Sunday, October 3, 2010

Ku Li tak mahu Galas


Oleh: Rossem
Apakah ertinya kemenangan? Kemenangan adalah maruah, kemenangan adalah harga diri, sedang kekalahan suatu kekecewaan yang mendalam. Maka kerana itulah ada suara dari kalangan pendokong UMNO yang mahukan Tengku Razaleigh Hamzah menjadi calon N45 Galas pada pilihan raya kecil nanti. Yang sedia mempertimbangkan tokoh veteran itu sebagai calon ialah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sementara yang mahukan mantan Menteri Kewangan itu dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil juga ramai. Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustafa Mohamad sedia memberi laluan. Semuanya atas nama mahu menebus kekalahan lalu di tangan PAS.

DUN Galas terletak dalam parlimen Gua Musang. Ku Li menguasai parlimen itu sejak beberapa dekad lalu. Gua Musang dengan Ku Li sangat sinonim. Orang Gua Musang bila melihat bayang saja, sudah kenal, itu bayang Ku Li. Hal ini berlaku kerana keterlibatan veteran UMNO itu dalam politik di Gua Musang terlalu lama.

Tidak dinafikan Gua Musang adalah kubu kebal UMNO sejak 1959 sehingga sekarang. Hanya pada Pilihan Raya Umun 2008, DUN Galas melakar sejarah, pertama kali dirampas oleh PAS melalui calonnya yang baru meninggal, Allahyarham Che Hashim Sulaima dengan majoriti 646 undi mengalahkan Mohammad Saufi Deraman dari UMNO/BN. Sejak itu kubu yang dibangga-banggakan sebagai tak lut peluru itu musnah beratakan.

Di kalangan UMNO menganggap, Tengku Razaleigh Hamzah adalah calon yang lebih sesuai untuk DUN Galas sekiranya BN mahukan kemenangan. Namun Ku Li sendiri belum memberi kata putus, sama ada menerima percalonan atau tidak sekiranya pucuk pimpinan BN menawarkan kepadanya nanti. Demikian juga dengan jawatan Pengarah Pilihan Raya Kecil, belum pasti Ku Li menerimannya.

Ku Li bukan sembarangan orang. Dunianya adalah dunia politik. Masak dengan sepak terajang politik. Pernah bertanding untuk jawatan Presiden UMNO pada tahun 80an, tapi dikalahkan oleh penyandang waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan majoriti tipis 14 undi. Kini Ku Li disyor bertanding untuk merebut kerusi DUN Galas.

Kalau sekadar hanya untuk merebut kerusi Galas, apakah layak seorang veteran seperti Ku Li dipergunakan untuk tujuan itu? Kerana jika menang sekalipun bagi UMNO hanya sekadar memperolehi pertambahan kerusi daripada enam menjadi tujuh. Lainlah kalau kondisinya seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke -12 dulu. PAS memerintah dengan kelebihan satu kerusi. UMNO hanya memerlukan satu kerusi untuk memerintah Kelantan.

Andainya, jika dicalonkan, bertanding dan ditakdirkan menang, pasti akan menjadi beban besar kepada UMNO. Ku Li kemungkinan akan dilantik menggantikan Alwi Haji Ahmad sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan di atas sifatnya “orang lama UMNO”. Bagaimana beliau akan berhujah nanti dengan wakil-wakil rakyat PAS saat sidang DUN berlangsung, sekiranya diajukan soalan seputar minyak di perairan Kelantan. Kerana selama ini pendiriannya tentang royalti minyak adalah sama dengan pendirian Kerajaan Kelantan. Kalau beliau cuba berhujah menyokong wang ihsan seperti dikehendaki pusat, nescaya akan menjadi bahan ketawa rakyat.

Kerana pilihan raya kecil ini berlaku di Gua Musang, maka para pemimpin UMNO baru teringatkan nama Ku Li. Walhal pada pilihan raya kecil sebelum ini seperti di Kuala Terengganu, Permatang pauh, Batang Pinang dan lain-lain, Ku Li tidak pernah dilibatkan. Bahkan nama beliau pun tidak disebut-sebut. Pada Pilihan Raya Umum 2008 pun sosok tersebut tidak tersenarai sebagai antara tukang kempen terpenting di Kelantan.

Teringat cerita hulubalang Hang Tuah di Melaka dahulu. Saat Hang Jebat mengamok di istana raja sehingga tiada siapa mampu mengalahkannya. Oleh bendahara lalu mensyorkan kepada baginda sultan untuk menampilkan Hang Tuah yang disembunyi sang bendahara di Ulu Melaka. Sultan perkenan. Hang Tuah datang bertarung melawan sahabat karibnya demi ketaatan kepada sang ketua. Walhal Hang Jebat tidak sekali-kali akan mengamok kalau bukan kerana sultan menjatuhkan hukuman bunuh kepada sahabatnya Hang Tuah.

Cerita itu, yang dipetik dari hikayat Hang Tuah, menjadi sejarah duka bagi orang Melayu, betapa pendeknya akal seorang yang bergelar laksamana terbilang. Ironisnya, disebabkan Hang Tuah memutuskan harus mentaati sultan (ketua) melebihi melindungi sahabatnya tanpa usul periksa, maka nama laksamana itu tercemar di mata generasi hari ini. Mudah-mudahan tidak berlaku kepada Ku Li.

Di sisi lain, kita bagaikan tidak percaya, seorang veteran UMNO seperti Ku Li bersetuju menjadi calon BN Galas melawan calon PAS semata-mata untuk memenangkan UMNO. Ku Li pernah bertanding untuk merebut jawatan Presiden UMNO sekaligus jawatan Perdana Menteri Malaysia namun kecundang di tangan Dr. Mahathir Mohamad. Kemudian ketika menerajui Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Ku Li bekerja keras untuk merampas Kelantan dari tangan PAS, juga gagal. Kini, disyorkan merampas DUN Galas, ramai percaya nasibnya seperti sebelumnya- gagal!

Namun, kemenangan tidak akan datang bergolek, harus berani menyingsing lengan, kerana maruah diri hanya boleh didapati dari kesukaran dan kesabaran.

No comments:

Post a Comment