Thursday, October 7, 2010

PAS membebaskan Kelantan dari maksiat, khurafat dan kesyirikan

Oleh: Rossem
Kota itu berdiri teguh berpuluh-puluh tahun lamanya. Pintu dan pagar bahagian hadapannya dibina dengan konkrik, tinggi melepasi kepala. Sesiapa yang melewati pasti tidak tampak apa yang berlaku di dalamnya. Memang begitu tujuan ketika kota itu dibangunkan Inggeris saat mereka menjajah negeri itu.

Di malam hari, pemburu-pemburu nafsu akan memasuki kota itu lewat pintu utama yang berbentuk gerbang. Daun pintu sentiasa di buka. Tiada pengawal yang berkawal. Sesiapa saja, tanpa mengira usia boleh memasukinya tanpa rasa takut.

Gobak-gobak separuh usang tampak di sana sini dengan lampu-lampu nion berkerdipan. Para pengunjung yang baru datang mundar mandir mencari tempat untuk berlabuh. Sementara yang sudah lama datang hilang dalam kamar kecil yang disediakan taukeh-taukeh kedai makan yang puluhan jumlahnya.

Kota itu hanyer dengan bau yang sangat menjijikkan, lebih-lebih lagi dimusim hujan. Jalan-jalan yang tidak berasfal menjadi becak. Papan diletakkan ditempat becak untuk memudahkan pelangan lalu lalang dan berurusan. Meskipun kondisinya kumuh seperti tidak dirawat namun tidak menghalang sang pemburu nafsu berkeliaran dalam kota yang menjadi kemegahan mereka.

Mesin nyanyian atau peti nyanyi dipasang di setiap sudut kedai. Pelangan hanya perlu memasukkan wang siling 10 sen ke dalam mesin itu dan pilih lagu yang diminatinya. Sebentar alat pemutar piring hitam akan mencari lagu yang diminta, seterusnya lagu dimainkan. Lagu Hindustan sangat popular waktu itu, terutama oleh penyanyi Mohd Rafi dan Aisha Boshle. Selurah kota yang berukuran kira-kira 3 hakter persegi itu bising dengan suara musik Hindustan dari segenap penjuru.

Dalam kamar berukuran 6 X 6 kaki persegi, berlampu malap, berdindingkan kain, tersedia sebuah meja kayu dengan tiga atau empat kerusi rotan model tahun 60an. Di situlah pemburu nafsu melabuhkan punggung. Sebentar wanita pelayan Melayu berpakian seksi datang membawa minuman keras, kacang dan epal hijau yang siap dipotong. Sang pelayan duduk di ribaan pelangan dengan manja sambil mengusap-usap badan. Si jantan pemburu nafsu boleh melakukan semahu-mahunya sehingga kedai maksiat ditutup sekitar jam 1.00 pagi. Atau menyambung aktiviti selanjutnya di ranjang rumah sewa sang pelayan yang berdekatan.

Kota itu, kota maksiat, dibangun di lokasi yang sangat strategik, di Wakaf Siku, Kota Bharu. Walaupun tidak sebagai mercu tanda Kota Bharu tapi nama Biariz Park atau sebuatan lokalnya “Dalam Show” adalah diantara tempat maksiat yang terkenal di negeri yang bergelar Tanah Serendah Sekebun Bunga di zaman jahiliyahnya. Dan selain daripada “Dalam Show” banyak lagi gobok-gobok maksiat di lorong-lorong tertentu di Kota Bharu.

Biariz Park dibangun di atas tanah kepunyaan Tengku Sri Maharaja, iaitu Tengku Hamzah, ayahanda kepada Tengku Razaleigh Hamzah; demikian ditulis Haji Mohd Amim Yaakub (Allahyaham) dalam bukunya Sejarah Pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990.

Generasi kini tidak tahu apa-apa seputar kota yang bernama Biariz Park itu, kerana kota maksiat itu sudah ditutup kurang lebih 40 tahun lalu. Pintu gerbangnya sudah dirobohkan tanpa meninggalkan sisa. Tidak seperti Kota La Fa Mosa di Melaka, tembok sekeliling dirobohkan, namun pintu gerbangnya dibiarkan kekal untuk tatapan generasi kini.

Sebelum penutupannya, kerajaan PAS yang memerintah Kelantan ketika itu telah mengharamkan aktiviti maksiat yang berpusat di Biariz Park dengan mengarahkan pegawai jajahan menamatkan lesen, namun mendapat tentangan dari orang-orang tertentu yang khuatir kononnya kerajaan negeri boleh didakwa oleh syarikat Biariz Park atas kerugiannya. Akan tetapi kerajaan PAS Kelantan tetap dengan keputusan, tidak mundur walau sejengkal, bahkan sanggup membayar ganti rugi jika didakwa.

Pihak-pihak tertentu cuba mempertahankan dengan pelbagai cara, sehingga penutupannya terpaksa mengambil masa lama. Hal ini berlaku kerana kerajaan PAS yang menjadi penguasa ketika itu tidak punya pasukan penguatkuasan sendiri, sedang pihak polis tidak mahu berkerjasama.

Komitmen berterusan oleh para pemimpin dan pendokong PAS terutama dibidang dakwah, akhirnya rakyat sedar, betapa dosa harus dipikul setiap Muslim yang tidak mempedulikan kemungkaran yang berleluasa di lingkungan mereka, maka pengurus kota maksiat itu akur dan berhenti beroperasi. Biariz Park dirobohkan.

Kalau ditanya generasi muda tentang Kelantan dulu dan kini, mereka pasti melihat negeri Kelantan yang bergelar Serambi Mekah dalam konteks masakini yang sudah bersih dari debu-debu maksiat, khurafat, tahyul dan hiburan yang bertentangan dengan Islam. Tapi bagi mereka yang berusia 60 tahun pasti tahu perbezaannya antara dulu dan sekarang, kerana golongan ini pernah merasai kehidupan di Kelantan di zaman sarat dengan kecelaruan, bahkan tak salah jika disebuat zaman gelap.

Bagaimana Kelantan boleh keluar dari kegelapan kepada cahaya? Jawapannya; perjuangan para pemimpin dan pendokong PAS sejak 1959 sehingga sekarang yang tidak pernah mengenal penat lelah mentarbiyahkan umat Islam negeri ini agar menjadi umat yang bertakwa telah membuahkan hasil. Dengan kata lain, PAS telah berjaya mengharmonikan cara berfikir umat Islam Kelantan sehingga berjaya mengalihkan mereka dari tabiat mengemari hiburan berunsur maksiat, mengagungkan budaya yang bertentangan dengan Islam kepada mengemari kuliah-kuliah agama yang disampaikan tok-tok guru dan ustaz-ustaz di merata-rata tempat di seluruh Kelantan. Sehingga akhirnya rakyat memandang hiburan yang bercanggah dengan Islam, pelakuan maksiat, praktik khurafat dan tahyul dengan rasa jijik dan mual.

Kelantan, dari sebuah negeri yang dulunya terkenal dengan Tanah Serendah Sekebun Bunga, yang menonjolkan seni budaya yang pelbagai aneka, termasuk yang bertentangan dengan Islam, kepada Negeri Serambi Mekah yang Islamik. “ Baldatun thoyibatun wa Rabbun Ghofur” - Negeri yang makmur dan diampuni Allah. Anjakan paradegma yang sangat mengkagumkan.

Realitinya, sejak 1990 segala bentuk maksiat, sarang-sarang pelacuran, pusat-pusat hiburan seperti disko, bar dan premis judi berkubur tanpa meninggal batu nisan. Bahkan lobang-lobang untuk kemaksiatan pun ditutup rapi. Begitu juga dengan praktik karut marut yang boleh menjerumuskan pelakunya kepada kesyirikan seperti main teri, bageh, makyong dan manora sudah terhapus sama sekali.

Mana-mana bahagian dari budaya yang bertentangan dengan akidah yang boleh diubah telah diubah misalnya permainan wayang kulit diganti dengan wayang kulit versi baru yang tidak bertentangan dengan Islam.

Seorang teman, orang Cina dari Kuala Lumpur, suatu ketika pernah memberitahu saya “Negeri yang paling saya suka berkunjung ialah Kelantan”. Lalu saya bertanya “Kenapa sukakan negeri itu, walhal Kelantan tidak ada hiburan malam seperti disko, rumah urut?” Saya bertanya demikian kerana saya tahu beliau adalah seorang kaki disko. Jawapannya ringkas tapi menarik “ Di sini saya bebas dari memikikan seputar hiburan, justeru di Negeri Serambi Mekah ini saya dapat istirahat sepenuhnya”.

.Dalam hal ini, kita membahagikan PAS Kelantan dalam dua fasa, iaitu fasa pertama dari tahun 1959 -1978 dan fasa kedua dari 1990 - 2010. Fasa pertama, para pemimpin PAS telah meletakan batu asas perjuangan menegakkan Islam. Slogan yang ditiupkan ketika itu ialah . “ Baldatun thoyibatun wa Rabbun Ghofur” - Negeri yang makmur dan diampuni Allah. Manakala fasa kedua dikenali dengan era kepimpinan ulama dengan slogan Membangun Bersama Islam.

Ibarat mendirikan rumah, fasa pertama membangun tiang dan kerangkanya. Manakala fasa kedua melengkapkannya dengan dinding, bumbung, atap, menyapu cat dan perhiasan lainnya.

Ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi saw yang dibaca para pemimpin PAS terdahulu saat berpidato di hadapan umum adalah sama dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi saw yang dibaca para pemimpim PAS sekarang. Kedua-duannya berjalan seiring, menuju kematlamat yang satu; demi perjuangan Islam yang syumul.

Masih ingat kata-kata Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Prof Zulkifli Muhammad “ Allah SWT memberikan kemenangan kepada PAS terlalu awal, sedang kita belum mempersiapkan diri sepenuhnya”. Maka kemenangan PAS kali
kedua (1990 - ) adalah sebuah amanah yang harus digalas untuk merealisasikan matlamat perjuangan besar PAS sejak parti Islam itu mula ditubuhkan. Membangun ummah dengan minda Islam. Dan mentadbir negeri berlandaskan hukum termaktub dalam al-Quran dan Sunnah Nabi saw.

Kerana itu, sebaik saja PAS berjaya mengambilalih pentadbiran Negeri Kelantan dari tangan UMNO pada Pilihan Raya Umum 1990, Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengubal dasar pemerintahannya kepada tiga prinsip, Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (UMI). Semua program yang dijalankan kemudiannya haruslah berkisar dalam ruang lingkup UMI.

Hakikatnya, sesiapa saja penguasa boleh menukar bangunan lama dengan membina bangunan baru pencakar langit asalkan punya wang, namun kejayaan besar pemerintahan PAS Kelantan selama 36 tahun ialah membebaskan rakyat khususnya umat Islam daripada menjadi hamba “hiburan maksiat ” kepada hamba Allah yang mencintai ilmu dan bertakwa. Dan membebaskan umat Islam dari kesyirikan politik, dimana sebelumnya, dikatakan agama itu suku dan politik itu suku kepada agama (Islam) dan politik itu berjalan seiring. Tidak terpisah. Kejayaan ini sesungguhnya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit!.

No comments:

Post a Comment