kerana UMNO sudah lemah. Parti nasionalis Melayu itu telah mengalami zaman suramnya berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU) lalu dan jika mengalami kekalahan pada PRU ke 13 ini, maka bukan mustahil sejarah baru kemerdekaan Malaysia akan berubah wajah. Pemenang baru akan melakar sejarah baru mengikut perpesktif mereka.

Hal seperti ini bukan sesuatu yang mustahil. Sejarah bangsa apapun tak lari daripada kecacatan riwayatnya, hatta sejarah Islam. Khalifah Maauwiyah digambarkan sebagai tokoh yang jelek oleh musuh-musuhnya dari kalangan Syiah. Dan versi sejarah yang ditulis mereka seringnya sang khalifah pertama Bani Ummayiah itu digambarkan sebagai khalifah yang tidak adil, padahal beliau seorang khalifah yang berjasa besar dalam penyebaran Islam ketika itu.

Bahkan ahli-ahli sejarah pernah membicarakan mengenai peristiwa Ashabul Kahfi pada zaman Rasulullah saw. Berlaku pertikaian mengenai jumlah pemuda yang menjadi penghuni gua. Ada yang mengatakan jumlah mereka tiga orang yang keempat ialah anjingnya dan yang lain mengatakan lima orang yang keenam ialah anjingnya. Dan ada yang mengatakan jumlah mereka tujuh orang dan yang kelapan anjingnya. Sehingga Allah SWT berfirman “Katakanlah (hai Muhamad). Tuhanku lebih mengetahui berapa bilangan mereka sebenarnya. Sedikit jumlah orang yang dapat mengetahuinya” (Surah Khafi ayat:22).

Cerita pahlawan Melayu Melaka, Hang Tuah lima bersaudara juga tidak semuanya boleh diterima pakai. Hikayat yang ditulis itu lebih banyak kepada metos daripada yang sebenar.

Sejarah boleh berubah bila setiap kali menemui fakta baru. Perubahan juga berlaku disebabkan perubahan iklim politik sesebuah negara. Ketika itu taksiran baru sejarah akan dibuat berdasarkan fakta dan kehendak pemerintah yang baru.

Dalam konteks sejarah kemerdekaan Malaysia, fakta sejarah yang diterima 50 tahun lalu pastinya dimonopoli pihak tertentu sehingga pejuang kemerdekaan sebenar terpinggir. Nama-nama seperti Tok Janggut, Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Maharajalela dan generasi pejuang kemerdekaan berikutnya seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Bostaman, Dr Burhanuddin Al Hilmy, Ishak Haji Muhamad tidak pernah dikenang jasa mereka sepertimana diberikan kepada Tunku Abdul Rahman. Tokoh-tokoh itu tidak mendapat tempat sewajarnya dalam media pemerintah pada setiap kali sambutan ulangtahun kemerdekaan.

Sebaliknya media, misalnya televsyen memilih menyiarkan filem Sarjan Hassan atau Bukit Kepong. Kononnya filem itu dapat membentuk patriotisme kepada penonton, padahal filem Sarjan Hassan misalnya, satu pihak (hero-P.Ramlee) adalah yang menyebelahi Inggeris, sementara satu pihak lagi (dilakonkan Salleh Kamil), berkerja sebagai mata-mata Jepun. Kedua-duanya sama saja, bekerja dengan penjajah, iaitu Inggeris dan Jepun.

Aneh, bahkan boleh mengundang ketawa kita, rakyat yang berhujah tentang; apakah Mat Indera yang melawan Inggeris dengan menyerang rumah pasung Bukit Kepong -1950 seorang pejuang kemerdekaan atau seorang petualang. Walhal artikal mengenai Mat Indera yang dimuat dalam buku Pengukir Nama Johor yang kata pengantarnya ditulis Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyebut; pembaca bebas menilai sendiri mengikut persepsi mereka; Mat Indera seorang pejuang kemerdekaan atau petualang. Ertinya tidak menjadi satu kesalahan bagi pembaca jika memilih salah satu dari dua soalan itu.

Mat Sabu telah memilih perkataan pertama yakni “pejuang kemerdekaan” seperti diucapkan beliau saat berceramah di Tasek Gelugur, Pulau Pinang. Kerana memilih itu, kontroversi pun timbul, beliau kemudiannya ditangkap dan dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Hanya Malaysia, satu-satu negara didunia, kes yang berhubung dengan sejarah dibicarakan di mahkamah. Sepatutnya, hal seperti itu dibawa ke pentas akademik untuk dibahas dan diselidiki, bukan ke mahkamah.

No comments:

Post a Comment