Monday, July 8, 2019

MAD dan GG



Kalau benar seperti dilaporkan ABC News, majalah satira  terkenal MAD akan memberhentikan penerbitannya setelah 67 tahun bersama  peminatnya di seluruh dunia. MAD sangat berpengaruh, pernah mencapai angka jualan 2 juta naskah setiap keluaran, selepas   tahun 1994 menurun  kepada satu juta naskah dan terus susut. Ramai peminat tegar terkejut dengan   laporan terkini itu. 

Saya salah seorang  pelangan tetap MAD sejak tahun 1978. Setiap bulan tak lepas  peluang  mendapatkan majalah satira Amerika itu di kedai-kedai  Mamak Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Harga RM7.50. Agak mahal dengan  nilai wang ketika itu tetapi faham,  MAD  majalah import.
Tahun 1978, majalah MAD Malaysia diterbitkan.  ”Gila-Gila”  mutunya setanding dengan MAD Amerika .  Saya mula beralih kepada majalah tempatan.  Anak Malaysia juga mampu melakukannya, Malaysia boleh! Syabas anak muda yang berani ( sekarang sudah tua) Jafaar Taib, Mishar, Zainal Buang Hussain, Azman Yusof (Datuk).  

 Gila-Gila masih diterbitkan sehingga sekarang.  Baru-baru ini  menyambut ulang tahun GG ke 40 tahun.  Kemuncaknya, Gila-Gila pernah mencapai angka  jualan 300 ribu setiap kluaran (dua kali sebulan), mengalahkan mana-mana penerbitan majalah di Malaysia. Harapan; biar MAD berkubur, GG  terus hidup. Biar rebah tersungkur, misai jangan patah.

Monday, June 10, 2019

Usia tua


Bila usia  di  gerbang tua,  masuk kedai,    jurujual  wanita buat tak pandang.  Senyum jauh sekali. Mereka lebih suka melayani pelangan muda, berpakaian kemas. Mungkin  ia menyangka orang tua tak punya banyak wang. Kalau jurujual minyak wangi tak layan orang tua itu  munasabah, orang tua mana ada beli minyak wangi, bedak pun tak pakai. 

Teringat salah seorang keluarga saya (aruah), ketika itu usia 67 tahun, orang kampung  totok,   pakai kain sarung pelikat,  bersemutar dan selipar Jepun. Suatu hari  pergi ke bandar,  masuk ke kedai jual kereta,    mahu membeli sebuah kereta baru.  Banyak kereta di pamerkan, model terkini,  dari kilang.  Beberapa orang jurujual mundar mandir, namun  tak seorang pun  mempedulikannya.  Dari sebuah kereta ke sebuah kereta  diamati, intai   bahagian dalam, cantik dan berkenan di hati.  Nak bertanya harga dengan siapa? Jurujual  asyik memburu dan melayani  pelangan muda berpakaian kemas yang baru memasuki  premis   kedai.  

Setelah lama di situ, akhirnya  buka mulut  bertanya salah seorang jurujual  “ Yang ini berapa harga?”  “Eh, pakcik umur berapa, mahu beli kereta?”  disergah  jurujual.  “Umur  pakcik, pinjaman bank tak lulus” sambung  jurujual.  Jawab  saudara saya “Nak beli tunai!”  Terkejut ,  malu tersipu- sipu.  

Ketika itu wang simpanan aruah saudara saya dalam akaun bank  RM500 ribu. Nilai harta termasuk aset tanah lebih sejuta ringgit.  Harga kereta    hanya   RM70 ribu. Akhirnya ia beli   tunai, tetapi di kedai  lain yang beradab, menghormati orang tua. 

Cerita lain, suatu hari di sebuah pejabat kerajaan di Kuala Lumpur.  Saya berdiri di kaunter  pertanyaan ,  seorang tua datang  berdiri di sisi seperti mahu bertanya sesuatu kepada  petugas  wanita di kaunter. Lelaki tua itu seperti  saya pernah  melihat fotonya di akhbar  seorang  bergelar Tan Sri. “ Pak cik mahu apa?” tanya wanita bertugas itu.  Merah muka Tan Sri. Mungkin selepas pensiun, kali pertama orang memanggilnya pakcik. Seharusnya wanita yang mungkin baharu bekerja

Thursday, May 16, 2019

YANG DILUPAKAN



Malaysia dahulu tidak aman seperti sekarang. Bukan sahaja di pendalaman bahkan di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, komunis membuat kacau dan onar. Rakyat hidup dihimpit ketakutan. Bendera merah bintang bucu lima dikibar di tiang-tiang elektrik pinggir jalan. Tugu Pahlawan di hadapan bangunan parlimen di letupkan ( 26 Ogos 1975). Kem Pasukan Polis Hutan Batalion 5, Jalan Tun Razak (dulu Jalan Pekeliling) di serang dengan bom (3 September 1975), 15 anggota PPH cedera. Ketua Polis Negara yang ke 3, Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak mati di Jalan Tun Perak (7 Jun 1974). Itu adalah harga yang dibayar generasi terdahulu untuk kemakmuran negara Malaysia tercinta.

Angkatan Tentera Malaysia melahirkan ramai perwira gagah berani. Sebut namanya sahaja komunis sejuk telapak tangan, antaranya Pegawai Waran 1 Kanang anak Langkau ( mendiang ) dari Rejimen Renjer Diraja (1945 -2013). Pahlawan Iban digeruni di bumi Kenyalang. Pasukan Polis Diraja Malaysia juga memiliki ramai sang pemberani. Sejumlah komunis tumpas di tangan mereka. Ketika saya bertugas sebagai wartawan di PRO, Bukit Aman (1991), pernah terbang ke Sarawak, menyusuri hingga ke pendalaman, singgah di desa-desa suku Iban sepanjang jalan antara Serian- Seri Aman mencari, menjejaki anggota Polis Hutan Sarawak yang pernah bertempur dengan PARAKU. Sebahagiannya sudah bersara dan pulang ke kampung masing-masing . Kami datang ke kampung mereka - menemubual . Tak kurang 15 orang kami wawancara, saya bersama ASP Fauzi Abu Bakar (Allahyarham) tukang catat, ada ketikanya beremang bulu roma mendengar cerita seru mereka bertempur dengan gerombolan Komunis PARAKU macam Rambo. 
 
Kesemua yang kami wawancara adalah anggota pangkat rendah. Seharusnya kami bertemu platun komander atau pegawai kompeni, kerana mereka ketua pasukan. Arahan pertempuran dari mereka. Malangnya gagal. Rancangan untuk membukukan kisah hidup mereka tak menjadi. ASP Fauzi Abu Bakar, bos saya pula meninggal.

Tuesday, April 30, 2019

Jangan jadi Qadariah



´”Tiada suatu bencana yang berlaku di muka bumi ini dan yang menimpa diri kamu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (luh fahfuz) sebelum kamu diizinkan ia terjadi, sesungguhnya kerja itu sangat mudah bagi Allah”  - Surah Al Maidah ,22.

Ayat ini salah satu firman Allah yang menolak pegangan  atau kepercayaan sesetengan orang Islam bahawa apa yang yang dilakukan oleh manusia terbit dari manusia itu sendiri, bukan dari takdir Allah. Golongan tersebut dipanggil qadariah, kerana mereka mendakwa manusia  berkuasa penuh  melakukan segala-galanya dan hasil kerja mereka dari usaha mereka sendiri.

Ayat lain pula menyebut “ Sesungguhnya Allah menjadikan kamu dan menjadikan apa yang kamu lakukan”- Al Fuzilat- 96. Manakala dalam surah An Nissa ayat 78 Allah berfirman “ Dan  kalau mereka mendapat kebaikan mereka katakan ini dari Tuhan, dan jika mereka ditimpa bencana mereka katakan itu dari engkau (Muhamad). Katakan semua dari Allah, tetapi (malangnya) mereka itu tidak tahu rahsia setiap ciptaannya (Allah) “

Ayat di atas menegaskan  bahawa semua perkara atau benda di alam ini dicipta oleh Allah, termasuk  apa jua yang dilakukan oleh manusia sendiri. Golongan Qadariah menolak keyataan Allah ini kerana mereka tidak percaya pada kekuasaan Allah yang meliputi segala-galanya. Bahkan dikalangan kita juga secara tak sedar menyebut, nasib masa depan seseorang bergantung sepenuhnya  pada usaha dan fikiran mereka sendiri. Seoalah-olah Tuhan tidak campur tangan  dalam urusan yang dikerjakan manusia. Jika malas belajar sendiri rugi, jika malas berusaha  akan bertemu kemiskinan dan kelaparan. 

Dari satu aspek, memang pendapat itu  benar dan tepat. Tetapi dari aspek lain , pendapat demikian menolak  kekuasaan Allah. Dasar akidah Islam, manusia  bebas melakukan kerja  dan usaha masing-masing, tetapi usaha  mereka boleh berlaku  hanya dengan izin Allah, bermakna hasil usaha mereka ditentukan Allah jua. Takdir Allah dan usaha manusia  adalah seiring dan sejalan  kerana erergi  disebalik usaha   manusia itu sendiri datang dari kurnia Allah.

Orang lumpuh seluruh anggota badan, tiada upaya melakukan sebarang kerja kerana Allah tidak memberi mereka tenaga yang diperlukan, sebaliknya ada juga  orang sehat yang bekerja kuat tetapi hasilnya tak seberapa, kerana Allah membatasi hasil usahanya dengan sebab dan rahsia  yang hanya diketahui  oleh Allah sendiri.

Tuesday, March 26, 2019

Sebuah karya “Kamal Kacak Ori



Buku kartun tentang sesuatu tempat, kota atau negeri, sejarah dan tempat-tempat  tarikan pelancung  tak banyak  dilakar kartunis. Hanya beberapa kerat kartunis sahaja,   antaranya Aza. Beliau sinonim dengan “Jerantut”, Pahang. Kartunis Azmi Hussain atau Me dengan “Tanjong Life” Buku  itu sesuai untuk pelancung  bawa balik ke negara mereka sebagai ole-ole.

 Kelantan khususnya  Kota Bharu juga bisa  berbangga,  kartunis Kamal Nawie  telah melakar  tempat-tempat bersejarah dan tarikan pelancong yang banyak terdapat di sekitar bandar itu dalam bentuk buku kartun yang menarik dan warna warni.  

Buku setebal 58 muka surat itu ada cerita tentang Muzium Diraja Istana Batu, Pasar Siti Khadijah, Menara rehal, Bazar Tuan Padang , Stesen bas tertua di Kelantan, Tokong Mek Tumpat,Masjid Muhammad dan banyak lagi.  Ada keunikan tersendiri .  Ini sebuah karya anak muda  bergelar  “Kamal Kacak Ori” Tak beli rugi.

Wednesday, March 20, 2019

Fattah, skuter dan Bukit Besi



Oleh: Rossem.
Kartunis  melukis kartun tentang diri sendiri tak ramai. Baru-baru ini saya menerima telefon dari Pengarah  Muzium Pengurusan dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM, Sintok, Dr Mohd Kasri Saidon, beliau memberikan   beberapa nama kartunis  yang diketahuinya pernah melukis kartun tentang diri sendiri, antaranya  Rejabhad. Katanya; ketika  masih dalam perkhidmatan tentera Allahyarham pernah bertugas di Congo (1960an) sebagai tentera pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu. Suka duka di benua Afrika itu  dijadikan lakaran   kartun dan dibukukan.  Satu lagi  buku “Diari Seorang Konstabel-1987”  kisah suka duka Rossem mencari , memburu , pengganas komunis  di zaman darurat (1970an- 1980an).

Seorang lagi kartunis yang dicarinya  ialah Fattah.  Karya Fattah  berlatarbelakangkan  Dungun tahun 1960an dan 1970an. Zaman pop yeh  yeh dan sebelumnya.  Ada menyebut Bukit Besi dan keretapi.  Bagi generasi sekarang , sangat aneh bila keretapi dikaitkan  dengan  Terengganu.  Satu-satunya negeri  di Semenanjung Malaysia yang tak ada keretapi ialah Terengganu.  Bagaimana Fattah mewujudkan  keretapi dalam kartunnya? . Keretapi  yang  maksudkan  Fattah ialah keretapi  angkut biji besi, bukan keretapi penumpang.  

Skuter   motosikal paling  popular tahun 1960an dan 1970an. Kenderaan ini digilai remaja.  Ketika itu fesyen rambut  menonjol ke hadapan – berjambul macam burung candik,  manakala perempuan rambut  seperti gunung Matterhorn di Switzerland.  Agar  jambul tampak  rapi, kemas,  terpacak  dan   kalis angin, disapu   kapur makan sireh   pada jambul, dijamin selamat dari  tiupan angin saat menunggang skuter.  Seluar pula besar pada bahagian kaki dipanggil  bilbotom.  Suasana yang penuh nostalgia ini digarap oleh Fattah lewat  watak yang diciptannya  A. Mamud. Bagi saya A. Mamud itu adalah Fattah. 

Saya mengenali Fattah awal tahun 1980an, ketika itu beliau  bekerja  dengan  Majalah Gila-Gila (GG). Setiap kali saya mampir di pejabat GG, Flat UDA, Jalan Pantai Baru, bertemu, bersembang dengan Fattah   suatu kemestian.  Fattah  insan  istimewa, kebolehannya luar biasa, lukisannya “asli” . Beliau mampu melukis dalam ”kepayahan”.