Monday, October 22, 2018

Untuk merubah, mengambil masa



Oleh: Rossem
Ada orang mencemuh menteri- menteri kabinet dari Pakatan Harapan  berusia 6 bulan lembab  dan tak cekap.  Tidak   ada pengalaman. Mereka tentunya membandingkan dengan menteri-menteri dari kerajaan terdahulu. Pembandingan itu sangat  tidak adil, masakan bisa sama;  6 bulan dengan 60 tahun. Namun dalam  politik, kelemahan itu sememangnya dicari. Yang negatif dilambung setinggi pohon  kelapa. 

 Bukan semua tidak ada pengalaman. Hanya menteri  dan timbalan menteri dari DAP, PKR dan Amanah sahaja tak ada pengalaman. Menteri dari BPBM ada yang pernah menjadi menteri kabinet ketika dalam BN,  termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - berpengalaman luas sebagai Perdana Menteri paling lama memerintah Malaysia.  PH masih bernasib baik. Yang berpengalaman boleh menunjuk ajar.  Yang tak tahu  boleh belajar dari yang tahu. Lumrah alam.  Maka kita terima hakikat itu. 

Fokus rakyat adalah kepada menteri yang dikatakan tak berpengalaman. Sesuaikah mereka di posisi penting itu. Percakapannya dinilai, perbuatannya diperhatikan, termasuk tahap pemikirannya. Menjawab soalan-soalan spontan memerlukan kebijaksanaan sendiri, orang lain tak dapat membantu. Berhadapan dengan wartawan bukan kerja mudah. Wartawan ibarat penjala ikan, hanya ikan yang disukainya sahaja dilibas dengan jala, yang tak mahu, walaupun banyak, dibiarkan berlalu. Berita-berita nagatif  yang dicari. Diolah, ditulis, disiar lewat media termasuk   facebook dan twitter. Seluruh dunia tahu.  Menteri  jenuh menjawab. Sebenarnya itulah  pengalaman  mematangkan menteri.  Patut bersyukur. 

Bukan senang,  bahkan mustahil  untuk merubah  negara mengikut acuan yang  kehendaki PH dalam sekelip mata.  Bukan senang untuk merobohkan sebuah sistem yang telah berakar umbi di dalam seluruh instrument dan segment masyarakat. Bukan senang membina satu sistem baharu di atas timbunan runtuhan dan sampah sarap kerosakan.  Ini bukan perpindahan istana Ratu Balqis dari Sa’aba ke Baitulmuqadis diatas perintah Nabi Sulaiman as terjadi  dalam sekelip mata. Seperti juga kota Rom tidak dibangunkan satu hari.  Pakatan Harapan  memerlukan minimum  tiga tahun untuk menampakkan  hasil perubahannya. 

Presiden Bung Karno  juga pernah menghadapi kondisi sama.  Pada Julai 1945 saat  mempersiapkan kemerdekaan Indonesia, beliau  pernah menyebut; kita akan memerintah negara yang rakyatnya pernah dijajah Belanda selama 500 tahun. Bukan rakyat yang 100 persen sihat dan terdidik. Sebahagian besar menderita oleh  pelbagai penyakit disebabkan  kelaparan, kebuluran. Kita tidak akan menunggu, rakyat sihat baharu merdeka. Dalam kontek Malaysia, jangan tunggu negara tak ada hutang baru nak memerintah. 

Tentang pengalaman, teringat menteri-menteri kabinet pertama Malaya selepas kemerdekaan (1957). Sekelumit pengalaman tidak ada. Tengku Abdul Rahman  pernah menjadi Ketua Daerah (DO). Itulah  jawatan tertinggi  sektur pentadbiran berbanding yang lain -guru, doktor dan peguam.   Rakyat Malaya ketika itu tak  bersunggut, mereka faham menteri tak ada pengalaman. Pembendaraan negara  kering kontang. Pasarana dan kemudahan rakyat tak dapat dibangunkan. Ramai  rakyat mengidap penyakit  taun, malaria. Tiada  kanak-kanak yang tak pernah berkudis pada kaki atau badan. Setiap kampung  rakyat sendiri bangunkan  sekolah secara gotongroyong  agar anak-anak mereka dapat pelajaran. Jawatankuasa sekolah kemudian mencari guru untuk mengajar tanpa gaji. Dua tiga tahun selepas itu baharu  guru-guru  diterima  kementerian pelajaran  sebagai guru tetap dan dibayar gaji. 

Rakyat ketika itu dapat menerima tanpa bersunggut, mengeloh,   kerana tahu, menteri-menteri mereka  jujur dan ikhlas. Berkhidmat demi bangsa dan negara. Malangnya generasi UMNO selepas itu telah berubah. Kepentingan diri didahulukan. Mengejar menterialistik diutamakan. Akibatnya majoriti orang Melayu menolak UMNO. Sebahagiannya pemimpinnya disiasat  SPRM.  Menunggu   didakwa di mahkamah. Terbaru Presiden UMNO Zahid Hamidi dikatakan  memiliki  RM21.25 juta dalam akaun yayasan kendaliannya.  Kewangan diperoleh antaranya dari sumber  mengurus warga asing yang mahu berkerja di Malaysia. Untuk  mendapat wang RM1 ribu sebulan pun merah biji mata bagi rakyat marhaen. 

Dahulu penyokong PKR  berhimpun di mahkamah untuk memberi semangat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang penyokong UMNO  berhimpun di mahkamah sebagai solidariti  untuk Presdien mereka ,Zahid  Hamidi. Dunia benar-benar bagaikan roda pedati.

1 comment: