Saturday, June 11, 2011
Mat Sabu dan ketakutan UMNO
Oleh: Rossem
Orang UMNO mengelarnya; Ayam Laga (sabung) PAS.
Dan masyarakat pun tidak pernah marah dengan gelaran itu. Dalam politik memberi gelaran kepada tokoh-tokoh tertentu menjadi perkara biasa. Lagi hebat seseorang, lagi cepat mendapat gelaran. Pepoluariti seseorang sering berjalan seiring dengan gelaran. Tapi banyak daripada gelaran yang diberikan itu menjuruskan kepada yang jelek. Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia, musuh-musuh politiknya mengelarkan beliau sebagai Maha Firaun. Satu istilah yang sangat berat utuk diterima umum. Tapi beliau tak pernah mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang menganugerahkan gelaran itu. Itu kehebatannya!
Budaya memberi gelaran yang berkembang dalam masyarakat Melayu sejak zaman berzaman juga mempengaruhi seseorang untuk terus memberi gelaran kepada sosok tertentu pada hari ini. Saya tidak tahu, apakah dalam masyarakat Barat juga budaya seperti ini berkembang, namun dalam masyarakat Arab sejak dulu, gelaran sangat mempengaruhi.
Tentang Mohamad Sabu. 17 tahun dulu, sebuah akhbar menulis tajuk besar pada muka depan “Mat Sabu diburu polis”. Gambaran yang diberikan akhbar tabloid pro UMNO itu seolah-olah Mat Sabu sedang dicari polis kerana telah melakukan satu kesalahan besar di sisi undang-undang Malaysia. Tebayang di benak saya, pastinya sosok yang terkenal dengan kelantangan berpidato itu akan bersembunyi untuk mengelak dari ditangkap dan didakwa di mahkamah.
Saya menunggu berita selanjutnya untuk mengetahui sama ada Mat Sabu sudah ditangkap atau belum dengan hati sedikit cemas, namun, alangkah terkejutnya, pada malam keesokannya yakni sehari selepas berita “Mat Sabu diburu” menjadi tajuk utama akhbar itu, tiba-tiba Mat Sabu berceramah di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar (sekarang Kolej Islam Zulkifli Muhammad –KUIZM) Melihat itu, saya hairan, bagaimana seorang yang diburu polis boleh berada di atas pentas dan berceramah?, pasti dalam khalayak yang ribuan itu terdapat polis (SB), kenapa tidak ditangkap?
Lebih melucukan, saat berceramah, Mat Sabu menyindir akhbar terbabit “ Ketika datang berceramah tadi, aku melewati balai polis dan sekatan jalan raya, tapi polis tak tangkap pun. Sepatutnya dengan tajuk besar – diburu polis, aku sudah ditangkap”. Khalayak tertawa dengan sindiran itu.
Ternyata akhbar terbabit, sama seperti akbhar-akbar arus perdana hari ini, ghairah menyiarkan berita-berita politik khususnya oposisi dengan tajuk yang menakutkan, jelek, sensasi dan disaluti dengan unsur-unsur fitnah serta adu domba, walhal intinya menyimpang dari realiti. Hanya dilukis begitu rupa semata-mata untuk persembahan sang dewa yang punya agenda politik, tanpa mempedulikan kesan buruknya kepada masyarakat.
Tak lama selepas penyiaran berita bohong, akhbar itu kehilangan pembaca yang teruk, jualannya merosot akhirnya berkubur.
Mat Sabu ketika itu berdepan dengan tindakan mahkamah syariah Kota Bharu konon dituduh berkhalawat dengan isteri orang di sebuah hotel. Namun dibebaskan. Dan pada malam beliau berceramah di Taman Melawar, suami kepada Norma juga turut berceramah untuk menafikan keterlibatan isterinya dalam isu fitnah itu. Saya sering hadir setiap kali ceramah di Taman Melawar kerana rumah saya berdekatan. Sementara rumah suami kepada Norma di Kelantan hanya kurang lebih tiga kilometer dari rumah saya di kampung atau dengan kata lain, kami sekampung.
Apakah isu itu akan dikutip kembali oleh UMNO/BN dari tong sampah sejarah hampir 17 tahun? Jawapannya ya, kerana tokoh lantang ini telah memenangi pemilihan Jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar tahunan ke 57, mengalahkan penyandang sebelumnya Nasuruddin Mat Isa dan pencabar Tuan Ibrahim Tuan Man. Sekarang Mohamad Sabu menjadi Timbalan Presiden PAS.
Mat Sabu memang seorang penggugat. Pengaruhnya melebar dalam masyarakat terutama golongan marhaen. Semua lapisan masyarakat mengenali nama besar itu hatta budak sekolah. Setiap kali diundang berceramah, jumlah kehadiran orangramai mengalahkan jumlah kehadiran pada penceramah lain yang lebih tinggi jawatan dalam parti dari beliau.
Yang paling ditakuti UMNO/BN, pengaruh Mat Sabu dari kalangan masyarakt Cina dan India ternyata sangat melebar. Masyarakat bukan Melayu sangat menyenangi beliau. Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng merupakan teman akrab sejak dulu. Pengerusi DAP Karpal Singh juga demikian, bahkan pernah menjadi penghuni bersama dalam kem Kemunting ketika operasi lalang suatu masa dulu.
Sang tokoh ini mesti disekat pengaruhnya. Mesti dipatahkan sayapnya. Dicabut tajinya. Satu cara ialah menyerang peribadi. Seperti dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, lewat blog, facebook, twister pro UMNO sudah ditulis hal-hal yang sangat tidak wajar terkait dengan Mat Sabu.
Penggendali blog dan facebook cuba mengingatkan masyarakat tentang kisah Mat Sabu ditangkap berkhlawat dengan bini orang 17 tahun dulu. Dan kita akan mendengar segugus lagi riwayat-riwayat aneh dan jelek dari masa ke semasa tentang sang tokoh yang satu ini, kerana dunia sudah mengetahui, Malaysia memang juara politik kotornya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment