Monday, November 30, 2015

Lutfi, Medan Idaman dan saya




Oleh: Rossem

Sejak  balik Kelantan  hampir sepuluh tahun, datang ke Kuala Lumpur sekali sekala  bila  ada urusan penting.  Saat  jalan-jalan di kota,  melewati  Jalan Gombak, teringat rumah kedai dua tingkat di Medan  Idaman.  16 tahun dahulu, ketika saya tinggal di Batu Cave, Kuala Lumpur,  hampir setiap minggu ke Medan Idaman, menyerahkan lakaran kartun untuk akhbar dan majalah  atau datang untuk sembang-sembang politik semasa. Pilihan kami, di kamar pejabat tingkat satu atau restoran mamak tingkat bawah sambil minum teh tarik dan roti canai.

Ketika itu, tahun 1999, api reformasi sedang  marak. Di jalan raya Kuala Lumpur saban minggu  anak-anak muda berteriak “Undur Mahathir undur”. Media amat berperanan, olehkerana ketika itu belum wujud media baru seperti  facebook, twiter,  blog, maka  akhbar , majalah dan risalah politik pro Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama rakyat. Letak di tangga masjid, berebut-rebut jamaah solat Jumaat mengambilnya.  Apa saja media yang menyokong reformasi  laris seperti goreng pisang panas. 

Ahmad  Lutfi  Othman  yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penulisan politik terjun dalam  gelombang  reformasi  lewat media cetak. Di tangannya  terbit  akhbar mingguan dan majalah seperti Tamadun, Detik, Wasilah. Beliau   bertindak sebagai editor, penulis rencana dan wartawan, dibantu rakan penulisnya Mohd Nor, sekarang bekerja di Harakah.  Rumah kedai dua tingkat di Medan Idaman, Gombak menjadi   tempat operasinya. Lantai bawah kedai buku, sementara pejabatnya di lantai satu.

Akhbar mingguan yang diterbitkan tak punya permit , untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN),  nama tabloid berubah-ubah setiap kali keluaran. Yang tak berubah, karikatur Lutfi  yang saya lukis sedang memegang pen  kekal setiap keluaran diletakkan  sebelah   mashead.

Kecuali majalah Tamadun, Detik dan Wisilah ada  permit.  Iaitu  kepunyaan  Mustaqim Amaludin Darus, putera lelaki pengerak utama PAS dizaman awal penubuhan Parti Islam -Ustaz Amaludin Darus. Beliau sering datang ke pejabat Lutfi. Disitu saya  pertama kali  mengenali beliau.
Lutfi meminta saya menyumbang kartun politik untuk setiap keluaran majalah Tamadun dan Detik. Ada ketikanya  bahkan sehingga semuka penuh. Isu panas yang  digarap    seputar reformasi,  gelombang kebangkitan rakyat menentang kezaliman Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memecat timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim  seterusnya  mengirim ke penjara.  

Selain diminta menyumbang  kartun politik untuk majalah Tamadun dan Detik, Lutfi juga meminta saya melukis kartun untuk setiap keluaran  akhbar tabloid yang diterbitkan  atas nama Penerbitan Pemuda, ada ketikanya bahkan sehingga  tiga atau empat kartun politik pro reformasi dimuatkan setiap keluaran. Tak sukar, Isu politik ketika itu melimpah ruah ,hiruk pikuk politik  memudahkan idea datang mencurah seperti hujan di musim tengkujuh.   Setiap hari, di kedai kopi, di pejabat orangramai berbicara tentang kezaliman Dr Mahathir Mohamad.  Dan Lutfi, sebagai editor sekaligus tuanpunya Penerbitan Pemuda tidak pernah menolak  kartun-kartun yang saya sumbangkan.
Lutfi yang saya kenali adalah seorang  penulis politik yang bermata burung, melihat  “politik” dari kacamata jurnalis.  Ketika berbicara dengannya, Lutfi  mendengar dengan tekun setiap   pandangan  orang lain tanpa mengira anutan politk kepartian orang itu. Namun apa yang ditulisnya, itulah opini beliau sebenarnya. 
 
Selain menyumbang kartun  tetap untuk  tabloid dan majalah, tiga buah buku karya saya juga diterbitkan Lutfi  “Mereka Berkomentar Tentang Anwar” mengandung 180 muka surat berselang seli antara komentar pemimpin negara tentang Anwar Ibrahim berserta  karikatur mereka  (April 1999), dan komik kartun tentang reformasi  berjudul  “ Kartun Politik Semasa- The Lion King (TLK)” .
The Lion King (1999) mengingatkan  akan judul sebuah filem animasi  Barat yang sangat popular  ketika itu, namun The Lion King versi Malaysia karya saya itu sama sekali berbeza dengan TLK Barat.  TLK versi Malaysia  sebuah komik politik yang sarat dengan sindiran. watak manusia  bahkan ditukar kepada haiwan rimba agar lebih tajam  mesej sindirannya.

Dinsman menulis kata pengantar pada komik itu “ Kisah bermula pada suatu hari, segala pembesar negeri Rimbasia berkumpul. Ada mesyuarat tergempar dipanggil oleh Raja Singa.  Ada pengumuman penting akan dibuat.  Segala spises binatang dalam hutan rimba pun berkumpul, Beruang, Buaya,  Kambing, kerbau, katak, arnab, kura-kura, burung, ular,  biawak, siamang, tupai  dan sebagainya. “Tujuan saya memanggil mesyuarat tergempar ini untuk memberitahu kamu semua bahawa timbalan saya Sang Belang sudah dipecat, kerana berkelakuan tak senonoh dan mengaibkan negara Rimbasia”. Kata Raja Singa.

Berita pemecatan itu menggemparkan seluruh penduduk Rimbasia. Mereka tak percaya Sang Belang berkelakuan jahat seperti yang dikatakan Raja Singa. Mereka membantah dan keluar berdemonstrasi. Laungan “Reformasi” bergema  di  hutan belantara Rimbasia. Tetapi sperti yang kita tahu, Raja Singa mempunyai pasukan pengawal keselamatan yang kuat.  Di sini ia digambarkan sebagai pasukan gajah. Maka bayangkanlah gajah-gajah yang berbadan sasa mengamuk sambil menyembur air asid ke arah para reformis melalui belalainya.

Sebuah lagi komik kartun politik diterbitkan Penerbitan Pemuda ialah “Ku Li dijerat lagi” atau The Adventure’s of Ku Lu.  Kisah perjalanan hidup  Tengku Razaleigh Hamzah daripada Umno, keluar Umno, menubuhkan parti  Melayu Semangat 46, kemudian membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS. 

Dalam komik kartun itu digambarkan,  Umno sebuah kapal diberi nama “Flor De La Umno” sedangan belayar meredah samudera yang bergelombang buas. Sebahagian anak-anak kapal  yang diketuai Ku Li   terjun ke laut,  meninggalkan “Flor De La Umno” yang kira hampir tengelam,  membina kapal baru “Semangat46” kemudian ditukar menjadi “APU” bersama PAS. Pada tahun 1990 peperangan laut paling senget berlaku antara armada laut “Flo De La Umno” dengan  armada laut “APU”. Dalam peperangan itu (pilihan raya umum) armada laut “APU” tak mencapai kejayaan yang diharapkan, hanya mampu menawan Kelantan. Malaysia kekal di tangan “Flo De La Umno” di bawah Kapten Dr Mahathir Mohamad. 

Disamping memasarkan komik itu di toko-toko  buku sepertimana dilakukan penerbit buku dan majalah, sebahagian naskah komik “Ku Li dijerat lagi” saya jual sendiri  di tempat ceramah khususnya di Taman Melewar, Kuala Lumpur. Peminat Berebut-rebut membeli sehingga setiap kali ceramah boleh mencercah sehingga RM1,000.  Suatu pengalaman yang sukar dilupakan bersama Ahmad Lutfi Othman. 

Ketika reformasi (1998), kebetulan saya  aktif politik kepartian Kawasan Batu, Kuala Lumpur, pernah mengundang Lutfi ceramah di atas pentas oposisi di Kg Batu Muda.  Fakta-fakta yang dilontarkan ternyata memukau khalayak. Lutfi dengan kebolehannya yang tersendiri sukar diganti.

Rakyat dipaksa untuk senyum



Oleh: Rossem

Kemiskinan tegar-  sifar! Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menyebut dalam ucapannya saat pembentangan bajet 2016,  23 Oktober. Apa kayu ukurnya, tak pasti. Yang kita tahu, setiap rakyat Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu telefon tangan, kecuali  kawasan kediamannya  tak ada ada rangkaian atau line telefon. Malah yang memiliki lebih dari satu juga ramai, untuk akses internet dan telefon biasa yang harganya sedikit rendah. Kalau itu perkiraanya, memang Malaysia tak punya warga yang berstatus kemiskinan tegar.

Saya pernah melihat seorang peminta sedekah yang duduk bersila di depan pintu bank. Saat melewati lelaki kumuh itu  telefon bimbit  berdering dari sakunya. Segera ia mematikan. Malu juga rupanya kalau diketahui orangramai  memiliki telefon bimbit. Saya beredar, wang seringgit untuk dihulur kepada lelaki itu saya masukkan semula ke dalam dompet. Tak jadi. Hati tak tergerak untuk menyedekahkan kepadanya. Sang peminta sedekah itu bukan dari golongan kemiskinan tegar, kalau takrif “tegar” itu seorang yang  mampu memiliki sebuah telefon bimbit tak kira apa pun jenama.
Setiap rumah memiliki sebuah mesin basuh!  Kalaulah takrif memiliki mesin membasuh pakaian  juga  terkeluar daripada kemiskinan tegar, maka benarlah  seperti kata Perdana Menteri; di Malaysia sudah tiada lagi kemiskinan tegar, kerana  setiap rumah ada mesin basuh. 

 Begitu juga dengan televisyen, setiap rumah ada  media elektronik itu, bahkan memiliki televisyen  berbayar-Astro.  Berbeza dengan tahun 1960an, ketika saya remaja , untuk memiliki sebuah radio pun orang kampung tak mampu.  Orang kaya saja  memilikinya, disitulah tempat kami berkumpul untuk mendengar siaran  radio Malaya.  

Sekarang hampir setiap rumah ada kereta, paling selekeh pun punya motosikal kapcai.  Pak Mat yang kerjanya mengambil upah memetik buah kelapa  dengan menggunakan tenaga beruk  juga menunggang motosikal ke tempat kerja.  Setiap pagi beruknya bertengek di atas motosikal .   Dalam perjalanan Pak Mat  singgah makan nasi berlauk dengan secangkir kopi atau teh panas. Beruknya  tunggu di atas motosikal. Dari dalam  sangkar besi yang dibuat khusus si beruk menjeling tuannya yang sedang sarapan pagi. Kalau kerana mampu memiliki sebuah motosikal  dikatakan sudah terkeluar dari garis kemiskinan tegar, maka benarlah Malaysia sudah sifar kemiskinan tegar.

 Bagaimana ukuran kemiskinan tegar?  Indikatornya ialah pendapatan isi rumah mencukupi bagi membolehkan mereka  memenuhi keperluan asas dari segi nutrisi makanan yang menimum yang membolehkan setiap ahlinya mepunyai tubuh badan yang sihat. Purata garis kemiskinan (2014) untuk Malaysia secara keseluruhan ialah RM950 untuk miskin dan RM600 untuk miskin tegar. 

Pernah berjumpa dengan  rakyat Malaysia yang punya anak ramai dan  masih  bersekolah sedang pendapatan isu rumahnya kurang dari RM1,000 per bulan.  Wang itu juga  untuk bayaran bil elektrik,  bil air dan yuran persemolahan. Dengan harga barangan asas sekarang   tinggi melangit, tak mungkin RM1,000 mencukup untuk menyara keluarga. Itu kalau tinggal di kampung, kalau di kota pasti deman tak kebah.
Kalau rajin masuk ke kampung-kampung, akan bertemu  wanita mempunya lima atau enam anak masih kecil kematian suami atau bercerai,  menjalani kehidupan yang perit untuk membesarkan anak-anak.  Dengan pendapatan bulanan yang sangat menimum pasti kehidupan menjadi sukar. Makan minum tak terurus, pembelajaran  anak-anak terabai. Saya pernah menghadiri  program pemberian bantuan untuk armalah (ibu tunggal) parti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Setiap kali program, dewan penuh sesak dengan armalah, majoritinya pertengahan usia,  datang untuk menerima bantuan yang tak seberapa. Mengambarkan betapa ramainya golongan ini dalam masyarakat. Kerajaan sepatutnya prihatin . Untuk menonjolkan diri mungkin mereka malu kerana bergelar armalah. 

Kejatuhan harga minyak di pasaran dunia menyebabkan kerajaan  mengalih kepada sumber lain untuk menampung keperluan negara.  Sumber paling mudah, tak perlu berfikir panjang ialah GST.  Setiap rakyat bila berbelanja mesti menyumbangkan sebanyak 6 peratus dari perbelanjaan  mereka untuk kerajaan.  Najib ketika pembentangan bajet 2016 amat  gembira kerana rakyat berlapang dada menerima GST yan g diperkenalkan lebih setahun lalu. Bahkan secara sinis, berterima kasih kepada pembangkang, kerana bajet mereka  juga ada GST, menunjukkan GST sudah diterima pembangkang.
Realitinya, sekarang  rakyat hidup dalam keluh kesah dihimpit pelbagai masalah. Kenaikan harga minyak, tol, barangan keperluan sehingga 100 peratus menjadikan rakyat ibarat  senyum di hadapan kamera. Itupun kerana diminta jurugambar.  Hakikatnya rakyat yang berpendapatan rendah  amat tersiksa dengan situasi dan kondisi yang menimpa sekarang.  BR1M yang dinaikankan sedikit itu tak lebih sebagai panadol untuk melegakan sakit kepala sekadar untuk beberapa saat. 

Pemotongan peruntukan untuk kementerian pendidikan tinggi sebanyak RM2.4 bilion. Peruntukan untuk universiti-universiti dikurangkan sebanyak RM1.442 bilion. Antara berita buruk  pada sesi pembentangan bajet 2016.

Paling mendukacitakan, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu  tidak juga dinaikkan taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa. Tak ada disebut dalam Bajet 2016.  Walhal  Lapangan terbang itu antara paling sibuk di Malayisa (selain Kuala Lumpur, penang)  bagi penerbangan domastik. Teringin rasanya mahu menaiki pesawat dari Kota Bharu terus ke Jakarta, Bali, Doha, Bangkok  tanpa melalui Kuala Lumpur. 

Berita menarik seputar politik. PAS terus jadi pembangkang.  Kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang.  Umno jangan khuatir, gusar dan gundah gulana, PAS tak berhasrat untuk merampas Putrajaya. PAS insha Allah akan kekal sebagai parti pembangkang yang sifatnya “men erangkan” bukan “meyerang”. Kata Presiden parti Islam itu.



Monday, October 5, 2015

Jerebu alam jerebu politik



Oleh: Rossem
 Jerebu atau asap datang lagi. Setiap tahun, begitulah situasi dan kondisi   di Malaysia. Ada ketiakanya kandungan IPU  mencatatkkan angka sehingga melebihi 500, ada ketikanya rendah dan tak membahayakan. Negeri-negeri di pantai Barat Semenanjung paling awal menerima tetamu tak diundang itu, sehingga Kementerai Pelajaran  mengeluarkan arahan, jika IPU melebihi 500 aktiviti sekolah dibatalkan atau  ditutup terus. Ibu bapak jangan pula membawa anak-anak mereka bersiar atau berkelah, harus berada di rumah. Ini cuti jerebu, bukan cuti hari munggu atau cuti penggal. Nasihat Menteri Pelajaran.

Negeri yang aagak  selamat dari jerebu ialah Kelantan, tapi kali ini tak terkecuali,  papan tanda di jalanraya kehilangan huruf, tak dapat dibaca dalam jarak 100 meter. Matahari   mengalah, kekuatan jerebu berupaya menutup panahan sinar matahari yang tajam daripada menerangi bumi sepertimana  lazimnya.  Musibah  Jerebu atau  asap sudah pun diberitahu Allah SWT lewat firmanNya dalam al-Quran Surah Ad Dukhan (surah Makiyyah). Jangan sekadar membaca al Quran, kaji dan mendalami  maknanya.  

“Maka tunggulah pada hari ketika langit  membawa bencana yang jelas. Yang meliputi manusia. Inilah adzab yang pedih. (Mereka berdoa) “Ya Tuhan kami, lenyaplah adzab itu daripada kami. Sesungguhnya kami akan beriman.  Bagaimana mereka dapat menerima peringatan,  padahal (sebelumnya)  seorang rasul telah datang  memberi penjelasan kepada mereka” (al-Quran-surah Al-Dukhan:  10 -130.

Kandungan IPU di Kelantan tak sampai 300, tapi mata sudah pedih.  Di  Kuala Lumpur dan Pantai Barat Semananjung  hampir  500. Ramai yang mengeluh.  Bagaimana pula dengan negara tetangga Indonesia, di ibukota Kalimantan Tengah, Palangkarya,  bacaan IPU melebihi 2,000. Di Jambi, Sumatera,  mencerceh angka  800. Tak tahu bagaimana nak gambarkan sengsara itu. Aktiviti harian warga lumpuh, sekolah ditutup. 

Pemerintah Indonesia menyenaraikan kurang lebih 7 syarikat dari Malaysia yang beroperasi dalam sektor perladangan di republik itu dikatakan terlibat dalam pembakaran hutan, sama ada benar atau tidak, tak  pasti. Namun menurut kajian, kebakaran hutan  punca  berlakunya malapetaka ini.
Di Kuala Lumpur dan kota-kota lain  yang teruk dilanda jerebu, bila keluar rumah orangramai memakai  topeng muka (mask), lelaki, wanita, Muslim dan non Muslim hampir tak dikenali kerana wajajahnya bertopeng.  Sebelum ini,  non-Muslim bahkan sebahagian orang Islam sendiri  memandang dengan “sebelah mata”  bila  bertemu  atau  berselisih dengan  muslimat  memakai purdah. Sekarang  mereka pula terpaksa pakai “purdah”. 

Dalam situasi dan kondisi apa sekali pun, kebenaran yang dibawa Islam tetap terserlah. Orang Arab sejak dahulu takutkan ribut pasir, maka  sebagai persediaan, lelakinya memakai serban. Kain serban nipis itu boleh menutupi  muka dalam sekelip mata bila berlaku ribut pasir secara tiba-tiba. Wanita juga terselamat kerana  purdah yang dipakainya.

Satu lagi jerebu dahsyat  menyerang Malaysia sekarang  ialah jerebu politik.  Yang terkena jerebu kali ini ialah politk  Melayu. PAS  seperti pingan retak seribu, yang retak sudah pecah. Mereka menubuhkan part baru. Parti Amanah Negara – Amanah. Sudahpun diluluskan pendaftarannya.  Sejauh mana kekuatan parti itu tak dapat diukur. Pilihan raya nanti baru tahu, menang  atau tersungkur.

Umno sudah lama bergolak. Berita terkini, 7 pemimpin Umno dipantau, antaranya mantan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah. Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sudah menghantar surat tunjuk sebab, Saifuddin pula mempersoalkan surat tunjuk sebab itu. "Hari ini dia sudah  jawab surat, tapi  dia pula soal saya... Kita soal dia, dia soal kita, gila ke ?. Umno memang boleh dianugerahkan parti lawak antarabangsa!. Saifuddin berdepan kemungkinan tindakan displin ekoran tindakannya menghadiri sidang meja bulat parti oposisi. Kehadiran itu mengejutkan pemimpin Umno.

Untuk meringankan stress akibat jerebu alam dan jerebu politik Melayu, kita baca tulisan yang diangkat dari facebook kawana saya: Tiadalah suara tepukan terdengar hanya dari sebelah tangan. Hikmah Allah dalam takdir dan hukkum yang menjadikan kita saling mencinta. Oleh karena itu setiap bahagian  dari dunia diberi pasangan. Dimata orang bijak, langit adalah laki-laki dan bumi adalah perempuan, bumi memupuk apa yang telah dijatuhkan langit.

Apabila bumi kekurangan panas, langit mengirimkannya, apabila ia kehilangan embun dan kesegaran, langit memperbaharuinya. langit berkeliling, laksana seorang suami yang mencari nafkah demi isterinya.

Sedangkan bumi sibuk mengurus rumah tangganya, ia merawat yang lahir dan menyusui apa yang telah ia lahirkan.


Anggaplah bumi dan langit sebagai mahluk yang dianugerahi kecerdasan, karena mereka melakukan pekerjaan mahluk yang memiliki kecerdasan.

Jikalau pasangan ini tidak merasakan kebahagiaan antara satu dan lainnya, mengapa mereka melangkah bersama laksana sepasang kekasih yang saling mencintai?

Tanpa bumi, bagaimana bunga dan pepohonan akan tumbuh?  lalu, air dan panas langit akan menghasilkan apa?

Karena Allah meletakan gairah dalam diri lelaki dan perempuan maka lewat persatuannya dunia terselamatkan. (Herlina Van Tojo)

Wednesday, September 16, 2015

Kuning, Merah, Hijau. Apa lagi?



Oleh: Rossem

Ketika tragedi berdarah Mei 13 saya berada di Kuala Lumpur dan ikut terjun dalam kancah persengketaan antara kaum terbesar pernah melanda Malaysia sebagai pengawal keamanan. Saat itu masih bersekolah di pinggir kota, seminggu selepas tragedi , Kuala Lumpur masih belum aman, situasi dan kondisi berterusan  panas bahkan bertambah celaru, warga kota hidup dalam ketakutan, pelarian makin ramai memenuhi  Stadium Merdeka, Stadium Chin Woo, Sekolah Victoria Institution (VI)  dan lain-lain. Rumah kediaman mereka hangus dibakar, terpaksa  melarikan diri kerana takut. 

Saya mendaftar sebagai polis sukarela dengan  diberikan kad pengenalan polis berwarna kuning dan senapang patah dengan enam butir peluru penabur. Tidak ada latihan khusus tentang  pengunaan senapang, tapi yakin diri, senapang patah, senjata yang paling mudah dikendalikan.  Saya ditugaskan mengawal  Stadium Merdeka dan  Victoria Institution, di bawah arahan Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur. Ada ribuan pelarian Cina terdiri orang tua, wanita dan kanak-kanak ditempatkan di situ. Dewan sekolah VI menjadi tempat tidur berminggu-minggu  lamanya. Lantai simen yang sejuk  pada malam hari  membuat seluruh badan sakit-sakit walaupun ketika itu usia  baru awal duapuluhan. 

Sesekali dibawa pasukan polis meronda bersama mereka seputar Kuala Lumpur dengan manaiki  terak   polis.  Kesan rumah kediaman dan bangunan terbakar tampak jelas,  sebahagiannya masih mengeluarkan asap.  Di jalanan hanya lori-lori polis, tentera  dan ambulan tampak  mundar mandir. Kenderaan awam bahkan pejalan kaki  tidak ada  kerana  perintah berkurung. Bayangkan betapa sukarnya untuk mendapatkan makanan asas seperti beras, lauk, garam, gula ketika itu. Mereka yang tak pernah merasai hidup dalam situwasi  perintah berkurang pasti tak dapat bayangkan.  Pintu dan tingkap rumah ditutup rapat, tak berani buka.  Untuk menjengok ke luar jendela dikhuatiri peluru singgah di kepala. 

 Sebelum meletus  tragedi Mei 13 yang sadis, suhu  politik Malaysia khususnya di Kuala Lumpur  sangat panas. Pencapaian Barisan Nasional (Perikatan) pada Pilihan Raya Umum 1969  merosok teruk, sehingga sukar membentuk kerajaan. Di Jalan Tunku Abdul Rahman, perarakan parti-parti yang menang PRU berlangsung dengan penuh keegoan, sambil membawa  penyapu besar!  Api kemarahan antara kaum pun tak dapat dielakkan. Bensin dicurahkan, rumah, bangunan lalu  terbakar. Parang , pedang berterbangan mencari mangsa.

Kenapa saya menulis sejarah lapok ini.  Apa relevannya dengan masakini. Generasi yang lahir pasca 13 Mei  1969 tentu tak berminat  dengan cerita ini. Malah pengetahuan mereka  seputar tragedi hitam  ini pun barangkali  basah basi. Generasi sekarang lebih mengetahui tentang serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong  yang berlaku 1950an  berbading Mei 13, kerana Bukit Kepong  dibuat filem, ditonton sepanjang masa lewat televisyen.  Sedang Tragedi Mei13 tak ada dibikin filem khusus,  kerana dikhuatiri menyentuh sensitiviti perkauman  di Malaysia. Melukakan hati dan perasaan banyak pihak. 

16 September kita merayakan ulangtahun Hari Malaysia ke 52. Bendera Jalur Gemilang yang sebelumnya ada 11 jalur ditambah menjadi 14 jalur.  Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan membentuk jalur baru merah putih. Cinta rakyat kepada tanah watan tak pernah berkurang, bahkan makin lama semakin sayang, yang perlu dirawat, dibajai, diubati ialah tingkahlaku masyarakat terutama yang bergelar pemimpin. Ibarat ikan, kalau kepalanya elok, maka eloklah seluruh badan.

Pemimpin,  sebagai  nakhoda  kapal harus bijak mengendalikan kapal  dalam semua situasi dan kondisi lebih-lebih  lagi ketika laut bergelora, waktu laut tenang jangan pula boros, kebas makanan kelasi.  Simpan stok makan itu untuk  hari  kecemasan. Jangan sesekali buka layar untuk belayar, sedang sauh masih tertambat di air!

16 September Hari  Malaysia, di  Kuala Lumpur tidak ada perbarisan angkatan tentera yang menjadi kemegahan negara. Perarakan kereta berhias juga tiada.  Penari-penari tradisional dari pelbagai etnik juga tiada. Kekosongan itu kemudiannya di isi perarakan seragam merah oleh sekelompok manusia yang datang dari seluruh pelusuk negara menaiki kereta dan bas sewa khas . Apa motifnya kurang arif.
Kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, pastinya, perhimpunan itu bisa   mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut objektifnya mahupun cara penganjurannya. Jangan cemari sambutan Hari Malaysia dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh  ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya.

Kalau nawaitu baju merah mengerah ribuan massa berhimpun dan  berarak di Kualu Lumpur untuk menyaingi perhimpunan kuning yang diadakan sebelumnya sangat tidak tepat. Perhimpunan kuning jelas motifnya, sedang perhimpunan merah tak lebih  sebagai menunjukkan kekuatan semata-mata. Perhimpunan kuning disertai berbilang kaum dan bebas daripada unsur-unsur perkauman. Manakala perhimpunan merah hanya disertai orang Melayu dari kalangan Umno dan NGO yang menyokong parti itu.

.4 hari sebelum perarakan baju merah, di Kota Bharu, patung menyerupai Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng dibakar puak  baju merah seusai seorang pemimping parti yang pernah bertanding tetapi kalah  di Parlimen Kota Bharu berucap.  Dua patung yang dipakaikan dengan kemeja berwarna kuning hangus terbakar, tepok sorak pun bergema.

Teringat tahun 60an, ketika konfrantasi Malaysia – Indonesia  memuncak. Patung Presiden Sukarno dibakar setiap kali perhimpunan memprotes konfrantasi diadakan sebagai menunjukkan kebencian kepada Presiden Republik Indonesia ketika itu  kerana mahu ganyang Malaysia. Patung Perdana Menteri Israel juga pernah dibakar massa setiap kali tentera Zionis mengebom bumi Palestin. Tetapi membakar patung sesama rakyat Malaysia  sedikit aneh.

Ketika tragedi Mei13 (1969), sejarah mencatatkan, di Kelantan tiada berlaku pertumpahan darah seperti terjadi  di Kuala Lumpur. Ketika itu Kelantan  diperintah oleh PAS. Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (Almarhum) sebagai Menteri Besar ketika itu  mengeluarkan arahan langsung kepada penghulu-penghulu seluruh negeri. Kata-kata  beliau yang masyhur  “ Kami (Menteri Besar) tak mahu melihat walau setitik darah orang Cina tumpah, sehelai bulu roma orang Cina tertanggal dari badannya disebabkan tangan-tangan orang Malayu Kelantan”.

Orang Melayu khususnya yang suka warna merah  harus bertanya diri sendiri; Mengapa tanah rizab Melayu semakin mengecil? Mengapa hanya 17 peratus sahaja ekuti dicapai orang Melayu sejak kemerdekaan, mengapa Pusat Seranti dipenuhi anak-anak Melayu? Itu sepatutnya mereka perjuangkan!