Friday, October 5, 2018

Port Dickson ke Putrajaya, bukan Permatang Pauh



Oleh: Rossem

Cara berfikir, bertindak, membuat keputusan  bagi seseorang tidak pernh statik. Seperti air sungai, ia tak pernah diam. Hari ini di gunung, besok  di kuala. Yang diam membungkam itu air tasik. Manusia tidak seperti air  tasik. Ia lebih dekat dengan air sungai. Berubah-ubah seiring dengan perjalanan usia. Politikus adalah air sungai yang sering berubah. Di kalangan mereka ada yang berubah sederas air terjun Gunung Stung. 

PAS, Haji Hadi misalnya,  saat usianya 30an, keras ucapannya bagaikan helilintar membelah bumi.  Menghentam Umno dalam setiap  ceramah  seluruh negara . Umno thaghut, mati dalam perjuangan melawan Umno mati syahid. Takbir pun bergema, penyokong bagaikan histeria, meremang bulu roma. Amanat pun dicetak, diedar dan ditampal di rumah-rumah. Doa kemusnahan Umno  diaminkan ribuan penyokong PAS  setiap kali solat sunat hajat berjamaah diadakan. Seringnya   di Kelantan. Di stadium dan markas parti. PAS dan doa berpisah tiada. 

Hari ini, pandangan  Haji Hadi terhadap Umno   berubah. Sikapnya tidak seperti dahulu. Umno tidak lagi dianggap musuh politik kepada parti bernuasa Islam itu.  Bahkan bisa berkerjasama, saling undang mengundang  manghadiri majlis Muktamar PAS dan Perhimpuan Agung Umno. Percakapan antara keduanya  senada. Hanya mufakat secara rasmi belum dimeteri. Kata kedua-dua Setiusaha Agung PAS- Umno. Jika menjadi realiti, biarkanlah...yang untungnya bukan orang lain tetapi orang Melayu. Buang yang keruh ambil yang jernih. Biduk lalu kiambang bertaut. Anggaplah masa lalu sebagai sejarah pahit bagai hampedu,  atau medan tempat melatih diri menjadi politikus.  

Sungai yang baik  airnya tidak tinggal diam atau tidak statik.  Ia mengalir sepanjang masa mengelusuri zaman. Pandai mengesuaikan diri dengan situasi dan kondisi, persekitaran dan rentak masa. Haji Hadi adalah sungai hidup. Di pergunungan airnya keras menimpa bongkah batu , tiba di kuala tenang dan menyenangkan.  Hanya sedikit cacat, kepada musuh baru- Pakatan Harapan sikapnya tetap seperti air di pergunungan. Kembali ketika  usia panas  30an. Keras dan membenci. 

Politik matang dan sejahtera. Kita pun terlena dengan nyanyian itu. Dengan slogan itu Umno dan PAS semakin mesra. Seperti negara kuasa besar di zaman perang dingin, Amerika berbaik dengan Rusia kerana muncul musuh baru iaitu China. Apakah PAS yang dipimpin Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tan Sri Datuk Asri Haji Muda, Dr Burhanuddin Al Hilmy dan lain-lain tidak matang dalam berpolitik?. Politik “matang” satu ungkapan berbau keegoan!. Menafikan kebolehan tokoh-tokoh lama dari aspek kepimpinan. 

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sama. Era kekuasaannya  selama 22 tahun (1981 - 2003) sikapnya seperti sungai di pergunungan. Airnya deras dan merempuh apa saja. Tetapi berubah saat usia tua bangka. Pergi ke mahkamah, menjengok sosok yang pernah  beliau penjarakan. “Marilah kita sama-sama menyelamatkan negara, lupakan sengketa lama” Kata Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu Dr Mahathir usianya 92 tahun.

Lalu kita pun melihat perubahan Mahathir amat ketara. Berbaik dengan musuh politiknya. Mungkin orang beranggapan; dalam politik musuh satu saat akan menjadi sahabat, sahabat akan menjadi musuh. Namun pada saya faktor usia juga berperanan, selebihnya adalah kebetulan. 

Dunia  sedang memerhati, apakan benar, seperti dijanjikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan  Dr Mahathir pada Mei 2020. Debaran itu semakin terasa . Jalan ke Putrajaya sudah dibuka.  Auara pantai peranginan Port Dickson yang nyaman dan pusat latihan tentera  tertua di Malaysia menjadi titik mula perjalanan seorang politikus kontrovesi.  Barangkali di situ “ tuah” Anwar, bukan kampung halamannya Permatang Pauh. 

Jika Allah mentakdirkan, Anwar menjadi Perdana Menteri pada Mei 2020 ini, hakikat  simboliknya Dr Mahathir telah mengembalikan “mahkota” yang seharusnya menjadi milik Anwar lama  dahulu. Hanya perjalanan sahaja penuh liku dan selikuh tajam. 

Lalu teringat akan kisah Nabi Sulaiman  a.s .   Ketika Nabi Sulaiman a.s memutuskan untuk membelah tubuh si anak yang jadi perebutan, ibu yang pertama menyetujuinya sedang ibu yang kedua memilih mengalah kerana  dia tak sampai hati melihat anak itu "terbelah", melihat itu Sulaiman memutuskan menghukum si ibu pertama kerana  dia lebih mementingkan keinginannya untuk memiliki si anak,  tanpa perduli anak itu terbelah, hidup atau mati. Nabi Sulaiman lantas  memberikan si anak kepada ibu kedua kerana  ibu kedua lebih memilih mengorbankan keinginannya untuk memiliki si anak agar si anak tidak tebelah dan hidup. Dalam politik juga harus berfikir seperti  Nabi Sulaiman a.s .

1 comment: