Friday, November 5, 2010

Siapa yang banyak janji ia menang


Oleh: Rossem

Kawasan seluas 987 kilometer persegi itu akan bertukar wajah. Pembangunan akan dihadirkan segera. Rumah rakyat sebanyak 1,500 unit bernilai RM180juta akan dibangunankan. Rakyat yang selama kurang lebih dua tahun kebelakangan ini hidup dalam kondisi daif akan terbela dengan diberi rumah baru lengkap dengan kemudahan melayari internet tanpa wayar (wifi) secara percuma sumbangan ikhlas dari pemerintah yang prihatin lagi menyanyangi rakyat.

Masyarakat Orang Asal yang mendiami desa-desa tradisi seperti di Sandrop, Pos Brooke, Jelgele, Balar, Pasik dan lain-lain juga tidak ketinggalan akan menikmati kemudahan internet tanpa wayar percuma. Kehidupan mereka nanti akan lebih baik dari saudara mereka di Gombak, Selangor. Demikian realitinya di Galas, Gua Musang, sepertimana janji Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim saat berkempen untuk kemenangan UMNO/BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N45 Galas. Hanya yang tidak disebut pak menteri ialah, bagaimana warga Galas memperolehi kamputer atau laptop. Sama ada membeli sendiri atau sumbangan pemerintah, kerana tanpa memiliki komputer atau laptop, talian internet percuma ibarat memberi gelang kepada si kudung.

Jalan-jalan kecil di kawasan perumahan yang rosak akan dibaikpulih, sementara yang belum ada akan diwujudkan. Demikian janji Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansur kepada pengundi Galas. Sementara Timbalam Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pula berjanji akan menggantikan dua buah jambatan sempit yang tidak sesuai dan membahayakan, iaitu di kampung Batu Papan dan kampung Batu Papan Kundur.

Hospital baru bernilai RM61 juta, lengkap dengan peralatan moden dan canggih, menempatkan 90 katil pesakit berbanding 34 katil pada masa ini akan dibangunkan segera di Gua Musang. Begitu janji Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustafa Mohamed. Kesimpulannya setiap menteri yang datang berkempen, dibawa bersamanya bakul yang sarat dengan “janji-janji” untuk ditabur kepada pengundi N45 Galas seperti penternak ayam menabur padi kepada ayam-ayam peliharaannya.

Projek -projek yang terbengkalai selama dua tahun setengah pula akan disambung semula. Pekeraja binaan yang terpaksa berhenti kerja kerana ketiadaan pekerjaan akan kembali bekerja. Kren dan jentolak yang sudah berkarat disebabkan tersadai sekian lama akan diservis, ditaruh minyak dan dicat baru. Siap untuk memulakan tugas baru membangun Galas beberapa hari lagi.

Seorang pemandu jentolak yang sempat ditemui amat gembira sekali bila kemenangan memihak kepada calon UMNO/BN. Alasan beliau, jentera berat miliknya pasti dimanfaatkan kontraktor dari kalangan orang UMNO untuk merata jalan. Rezeki yang terputus sejak PAS mengambilalih Galas pada Pilihan Raya Umum 2008 akan datang kembali.

Selama dua tahun setengah PAS menguasai Galas, parti itu ternyata tidak berbuat apa-apa untuk pembangunan kawasan ini. Dakwa para pemimpin UMNO/BN saat berkempen selama 10 hari di N45. Mereka juga mendakwa, hospital, sekolah, jalan raya, balai polis, balai bomba yang ada di Gua Musang semuanya dibina kerajaaan UMNO/BN, sebaliknya kerajaan negeri (PAS) tidak membina walau sebatang jalan, sekolah atau hospital.

Dakwaan itu sangat mudah bagi PAS menjawabnya, sementara orang UMNO sendiri juga tahu, membangun pasarana sedemikan adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat, bukan Kerajaan Negeri. Tapi untuk melengkapkan rempah ratus kempen terpaksa menwar-warkan UMNO yang membinanya, sementara pengundi Galas mempercayainya sebagai sesuatu yang benar.

PAS mengemukakan hanya empat janji. Meneruskan khidmat cemerlang Allahyarham Chek Hashim Sulaima. Berusaha menyelesaikan pemilikan tanah yang tertangguh. Mengadakan rawatan khas bergerak di DUN Galas dan Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menubuh urusetia khas masyarakat Orang Asal.

Pilihan Raya terutama Pilihan Raya Kecil merupakan gelanggang tempat menabur janji. Siapa yang janjinya banyak dan besar nilai faedah kepada masyarakat akan menjadi perhatian pengundi, sementara yang sedikit janjinya dianggap tidak memikat atau sebutan tempatannya “tidak pecah lior”.

Realitinya pada PRK Galas ini UMNO/BN adalah parti yang paling banyak menabur janji kepada masyarakat setempat sehingga pengundi Galas menjadi gelap mata. Parti berlambang Dacing itu akhirnya menang dengan majoriti besar 1,190 undi mengalahkan calon PAS.

Pengarah pilihan raya UMNO/BN, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui kemenangan itu mesej yang jelas bahawa penduduk Galas mahukan pembangunan serta peluang pekerjaan diwujudkan di kawasan berkenaan. “Sudah lama menunggu, mereka mahukan pembanguanan yang boleh memberi manfaat buat mereka” kata Ku Li.

DUN Galas dikuasai UMNO dan Ku Li (sewaktu memimpin Parti Semangat 46) lebih 30 tahun, sedang PAS baru dua tahun setengah, sejak 2008 (PRU Ke 12) sehingga kematian ADUN PAS Allahyarham Chek Hashim Sulaima. Justeru amat tidak adil Ku Li menuding jari kepada PAS menyebabkan Galas mundur, pembangunan ziro, peluang pekerjaan tidak ada. Yang mendengar komentar sang veteran UMNO itu pastinya akan ketawa berdekeh-dekah kerana bicaranya sarat dengan kelucuan

Selanjutnya tentang janji. Janji belum tertentu tertunai. Banyak janji dilafazkan orang politik tidak semua menjadi realiti. Janji yang ditaburkan UMNO/BN pada PRK Manek Urai dulu pun belum dilaksanakan, sekarang tabur pula di Galas.

Dalam rangka memujuk pengundi, tukang -tukang kempen UMNO/BN seringnya memberi persepsi salah kepada pengundi. Dikatakan PAS tidak upaya menghadirkan pembangunan di kawasan Gua Musang-Galas. Hanya UMNO/BN saja yang upaya. Walhal di daerah lain yang dikuasai PAS, pembangunan pesat sekali. Bukan saja bangunan baru didirikan, bahkan Kerajaan PAS Kelantan membangun bandar baru seperti Bandar baru Tunjung, Kubang Kerian, Wakaf Baru, Pasir Tumboh. Di jajahan lain juga tidak terkeculi, misalnya di Kuala Krai, Pasir Mas termasuk juga Gua Musang sendiri sedang rancak dibangunkan. Saksilah di mana-mana di Kelantan sejak 20 tahun PAS mentadbir negeri, pembanguan merata tempat, pelabur berduyung-duyung datang mencari rezeki di Negeri Serambi Mekah yang diberkati.

No comments:

Post a Comment