Sunday, November 20, 2011

RM100, PRU Ke 13 dan Kelantan


Oleh:Rossem
Mat Ya tersenyum lebar saat saya menyapanya suatu tengah hari yang redup di musim tengkujuh. “Dari mana?” “Dari sekolah” katanya, ringkas. Dan saya pun diam, tak memberi respons, namun setelah memerhatikan mimik wajah serta lirik matanya seperti ada sesuatu yang mahu disampaikan, justeru saya tidak terus beredar, sebalik menunggu bibir mulutnya yang sedang bergerak-gerak seperti mulut lembu mengunyah rumput itu mengeluarkan madah.

“Datuk Seri Haji Najib, beri tiga ratus” tutur Mat Ya. Bibir mulutnya berbunga senyum. Lebar senyumannya selebar jambatan kedua merentasi Sungai Kelantan dari Kota Bharu ke Pasir Pekan yang sedang dalam pembinaan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN), dan tentunya senyum bangga Mat Ya tengah hari itu kerana dapat wang dari kerajaan UMNO/BN.

“Wang apa Mat Ya?” saya bertanya. “Wang bantuan untuk murid-murid sekolah” jawab Mat Ya. “Kenapa sehingga RM300?” Hairan, setahu saya peruntukan untuk murid-murid sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2012 baru-baru ini cuma RM100.

“Anak-anak saya yang bersekolah seramai tiga orang, jadi RM300.” Tambahnya.

“Wang itu bukan Haji Najib punya, juga bukan UMNO / BN punya, itu wang kerajaan. Wang kerajaan itu wang rakyat” saya memperbetulkan persepsi seputar “wang” itu yang mungkin Mat Ya tersalah menerima penjelasan yang disampaikan orang-orang tertentu yang berkepentingan politik sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan bantuan di dewan sekolah tempat anak-anaknya belajar pagi itu.

Dan memang benar, salah seorang yang berucapkan pada majlis itu memberitahu ibu bapa yang hadir bahawa wang sebesar RM100 itu ialah pemberian daripada kerajaan UMNO/BN yang sangat prihatin. “Inilah kerajaan yang seharusnya tuan-tuan dan puan-puan pilih pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, bukan puak yang satu lagi itu. Baru nak bercakap pasal Negeri Berkebajikan, walhal kita, UMNO/BN sudah berpuluh-puluh tahun menabur kebajikan untuk rakyat”

Mengumpulkan ibu bapa dalam sebuah dewan sekolah atas nama majlis pemberian wang bantuan murid -murid merupakan satu lagi kebijaksanaan UMNO/BN di zaman pentadbiran Haji Najib. Ibu bapa tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama terpaksa hadir, dan sebelum diagih-agihkan wang, diasakkan dengan motivasi berbaur politik kepartian tertentu terlebih dahulu. Justeru mahu atau tak mahu, telinga para hadirin tak terlepas daripada menangkap pesan-pesan khusus meskipun sebahagian tak disukainya.

Saya terus bertanya Mat Ya. “Bagaimana reaksi orangramai yang hadir, bila hal-hal kepartian seperti itu disebut-sebut?” “Majoritinya tampak gelisah, tapi tetap menunggu, kerana wangnya belum lagi diberikan” kata Mat Ya.

Acara yang bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 tenghari itu menurut Mat Ya, ramai dikalangan ibubapa berungut kerana majlis tidak berakhir dengan jamuan nasi gulai kawah seperti lazimnya bagi warga Kelantan yang sangat menitikberatkan soal makan minum bila tiba waktu makan tengahari. Pantang datuk nenek orang Kelantan, kalau dijemput ke sesuatu majlis sehingga waktu tengahari tak dijamu makan tengahari.

Berbeza dengan majlis anjuran PAS atau Kerajaan Negeri Kelantan yang diperintah PAS, pihak penganjur pasti tumbangkan seekor atau dua ekor lembu mengikut jangkaan kehadiran orangramai, dimasakan gulai kawah dan dijamu untuk makan tengahari. Yang hadir pun senang hati dan tak berungut.

Demikian budaya orang Kelantan. Berkebajikan tak semestinya dengan wang, bahkan dengan nasi gulai kawah juga. Kerana itu PAS diterima majoriti rakyat Kelantan kerana mereka bijaksana dalam memahami hati nurani rakyat Negeri Serambi Mekah.

Jamuan nasi juga melambangkan bahawa dalam diri penganjurnya bebas dari sifat keegoan dan sombong. Tua muda, miskin kaya, pemimpin dan yang dipimpin sama-sama makan nasi gulai kawah dengan pinggan kertas pakai buang. Semua itu diambilkira dan dinilai rakyat Kelantan.

Kadang-kadang kerana keegoan, hal-hal yang remeh dan temeh seperti ini terlepas pandang. Mungkin dalam hati sang panganjur, beri RM100 sudah memadai, justeru mereka merasakan tak perlu lagi menyediakan jamuan makan tengahari ala kadar. Namun, situasi dan kondisi di Kelantan tetap tak sama dengan tempat lain. Di Kelantan pangajur harus menyantuni publik sekali lipat dari negeri lain, jika UMNO/BN mahu menambat hati orang Kelantan.

Selanjutnya saya bertanya beberapa orang terutama pendukung PAS yang datang menerima wang bantuan anaknya; bagaimana pandangan politik selepas menerima bantuan Kerajaan Pusat itu? Jawapannya. “ Jangan menyangka kami boleh dibeli dengan material. Kami menerimanya kerana itu hak kami, dan mengundi juga hak kami. Kami bebas memilih parti mana yang disukai pada PRU Ke 13 nanti”.

Saturday, November 12, 2011

Allahyarham Kamalruzaman yang saya kenal


Oleh: Rossem
Dua hari sebelum kembali ke Rahmatullah, sering saya berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengannya seputar kerja. Saat menerima berita kecelakaan jalan raya yang meragut nyawanya, sms itu belum delete, justeru saya terkejut amat sangat bahkan seperti tidak percaya khabar duka yang diterima selepas pulang solat Jumaat, 11 November 2011 benar-benar satu realiti.

Allahyarham, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur sibuk menyiapkan dokumen yang dijadikan poster yang menarik mengenai tuntutan royalti minyak yang akan diserahkan
kepada Perdana Menteri di parlimen 11 November.

Poster petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak ketika menjawab pertanyaan YB Lim Kit Siang di Dewan Rakyat tanggal 12 November 1975.
Antara Intinya ialah “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut yang dijual PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya”.

Poster itu juga memuatkan petikan ucapan Menteri Besar Kelantan (1976-1990), Dato’ Haji Mohamad Yaacob, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam (4 April 1989) dan Perdana Menteri Malaysia sekarang, Datuk Seri Haji Najib di Dewan Rakyat (4 November 2009).

Selanjutnya, Allahyarham mahukan poster itu dimuatkan dalam laman iklan akhbar Sinar Harian. Kebetulan saya penyalaras ruang iklan yang beli Kerajaan Kelantan melalui Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Iklan berbayar, satu muka surat itu terbit dua kali seminggu iaitu setiap Ahad dan Khamis, edisi Timur.

Allahyarham benar-benar mengharapkan saya dapat memuatkan poster itu mengikut tarikh yang yang sama dengan hari penyerahan Amanat Tun Razak di parlimen pada 10 November 2011.

“Saya dah sent tadi. Pak Rossem dawnload. Terima kasih” beritahunnya melalui sms setelah saya memintanya mengirim artwork poster yang sudah siap direkabentuk.

Seterusnya ia menyambung “Ya, 10 November saja, kita nak nasional sebab kita mahu semua rakyat Malaysia tahu pasal ucapan Tun Razak. Itu pun kalau Sinar Harian berani publish. Kalau Sinar Harian tak berani, harap Pak Rossem ejas ayat-ayat mana yang depa tak selesa, bagi depa selesa..Terima kasih”

Saya memberitahunya bahawa harga iklan akan berganda jika untuk edaran nasional, hal ini perlu maklumkan lebih dahulu kepada Pengarah Urusetia Penerangan, minta kebenarannya.

Allahyarham membalas sms saya “ Ambo dah tanya Ustaz Man (pengarah), boleh tak untuk keluaran 10 Nov sahaja, di upgrade jadi nasional dan colour. Dia setuju, Pak Rossem boleh ejas ke untuk 10 Nov itu?”

Komitmen Allahyarham tentang kerja sangat tinggi. Harapannya agar Amanat Tun Abdul Razak tersebar luas, dapat dibaca dan diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia memang satu usaha yang sangat mengagumkan.

Dan saya telah tunaikan permintaan Allahyarham. Iklan seperti yang dimintanya telah terbit dalam Sinar Harian tanggal 10 November, walaupun pada mulanya tak diluluskan untuk siaran oleh editor akhbar tersebut, namun setelah puas merayu dan campurtangan Pengarah Urusetia Negeri dengan melakukan sedikit perubahan, akhirnya dimuatkan.

Maka benarlah seperti diungkapkan bossnya, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Husam Musa “Semua urusan tuntutan royalti telah diurus oleh Allahyarham dengan baik dan penuh amanah demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan”

“Allahyarham seorang pegawai saya yang amanah, jujur, rajin berusaha terutama dalam tuntutan royalti. Dia yang banyak menyelidik, mencari bahan bukti dan memang dia wira.”

Kamaruzaman Haji Abdullah, 31, Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Kelantan, YB Dato’ Haji Husam Musa meninggal dunia dalam tugas sewaktu dalam perjalan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti minyak.

Friday, November 4, 2011

Padang Arafat dan cinta Adam Hawa bersemi


Jika ada orang bertanya
Di planet bumi ini di mana tempat paling mengembirakan.
Jawapannya Mekah dan Madinah di musim haji.
Kenapa tidak di tempat lain?
Di tempat lain gembiranya berbeda
Seperti mimpi tak bermakna

Tidak di dua kota suci ini
Melihat fotonya saja
Air mata mengalir tanpa disedari
Seberkas kenangan akan terlahir.
Meskipun bertahun-tahun berlalu.
Terasa seperti baru semalam

Kemuncak ibadah haji ialah di Arafat
Aku masih ingat 6 tahun dulu
Sewaktu menjadi tetamu haji
Manusia berpakaian ihram
Bergerak dalam saf yang besar
Melewati tanah gersang berbukit gondol
Dengan satu matlamat - menyahut panggilan Ilahi

Arafat melambangkan awal kehidupan manusia di bumi
Di dalam satu riwayat Nabi Adam a.s dikatakan
Setelah turun ke bumi bertemu dengan Hawa di Padang Arafat
Di tanah gersang ini mereka saling berkenalan.

Adam turun ke bumi kerana diusir dari syurga
Ia mengingkari perintah Allah. Kenapa?
Bukankah hidup di Syurga berbantalkan kemewahan, kenikmatan
Ada sesuatu yang diinginkan Adam a.s di Syurga
Yang tak bisa diperolehinya
iaitu berkasih sayang dengan Hawa
Kerananya Adam sanggup meninggalkan Syurga
Sebagai gantinya Allah SWT meletakkannya dalam dunia
Yang penuh dengan penderitaan, ketamakan, pembunuhan

Itulah awal kehidupan manusia (Adam)
Yang memiliki keinginan suka memberontak
Adam diusir daripada Syurga. Ia kesepian.
Sedang dunia adalah penjara bagi dirinya
Ia menerima hukuman terhadap pemberontakannya
Lalu bertaubat dan taubatnya diterima Allah SWT.

Apakah hubungan haji dengan semua ini?
Haji melambangkan pertaubatan manusia
Termasuk kesedaran dirinya yang mencakup perasaan terasing dan terbuang
Sebagai akibatnya timbullah tekad untuk “kembali” kepada Allah.

Peralihan “Adam yang berada di syurga”
Menjadi “Adam yang berada di dunia”
Merupakan pencerminan dari karekter dan tingkah laku manusia pada zaman sekarang. Suka memberontak, agresif dan sering terjebat dengan bujukan syaitan dan wanita.

Percikan cinta yang pertama sekali dalam pertemuan Adam dengan Hawa
Menyebabkan mereka saling memahami.
Itulah petanda pertama dari pengetahuan!
Adam mengetahui isterinya mempunyai jenis kelamin yang berbeza
Tapi mempunyai naluri yang sama dengan dirinya

Adam bertemu dengan Hawa (yang memiliki jenis kelamin yang berbeza)
Mereka bertukar pendapat dan akhirnya saling memahami
Kehidupan “individual” mereka berakhir dengan terciptannya sebuah keluarga
Keluarga kecil itu kemudian menjadi besar dan terus membesar
Hari ini anak cucunya memenuhi setiap ruang muka bumi

Ibadat haji menjadikan diriku banyak berfikir tentang kebesaranMu
Ibadat haji tidak sekadar rukun, sebaliknya tersirat makna
Jika mahu ditulis seputar makna dan falasafahnya
Pasti tak akan habis dan pena kekeringan dakwat

Sesungguhnya berada di dua kota suci Mekah dan Madinah
Mengerjakan haji, pasti meninggalkan kesan yang mendalam
Setiap dilakukan sarat dengan falasafah bagi mereka yang mengetahuinya.


Rossem
5 November 2011

Tuesday, November 1, 2011

Mahdi Akif: Umat Islam Wajib Bela Palestina!


Oleh: Rossem
Walaupun beberapa ia menyebut letih karena kurang istirahat dan melakukan perjalanan panjang, mantan Mursyidul Am Al Ikhwan al Muslimun Mesir, Dr, Muhammad Mahdi Akif mengaku bangga datang ke Kelantan Malaysia. Tokoh gerakan Islam yang pernah dijatuhkan hukuman mati oleh penguasa Mesir, Jamal Abdul Nassir ini baru saja datang di Malaysia, menghadiri undangan pemerintah kerajaan Kelantan.

“Perjalanan dari Mesir ke Malaysia yang mengambil waktu lama, dan sebelum ke Kota Bharu telah menghadiri Ijtimak Tarbawi 2011 anjuran Pemuda PAS serta memberi ceramah di beberapa masjid di Kuala Lumpur, namun semangat untuk berkunjung ke Kelantan sangat tinggi, seperti juga tingginya semangat Islam warga Kelantan,” ujarnya.

Menurut Akif, keinginan berkunjung ke Kelantan dan bertemu Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kenalannya Ustaz Yahya Osman justeru telah cukup lama.

Bagi generasi muda Muslim sekarang yang tak sempat bertemu atau mengenali dari dekat Hasan Al –Banna (yang meninggal 12 Februari 1949), Dr Muhammad Mahdi boleh jadi “bayangan” atau copi-paste kepada tokoh terkemuka gerakan Islam itu, karena keduanya adalah sahabat seperjuangan dan hidup sezaman.
“Siapapun yang ingin mengenali Syeikh Hasan Al-Banna maka dampingilah Syeikh Dr Muhammad Mahdi, di sana ada persamaannya,” tutur Ustaz Asri yang menterjemah ucapan Syeikh Muhammad Mahdi Akif dari bahasa Arab dalam bahasa Melayu.

Dalam paparannya, ia bercerita mulai terlibat dengan gerakan Al Ikwan al Muslimun sejak tahun 1940-an. Kemudiannya memegang berbagai jabatan kepemimpinan sehingga dilantik sebagai Mursyidul Am yang ke 7, jabawatan tertinggi dalam gerakan Islam itu.

Lewat kata-katanya yang bersemangat, beliau menggajak umat Islam seluruh dunia berpegang kukuh dengan tali Allah SWT dan berwaspada setiap masa dari musuh-musuh Islam yang sentiasa mengintai untuk memusnahkan Islam.
Menurutnya, apa yang terjadi di Somalia, Iraq, Afghanistan adalah angkara permainan jahat musuh-musuh Islam, katanya.

“Paling penting adalah; sama-sama kita fikirkan tentang umat Islam di bumi Palestina yang sekian lama dizalimi rejim Zionis-Israel. Sekarang saudara-saudara kita dari Hamas sedang berjihad. Banyak sudah yang gugur syahid dan banyak lagi akan menyusul. Ingatlah, perjuangan Palestina bukanlah untuk hanya rakyat Palestina tapi untuk ummah. Justeru kita semua, walaupun di mana anda berada, wajib membantu mereka,” tegasnya.

Menyinggung tentang Pemilu pertama yang bakal diadakan di Mesir selepas kejatuhan rejim Husni Mubarak, Syeikh Dr Muhammad Mahdi menyinggung Pemilu di mana hampir 550 kursi parlemen akan diperebutkan.

Ikhwanul Muslimin, gerakan oposisi yang paling berpengaruh pada masa Mubarak, akan berjuang untuk memperoleh kira-kira separuh kursi parlemen dalam pemilihan mendatang melalui Partai Kebebasan dan Keadilan. Partai itu telah memperingatkan pihak pemerintah untuk tidak menangguhkan pemilihan, yang kelompok-kelompok sekular telah anjurkan karena mereka takut kelompok Islam yang diorganisir lebih baik itu akan merebut kursi-kursi.

Seperti diketahui, Dr Muhammad Mahdi Akif pernah dijebloskan ke penjara oleh rezim Husni Mubarak dengan tuduhan berencana mengulingkan pemerintahan. Ia dipenjara 20 tahun pada Agustus 1954 saat usianya 26 tahun.

Tahun 1996 sekali lagi ia dijeblos ke dalam penjara karena dituduh berkomplot manjatuhkan pemerintahan Presiden Anwar Sadat. Kali ini ia dipenjara selama tiga tahun.

23 tahun, bukan waktu pendek. Namun baginya, seperti dinyatakan kepada ribuan jamaah PAS yang hadir mendengar amanatnya di Balai Islam, Kota Bharu tanggal 31 Oktober 2011 kemarin, “ Kami tahu, kami adalah dipihak yang benar, justeru kami bangga walaupun masuk penjara.”

Lahir tanggal 12 Juli 1928 di Mansyurah, Mesir, usia Muhammad Mahdi kini mencapai 83 tahun. Meski demikian fisiknya tampak masih gagah. Pidatonya bersemangat dan mantap, dengan vokalnya yang baik, sehingga mengejutkan jamaah yang hadir mendengar pada malam itu.

Saturday, October 22, 2011

Muammar Gaddafi berjuang sehingga ke titisan darah terakhir

Oleh: Rossem
Muammar Gaddafi pada awal kekuasaannya di Libya, sesudah mengulingkan pemerintahan Raja Sanusi pada 1977 disanjung seluruh dunia, menjadi hero terutama di negara-negara umat Islam dan Dunia Ketiga, kerana keberaniannya mengatakan “no” kepada Amerika Syarikat.

Kelantangannya mencabar Amerika dan Barat ketika itu disebabkan negara komunis seperti Uni Sovet berdiri dibelakangnya. Setelah Uni Sovet runtuh singa Afrika Utara itu bagaikan tercabut taring.

Ketika tentera Rusia menaluki bumi Afghnistan dan melakukan kezaliman ke atas umat Islam di sana, Libya menyebelahi Rusia.

Dan satu pertanyaan tiba-tiba muncul di penjuru hati; berapa banyakkah bantuan yang pernah diberikan Libya untuk membantu rakyat Palestin?

Gaddafi sosok yang taksub dengan sistem sosialis gayanya sendiri. Sistem itu dijadikan sebagai dasar pemerintahan negara Libya.

Ketaksudban yang mendalam membuatkan beliau tampak tidak bersahabat dengan Islam. Selama pemerintahannya beliau menghumban ke penjara ribuan ulama dan pemimpin gerakan Islam, bukan hanya dikalangan Ikhwanul Muslimin Libya, tetapi ulama dan pemimpin lain yang ingin menegakkan kebenaran dan keadilan.

Ternyata Gaddafi memang tidak berminat dengan Islam. Buku Hijau (kitabul akhdar) yang diperkenalkan 1977 yang menjadi panduan pemerintahannya sangat mengelirukan. Ditulis sendiri oleh beliau tanpa sepatah perkataan pun menyebut nama Allah SWT, Rasulullaah saw dan al- Quran serta hadis. Persepsinya pada Islam tersangat rendah. Bahkan dalam Buku Hijau muka surat 130 bab sukan, Gaddafi mengungkapkan: Sesungguhnya sukan itu samalah seperti solat.

Walaupun demikian tidak dinafikan, banyak pertubuhan-pertubuhan Islam di seluruh dunia yang dibantu olehnya dengan material dan latihan. Membiayai membangun masjid-masjid, gedung-gedung dan sebagainya.

Juga membantu gerakan-gerakan pemisah di negara yang umat Islam menjadi minoriti, tapi itu berlaku pada tahun-tahun awal pemerintahannya. Mungkin disebabkan tindakannya itu makanya Gaddafi sangat dibenci Amerika Syarikat dan Barat sehingga menganggapnya sebagai lelaki gila dan harus dibunuh.

Menganggap dia “gila” juga memang ada kewajaranya, kerana tidak ada pemimpin dunia yang waras sanggup menggunakan pesawat pengebom untuk mengebom rakyatnya sendiri yang melakukan demonstration di lapangan. Namun Gaddafi sanggup melakukannya dengan alasan pengkhianat-pengkhianat itu adalah anjing Amerika.

Kerana kezaliman kepada rakyatnya sehingga di luar batas-batas kemanusian, makanya ulama terkenal, Dr Syeikh Yusof Al-Qaradhawi menyeru sesiapa juga termasuk tentera Libya supaya membunuh Gaddafi. Kata-kata sang ulama itu tidak dipengaruhi Amerika dan Barat tapi dalam konteks hukum Islam, bahawa Gaddafi sudah sewajarnya dibunuh.

Tanggal 20 Oktober 2011, kata-kata ulama itu menjadi realiti- Gaddafi mati di tangan rakyatnya sendiri di tempat persembunyiannya terakhir, iaitu di Sirte. Menurut laporan Gaddafi ditahan dan dibunuh ketika cuba melarikan diri dari kampung kelahirannya selepas berminggu-minggu bertahan dari kepungan NTC.

Benar seperti pernah diucapkannya sewaktu awal penentangan rakyat terhadapnya: Saya akan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir. Sekarang kata-kata itu menjadi kenyataan - mati di tanah airnya sendiri. Padahal kalau Gaddafi mahu melarikan diri ke luar negara juga boleh, tapi ia memilih untuk mati sebagai pahlawan.

Friday, October 21, 2011

Shah Kirit Kakulal Govindji dai’ gigih


Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Aneh sekali nama itu. Seringnya di Malaysia, apabila seseorang memeluk Islam, harus menukar nama ayahnya kepada Abdullah. Namun Shah protes “Tak ketemu pun nas dari al-Quran mahupun Hadith Shahih yang mewajibkan seseorang yang memeluk Islam harus menukarkan nama ayah kepada Abdullah” ujar Shah.

“Saya dilahirkan sebagai seorang Islam, tapi ibubapa saya telah membesarkan saya sebagai seorang Hindu”. Lagi-lagi Shah membikin khalayak kaget. “Anda jangan terkejut dengan ungkapan saya. Bukankah Islam mengajari kita bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan dalam kondisi fitrah Islam, tapi ibubapalah yang mencorakkan mereka menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang Free Thinker”. Kata Shah.

Sesekali bicara Shah bersulam humouris. Satu jam terasa sangat singkat. Tutur katanya lancar. Bahasa Melayunya fasih meskipun beliau seorang India.
Pria 40an, asal Kuala Lumpur itu kini menjadi dai sepenuh masa setelah berhenti kerja dengan Saaba Media. Dakwahnya melangkaui perbatasan Malaysia sehingga ke luar negara, antaranya Indonesia, Thailand, Qatar dan lain-lain.

Sepanjang menjadi dai kurang lebih 15 tahun setelah memeluk Islam, pelbagai ragam manusia ditemui. Ada yang senang menerima kebenaran dan sebaliknya. Namun yang paling sukar ialah mengajak keluarga sendiri memeluk Islam. “Saya berusaha sedaya upaya menyakinkan bapa saya yang sudah tua akan kebenaran Islam. Setiapkali berdebat dengan beliau saya menang, bahkan beliau sendiri mengakui akan kebenaran Islam berdasarkan hujah yang saya sampaikan. Namun saya gagal meguasai hati nurani beliau. Ia tetap berkeras tak mahu memeluk Islam. Saya sedar yang memberikan hidayah itu Allah SWT. Saya cuma menyampaikan”.

“Bapa saya akhirnya meninggal dalam agama Hindu. Sebelum meninggal, saya memberitahunya agar berpeganglah kepada agama Hindu yang asal yang mengatakan Tuhan itu satu. Beliau mengatakan; ya!” Ujar Shah.

Sebelum itu, Shah Kirit mengakui, lantaran pernikahan dengan seorang wanita muslim justeru ia memeluk Islam. Saat mula ia menyampaikan hal tersebut kepada karyawan di kantor agama mereka kemudiannya mentertawakan. “ Apa sih. Mahu memeluk Islam kerana perempuan?” tanya mereka sinis.

Shah menjawab “Apakah memeluk Islam kerana perempuan itu menjadi satu kesalahan”. “Tak salah” jawab salah seorang dari mereka dengan sedikit lembut.

“Memeluk Islam kerana mahu menikah tidak salah. Mungkin itu Qada dan Qadar. Allah SWT sudah tentukan seseorang itu mendapat hidayah-Nya lewat pernikahan. Yang menjadi kesalahan ialah sesudah memeluk Islam justeru tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam.

Ikut bersalah juga ialah masyarakat Islam yang tidak mahu membimbing atau membantu mualaf.”
“ Non-Muslim memeluk Islam kerana pernikahan justeru ramai. Itu salah umat Islam sendiri kenapa tak mahu berdakwah kepada mereka sehingga bertemu pasangan”. Kata Shah.
Selanjutnya Shah berujaran: Alhamdulillah, hari ini kita sadar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tapi untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggung-jawab yang diamanahkan Allah SWT kepada kita untuk menyampai dakwah Islam kepada yang belum menerima Hidayah.
Allah SWT mencela golongan seperti ini dalam Surah Al-Baqarah 2:140 “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan” Nauzubillah, janganlah kita termasuk dalam kelompok ini.
Allah SWT memberikan penghormatan kepada umat Islam di dalam surah Ali Imran 3:110 “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”
Kita pun senang mendengarkan ayat ini. Namun lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggung-jawab. Lagi besar penghormatan, maka lagi beratlah tanggung-jawab yang harus dipikul. Tanggung-jawab yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam yang melayakkan kita di gelar “sebaik-baik umat” juga disebut dalam ayat yang sama; “(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah” . Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat amar maaruf nahi munkar, iaitu melakukan dakwah kepada non-Muslim sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak.
Allah SWT mengatakan di dalam surah Al-Ikhlas 103:1-3 “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran, bermakna melakukan amal maaruf nahi munkar, yakni melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggung-jawab melakukan dakwah bukan tugas ustaz, imam atau deptmen Agama saja tapi adalah tanggung-jawab setiap umat Islam.
Di dalam Khutbah terakhir, Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabat. Apakah telah ku sampaikan pesanan Islam? dan para sahabat pun serentak menjawab; Ya Rasulullah! Kau telah sampaikan. Maka Rasulullah saw seterusnya memerintahkan mereka; sesiapa yang hadir di sini, sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir. Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah saw lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan dakwah Islamiah. Maka Islam telah pun sampai ke negeri Cina, India, Sepanyol dan seterusnya ke Indonesia, Malaysia. Alhamdulillah, sahabat-sahabat dulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya tetapi sebaliknya telah bertebaran kepelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.
Di dalam Shahih Bukhari jilid 4 hadith 667 diriwayatkan dari Abdullah Ibn Amr bahawa Rasulullah saw telah bersabda “Sampaikanlah walau satu ayat”. Kita tidak perlu dapatkan Phd atau ijazah atau menjadi ustaz / ustazah dalam menyampaikan dakwah Islam. Walaupun kita tahu satu ayat dalam al-Quran, kita boleh menyampaikannya. Sebagai orang Islam, kita tahu lebih dari satu ayat. Sekurang-kurangnya kita tahu ˜La ilaha ilallah”, maka sampaikanlah ia.
Dewasa ini dunia sudah berubah menjadi materialistik. Setiap perkara yang dilakukan mesti ada ganjaran atau keuntungan. Allah SWT mengajak kita berniaga dengan_Nya dalam Surah As-Saff 61:10-11 “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu”.
Bila berniaga kita harus tahu peratusan keuntungannya. Keuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah 2:261 adalah “Bandingan (derma) orang-orang yang belanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”. Yakni setiap satu biji benih tumbuh menjadi tujuh ratus biji benih. Didalam bahasa perniagaan, ini adalah keuntungan yang tidak kurang dari 70,000%! Mana ada perniagaan lain di dunia ini yang menjamin 100% pulangan keuntungan sehingga 70,000%?
˜Master key” untuk melakukan dakwah kepada non-Muslim sudah diterangkan dalam Surah Ali Imram 3:64 “Katakanlah (wahai Muhammad): ˜Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”.
Untuk mencari kalimah-kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji kitab mereka (bukan untuk beriman) untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Sekiranya diperingkat permulaan kita hanya menggunakan al-Quran dan Hadith sahaja mungkin non-Muslim tidak percaya atau tak yakin kerana mereka belum beriman kepada al-Quran. Sekiaranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian terpaksa menerimanya. Berikut adalah beberapa hujah-hujah yang boleh kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian:
My Father is greater than [John 14:28]
My father is greater than all [John 10:29]
…I cast out devil by the spirit of God… [Matthew 12:28]
…I with the finger of God cast out devils… [Luke 11:20]
I can of mine own self do nothing: as I hear, I judge: and my judgment is just; because I
seek not my own will, but the will of the Father which hath sent me. [John 5:30]
…and the word which ye hear is not mine, but the Father which sent me. [John 14:24]
Shama Israelu Adonai Ila Hayno Adonai Ikhad.
Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord. [Mark 12:29]
Apabila kita mulakan dakwah kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah Al-Ikhlas “ Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tiada diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya”
Selanjutnya, kita bisa diskusikan mengenai ayat-ayat yang ada persamaan didalam kitab-kitab mereka contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang paling popular dikalangan orang-orang Hindu adalah Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:
Those whose intelligence has been stolen by material desires surrender unto demigods and follow the particular rules and regulations of worship according to their own natures. [Bhagavad Gita 7:20]
Ekam evadvitiyam
He is One only without a second [Chandogya Upanishad 6:2:1] 1
Na casya kascij janita na cadhipah.
Of Him there are neither parents nor lord. [Svetasvatara Upanishad 6:9] 2
Na tasya pratima asti
There is no likeness of Him [Svetasvatara Upanishad 4:19] 3
Na samdrse tisthati rupam asya, na caksusa pasyati kas canainam.
His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.
[Svetasvatara Upanishad 4:20] 4
Na tasya pratima asti
There is no image of Him [Yajurveda 32:3] 5
Shudhama poapvidham
He is bodiless and pure [Yajurveda 40:8] 6
Andhatama pravishanti ye asambhuti mupaste
They enter darkness, those who worship the natural elements (Air, water, fire, etc.).

They sink deeper in darkness, those who worship sambhuti (created things; table, chair, idol etc.). [Yajurveda 40:9] 7
Brahma Sutra of Hinduism:
Ekam Brahm, dvitiya naste neh na naste Kinchan
There is only one God, not the second;
Not at all, not at all, not in the least bit.

Namun, saat kita menyampaikan dakwah kepada nom-Muslim, paling penting ialah mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah SWT di dalam Surah An-Nahl 16:125 “ Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.

Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan yang baik dan lemah lembut saat menyampaikan dakwah Islamiah kepada non -Muslim? Jarang sekali. Seringnya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah; Dalam Islam kita mesti solat lima kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja, tak bisa makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan babi, minum arak, harus potong anunya bagi lelaki (kitan), pergi masjid harus pakai songkok, kopiah dan kain sarung, kalau pergi solat hari raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!) dan bermacam-macam lagi.

Kata Shah lagi “ saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak meMelayukan seseorang daripada mengIslamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini satu agama yang sangat menyusahkan umatnya”.

“Seharusnya, pada langkah pertama kita jangan terlalu tekankan soal fikah (halal dan haram). Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman seseorang mualaf itu sudah mantap barulah kita sampaikan bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan individu. Bila iman sudah kukuh di hati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, InsyaAllah”. Kata Shah.

“Marilah kita laksanakan tanggung-jawab yang diamanahkan Allah SWT yakni menyampaikan dakwah kepada non-Muslim. Jangan lagi memberikan alasan. Ingatlah Firman Allah dalam Surah At-Taubah 9:24 “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-oramg yang fasik (derhaka)”.
Alasan-alasan sering kita degar diucapkan oleh mereka yang tak mahu atau sengaja menangguh-nangguhkan kerja dakwah ialah:

1. Tunggulah saya pandai “ sampai bila-bila pun kita tidak akan pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sampaikanlah walau satu ayat.

2. Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan dakwah – di zaman Nabi Muhammad s.a.w. terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Hal ini tidak sedikit pun menghalang Rasulullah saw dari menyampaikan da’wah kepada kaum Musyirikin ketika itu, malahan baginda telah berjaya menyatu padukan semua kaum dibawah panji Islam!

3. Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur urusan orang lain “ Dalam Islam menjadi tanggung-jawab setiapMuslim mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan soal akidah, amal maaruf nahi munkar.

Selanjutnya Shah Kirit memeberi sketsa, bayangkanlah suatu hari, anda berwisata bersama keluarga di sebuah pergunungan. Bila sampai ke puncak yang paling tinggi, kita pun menghamparkan tikar dan mula menjamu selera bersama-sama dengan keluarga.
Saat itu, tanpa diduga, anak kita berusia dua tahun berlari-lari sampai ke hujung tebing; didepannya terdapat jurang yang amat dalam. Anda sebagai ibu bapa tentu cemas bukan? Di sebelah anak kita berdiri seorang lelaki gagah. Tapi lelaki itu tidak cuba menghulurkan tangannya untuk menyelamatkan anak kita, walhal ia upaya.
Akhirnya anak kita terjatuh ke dalam gaung dan mati. Kepada lelaki itu wajarkah kita mengucapkan terima kasih kerana tidak mencampuri urusan orang lain? Tentu tidak!. Sebaliknya kita akan menyalahkan lelaki itu kerana tak mahu menolong anak kita, dengan mengatakan lelaki itu seorang yang kejam.

Tahukah anda, sebenarnya orang Islamlah yang memegang watak lelaki kejam tadi. Kita banyak kenalan dari kalangan non-Muslim di sekitar kita, tapi kita tak pernah membuka mulut untuk menyampaikan mesej Islam. Kita biarkan sahaja mereka mati dalam kondisi kafir. Di akhirat nanti mereka akan mengadu kepada Allah SWT. Dan menarik kita sama-sama masuk neraka, nauzubillah. Apakah alasan yang akan kita berikan pada Allah SWT ketika itu?

Friday, October 14, 2011

Dunia semakin hodoh –Pak Samad


Oleh: Rossem

Usianya 76 tahun, namun semangat perjuanganya seperti mengalahkan orang muda. Masih upaya berdiri di pentas dalam tempoh lama kerana menyampaikan bait-bait puisi yang mengetarkan jiwa pendengar dan penghayat seni sastera. Atau mendengar ceramahnya yang memukau.

Ayat-ayat yang digunakan saat menyampaikan ceramah sukar untuk membezakan, apakah ia sedang berpuisi atau berceramah, kerana bahasa yang digunakan adalah bait-bait puisi juga. Hal demikian disebabkan ia dewasa dalam bahasa, makan minumnya adalah bahasa, tidur baringnya adalah bahasa, berjalan berdiri adalah bahasa, apalagi disaat di pentas di depan khalayak- pastinya persoalan bahasa ditekankan. Pendek kata, meniti usia dari muda sehingga sekarang kehidupannya adalah bahasa Melayu.

Di pentas separa politik seperti di Balai Islam, Kota Bharu, kelmarin, tiga kali diberikan kesempatan untuknya berbicara. Pertama mendiklomasi puisi berjudul “Dari Dinding Dewan” dan kedua, “Dari Dinding Madarasah”. Di sila-sila keduannya diberikan masa untuknya berucap ( sesi menjawab soalan). Namun ucapannya juga semacam sedang mendiklamasikan puisi, sarat dengan kata-kata puitis. Sesekali humoris.

Sebenarnya ia sedang marah. Sudah lama ia marah. Dan memang patut pun ia marah. Namun marahnya kepada pemimpin UMNO/ BN berbeda dari orang lain marah. Perbedaannya kerana ia bijak bermain bahasa sehingga ungkapan marahnya tidak menampakkan “seteruk” kata-kata sang pemidato dari kelompok politikus.

Rupanya bahasa puitis punya kekuatan tersendiri bila sang bicaranya memiliki kekuatan rohani yang kental, biarpun fizikal tampak sedikit berkurang lantaran usia. Sang Sasterawan Negara itu berjaya memukau khalayak lewat mesej yang sangat jelas yang disampaikan.

Khalayak memenuhi dewan, suatu hal yang tak diduga kerana malam itu (14 Oktober 2011) acaranya bertembung dengan perlawanan sepakbola antara Kelantan- Terengganu di Stadium Sultan Muhamad Ke IV, Kota Bharu yang jaraknya kurang lebih satu kilometer.

Kerana perlawanan itu, justeru moderator Bicara Rakyat (Forum Rakyat) YB Dato’ Wan Abdul Rahim, seorang kaki bola, sering memberhentikan acara bahkan saat Sasterawan Negara berucap juga dibuat pengumuman, memberitahu keputusan sepak bola yang diterimanya lewat handphone/ facebook, dari masa ke semasa.

Keputusan terakhir yang disampaikan ialah 2-2. Namun khalayak di dalam dewan sebenarnya tak pedulikan keputusan perlawanan sepak bola, mereka lebih terfokus kepada mesej yang mahu disampaikan para panelis, selain Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, Exco Kanan Kerajaan Kelantan, YB Haji Husan Musa dan puteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izah Anwar.

“Sewaktu dalam ASAS 50 bersama teman-teman seperti Allahyarham Osman Awang, Allahyarham Kris Mas, Mashuri SN, saat itu usia saya baru belasan tahun atau duapuluhan tahun. Saya mengidamkan dunia yang cantik. Saya khayalkan dunia ini seperti itu, tapi sampai usia saya mencerceh 76 tahun hari ini, dunia bukan semakin cantik sebaliknya semakin hodoh dan bodoh” ujarnya.

ASAS 50 atau lengkapnya Angkatan Sasterawan 50. Ditubuhkan di Singapura 6 Ogos 1950, ialah pertubuhan sebelum merdeka yang paling besar sumbangannya kepada perancangan dan perkembangan bahasa Melayu.

“Yang menggusarkan saya bila melihat pemimpin Malaysia selama lima dekad dikuasai kaum bangsawan, tak ada dari kaum bawahsawan. Mereka itu saat berkumpul untuk sarapan pagi cakap orang putih. Tak pernah merasai kesusahan seperti dirasai rakyat.
Kalau nampak susah pun, itu pura-pura. Mengayuh basikal dan naik bas. Semua itu lakonan” Kata Pak Samad.

Selanjutnya Pak Samad berujaran sepintas lalu tentang sejarah kemerdekaan “ Tunku Abdul Rahman Putera bukan seorang pejuang kemerdekaan, sebaliknya seorang penyambut kemerdekaan. Pejuang kemerdekaan sebenar ialah Dr. Burhanuddin Al- Helmi, Ahmad Bostaman, Mat Indera dan lain-lain, tapi olehkerana tokoh-tokoh itu tak disenangi Inggeris ditangkap dan akhirnya yang menganjung Inggeris ditabalkan sebagai bapak kemerdekaan.