Oleh: Rossem
Pemimpin Barisan Nasional (BN) dilanda kekhuatiran yang serius bila PAS mahu mempraktikan dasar Negara Berkebajikan jika diberi peluang menerajui negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -13, seperti digariskan dalam ucapan dasar Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke -57.
Mereka (BN) memperlekeh dan mempersenda habis- habisan konsep yang mahu dilaksanakan PAS itu. Sehingga menuduh ia satu konsep yang diciplak dari konsep negera kebajikan yang pernah UMNO laksanakan.
Tidak cukup dengan itu, bahkan mereka mengatakan PAS sudah tidak lagi sebuah parti yang berlandaskan Islam, kerana menggantikan Islam dengan kebajikan, sehingga ada si tolol dari kalangan mereka mendesak PAS gugurkan saja perkataan Islam pada parti itu. Ganti dengan nama baru; Parti Kebajikan Malaysia.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap dengan mengenepikan perjuangan menubuhkan negara Islam, yang mendapat keuntungan lumayan ialah DAP. Karpal Singh pasti girang.
Bahkan suara yang lebih keras lagi, mensyorkan agar pendaftaran pertubuhan membatalkan nama Islam pada PAS kerana didakwa PAS tidak lagi memperjuangkan Islam.
Rupanya mereka “sayang” kepada konsep perjuangan Islam yang dibawa PAS, tapi anehnya, yang menentang mati-matian selama ini (57 tahun) ialah golongan ini. Pelbagai kata cerca dilemparkan kepada PAS kerana perjuangan Islamnya. Bahkan sehingga hukum hudud yang cuba diketengahkan PAS pun dikatakan bukan hudud Islam tapi hudud PAS.
Jawapan Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu sangat menarik “ UMNO, jika kita sebut negara Islam mereka akan cakap kita kembali ke zaman unta. Bila kita sebut Negara Berkebajikan mereka kata kita meninggalkan negara Islam. Sebenarnya mereka mencari helah untuk mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka. Bukan soal dasar Islam dan negara Islam pada mereka”.
Ternyata, mereka kalut dan nanar! Meraung seperti kucing kehilangan anak atau seperti murai terkena getah si penjerat burung. Sebenarnya mereka tidak faham, apa itu ciri negara berkebajikan. Protes mereka mungkin kerana makna Negara Berkebajikan diukur daripada konsep negara kebajikan yang pernah BN slogankan setiap kali pilihan raya. Konsep yang ternyata gagal itu kemudiannya mahu disamakan dengan konsep Negara Berkebajikan yang tawarkan PAS kepada rakyat.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS menjawab kekalutan itu katanya; “ Konsep Negara Berkebajikan yang diketengahkan PAS adalah selari dengan perjuangan mendaulatkan Islam. Hanya sebelum ini tidak dinamakan dengan istilah kebajikan, namun kebajikan yang dibuat semuanya menurut kehendak Islam dan tentunya diredhai Allah SWT”
PAS tidak pernah mengenepikan negara Islam. Kalau golongan itu mengatakan negara berkebajikan bukan sebahagian dasar Islam, bermakna selama ini apa yang dilakukan terkait dengan kebajikan untuk rakyat bukan dari ajaran Islam. Bukankah itu satu keanehan? Opini demikian tentu menampakkan kejahilan yang ketara. Kata-kata seperti itu tidak selayaknya diucapkan individu bergelar pemimpin.
Negara Berkebajikan sebenarnya sebuah wawasan yang pernah dikemukakan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor (2001) ketika menjadi Presiden PAS, tapi wawasan itu tak sempat menjadi kenyataan kerana Allahyarham meninggal. Allahyarham mahu membawa parti dengan imej Islam yang lebih demokratik, inklusif, terbuka dan adil tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS. Sekarang, apa yang diimpikan Allahyarham telah menjadi realiti. PAS telah mengemukakan Negara Berkebajikan.
Negara Berkebajikan tidak asing lagi di Kelantan. Konsep itu sudah lama dilaksanakan apabila mengharamkan segala bentuk maksiat sejak 1990. Kelantan haramkan judi, riba semata-mata bagi mendatangkan kebajikan kepada manusia. Mereka yang berjudi hanya menunggu nasib akhirnya berlaku kemusnahan rumahtangga. Kelantan satu-satunya negeri di rantau ini yang mengharamkan akitiviti perjudian.
Selain itu, mewujudkan Sistem Al-Rahn, memberi kemudahan kepada rakyat meminjam wang dengan cara cagaran tanpa mengenakan bunga yang tinggi serta bebas dari amalan riba. Al-Rahn merupakan sistem pajak gadai Islam pertama di Kelantan, kemudian ditiru oleh negeri-negeri lain.
Skim Takaful Kifaalah. Setiap warga emas yang mencarum dalam skim itu berhak memdapat RM2,500 apabila meninggal dunia. Sumbangan diberikan kepada keluarga bertujuan membantu meringankan bebanan keluarga ketika urusan pengkebumian jenazah.
Rumah Dhuafat, rumah tiga bilik, Tabung Serambi Mekah dan Tabung Amanah Tok Kenali. Semua itu diwujudkan untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan disebabkan kemiskinannya dan disebabkan bencana alam.
Kelantan mempelopori kerja lima hari seminggu bagi kakitangan kerajaan Negeri bertujuan memberi kerehatan secukupnya kepada pekerja. Menggalakkan mereka menghadiri majlis-majlis ilmu pada hari Jumaat dan bersama keluarga pada hari Sabtu.
Gerbang Az-Ziwaaj, insentif perkahwinan sebanyak RM1,000 kepada yang berpendapatan rendah untuk mendirikan rumah tangga. Dan sederet panjang senarai program-porgram kebajikan untuk rakyat yang dilaksanakan kerajaan Kelantan termasuk bidang pendidikan, kebudayaan dan lain-lain.
Negara Berkebajikan yang menjadi aspirasi PAS sudah tentulah mengikut contoh Nabi Muhamad saw dan Khilafah Umar Abdul Aziz. Dan sayangnya contoh-contoh Negara Berkebajikan ini sekarang banyak dipraktikkan di Barat. Sedang umat Islam pula mengambil segala yang buruk dan jelek dari jahiliyah Barat, sebaliknya orang Barat mengambil segala kebaikan yang ada dalam negara Islam. Demikian realitinya hari ini.
Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS sangat sesuai dengan kondisi masyarakat multi etnik di Malaysia. Ia boleh direalisasikan dan perlu direalisasikan kerana konsep ini dilihat tidak hanya melibatkan sesuatu kaum saja bahkan meliputi semua kaum dan penganut agama di Malaysia.
Sejarah Islam pernah mencatatkan, nilai kebajikan yang sangat tinggi pernah dipamirkan pahlawan Islam terkenal, Salahuddin Al-Ayubi tatakala ia sanggup mengubati Richard The Lion Heart, musuh umat Islam yang cedera dalam peperangan salib di Palestina. Itu contoh antara ciri-ciri kebajikan, yakni bukan saja terhadap non Muslim, bahkan musuh sekalipun.
DAP juga menerima konsep Negara Berkebajikan, seperti diungkapkan Bendahari DAP Kebangsaan, Chong Eng; Negara Berkebajikan adalah terjemahan kepada slogan PAS For All. Ramai golongan yang kurang upaya, orang miskin dan armalah akan mendapat manfaat dengan konsep ini.
Kesimpulannya, pemimpin UMNO sebenarnya naïf dalam politik dan pentadbiran Islam kerana masih bersalut pemikiran sekular. Ini jelas dapat dilihat apabila ada pemimpin UMNO mahu PAS menggugurkan perkataan Islam semata-mata kerana memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan. Kalau inilah cara berfikir pemimpin, tampak sangat mereka tidak tahu bahawa Islam adalah untuk kebajikan semua orang (rahmatan lil alamin). Demikian ungkap Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teklonogi Kerajaan Negeri, Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan.
No comments:
Post a Comment