Monday, February 20, 2012

Anekdot politik RM500 (III)

Pemberian RM500 oleh kerajaan kepada mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan mengembirakan rakyat, rata riti orang bercakap tentang wang bantuan itu, di kedai kopi, pasar, dalam teksi dan di mana-mana saja, cerita tentang keprihatin kerajaan Najib terhadap orang miskin mendapat pujian ramai.

Diantara puluhan ribu bakal penerima, Pak Long antara orang yang tampak paling gembira sekali. Senyum simpul sentiasa terukir di bibirnya seperti potret Mona Liza karya Leonardo De Vinci, lebih-lebih lagi setelah Tok Penghulu Dacing datang ke rumah membawa surat dan boucer menyatakan permohonannya telah diluluskan.

“Pak Long, ini boucernya, esok pagi pergi ambil wang RM500” beritahu Penghulu.

“Terima kasih” balas Pak Long.

Esok paginya, selepas mandi dan solat Suboh Pak Long bergegas ke bandar dengan motosikalnya. Sepertinya tak sabar untuk mengenggam wang RM500 bantuan kerajaan pusat untuk orang miskin yang julung-julung kali diberikan sepanjang usia 60 tahun.

Rumahnya dengan tempat mengambil wang, iaitu di sebuah sekolah menengah kurang lebih 20 kilometer, namun pagi itu terasa dekat, sepertimana dekatnya bayangan wang kertas RM500 bakal diterimanya.

“10 minit lagi sampailah….” menolog Pak Long setelah perjalananya mula memasuki bandar. Selepas melepasi sebuah selikoh, nampak satu sekatan jalan raya oleh polis. Pak Long diarahkan berhenti. Ia kehairanan, “apa salahku”. Bisik Pak Long sambil merapatkan motosikal ke pinggir jalan.

“Pakcik, tak pakai topi kaledar” Kata polis.

Secepat kilat Pak Long menjamah kepalanya dan memang benar tak pakai topi kaledar. Ia minta maaf berkali-kali kepada anggota polis dengan memberi alasan terlupa memakainya kerana mahu cepat. “Ini Datuk Najib mahu bagi wang” beritahunya.

Anggota polis senyum mendengar alasan itu, dan meminta pula lesen memandu, setelah diberikan dan diamati, rupanya lesan mati sebulan lepas.

Polis mengeluarkan saman dengan dua kesalahan; tak pakai topi kaledar dan lesen memandu mati. Tiap-tiap satu kesalahan maksimum RM300. Dua kesalahan RM600.

Hampir pengsan Pak Long pagi itu. Mengejar RM500 pemberian dari kerajaan, sebaliknya mengalami kerugian RM600 kerana dikompaun juga oleh kerajaan.

Saturday, February 18, 2012

Anekdot Politik RM500

Anekdot (I)

Suatu pagi di kedai kopi. Pat Mat sambil menghirup kopi tiba-tiba marah-marah. Katanya semalam terima bil elektrik, terkejut kerana bilnya mencerceh sehingga sekali ganda dari sebelumnya iaitu RM 198.00.

Marah Pak Mat kepada kerajaan khususnya Tenaga Nasional bagaikan gajah naik minyak. Kesihanlah kepada orang kampung yang hidup susah sepertinya. Keluh Pak mat, sedih!

Kemarahan Pak Mat bertambah bila melihat kawan-kawan yang makan semeja dengannya ketawa terbahak-bahak melihatnya naik angin. Pak Mat sebenarnya tak sangka kaum kerabat dalam kedai kopi itu ketawa, sepatutnya tunjukkan simpati dan turut sependapat dengannya tentang kenaikan elektrik yang tak sepatutnya berlaku.

Ditengah-tengah kemarahan Pak Mat yang meluap-luap, tiba-tiba Pak Ya yang juga sedang minum semeja dengannya mengatakan “ Najib dah bagi RM500, kenapa bersungut lagi. Bukankah duit itu diberikan untuk tujuan membayar bil elektrik?”.

Pak Mat langsung diam. Ia berfikir, semalam baru menerima RM500, hari ini sebahagianya sudah mahu diambil balik. Memang pemimpin kita kaki auta.



Anekdot (II)

Siapa tak kenal Pak Kob, lelaki berusia separuh abad yang tinggal di hujung desa dengan mengerjakan sawah secara pawoh.

Kehidupan sehariannya sangat daif dan miskin. Untuk bergerak ke sana ke mari Pak Kob menggunakan basikal tua. Sesekali terlintas juga untuk membeli motosikal kapcai seperti tetangganya bagi memudahkannya terutama ke masjid tapi tak mampu. Anak-anaknya yang seramai empat orang tak dapat membantu kerana mereka juga tergolong orang susah, kaih pagi makan pagi.

Walaupun dihimpit keperitan hidup berdekad-dekad lamanya, tapi Pak Kob tetap setia bersama UMNO. Hanya parti itu menjadi pilihannya sejak dari muda teng-teng sampai tua bangka. Sejak belum menikah dengan Mak Bidah sampai menikah dan dikurniakan empat anak dan tujuh cucu, Pak Kob tak pernah mengundi parti lain selain Kapal Layar dan Dacing.

Hanya beberapa bulan lalu, entah bagaimana, suatu hari Pak Kob didatangi seorang penghulu PAS dan menawarkan Skim Al It’aam kepadanya. Mulanya Pak Kob marah-marah kepada penghulu itu dan bertanya balik “Skim Al It’aam tu binatang apa?”

Setelah sang penghulu menceritakan, skim itu ialah pemberian beras percuma 10 kilo setiap bulan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan kepada orang miskin, mendengar itu, maka hati Pak Kob terus menjadi cair. Hilang lenyap keegoan yang berpluh-puluh tahun berkarat biru dalam hati nuraninya, lantas terus mendaftar nama dengan mengisi borang sebagai penerima sumbangan beras setiap bulan.

Walaupun Pak Kob diberi sumbangan 10 kilo beras setiap bulan, Tok Penghulu PAS tidak pula memaksanya mengisi borang masuk PAS. “Pak Kob berhak untuk memilih parti politik mana yang Pak Kob suka sesuai dengan praktik demokrasi di negara ini”. Kata Penghulu.

Sebaliknya Pak Kob telah membuat keputusan sendiri mahu menjadi ahli PAS. Bagi Pak Kob, PAS adalah wadah perjuangan sebenar untuk Islam dan bangsa Melayu.

Pada awalnya memang terasa berat untuk meninggal UMNO yang sudah menjadi darah daging. Tapi olehkerana, barangkali Allah SWT sudah memberinya petunjuk, maka perasaan sayangkan UMNO itu hilang seperti angin yang membawa bau busuk, beredar angin, bau busuk pun hilang.

Sebulan selepas Pak Kob bersama PAS, ujian pun tiba. Ia mendengar khabar dari tetanggannya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib akan memberi RM500 kepada setiap rakyat yang berpendapatan ke bawah RM3,000 sebulan. Pak Kok berhak mendapat pemberian itu.

Seminggu kemudian Penghulu UMNO datang ke rumah Pak Kob menawarkan bantuan. Ia menolong mengisi borang permohonan, kerana Pak Kob tak pandai menulis dengan baik. “ Saya akan uruskan permohonan ini dan Pak Kok hanya tunggu wangnya saja” kata Tok Penghulu UMNO.

“Tapi bersyarat. Selepas menerima wang nanti, Pak Kok mesti masuk UMNO balik…” Kata Tok Penghulu UMNO. Pak Kok tersenyum mendengar kata-kata yang diucapkan Tok Penghulu Dacing yang dikenalinya dulu sebagai orang sombong, sekarang baru nak berbaik-baik.

Walaupun wang RM500 sudah diterima Pak Kok, namun menyertai semula UMNO tidak sekali-kali. Pak Kok sudah istiqamah dengan perjuangan PAS. Lagi pun wang RM500 yang dibangga -banggakan pemimpin UMNO itu bukan kepunyaan parti itu, sebaliknya wang rakyat. Setiap warganegara Malaysia yang miskin tanpa mengira parti politik berhak menerimanya.

Pak Kok juga terasa konsep pemberian itu seperti ada udang disebalik mee, hanya untuk memancing pengundi agar memangkah Dacing. Kalau mereka betul-betul ikhlas mahu membantu orang miskin, kenapa tunggu sekarang, sepatutnya sudah lama memberikannya kepada rakyat, sekurang-kurangnya setiap tahun. Bukankah UMNO sudah memerintah Malaysia hampir setengah abad.

Seterusnya Pak Kok beragumentasi “ Kalau betul-betul kerajaan Najib mahu membantu rakyat, tambah subsidi kepada pengusaha petrol, harga petrol pun turun. Kemudian paksa pembuat produk dan peniaga turunkan harga barang sebab harga petrol sudah rendah. Bila hal ini berlaku, semua lapisan rakyat akan merasai nikmat keselesaan hidup.

Pak Kob semakin “cerdik” setelah menyertai PAS.

Saturday, February 11, 2012

Promosi Kelantan Rentas Sempadan


SILATURAHIM itu bisa membentuk jaringan dan koneksi,” kata pelakon yang memegang peran Pak Kyai dalam film “Ketika Cinta Bertasbih”, Dedy Mizwar yang kami tonton dalam bus pariwisata sepanjang perjalanan pulang ke Malaysia dari Bandung - Jakarta tanggal 4-7 Februari 2012.

Kata-kata itu, meskipun hanya sebuah ungkapan dialog dari film, namun tersirat makna yang mendalam dan amat bertetapan sekali dengan misi perjalanan kami yang digelar “Ziarah Dakwah” oleh beberapa NGO, institusi pengajian tinggi swasta dari Kelantan dan wakil Kerajaan Negeri ke beberapa kecamatan (daerah) sekitar Jawa Tengah, Indonesia.

Merealisasikan cita-cita murni, ikhlas dan hanya mengharapkan ridha Allah Shubhanahu Wa Ta’ala (سبحانه و تعالى‎), maka rombongan sebanyak 36 orang, dengan kerjasama Institut Sains dan Teknologi Nasional (ISTN) Jakarta yang dipimpin Rektornya, Prof. Dr. Ir. Agus Priyono, menempa sejarah baru mempertautkan kembali ikatan ukhuwah Islamiyah sesama umat seiman dan seagama, bahkan serumpun bangsa Malaysia-Indonesia dengan melakukan kunjungan silaturahim ke beberapa pondok pesantren di sekitar Jawa Tengah.

Oleh karenawaktu sangat terbatas, hanya sempat mengunjungi tiga pesantren, iaitu Al-Munawar, Al -Falah di Desa Moga, Pemalang, dan Pesantren Al-Hasaniyyah di Desa Brebes, Tegal, yang jarak antara keduanya sekitar empat jam perjalanan mobil. Juga sempat dilawati sebuah panti asuhan, Yayasan Dewi Masyitoh, Rumah Sakit Muhammadiyyah (RSM) Moga.

Selain aktivitas berbentuk sosial seperti kunjungan ke rumah warga setempat, merawat pasien, menyantuni anak-anak dengan acara yang bersesuaian dengan mereka yang dilakukan rombongan NGO Haluan Kelantan dan KTD, namun paling utama ialah mempromosikan Negeri Kelantan yang dipimpin Tok Guru (kyai) Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
kepada umat Islam Indonesia khususnya warga desa setempat dan santri-santri (pelajar) pesantren.

Setiap tempat diziarahi, pendiri pesantren menyediakan pentas khusus dan mengumpulkan banyak warga desa dan santri datang mendengar ucapan yang disampaikan Timbalan Exco Penerangan, Pembangunan Matlumat, Sains dan Teknologi merangkap Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah yang mewakili YB Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan yang tak dapat hadir karena ada acara di Kelantan dan pentadbiran Membangun Bersama Islam yang praktikkan sejak 1990.

Ada juga acaranya berbentuk forum dan dialog dengan para guru dan santri seperti di Pondok Pesantren Al-Hassaniyyah, Desa Brebes, Tegal. Pondok yang dipimpin Kayi Haji Nuruddin Shamsudin, antara yang paling banyak yaitu kurang lebih 600 putra/putri.

Setiap kali YB Ahmad Baihaki diminta berucap, yang ditekankan dalam setiap ucapannya yakni; menjalin hubungan silaturahim sesama umat seagama dan seiman sangat dituntut oleh Islam dan salah satu perbuatan yang sangat disukai Rasulullah Shalallaahu ‘Alaihi Wasallam (صلى الله عليه و سلم). Maka apa yang dilakukan ini, dengan berkunjung ke sini justeru amat menepati sekali dengan kehendak Rasusullah Shalallaahu ‘Alaihi Wasallam (صلى الله عليه و سلم), dan diharapkan dengan keikhlasan kita, dengan naiwatu hanya kerana Allah Subhanahu Wa ta’ala (سبحانه و تعالى‎), tanpa ada maksud lain yang tersirat, semoga jalur yang dilalui ini diberkati Allah dan hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala (سبحانه و تعالى‎) jua yang membalasnya.

Respons dari kiai-kiia pesantren juga aktivitas sosial Islam setempat memuji Kelantan karena merintis jalan menjalin hubungan seperti ini, bahkan disebut, ini petanda baik dalam hubungan Malaysia (Kelantan)- Indonesia. “Jangan peduli jika ada oarng-orang yang iri lantas mengadu domba agar persaudaran sesama umat pecah, demikian ujarnya.

Bahkan kami terharu dengan ucapan Prof. Dr Ir. Agus yang terus menerus memuji kepimpinan Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat setiap kali berucap. Beliau sebelum ini banyak mengetahui tentang Kelantan dan kepinpinan Tok Guru karena pernah belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 4 tahun.

Selama di sana, sempat juga bersilaturahim dengan Pemimpin Umum Muhammadiyah cabang Pemalang, Dr Mahruf Asip di rumahnya di Desa Moga. Beliau antara pendiri dan pemimpin Rumah Sakit Muhammadiyyah Moga.

Selain itu, pada kesempatan yang sama dapat bertemu dengan Anggota DPRD (Wakil Rakyat) Kabupaten Pemalang dari PKS, Ikmaludin Aziz.
Ikut sama rombongan selain YB Ahmad Baihaki; Penolong Pengarah Urusetia Penerangan (Penerbitan) H. Rosidi Semail dan Penghulu Haji Kamal Khatib.

Saat kelompok NGO dari Haluan Kelantan sebanyak 13 orang dan institut Pengajian Tinggi Kelantan Teknologi Darulnaim (KTD) sebanyak 4 pensyarah dan 16 pelajar. Rombongan di kepalai seorang aktivis Islam Dr Arif Abdul Rashid dari Haluan dengan dibantu Ustaz Tarmizi Said, Mudir Ma’had Muhammadi Pasir Pekan.*/Rossem, Malaysia

Foto: YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah bersama Kiai Haji Saiful Hadi pemimpin pondok pesantren Al-Munawar (no 3 dari kanan) dan Anggota DPRD, Pemalang dari PKS, Ikmaludin Aziz (Kiri sekali).

Saturday, January 28, 2012

DAP pilihan orang Melayu?

Oleh: Rossem
Dalam sebulan, di awal tahun 2012, ketika pentas politik sedang membahang, tiga orang tokoh dari kalangan orang Melayu menyertai DAP. Seorang bekas ADUN UMNO Pulau Manis, pekan, pahang, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, pemimpin veteran UMNO Negeri Sembilan Aspan Alias dan terbaru mantan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hatta Wahari. Tak diketahui sama ada Hatta sebelum ini seorang ahli UMNO atau tidak, tapi beliau sebelum dipecat adalah seorang wartawan kanan, sekaligus kakitangan sebuah penerbitan akhbar penyambung lidah Melayu yang dipunyai UMNO.

Seorang lagi ialah Zairil Khir Johari, putera Tan Sri Khir Johari mantan Menteri kabinet Malaysia zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak . Sebelum itu, tanggal 31 Mei 2009 Tengku Abdul Aziz Ibrahim menyertai DAP, kini Timbalan Pengerusi parti.

Bagi orang Melayu, bila orang Melayu menyertai DAP, pertama terdetik di hati nurani ialah segugus kehairan, sekaligus dilanda tandatanya, bagaimana seorang Melayu yang beragama Islam masuk DAP, kerana umum mengetahui walau parti tersebut bersifat multi kaum, namun pimpinannya diterajui orang Cina dan 90 persen pendokongnya adalah orang Cina dan India.

Inspirasi parti itu juga sejak dulu dilihat lebih condong kepada membela kepentingan kaum Cina, walaupun dasar parti menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang secara terang-terangan mendaulatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.

Lebih menghairankan lagi, yang menyertai DAP kali ini ialah pemimpin dari kalangan Parti Nasionalis Melayu yakni UMNO. Apakah mereka sudah tak percaya lagi kepada UMNO dalam memperjuangkan kelangsungan Melayu. Atau sudah hilangkah semangat Melayu mereka?.

Atau kalau sudah tak yakin kepada UMNO, kenapa tidak menyertai saja PAS atau PKR. Kedua-dua parti itu dipimpin orang Melayu. Pertanyaan itu pasti ada dalam benak khususnya orang Melayu.

Mohd Ariff pernah menjadi ketua penerangan bahagian UMNO Pekan yang masih diketuai oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Abdul Razak. Ia menulis gurindam dalam blognya:

Buai laju laju
Sampai pokok sena
Melayu tetap Melayu
Walau masuk parti Cina
Lesung dan antan lagi bertingkah
Suami isteri bertikam lidah
Pindah parti bukan tukar aqidah
Tetaplah Allah Tuhan disembah.


Beliau mengkritik cara UMNO/BN menyelesaikan masalah ekonomi rakyat. Pemimpinnya seperti Lord, duduk atas sofa dan hulur RM10 setiap rakyat yang sedang beratur hendakkan RM10. Rakyat terutama orang Melayu berebut-rebut untuk mendapatkannya. Yang di atas sofa senyum puas, yang menerima senyum malu-malu. Cara ini samalah seperti bantuan kemanusian kepada mangsa kebuluran di Somalia, cuma di Malaysia beri wang, sedang di Somalia beri bahan makanan.

Sang veteran UMNO, Aspan Alias menghadapi kepayahan dalam hidup memang mainannya walaupun berada di dalam UMNO yang mengaku sebagai parti untuk semua dan segala-galanya adalah UMNO. “Saya telah menjadi ahli parti ini selama empat dekad lamanya. Saya tidak pernah merungut dan menyesal berada di dalam UMNO sebegitu lama. Setidak-tidaknya saya mahir untuk menilai parti itu dalam empat dekad berada bersamanya”.

Namun ada sedikit kekecewaan terhadap pemimpin negara (UMNO/BN) seperti diungkap dalam blognya: Sisa-sisa dari usia saya ini untuk membantu perjuangan menyelamatkan harta benda rakyat dari dirompak dan dipergunakan oleh mereka yang memerintah negara kita ini.

Kata-kata itu sebenarnya membuka mata ramai orang yang melihat di sana terdapat banyak pintu-pintu penyelewengan terbuka untuk orang-orang tertentu memasukinya dengan mudah. Walaupun sebahagiannya terbongkar, contohnya kes Lembu beli kondominium( NFC) namun pasti banyak lagi terlepas pandang dan hilang jejak.

Hatta Wahari selepas mengambilalih kepimpinan NUJ, pertama-tama menyelar majikannya kerana menjadikan akhbar tempatnya bekerja sebagai alat propaganda kerajaan dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan kaum di negara ini, sehingga pengedaran akhbar itu jatuh menjunam.

Apa yang beliau mahu ialah, akhbar seharusnya kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media, iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan bukan sebagai alat propaganda kepada kerajaan, mana-mana parti politik dan individu-individu tertentu kerana kepentingan peribadi.

Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, Aspan Alias dan Hatta Wahari hanya tiga orang daripada kurang lebih 12 juta orang Melayu di Malaysia. Justeru, tak menjadi kudis gatal pun dengan penghijrahan mereka dalam DAP; demikian kata Khairy Jamaluddin cuba memperlekeh, bahkan Ketua Pemuda UMNO itu mencabar, beri stastik sebenar orang Melayu dalam DAP.

Jawapan kita; Arif, Aspan dan Hatta, memang tiga sosok, namun mereka mewakili sebagaian besar orang Melayu yang berfikiran sama dengannya dalam menilai sesebuah parti politik yang mana harus didokong khususnya dalam konteks Malaysia hari ini.

Kelompok ini terdiri dari mereka yang mahu lepas bebas dari rantai politik perkauman yang diamalkan sejak merdeka oleh UMNO/BN. Kelompok ini menolak
parti politik yang berasaskan kaum atau tebal dengan perkauman. Politik perkauman sudah tak televen lagi dengan semangat zaman. Demikian menurut kelompok ini.

Mereka memilih DAP tidak memilih PAS atau PKR kerana DAP juga adalah parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

Umno Hina Sahabat Nabi saw


Oleh: Rossem
Empat judul buku yang diedarkan kepada orangramai sejak kebelakangan ini sangat mengelirukan sesiapa yang membacanya. Buku-buku itu dimasukkan dalam paper bag yang tetera gambar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Mustapha Mohamad dan diedarkan pertama kali kepada guru-guru agama pada Seminar Pemantapan Profesionalisme Guru Pendidikan Islam yang diadakan di Sekolah Teknik Pengkalan Chepa baru-baru ini. Bersamanya disertakan senaskah kalendar yang diterbitkan Umno Kelantan.

Dua daripadanya, masing-masing berjudul “Fatwa Tok Guru” dan “Apa Sudah Jadi”. Intinya memuatkan petikan ucapan-ucapan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kemudiannya diberikan ulasan negatif oleh pengarangnya yang menamakan diri sebagai Abu Sa’id Al-Khudri.

Dua judul lagi dari penulis yang berlainan, namun isinya tetap sama iaitu memberi gambaran nagatif dengan memburuk-burukkan Mursyidul Am Pas dan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Buku-buku itu fitnah seratus persen, tapi menamakan penulisnya sebagai Abu Sa’id Al-Khudri, menunjukkan si penulis seorang jahil dan tolol. Tanpa usul periksa, siapakah Abu Sa’id Al –Khudri itu sebenarnya, sehingga tergamak menggunapakai nama seorang tokoh sahabat Nabi saw, seorang perwari hadis sebagai nama samaran untuk menulis buku jelek seperti itu.

Abu Sa’id Al-Khudri adalah orang ke tujuh yang banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah saw. Telah meriwayatkan sebanyak 1,170 hadis. Sebahagian orang pernah datang kepadanya memintanya agar mengizinkan mereka menulis hadis- hadis yang mereka dengar darinya. Ia menjawab “ Jangan sekali kali kalian menulisnya dan jangan kalian menjadikan sebagai bacaan, tetapi hapalkan sebagaimana aku menghapalnya”.

Abi Sa’id lebih dikenal dengan nama aslinya adalah Sa’ad bin Malik bin Sinan. Ayahnya Malik bin Sinan, syahid dalam peperangan Uhud, Ia seorang Khudri nasabnya bersambung dengan Khudrah bin Auf al-Harits bin al-Khazraj yang terkenal dengan julukan “Abjar”.

Ketika perang Uhud pecah ayahnya (malik) membawanya kepada Rasulullah saw dan meminta agar anaknya diikutkan dalam peperangan. Pada waktu itu Jabir masih berusia 13 tahun, namun ayahnya menyanjung kekuatan tubuh anaknya:” Dia bertulang besar ya Rasulullah” tetapi, Rasulullah saw tetap menganggapnya masih kecil dan menyuruh membawanya pulang.

Abu Sa’id al-Khudri adalah salah seorang diantara para sahabat yang melakukan bai’at kepada Rasulullah saw mereka berikrar tidak akan tergoyahkan oleh cercaan orang dalam memperjuangkan agama Allah SWT, mereka tergabung dalam kelompok Abu Dzarr al-Ghifari, Sahl bin Sa’ad, Ubaidah bin ash Shamit dan Muhammad bin Muslimah.

Abu Sa’id al-Khudri bersama Rasulullah saw dalam perang Bani Musthaliq, perang Khandaq dan perang perang sesudahnya, secara keseluruhan ia mengikuti 12 kali peperangan.

Orang yang meriwayatkan hadis darinya adalah anaknya sendiri Aburahman, istrinya Zainab bin Ka’ab bin Ajrad, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abu Thufail, Nafi’ dan Ikramah.

Suatu hari, Abu sa’id membawa putranya Abdurahman ke tanah pemakaman Baqi, dan berpesan agar ia nanti dimakamkan di bagian jauh dari tempat itu. Katanya: “ Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kelak, kuburkanlah aku disana, Jangan engkau buat tenda untukku, jangan engkau mengiringi Jenazahku dengan membawa api, Jangan engkau tangisi aku dengan meratap-ratap, dan jangan memberitahukan seorangpun tentang diriku”. Beliau wafat pada tahun 74 H

Malang dan sedih sekali dengan perangai orang Umno, sampai hati dan tergamak mereka menggunapkai nama tokoh besar seperti Abu Sa’id Al-Khudri sebagai nama samaran untuk sebuah buku fitnah kepada perjuangan Islam yang dibawa Pas.

Wednesday, January 11, 2012

Pembaca berita TV, Dr Hassan Ali dan Anwar Ibrahim

Oleh:Rossem

Ada tiga perkara pelik berlaku di Malaysia tanggal 7, 8 dan 9 Januari 2012. Secara kebetulan atau sebuah “petunjuk” dari Allah SWT, hanya Allah Maha Mengetahui. Namun ia boleh dijadikan sebagai renungan.

Pertama, seorang pembaca berita TV3 tersasul menyebut, Datuk Seri
Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia. Para bloggers dan facebookers
tak lepas peluang memanjangkan cerita itu lewat entri, akaun facebook dan
twitter masing-masing. Secepat kilat tersebar ke seluruh alam. Pembaca
berita, seorang wanita kemudiannya memohon maaf diatas
ketersasulannya.

Kedua mengemparkan ialah, PAS pecat Datuk Dr Hassan Ali. Pengumuman
pemecatan itu dibuat Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
seusai mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, 8 Januari di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam
Selangor terkejut dan kecewa dengan tindakan drastik yang diambil
Ahli Jawatankuasa parti.

Hassan mendakwa ia dipecat kerana Anwar Ibrahim. Ketua oposisi itu sosok di belakang tindakan dia dilucutkan keahliannya dari PAS.

Hassan yang juga Adun Gombak Setia tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa, bahkan tak perlu meluahkan rasa keciwa atas pemecatan itu, kerana tindak tanduknya sejak mutakhir ini dilihat bertentangan dengan keputusan parti yang beliau sendiri diantara salah seorang barisan pemimpinnya.

Pemecatannya tak lain disebabkan beliau telah membelakangi 'manhaj' dan
disiplin parti. Tindakannya berulang kali membuat kenyataan terbuka
yang mengkritik keputusan dan dasar parti walaupun sudah diberi amaran
berkali-kali.

Menentang “Negara Berkebajikan” yang diperkenalkan PAS setelah disepakti bersama adalah tindakan tidak beretika yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah organisasi politik lebih-lebih lagi politik yang berlandaskan Islam seperti PAS.
Adat berorganisasi, kalau tak patuh kepada kepimpinan setelah
dinasihati berkali-kali masih terus mengulangi hal yang sama, maka pecat adalah jawapan paling sesuai di atas kedegilan dan keegoan itu.

Kendati pun Hassan dipecat, tampaknya ia tak sendirian mendepani
kemelut ini. Tukang-tukang penglipurlara sudah pun mendatanginya
mendendangkan lagu-lagu patrotik. Ibrahim Ali dari Perkasa
pertama-pertama menziarahi Hassan di kediamannya Sungai Penchala.
Tapi, umum mempercayai Hassan tidak semudah itu terpengaruh dengan
rentak tari Perkasa yang cuba menawarnya jawatan presiden sekiranya
bergabung dengan pertubuhan itu. Zulkifli Nordin juga diantara yang awal menabur bunga rampai simpati.

Perjuangan Hassan Ali tak sama dengan PAS dan UMNO. Kalau UMNO teras
perjuangannya adalah Melayu, PAS ialah Islam, maka Hassan Ali ialah
Melayu, Raja-Raja Melayu dan Islam. Bermakna Hasssan Ali lebih satu
berbanding kedua-dua parti itu. Justeru, diyakini Hassan sukar menerima Umno yang hanya memperjuangkan Melayu.

Ketiga, dan di luar jendela pemikiran sesetengah pihak ialah
keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar
Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan, 23.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman ringkasnya
yang tidak melebihi lima minit memberitahu kedua-dua bukti iaitu DNA dan
oral-lisan tak boleh sabit kesalahan.

Yang Arif Sang hakim itu selanjutnya berkata; adalah tidak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA. Justeru, mahkamah hanya ada keterangan Saiful. Mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful.

Kesimpulannya, apa yang berlaku; kertersasulan pembaca berita televisyen menyebaut Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia, melucutkan keahlian Hassan Ali dari PAS kononnya terkait dengan Anwar Ibrahim dan mahkamah membebaskan Anwar Ibrahim dari pertuduhan liwat dilihat sebagai mukadimah kepada kemenangan besar yang bakal diraih Pakatan Rakyat pada PRU ke 13 nanti dalam misi menumbangkan Barisan Nasional. InsyaAllah!

Sunday, January 1, 2012

Salam 1 Malaysia dan Selamat Tahun Baru 2012

Oleh: Rossem

Salam 1 Malaysia!


Perdana Menteri Malaysia ke enam, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan ucapan “Salam 1 Malaysia” untuk rakyat Malaysia sebaik naik tahkta menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Maka radio dan televsyen yang menjadi organ pemerintah pun menyumpurnakan titah itu dengan juruhebahnya menyapa rakyat setiap kali membuka bicara dengan ucapan “Salam 1 Malaysia”.

Kata-kata yang dikeramatkan itu akhirnya menjadi ungkapan lumrah rakyat Malaysia. Sehingga kanak-kanak pra persekolahan pun pandai menyebutnya, bahkan tampak seperti separuh bangga.

Suatu hari, cucu saya berusia lima tahun, kebetulan pulang bercuti di kampung bersama abah dan mamanya menyapa “Salam 1 Malaysia Tuk”, saat menghampiri saya yang sedang isterahat di sofa di ruang tamu rumah pada suatu pagi yang dingin. Saya terpinga-pinga dan kaget dengan sikap cucu perempuan saya yang baru bangun dari tidur, belum mandi sudah ucap salam sama datoknya.

Saya tak menjawab salam cucu kerana tidak pernah dimaklumkan selama diperkenalkan, harus bagaimana ayat menjawabnya. Kalau cara Islam, bila seseorang memberi salam “assalamualaikum” yang menerima salam mesti menjawab dengan “waalaikummusalam”. Tapi “1 Malaysia” Najib tak ajari bagaimana membalas salam itu. Justeru, saya diam saja sambil berfikir, betapa kesan ke atas kanak-kanak amat mendalam sekali.

Selamat Tahun Baru 2012!

Lupakan sebentar kisah hangat yang menghiasi penghujung 2011 iaitu riwayat lembu galak ditambat di kondominium yang sekarang khabarnya sudah kurang selera makan rumput. Dulu ada seseorang pernah sinsing lengan baju dan selak kain mencabar sesiapa saja mahu bersemuka tentang kononnya ada unsur-unsur penyelewengan dalam NFC silakan kedepan. Sekarang sudah membungkam seperti burung murai kesejukan.

Membuka pintu tahun baru Masehi 2012 dengan sesuatu yang tak diduga akan berlaku. Sakit tahun 2011 belum sembuh, penyakit baru pula datang. Penyakit baru ini tentunya sedikit sebanyak mempengaruhi mesin kira-kira Najib dalam menentukan tarikh sesuai Pilihan Raya Umum ke 13.

Yang tak diduga itu ialah, himpunan mahasiswa protes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka.

Dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS, Safwan Anang Talib cedera parah dibelasah anggota FRU. Dilaporkan patah tulang rusuk, patah gigi geraham akibat dipijak anggota polis dan menerima rawatan Hospital Slim River.

Seorang lagi mahasiswa turut cedera, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul. 17 mahasiswa lain ditangkap termasuk pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli dan bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath.

Adam merupakan mahasiswa UPSI yang mendapat perhatian meluas apabila tindakannya menurunkan bendera yang tertera potret wajah Perdana Menteri dengan mengantikan panji kebebasan akademik di PWTC sebelum ini.

Dianggap sebagi wira mahasiswa yang memperjuangkan perubahan daripada kongkongan AUKU. Sosok anak muda yang berani bahkan dikira mampu menjadi pemangkin revolusi rakyat menentang kezaliman pemerintah. Justeru pucuk muda itu harus dicantas segera sebelum menjadi liat.

Sudah beberapa dekad tidak menyaksikan kelahiran wira penentang kezaliman dikalangan mahasiswa. Tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan seorang mahasiswa bernama Adam yang cuba melakar sejarah baru dikalangan pelajar IPTA.

Hal ini teringat kisah tahun 70an, bila seorang mahasiswa Universiti Malaya, Anwar Ibrahim (Datuk Seri) mengetuai kelompok mahasiswa menentang pemerintahan UMNO/BN mengenai isu Baling, yang didakwannya zalim. Beliau ditangkap. Adam juga menerima nasib yang sama, ditangkap.

Tindakan keras pihak polis ke atas penunjuk perasaan pelajar yang ditunjangi Adam barangkali untuk menyekat agar tidak lagi muncul sosok seperti Anwar Ibrahim daripada kalangan mahasiswa yang kelak boleh menggugat pemerintahan UMNO/BN berterusan.

Namun sejarah perjuangan rakyat di mana-mana negara pun di dunia ini seringnya bermula dari kampus universiti. Mahasiwa adalah penyumbang besar dalam usaha menjatuhkan sesebuah pemerintahan. Seharusnya pemerintah menyelesaikan masalah pelajar dengan cara berhemah, bukan lewat cota, gas pemedih mata dan air beracun.