Monday, October 22, 2018

Untuk merubah, mengambil masa



Oleh: Rossem
Ada orang mencemuh menteri- menteri kabinet dari Pakatan Harapan  berusia 6 bulan lembab  dan tak cekap.  Tidak   ada pengalaman. Mereka tentunya membandingkan dengan menteri-menteri dari kerajaan terdahulu. Pembandingan itu sangat  tidak adil, masakan bisa sama;  6 bulan dengan 60 tahun. Namun dalam  politik, kelemahan itu sememangnya dicari. Yang negatif dilambung setinggi pohon  kelapa. 

 Bukan semua tidak ada pengalaman. Hanya menteri  dan timbalan menteri dari DAP, PKR dan Amanah sahaja tak ada pengalaman. Menteri dari BPBM ada yang pernah menjadi menteri kabinet ketika dalam BN,  termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - berpengalaman luas sebagai Perdana Menteri paling lama memerintah Malaysia.  PH masih bernasib baik. Yang berpengalaman boleh menunjuk ajar.  Yang tak tahu  boleh belajar dari yang tahu. Lumrah alam.  Maka kita terima hakikat itu. 

Fokus rakyat adalah kepada menteri yang dikatakan tak berpengalaman. Sesuaikah mereka di posisi penting itu. Percakapannya dinilai, perbuatannya diperhatikan, termasuk tahap pemikirannya. Menjawab soalan-soalan spontan memerlukan kebijaksanaan sendiri, orang lain tak dapat membantu. Berhadapan dengan wartawan bukan kerja mudah. Wartawan ibarat penjala ikan, hanya ikan yang disukainya sahaja dilibas dengan jala, yang tak mahu, walaupun banyak, dibiarkan berlalu. Berita-berita nagatif  yang dicari. Diolah, ditulis, disiar lewat media termasuk   facebook dan twitter. Seluruh dunia tahu.  Menteri  jenuh menjawab. Sebenarnya itulah  pengalaman  mematangkan menteri.  Patut bersyukur. 

Bukan senang,  bahkan mustahil  untuk merubah  negara mengikut acuan yang  kehendaki PH dalam sekelip mata.  Bukan senang untuk merobohkan sebuah sistem yang telah berakar umbi di dalam seluruh instrument dan segment masyarakat. Bukan senang membina satu sistem baharu di atas timbunan runtuhan dan sampah sarap kerosakan.  Ini bukan perpindahan istana Ratu Balqis dari Sa’aba ke Baitulmuqadis diatas perintah Nabi Sulaiman as terjadi  dalam sekelip mata. Seperti juga kota Rom tidak dibangunkan satu hari.  Pakatan Harapan  memerlukan minimum  tiga tahun untuk menampakkan  hasil perubahannya. 

Presiden Bung Karno  juga pernah menghadapi kondisi sama.  Pada Julai 1945 saat  mempersiapkan kemerdekaan Indonesia, beliau  pernah menyebut; kita akan memerintah negara yang rakyatnya pernah dijajah Belanda selama 500 tahun. Bukan rakyat yang 100 persen sihat dan terdidik. Sebahagian besar menderita oleh  pelbagai penyakit disebabkan  kelaparan, kebuluran. Kita tidak akan menunggu, rakyat sihat baharu merdeka. Dalam kontek Malaysia, jangan tunggu negara tak ada hutang baru nak memerintah. 

Tentang pengalaman, teringat menteri-menteri kabinet pertama Malaya selepas kemerdekaan (1957). Sekelumit pengalaman tidak ada. Tengku Abdul Rahman  pernah menjadi Ketua Daerah (DO). Itulah  jawatan tertinggi  sektur pentadbiran berbanding yang lain -guru, doktor dan peguam.   Rakyat Malaya ketika itu tak  bersunggut, mereka faham menteri tak ada pengalaman. Pembendaraan negara  kering kontang. Pasarana dan kemudahan rakyat tak dapat dibangunkan. Ramai  rakyat mengidap penyakit  taun, malaria. Tiada  kanak-kanak yang tak pernah berkudis pada kaki atau badan. Setiap kampung  rakyat sendiri bangunkan  sekolah secara gotongroyong  agar anak-anak mereka dapat pelajaran. Jawatankuasa sekolah kemudian mencari guru untuk mengajar tanpa gaji. Dua tiga tahun selepas itu baharu  guru-guru  diterima  kementerian pelajaran  sebagai guru tetap dan dibayar gaji. 

Rakyat ketika itu dapat menerima tanpa bersunggut, mengeloh,   kerana tahu, menteri-menteri mereka  jujur dan ikhlas. Berkhidmat demi bangsa dan negara. Malangnya generasi UMNO selepas itu telah berubah. Kepentingan diri didahulukan. Mengejar menterialistik diutamakan. Akibatnya majoriti orang Melayu menolak UMNO. Sebahagiannya pemimpinnya disiasat  SPRM.  Menunggu   didakwa di mahkamah. Terbaru Presiden UMNO Zahid Hamidi dikatakan  memiliki  RM21.25 juta dalam akaun yayasan kendaliannya.  Kewangan diperoleh antaranya dari sumber  mengurus warga asing yang mahu berkerja di Malaysia. Untuk  mendapat wang RM1 ribu sebulan pun merah biji mata bagi rakyat marhaen. 

Dahulu penyokong PKR  berhimpun di mahkamah untuk memberi semangat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang penyokong UMNO  berhimpun di mahkamah sebagai solidariti  untuk Presdien mereka ,Zahid  Hamidi. Dunia benar-benar bagaikan roda pedati.

DI SIMPANG-SIMPANG JALAN 1



Bagus juga bersembang dengan orang politik yang kurang ketaksubannya.  Pagi ini saya beritahu beliau, kampung kita Peringat sudah membangun. Jalan Pasir Puteh dari Pasir Tumboh ke Melor  melewati Peringat dibangun jalanraya 4 lorong bertaraf lebuhraya. Baru siap. Projek kerajaan Pusat. Tentunya perancangan sebelum PRU14. Masjid mukim Peringat dua tingkat sedang dalam proses pembinaan, menggantikan masjid lama, jika hujan tadah besin. Pembinaannya juga  sebelum PRU14 atas  inisiatif YB Tan Sri Hj Annuar Musa –UMNO. Beliau  Ahli Parlimen kawasan ini (Ketereh). Tiap-tiap   pagi Sabtu ada kuliah agama di Medan Ilmu, pasar Peringat, dikendalikan PAS. Jamaahnya dari kalangan muslimat. Di Peringat juga ada stesen TV3, mudah nak beritahu pemandu Grab “kami tunggu di hadapan TV3” . Balai Kartun (BKR) boleh cari dalam google. Yang tak ada ialah  mesin ATM,  ramai bersunggut, mahu berurusan  terpaksa ke Pasir Tumboh- 3 kilometer.  Pam minyak agak jauh sedikit. Namanya pelik- Buruq. Saya pun hairan bagaimana diberi nama minyak  Buruq, sejenis  kenderaan Nabi SAW ke Sadaratumuntha (Israk mikraj). Kesimpulannya semua berperanan- Kerajaan Pusat, Ahli Parlimen, DUN dan warga lokal.

Friday, October 5, 2018

Port Dickson ke Putrajaya, bukan Permatang Pauh



Oleh: Rossem

Cara berfikir, bertindak, membuat keputusan  bagi seseorang tidak pernh statik. Seperti air sungai, ia tak pernah diam. Hari ini di gunung, besok  di kuala. Yang diam membungkam itu air tasik. Manusia tidak seperti air  tasik. Ia lebih dekat dengan air sungai. Berubah-ubah seiring dengan perjalanan usia. Politikus adalah air sungai yang sering berubah. Di kalangan mereka ada yang berubah sederas air terjun Gunung Stung. 

PAS, Haji Hadi misalnya,  saat usianya 30an, keras ucapannya bagaikan helilintar membelah bumi.  Menghentam Umno dalam setiap  ceramah  seluruh negara . Umno thaghut, mati dalam perjuangan melawan Umno mati syahid. Takbir pun bergema, penyokong bagaikan histeria, meremang bulu roma. Amanat pun dicetak, diedar dan ditampal di rumah-rumah. Doa kemusnahan Umno  diaminkan ribuan penyokong PAS  setiap kali solat sunat hajat berjamaah diadakan. Seringnya   di Kelantan. Di stadium dan markas parti. PAS dan doa berpisah tiada. 

Hari ini, pandangan  Haji Hadi terhadap Umno   berubah. Sikapnya tidak seperti dahulu. Umno tidak lagi dianggap musuh politik kepada parti bernuasa Islam itu.  Bahkan bisa berkerjasama, saling undang mengundang  manghadiri majlis Muktamar PAS dan Perhimpuan Agung Umno. Percakapan antara keduanya  senada. Hanya mufakat secara rasmi belum dimeteri. Kata kedua-dua Setiusaha Agung PAS- Umno. Jika menjadi realiti, biarkanlah...yang untungnya bukan orang lain tetapi orang Melayu. Buang yang keruh ambil yang jernih. Biduk lalu kiambang bertaut. Anggaplah masa lalu sebagai sejarah pahit bagai hampedu,  atau medan tempat melatih diri menjadi politikus.  

Sungai yang baik  airnya tidak tinggal diam atau tidak statik.  Ia mengalir sepanjang masa mengelusuri zaman. Pandai mengesuaikan diri dengan situasi dan kondisi, persekitaran dan rentak masa. Haji Hadi adalah sungai hidup. Di pergunungan airnya keras menimpa bongkah batu , tiba di kuala tenang dan menyenangkan.  Hanya sedikit cacat, kepada musuh baru- Pakatan Harapan sikapnya tetap seperti air di pergunungan. Kembali ketika  usia panas  30an. Keras dan membenci. 

Politik matang dan sejahtera. Kita pun terlena dengan nyanyian itu. Dengan slogan itu Umno dan PAS semakin mesra. Seperti negara kuasa besar di zaman perang dingin, Amerika berbaik dengan Rusia kerana muncul musuh baru iaitu China. Apakah PAS yang dipimpin Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tan Sri Datuk Asri Haji Muda, Dr Burhanuddin Al Hilmy dan lain-lain tidak matang dalam berpolitik?. Politik “matang” satu ungkapan berbau keegoan!. Menafikan kebolehan tokoh-tokoh lama dari aspek kepimpinan. 

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sama. Era kekuasaannya  selama 22 tahun (1981 - 2003) sikapnya seperti sungai di pergunungan. Airnya deras dan merempuh apa saja. Tetapi berubah saat usia tua bangka. Pergi ke mahkamah, menjengok sosok yang pernah  beliau penjarakan. “Marilah kita sama-sama menyelamatkan negara, lupakan sengketa lama” Kata Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu Dr Mahathir usianya 92 tahun.

Lalu kita pun melihat perubahan Mahathir amat ketara. Berbaik dengan musuh politiknya. Mungkin orang beranggapan; dalam politik musuh satu saat akan menjadi sahabat, sahabat akan menjadi musuh. Namun pada saya faktor usia juga berperanan, selebihnya adalah kebetulan. 

Dunia  sedang memerhati, apakan benar, seperti dijanjikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan  Dr Mahathir pada Mei 2020. Debaran itu semakin terasa . Jalan ke Putrajaya sudah dibuka.  Auara pantai peranginan Port Dickson yang nyaman dan pusat latihan tentera  tertua di Malaysia menjadi titik mula perjalanan seorang politikus kontrovesi.  Barangkali di situ “ tuah” Anwar, bukan kampung halamannya Permatang Pauh. 

Jika Allah mentakdirkan, Anwar menjadi Perdana Menteri pada Mei 2020 ini, hakikat  simboliknya Dr Mahathir telah mengembalikan “mahkota” yang seharusnya menjadi milik Anwar lama  dahulu. Hanya perjalanan sahaja penuh liku dan selikuh tajam. 

Lalu teringat akan kisah Nabi Sulaiman  a.s .   Ketika Nabi Sulaiman a.s memutuskan untuk membelah tubuh si anak yang jadi perebutan, ibu yang pertama menyetujuinya sedang ibu yang kedua memilih mengalah kerana  dia tak sampai hati melihat anak itu "terbelah", melihat itu Sulaiman memutuskan menghukum si ibu pertama kerana  dia lebih mementingkan keinginannya untuk memiliki si anak,  tanpa perduli anak itu terbelah, hidup atau mati. Nabi Sulaiman lantas  memberikan si anak kepada ibu kedua kerana  ibu kedua lebih memilih mengorbankan keinginannya untuk memiliki si anak agar si anak tidak tebelah dan hidup. Dalam politik juga harus berfikir seperti  Nabi Sulaiman a.s .

Thursday, September 20, 2018

Alberto Fujimori, Mari Alkatiri dan Najib.



Oleh: Rossem

Tahun 1990an  banyak saya lukis kartun tentang Alberto Fujimori, saya kagum dengan beliau, bagaimana orang Jepun boleh menjadi Presiden Peru, sebuah negara di Amerika Latin. Jepun dengan Peru jauhnya merentasi lautan Pacific. Namanya juga masih nama Jepun - Fujimori, hanya ditambah Alberto di hadapnya. Isterinya juga orang Jepun,  Susana Shizuko Higuchi Miyagawa. Politikus dan tokoh politik kontrovesi Peru itu Lahir tahun 1938. Dalam surat beranak mencatatkan lahir di Miraflores, sebuah daerah di Lima,Peru,  tapi diragukan.  Musuh politik beliau mengatakan lahir di Jepun. Fujimori memiliki dua kerakyatan- Peru dan Jepun.  Menjadi Presiden Peru hampir 10 tahun (1990 -2000). 

Fujimori berjaya menstabilkan ekonomi Peru yang tenat ketika itu. Ancaman komunis dan pengganas  Shining Path yang mengugat  keharmonian Republik   berjaya dibanteras. Musuh dalam selimut dan iri juga ramai. Kekuatannya ialah, rakyat marhain Peru menyukainya. Golongan inilah pendokong tegar Fujimori.

Tahun 2000 beliau menghadapai tuduhan rasuah dan penyalahangunaan kuasa. Fujimori diburu Badan Anti Korupsi Peru. Beliau bernasib baik,  tempat berlindung yang diyakini bisa menyelamatkan dirinya ialah Jepun -  tanah leluhurnya. Jepun memberinya kerakyatan. 

Di Jepun ia mengirim surat lewat faks. Fujimori menulis panjang lebar dengan para akhir “ saya letak jawatan sebagai Presiden Peru berkuatkuasa hari ini”.  Kongres Republik Peru   menolak perletakan jawatan itu. Mereka mahu Fujimori kembali ke Peru untuk diadili.  Jepun enggan mengekstradisi Fujimori ke Peru kerana tidak ada perjanjian ekstradisi antara  dua negara. 

Dari Jepun Fujimori terbang ke Santiago, Chile,  tetangga Peru, untuk meninjau, apakah bisa   kembali aktif sebagai ahli politik. Di Chile, nasibnya dirundung malang, pihak keselamatan negara itu menangkap beliau dan diletakkan sebagai tahanan  dalam rumah selama 22 bulan. Tahun 2005 beliau diekstradisi ke Peru. Ribuan rakyat Peru berkumpul di lapangan terbang Antarabangsa Jorge Chavez  untuk menyambut kembalinya wira mereka. Pemimpin yang tak punya mahkota itu dikalongkan dengan bunga-bungaan. Senyum pun terukir. 

Polis segera menangkap Fujimori  dan dibawa ke pusat tahan di Lima. Presiden Mahkamah Agung mengatakan Fujimori menghadapi lima tuduhan rasuah dan dua mencabuli hak  asasi manusia.  Tanggal 11 Disember 2007 dalam perbicaraan, dengan  bukti-bukti dari dokumen-dokumen dan pita-pita video milik  isteri ketua pengintip rahsianya Vladimiro Montesinos. Akhirnya Fujimori dijatuhkan hukuman enam tahun penjara. Rayuan ditolak  Mahkamah Agung.




Selepas itu, berpuluh-puluh lagi tuduhan dikenakan ke atasnya. Antaranya,  Pada April 2009,  kesalahan  melanggar hak asasi manusia semasa menjadi presiden, dan dihukum 25 tahun penjara.
Yang berkuasa bisa mencipta apa jua pertuduhan. Kuasa di tangan mereka!

Nasib ketua negara tidak selalunya mengembirakan. Langit tidak selamanya cerah. Ribut petir dikala senja amat menakutkan. Nasib yang sama menimpa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.  Kini bergelar mantan. Fujimori sebelum ditangkap, sempat melarikan diri, dari satu negara ke satu negara.  Najib hanya berlegar sekitar rumahnya - setiap  saat diawasi. 

Sepertimana saya simpati dengan nasib Fujimori, sang politikus malang dari  negeri yang jauh, tak punya hubungan religis sama sekali.  Dengan Najib juga saya simpati. Saya sudah lama berhenti mengkritik beliau lewat kartun sebelum PRU14. Bayangkan, bagaimana perasaan ibunya Tun Rahah yang sudah tua renta  melihat anaknya diperlakukan sedemikian rupa. Najib keluarga bangsawan, putera kepada Perdana Menteri ke dua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussain,   bukan seperti keluarga saya yang hidup susah di kampung. Jasa beliau dan Tun Razak  harus diambilkira dalam setiap hukuman. Dan sepanjang sesi pertuduhan, beliau tidak menunjukkan reaksi melawan. Layanlah beliau sepertimana Jusuf Habibie, Megawati, Abdurahman Wahid melayan Suharto, saat mantan presiden Republik Indonesia itu dilucutkan mahkota dari kepalanya, walaupun Almarhum dikenakan perlbagai tuduhan.  
  
Seorang lagi ketua negara pernah saya kagumi, banyak  menulis tentang beliau suatu ketika dahulu iaitu  Dr Mari Alkatiri. Perdana Menteri pertama Timor Leste (2002 -2006). Lahir tahun 1949, ketika itu usianya 68 tahun. Beliau seorang pejuang kemerdekaan.  Jose Ramos Horta salah seorang rakannya, yang kemudian mengganti tempat beliau  sebagai Perdana Menteri Timor Leste. 

Apa yang menarik tentang Alkatiri ialah ; beliau  seorang Islam, keturunan Arab Yaman, memerintah sebuah negara 96 persen Kristian Katolik. Tahun 2006, Timor Leste mengahdapi perang saudara, pasukan keselamatan memberontak. Polis Malaysia juga dikirim bertugas di sana di bawah  piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Rakyat mendesak Alkatri meletak jawatan. Akhirnya meletakkan jawatan dalam kondisi kerterpaksaan setelah Ketua Polis Timor Leste Paulo Martins mengeluar kenyataan; ada konspirasi Alkatiri  untuk membunuh pesaing politik.  Alkatiri meletak jawatan 26 Jun 2006. Yang berkuasa bisa melakukan apa sahaja!


Thursday, September 6, 2018

POLITIK SEKARANG- APA PENDAPAT ANDA?


Oleh: Rossem

Kalau bertanya orang Cina dan India, bagaimana keadaan politik Malaysia sekarang. 90 peratus mengatakan berpuas hati.  Apa yang diperjuangkan selama ini membuahkan hasil. Walaupun buahnya belum ranum, kemungkinan tidak akan dimakan ulat sebelum masak sangat menyakinkan.  Katalah apa sahaja keburukan tentang  Pakatan Harapan (PH) mereka tetap mengatakan, PH terbaik.

Tanya orang Melayu, jawabannya; Manifesto 100 hari sekadar kelentung. Mansuh GST ganti SST- tak jauh beda macam itek dengan serati. Bahasa Melayu dianaktirikan, tidak mesra budaya,  harga barang tak juga turun. Itu jawaban penyokong Umno dan atas pagar. 

Pakatan Harapan  cuba membawa Malaysia  ke arah libralisme dalam  agama, Islam tergugat, LGBT  diberikan muka. Itu jawaban daripada penyokong PAS. Jawapan dari pengundi PH pula; kita sudah menafikan khurafat, UMNO/BN tak  mungkin ditumbangkan, sekarang kita sudah tumbangkan. Koruptor dan penyangat  kuasa seperti cacing kepanasan. Mereka  akan diheret kepengadilan. Hutang negara yang ditinggalkan mencerceh RM1 trilion.  Matlamat menjatuhkan UMNO/BN sudah berjaya. 

Kenapa UMNO kehilangan kuasa? UMNO  tidak dapat mempertahankan kekusaannya tanpa bantuan  kaum lain seperti  Cina, India,  bumiputra Sabah dan  Sarawak.  Bergabung bersama  BN  farmula terbaik . Pecah bererti kalah.  Bijak pemimpin politik di zaman Tengku Abdul Rahman membentuk kesepakatan. Sebuah kontrak sosial yang mantap bahkan tak terfikirkan. 

Itu gagasan 60 tahun dahulu.  Belum tentu berkekalan. Generasi sekarang cara berfikir berbeda. Ramai sudah yang dapat menerima hakikat;  Malaysia negara berbilang kaum. Orang Cina, India sama-sama lahir di bumi ini.  Tanah ini ibunda mereka.  Mereka punya hak asal tidak bertentangan dengan perlembagaan negara. Bahkan ada yang berpendapat; Melayu adalah pemegang tali (kekuasaan politik), orang Cina timbanya (ekonomi). Tali tanpa timba tak berguna, Timba tanpa tali juga tak berguna. Saling perlu memerlukan.

Jauh ke hadapan. Menyelami realiti. Hakikatnya bukan  setakat ekonomi, bahkan politik.  Tahun 1978 Tun Dr Mahathir memecat TPM Datuk Seri Anwar Ibrahim,  UMNO berpecah. Lahir PKR.  Sokongan orang Melayu kepada UMNO jatuh merudum.  Akibat perpecahan itu, PRU 1999,  UMNO/BN  dikhuatiri akan berhadapan dengan kekalahan teruk. Namun tak berlaku.  Siapa yang menyelamatkan UMNO/BN?  Undi solid orang Cina.  Mereka kekal bersama  MCA, GERAKAN dan MIC.  Bermakna kuasa tawar menawar politik ada di tangan mereka.


PRU 12 dan PRU 13,  Barisan Nasional (BN) mula kehilangan 2/3 apabila orang Cina tidak lagi memberi kepercayaan total kepada BN.  PRU 2018 UMNO/BN tersungkur.  Orang Cina mengundi DAP dan  PKR dalam gabungan PH.  MCA, Gerakan, MIC  menjadi  parti sejarah.


Sekiranya  UMNO dan PAS bergabung atau membentuk kesepakatan untuk menghadapi kemaraan PH pun tak cukup ernegi,  kerana BN sudah tinggal nyawa-nyawa  ikan. Berbaki tiga parti, tetapi  semua sudah sakit.  Ubat menyembuhkan penyakit hanya satu cara;  MCA dan GERAKAN memujuk orang Cina kembali bersama seperti dahulu. Suatu kerja sukar zaman now!. 

Berbaik atau bergabung  dengan PAS bukan mudah  bagi kedua-dua parti Melayu itu.  Pilihan raya kecil mungkin boleh, PRU berkucar lana. Perebutan kerusi tak dapat dielakkan. Masing-masing  akan  bertegang leher mahu mempertahankan kerusi tradisional masing-masing.  Mereka sudah terbiasa, 60 tahun berhadapan antara satu sama lain. Kehendak pengundi harus didahulukan. Pemimpin sukar membuat keputusan. Beratakan. 

UMNO juga menghadapi masalah. Strategi  atau pendekatan bagaimana mahu digunapakai  menghadapi kemaraan PH. Cyebertooper tak cukup. Lambat laung tembelang akan pecah. Cara berhemah KJ atau cara ultra Melayu Lokman Nor Adam? Perpecahan dalaman kian parah.  Yang menunggu untuk melompat si katak lompat ke PPBM juga ramai. Setahu saya, PPBM dan AMANAH  ligat membuka cawangan baru, mengedar borang keahlian di seluruh Malaysia.  Bearapa banyak cawangan baru UMNO dibuka selepas PRU14?

PAS dengan caranya.  Menghukum seseorang dari jauh.  Tertarik dengan cara dakwah Ustaz Ebit Lew seorang Cina Muslim,  bagaimana ia mendekati  Marina Maharhir. Tazkirah hampir dua jam. Memberitahu kesempurnaan Islam secara bertentang mata.  Saya melihatnya dari youtube. Fokus Marina kepada tazkirah itu  luar jangkaan, pasang telinga, tidak berpaling kiri, kanan atau belakang. Mungkin inilah pertama kali para dai’ mendekati beliau. Umat Islam Malaysia ramai mengakui sebagai pendakwah, tepai tidak seperti Ebit Lew, terus ke sasaran.