Friday, November 5, 2010

“Negeri makmur diampuni Allah” dan”Membangun Bersama Islam” Satu sorotan sejarah


Oleh: Rossem

Pertama kali PAS mengambilalih Kerajaan Kelantan dari tangan Parti Perikatan (UMNO, MCA, MIC) setelah memenangi Pilihan Raya Umum 1959 dengan majoriti besar. Pilihan raya yang berlangsung 20 Jun 1959 itu merupakan pengalaman pertama buat PAS. Daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, PAS telah memenangi 28 kerusi, Perikantan dua kerusi iaitu Bandar Hilir dan Ulu Kelantan Timor.

Pilihan raya DUN dengan Parlimen dilangsungkan berasingan. Peringkat Parlimen pada 19 Ogos 1959 iaitu selang dua bulan selepas selesai pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri. Tempoh berkempen juga agak lama, lebih sebulan. Hal ini memberi ruang waktu secukupnya kepada parti-parti yang mengambil bahagian untuk berkempen.

Ceramah, waktu itu disebut pidato, diadakan merata tempat strategik. Oleh kerana publik tidak ramai memiliki kenderaan, lori-lori disediakan untuk menganggkut warga yang tinggal jauh untuk mendengar pidato. Lumrah berlaku, saat lori melewati kawasan penyokong fanatik UMNO, lori ditagur (dibaling) dengan objek keras seperti batu dan kayu. Saya pernah mengalami sendiri, ketika dalam perjalanan untuk mendengar pidato PAS di Kota Bharu, saat lori melintas Pasir Tumbuh, ( di kawasan banguan Yayasan Pondok sekarang, waktu itu kebun getah) beberapa objek keras dibaling ke arah lori yang sedang bergerak. Kami sempat menirap. Hanya terkena dinding lori.

Parti-parti yang bertanding ketika itu; PAS dengan lambang Bulan Bintang, Perikatan Kapal Layar dan Parti Negara dengan lambang Gemal Padi. Masih ingat, Ketua Parti Negara di kampung saya ketika itu Zakaria Ismail (Allahyarham), akrab dengan panggilan Pak Cu Ya sering memberitahu orang-orang kampung “ Orang Melayu nak buat jarum sebatang pun tak tahu, bagaimana mahu merdeka? Mahu makan apa?”. Ternyata sosok yang bernama Pak Cu Ya itu seorang yang anti kemerdekaan dan sememangnya Parti Negara yang didokongnya adalah sebuah parti anti kemerdekaan. Tapi dipenghujung usianya beliau menjadi penyokong tegar PAS.

Sehari menjelang pilihan raya umum, sebuah pesawat kecil terbang berlegar-legar di udara kampung saya, berpusing-pusing beberapa kali sambil menjatuhkan ribuan helai kertas. Warga kampung berebut-rebut mendapatkannya, ternyata ia hanya risalah kempen parti Perikatan termasuk poster Kapal Layar. Orang-orang kampung menyebutnya sebagai kapal terbang yang dikirim Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya ketika itu, merangkap Presiden UMNO. Itulah penutup kempen UMNO menjelang pilihan raya esok harinya.

Tokoh-tokoh PAS yang menang pada pilihan raya pertama itu antaranya; Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham), Haji Ishak Lotfi Omar (Allahyarham), Nik Abdullah Haji Arshad (Allahyarham), Haji Mohd. Amim Yaakub (Allahyarham), Khaidir Katib (Allahyarham) dan ramai lagi. Sementara diperingkat Parlimen pula; Prof Zulkifli Muhammad (Allahyarham) yang menang di Bachok, Dato’ Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham) Pasir Puteh, Peguam Wan Mustafa Haji Ali (Allahyarham) Kelantan Hilir, Tuan Haji Ahmad Abdullah Prai (Allahyarham) Kota Bharu Hilir dan ramai lagi.

Seperti diceritakan ADUN Perupok,YB Dato Haji Omar Mohamad kepada saya; wakil-wakil rakyat yang memenangi pilihan raya ketika itu masing-masing mengelak untuk menerima pelantikan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan (exco), apa lagi sebagai Menteri Besar, kerana masing-masing menyedari bahawa sesiapa yang memegang jawatan tersebut akan mengalas tanggungjawab berat, bahkan satu amanah yang harus dipertanggungjababkan di hadapan Allah SWT.

Timbalan Yang Dipertua Agong PAS ketika itu, Prof Zulkifli Mohammad yang hadir pada mesyuarat Perhubungan PAS Negeri lantas menegur “ Kalau anda tak sanggup memegang jawatan seperti diputuskan parti, jangan masuk bertanding dalam pilihan raya”. Akhirnya masing-masing menerima perlantikan Exco mengikut portfolio masing-masing.

Namun rata-rata gembira dengan kemenangan besar yang diraih sehingga tampak sedikit keegoan pada sebahagian wakil-wakil rakyat. Situwasi dan kondisi ini dapat dibaca oleh kepimpinan tertinggi parti seperti Prof Zulkifli Muhammad, sehingga dalam satu mensyuarat parti Prof Zulkfli menegur dengan nada keras “ Kemenangan ini bukan disebabkan batang tubuh anda. Kemenangan ini adalah kemenangan perjuangan Islam” Sambil Prof Zul menuding jari kepada wakil-wakil rakyat tertentu.

Parti PAS cepat dan senang diterima rakyat Kelantan antaranya kerana parti itu mendapat dokongan dan kerjasama tuan-tuan guru pondok seperti Tuan Guru Haji Abdul Ghani (Pondok Pasir Mas), Tuan Guru Haji Abdullah Tahir (Pondok Bunut Payong), Tuan Guru Haji Mustafa (Pondok Terosan, Pasir Tumboh), Tuan Guru Haji Mohd Zin ( Kemudi), Tuan Guru Mohamad Tuboh (Pancur), Tuan Guru Haji Mat Tok Bakok (Kenali), Tuan Guru Haji Hasan (Pondok Lemal), Tuan Guru Haji Harun Haji Sulong (Repek), Tuan Guru Haji Daud (Meranti), Tuan Guru Haji Awang ( Padang, Kolam),Tuan Guru Haji Aziz (Pondok Terosan). Ulama-ulama ini sangat berpengaruh dikalangan masyarakat justeru apa yang dilakukan menjadi ikutan warga lingkungannya.

Haji Ishak Lotfi Omar dilantik menjadi Menteri Besar pertama, sementara Haji Mohammad Nasir sebagai Timbalan Menteri Besar. Exco-exco terdiri Khaidir Khatib, Mohd Asri Haji Muda, Haji Mohd Nor Yusof, Wan Sulaiman Haji Ibrahim, Nik Abd. Rahman Nik Mat, Mohd Daud Abdul Jamil, Ab. Rahman Haji Daud. Mereka dibantu tiga pegawai kerajaan iaitu Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri.

Motto perjuangan PAS ketika itu “ Baldatun thoyibatun wa Rabbun Ghofur” - Negeri yang makmur dan diampuni Allah. Kepimpinan PAS berusaha merealisasikan semaksimum mungkin sepertimana maksud yang terkandung dalam ayat al-Quran yang diangkatkan menjadi motto perjuangan PAS.

Tugas besar PAS yang petama ialah menerangkan kepada rakyat, bahawa politik suku agama suku adalah doktrin yang bertentangan dengan Islam. Sebahagian masyarakat Islam ketika itu tidak dapat menerima hujahan yang disampaikan para pemidato PAS kerana doktrin itu sudah lama berakarumbi dalam masyarakat. Hampir 500 tahun penjajah Inggeris mengajar umat Islam dengan menyatakan politik dengan agama itu sesuatu yang terpisah, tidak boleh berjalan seiring, sehingga ramai umat Islam sendiri percaya bahkan berpegang teguh dan mendukung pemisahan agama dari politik atau fahaman sekular yang dibawa Inggeris.

Salah seorang pimimpin PAS ketika itu, Ustaz Amaluddin Darus menulis dalam bukunya “ Saya pernah dimarahi seorang bergelar ustaz di Pasir Mas. Sang ustaz itu menghalau saya keluar dari rumahnya setelah saya mengatakan politik dan agama (Islam) tidak terpisah. Selanjutnya ustaz itu menuduh saya mengajar ajaran sesat. Dakwaan yang lebih berat ialah mengatakan saya cuba mengheret orang kampung masuk neraka”.

Demikian sukarnya PAS berdepan dengan warisan peninggalan Inggeris yang kemudiannya terus dipertahankan oleh anak didiknya UMNO. Selain syirik sekularisme, amalan syirik seperti puja pantai, main teri, bageh, makyong, manora, tradsisi berlaga lembu, sabung ayam serta pelbagai perlakuan maksiat lainnya juga berleluasa. PAS sebagai parti berpaksikan Islam diamanahkan untuk membanteras serta menguburkan segala macam elemen yang bertentangan dengan Islam itu.

Ketika itu di Kota Bharu terdapat sebuah pusat maksiat tersohor yang dikenali dengan Biariz Park. Lokasinya di Wakaf Siku. Bangunan KB Mall yang tersergam indah sekarang adalah dibina di atas tapak keruntuhan pusat hiburan malam yang menempatkan ratusan wanita-wanita pelayan atau sebutan lokalnya “orang bujang” yang terdiri dari orang Melayu. Sesiapa saja boleh memasuki Biariz Park untuk berhibur dan menegok minuman keras sambil hanyut dalam dakapan mesra wanita yang berpakaian seksi.

Kerajaan PAS mengarahkan pegawai jajahan segera menamatkan lesen hiburan Biariz Park walaupun tidak dipersetujui penasihat undang-undang yang khuatir Kerajaan Negeri akan didakwa oleh Syarikat Biariz Park atas kerugian yang ditanggungnya. Namun Kerajaan Negeri tetap berkeras mahu menutup walau apa risiko sekalipun.

Lesen ditamatkan, namun Biariz Park terus beroperasi kerana ketika itu tiada wujud pasukan penguatkuasa khusus untuk menjalankan tugas penguatkuasaan, sedang pihak polis lepas tangan. Akhirnya lewat dakwah yang berterusan dari mubaligh-mubaligh yang dilantik PAS, rakyat menjadi sedar betapa jijiknya maksiat dan dosa yang harus ditanggung, maka sarang maksiat itu dirobohkan.

Sebelum 1960, semua sekolah di bawah Kerajaan Pusat tidak dibekalkan dengan guru agama untuk mengajar subjek agama Islam, kerana mereka menganggap soal agama tidak boleh dilibatkan dengan kerajaan. Justeru memikirkan anak-anak yang belajar di sekolah kerajaan itu seharusnya didedahkan dengan pengetahuan asas Islam, maka Kerajaan PAS Kelantan menyediakan biaya kewangan khusus untuk mengaji guru-guru agama sekolah-sekolah kerajaan di seluruh negeri Kelantan. Apa yang dipraktikkan kerajaan PAS itu kemudiannya menjadi contoh dan ikutan kerajaan negeri-negeri lain sehingga akhirnya Kementerian Pelajaran menggambilalih tugas membiayai serta mengaji sepenuhnya guru-guru agama.

Selanjutnya, waktu itu Kerajaan Pusat menghalalkan Loteri Kebajikan Masyarakat. Sejenis judi yang dianjurkan kerajaan Perikatan (BN). Kaunter-kaunter menjual tiket judi dibina di pinggir-pinggir jalan seperti gerai menjual bunger sekarang. Sekeping tiket loteri harganya seringgit. Pembeli bebas membeli berapa banyak yang mereka mahu. Pulang ke rumah, sambil baring, letakan tangan di dahi, pasang angan-angan, wang jutaan ringgit bakal diperolehi bila cabutan dibuat nanti. Televisyen mengadakan siaran langsung acara cabutan yang dijalankan setiap sebulan sekali. Ramai rakyat papa kedana dengan petaka loteri ini selain mendapat dosa kering.

Tukang-tukang canang UMNO datang ke desa-desa memberitahu bahawa judi loteri ini tidak haram. Wang yang diperolehi akan digunakan membiayai pembinaan rumah-rumah ibadat termasuk masjid. Untuk mengharmonikan tujuannya, penceramah UMNO memberitahu; bergantung pada nawaitu masing-masing. Lalu dikemukakan sebuah Hadis Nabi saw, bermaksud “ Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya” (HR Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil itulah Kerajaan Perikatan (BN) membenarkan judi tersebut beroperasi. Untuk penyedap hati dan pembuka selera rakyat, judi itu lalu diberi nama Loteri Kebajikan Masyarakat. Dengan kata lain, dari sisi maknanya, seolah-olah tujuan diwujudkan judi itu untuk biaya kebajikan, sesiapa yang membuat kebajikan mendapat pahala.

Para penceramah PAS telah menjawab hujah UMNO dengan mengatakan bahawa pekerjaan yang haram tetap haram sekalipun diniatkan dengan kebajikan. Lojik UMNO itu jauh menyimpang kerana maksud Hadis Nabi saw itu sebenarnya seputar ruanglingkup kebajikan atau hal-hal yang dihalalkan oleh syarak, sedang judi sudah jelas, haram berdasarkan al-Quran. Selain itu, pentadbir PAS Kelantan juga mengarahkan Majlis Agama Islam melalui Majlis Fatwa yang dipengerusikan Sahibul Fadzilah Mufti Kerajaan Negeri membincangkan hukum tentang Loteri Kebajikan Mayarakat. Dan keputusan yang dikeluarkan ialah haram.

Kerajaan PAS Kelantan juga menwujudkan tabung biasiswa untuk rakyat miskin melanjutkan pelajaran ke IPTA dalam atau luar negara. Tabung biasiswa itu dinamakan Kumpulan Wang Biasiswa Zulkifli Muhamad, antara sumber kewangannya sumbangan tetap daripada potongan gaji Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar. Tradisi itu diteruskan semasa Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda menjadi Menteri Besar. Sehinggalah pada 1974 biasiswa itu diserapkan ke dalam Yayasan Kelantan bersama dengan biasiswa lain di bawah Kerajaan Negeri.

Pilihan Raya Umum berikutnya berlangsung pada 1964. Sikap agresif Kerajaan Pusat tampak semakin ketara. Ramai pemimpin PAS terutama ulama ditahan di bawah ISA, antaranya Tuan Guru Haji Hassan Ismail, Pasir Mas. Haji Abdullah Arshad, Saufi Idris dan lain-lain. Saat pembubaran dewan Undangan Negeri menjelang pilihan raya umum 1964 mereka bertiga masih di kem tahanan Kemunting.

PAS memutuskan agar ketiga-tiga ADUN yang ditahan itu dicalonkan semula bertanding dalam PRU yang berlangsung tanggal 25 April 1964. Walaupun para calon itu tidak dibenarkan hadir di lapangan untuk berkempen namun mereka meraih kemenangan. Sehingga publik mengelarnya; letak songkok dan kopiah pun PAS menang!.

Keputusan PRU 1964 menunjukkan rakyat menerima PAS sebagai wadah perjuangan Islam dan menolak UMNO yang nasionalis serta sekular. PAS menenangi 21 kerusi daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri. Sementara peringkat Parlimen, PAS meraih 8 kerusi, Perikatan dua.

Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham) dilantik sebagai Menteri Besar, Nik Ab Rahman Nik Mat Timbalan Menteri Besar, sementara Abdullah Hj Yusof dilantik menjadi Speaker DUN.

Sepanjang 16 tahun PAS mentadbir Kelantan, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan ditubuhkan. Lewat lembaga itu lebih 70 ribu ekar tanah diagihkan kepada lebih 7 ribu keluarga peneroka. Disamping itu puluhan ribu ekar tanah lagi diberi kepada rakyat di bawah program penyelesaian tanah yang diterokai secara haram.

Jambatan Sultan Yahya Petra yang merintasi sungai Kelantan dari Pasir Pekan ke Kota Bharu juga dibina oleh Kerajaan PAS. Ramai dari kalangan UMNO tidak yakin Kerajaan PAS dapat membinanya disebabkan kekurangan dana, sehingga si bebal dalam UMNO bernazar; andai jambatan itu siap aku akan berlari dari kepala jambatan ke hujung sana sambil bertelanjang bulat. Akhirnya jambatan itu siap sepenuhnya. Bagi memenuhi nazarnya barangkali si bebal itu bertelanjang waktu malam hari saat pengguna jalan raya nyenyak tidur.

Pilihan Raya Umum 1969 dianggap paling kotor berbanding sebelumnya. Hal ini berlaku disebabkan UMNO telah menubuhkan Pasukan Pemuda Tahan Lasak. Dengan lagak samseng, gerombolan ini sering menganggu kempen PAS sehingga terjadi banyak pergaduhan. Namun PRU yang berlangsung tanggal 10 Mei 1969 itu memberi kemenangan buat PAS.

PAS memperolehi 19 kerusi DUN daripada 30 kerusi. Sementara Parlimen PAS memenangi 6 kerusi daripada 10 kerusi. Sekali lagi Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Mohammad Nasir sebagai Timbalan Menteri Besar, manakala Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar speaker DUN.

Oleh kerana negara diwarnai tragedi 13 Mei, darurat diistihyarkan. Aktiviti politik dibeku. Sesuai dengan situasi dan kondisi semasa ketika itu maka PAS telah menyertai Perikatan, membentuk kerajaan bersama UMNO, MCA dan MIC di peringkat pusat.
Pilihan Raya Umum yang disertai PAS berikutnya ialah tanggal 1974 atas tiket Barisan Nasional (BN). Nama baru menggantikan Perikatan. PAS menggunakan simbol Dacing menentang Bebas Bersatu. Gabungan parti-parti bebas itu sangat lemah, tiada upaya untuk berdepan dengan jentera BN yang lumayan kelengkapannya. Keputusannya memihak kepada BN dengan meraih kemenangan besar.

Saya menyaksikan sendiri ceramah Bebas Bersatu pada suatu malam di Padang Bandaran Machang. Ketika itu saya bertugas sebagai anggota pasukan keamanan yang kebetulan ditugaskan di situ. Ustaz Amaludin Darus menyampaikan pidato berapi-api, namun yang hadir mendengarnya boleh dibilang dengan jari. Berbeza saat beliau bersama PAS dulu, khalayak datang ribuan jumlahnya.

Politik seperti air laut, ada pasang surut. Selepas kematian Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussain (Allahyarham) dan diganti dengan Tun Hussain Onn (Allahyarham) PAS diterajang keluar dari kepompong Barisan Nasional.

Krisis politik yang serius berlaku di Kelantan yang awalnya dicetuskan gara-gara penyingkiran Timbalan Menteri Besar, Dato’ Haji Mohamad Nasir dari jawatannya. Bermula dari sengketa kecilan bertambah membesar disebabkan dalang-dalang tertentu beraksi dari belakang tabir. Akhirnya yang difahami rakyat ketika itu ialah Dato’ Haji Mohd Asri pemimpin yang harus dikeluarkan segera dari pejabat Menteri Besar.

Saya ketika itu sebagai salah seorang penguatkuasa keamanan dikerah ke Kota Bharu untuk menghadapi ribuan para penunjuk perasaan anti Dato’ Mohd Asri yang berkeliaran terutama di Dataran Ilmu di hadapan bangunan PAS. Anak-anak muda membaling abjek ke arah petugas keamanan, sementara petugas keamanan membalas dengan tembakan gas pemedih mata. Mereka lari seketika dan kemudiannya datang kembali meneriakkan kata-kata “Asri, letak jawatan” berserta dengan sepanduk memburuk-burukkan Menteri Besar itu. Situasi dan kondisi sedemikian berlarutan berminggu-minggu lamanya, sehingga memaksa FRU dari Kuala Lumpur datang mengamankan Kelantan.

Kota Bharu tampak seperti terbakar. Di sana sini asap hitam memenuhi udara, gara-gara tayar kereta dibakar para penunjuk perasaan. Bahkan terdapat juga kereta dibakar semata-mata melepaskan geram kepada Dato’ Mohd Asri dan kumpulan 20. Hal ini menjadikan pasukan petugas keamanan melipatgandakan tugas masing-masing demi keamanan Negeri Kelantan.

Kondisi tidak aman bukan saja berlaku di bandar Kota Bharu, merebak ke bandar jajahan lain seperti Pasir Mas. Suatu petang, pasukan petugas keamanan mendapat berita, para penunjuk perasaan sedang berkumpul di bandar Pasir Mas berhampiran pasar. Petugas segera datang dengan kelengkapan secukupnya dan mengepong mereka. Tampak di atas lori tak berbumbung, seorang pemimpin UMNO yang saya kenali, berbaju, bertopi warna merah dan bercelana putih, sambil memegang alat pengeras suara meneriakkan kata-kata “Asri, letak jawatan segera…” diikuti dengan teriakan yang sama dari pengikut-pengikutnya yang lain. Sosok UMNO itu ialah Dato’ Haji Hussain Ahmad atau Hussain Serama.

Kertelibatan secara terbuka pemimpin UMNO itu menjadi bukti bahawa dalang yang mengerakkan wayang kulit di pentas politik Kelantan ketika itu tidak lain ialah UMNO. Para penunjuk perassan yang mahu menjatuhkan Asri itu bukan dari kalangan pendokong PAS sebaliknya orang UMNO. Termasuk dalam gerombolan ini ialah Ibrahim Ali, yang kemudiannya menjadi orang kuat parti Berjasa yang baru ditubuhkan.

Kondisi tidak aman itu berlarutan sehingga memaksa Kerajaan Pusat campur tangan. Dan inilah sebenarnya agenda dan matlamat yang mereka idam-idamkan, mahu Pusat campur tangan. MAGERAN lalu ditubuhkan. Aktiviti politik dibeku.

Pilihan Raya Negeri 1977, PAS kalah menghadapi BN dan Berjasa. Parti itu menguasai Kelantan selama 12 tahun.

Kekalahan itu tidak menjadikan para pemimpin PAS patah semangat, sebaliknya berkerja keras untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Kelantan yang sedikit pudar akibat dari persengketaan dalaman PAS yang berlarutan kepada parti Islam itu. Mengkoreksi apa-apa yang salah, membaiki imej-imej tercalar yang menyebabkan PAS ditolak majoriti rakyat, memotivasikan para pendukung dan kader-kader PAS yang dilanda sindron rendah diri dan kerdil semangat juang.

Menurut mantan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dan mantan Ahli Parlimen Tumpat, Allahyarham Ustaz Wan Jamil Wan Mahamod seperti diceritakan kepada saya semasa hayatnya: Usrah diperkasakan meliputi semua peringkat terutama cabang pemudanya. Selain menyusun semula organasisi agar lebih efektif.

Pilihan Raya Umum 1990 berlangsung. PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim untuk menentang Barisan Nasional (BN). Dalam pilihan raya itu BN gagal mempertahankan walau satu kerusi pun, sama ada peringkat DUN atau Perlimen. PAS memperolehi 24 kerusi DUN, 6 Parlimen, S46, 14 DUN, 7 Parlimen, Berjasa satu DUN. Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia, namun berlaku di Kelantan.

Tanggal 23 Oktober 1990, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, 59, dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan kelima berdasarkan PAS menguasai jumlah terbanyak kerusi Dewan Undangan Negeri (24 daripada 39 kerusi). Tuan Guru merupakan ADUN Semut Api. Beliau mula bertanding DUN tersebut mulai PRU 1989 setelah empat penggal menajdi Ahli Parlimen mulai PRU 1967.

Saya bertugas di Bukit Aman ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik Menteri Besar Kelantan. Perlantikan itu diberitakan lewat televisyen dalam segmen berita pada siaran tengah hari. Sebahagian staf pejabat termasuk saya berdiri di hadapan televisyen semacam tidak sabar untuk mengetahuinya. Setelah pembaca berita menyebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik Menteri Besar, salah seorang teman yang berdiri disebelah saya dengan muka merah mengatakan “Bolehkah orang pakai serban seperti ini mentadbir negeri? Pandaikah beliau cakap orang putih?” Dengan spotan saya memotong percakapan beliau “Tok Guru dapat menguasai empat bahasa, Arab, Urdu, Inggeris selain bahasa ibundanya Melayu. Sedang Dr. Mahathir (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) cuma dua bahasa, Melayu dan Inggeris”. Staf wanita itu lalu terdiam.

Saya menarik nafas lega sambail mengucap Alhamdulillah di atas perlantikan Tok Guru sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sosok yang memakai serban itu akhirnya terbukti berjaya mentadbir negeri Kelantan berpandukan petunjuk al-Quran dan Hadis Nabi saw. Pentadbiran yang digariskan di atas dasar Ubudiah, Mas’uliah, Itqan. Kemudian dasar itu diterjemahkan kepada program-program yang tidak terkeluar dari kerangka dasar tersebut. “Membangun Bersama Islam” menjadi motto pentadbiran, sehingga menjadikan negeri Kelantan benar-benar kemiripan Serambi Mekah. Maju dan makmur. Dikagumi ramai. Menjadi contoh tauladan kepada negeri-negeri lain, bahkan ada yang menirunya. Manfaatnya bukan saja dirasai umat Islam Kelantan bahkan non Muslim juga tertarik sehingga tidak segan silu memberi sokongan padu kepada kepimpinan Tok Guru.

No comments:

Post a Comment