Oleh: Rossem
Dalam sebulan, di awal tahun 2012, ketika pentas politik sedang membahang, tiga orang tokoh dari kalangan orang Melayu menyertai DAP. Seorang bekas ADUN UMNO Pulau Manis, pekan, pahang, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, pemimpin veteran UMNO Negeri Sembilan Aspan Alias dan terbaru mantan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hatta Wahari. Tak diketahui sama ada Hatta sebelum ini seorang ahli UMNO atau tidak, tapi beliau sebelum dipecat adalah seorang wartawan kanan, sekaligus kakitangan sebuah penerbitan akhbar penyambung lidah Melayu yang dipunyai UMNO.
Seorang lagi ialah Zairil Khir Johari, putera Tan Sri Khir Johari mantan Menteri kabinet Malaysia zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak . Sebelum itu, tanggal 31 Mei 2009 Tengku Abdul Aziz Ibrahim menyertai DAP, kini Timbalan Pengerusi parti.
Bagi orang Melayu, bila orang Melayu menyertai DAP, pertama terdetik di hati nurani ialah segugus kehairan, sekaligus dilanda tandatanya, bagaimana seorang Melayu yang beragama Islam masuk DAP, kerana umum mengetahui walau parti tersebut bersifat multi kaum, namun pimpinannya diterajui orang Cina dan 90 persen pendokongnya adalah orang Cina dan India.
Inspirasi parti itu juga sejak dulu dilihat lebih condong kepada membela kepentingan kaum Cina, walaupun dasar parti menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang secara terang-terangan mendaulatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.
Lebih menghairankan lagi, yang menyertai DAP kali ini ialah pemimpin dari kalangan Parti Nasionalis Melayu yakni UMNO. Apakah mereka sudah tak percaya lagi kepada UMNO dalam memperjuangkan kelangsungan Melayu. Atau sudah hilangkah semangat Melayu mereka?.
Atau kalau sudah tak yakin kepada UMNO, kenapa tidak menyertai saja PAS atau PKR. Kedua-dua parti itu dipimpin orang Melayu. Pertanyaan itu pasti ada dalam benak khususnya orang Melayu.
Mohd Ariff pernah menjadi ketua penerangan bahagian UMNO Pekan yang masih diketuai oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Abdul Razak. Ia menulis gurindam dalam blognya:
Buai laju laju
Sampai pokok sena
Melayu tetap Melayu
Walau masuk parti Cina
Lesung dan antan lagi bertingkah
Suami isteri bertikam lidah
Pindah parti bukan tukar aqidah
Tetaplah Allah Tuhan disembah.
Beliau mengkritik cara UMNO/BN menyelesaikan masalah ekonomi rakyat. Pemimpinnya seperti Lord, duduk atas sofa dan hulur RM10 setiap rakyat yang sedang beratur hendakkan RM10. Rakyat terutama orang Melayu berebut-rebut untuk mendapatkannya. Yang di atas sofa senyum puas, yang menerima senyum malu-malu. Cara ini samalah seperti bantuan kemanusian kepada mangsa kebuluran di Somalia, cuma di Malaysia beri wang, sedang di Somalia beri bahan makanan.
Sang veteran UMNO, Aspan Alias menghadapi kepayahan dalam hidup memang mainannya walaupun berada di dalam UMNO yang mengaku sebagai parti untuk semua dan segala-galanya adalah UMNO. “Saya telah menjadi ahli parti ini selama empat dekad lamanya. Saya tidak pernah merungut dan menyesal berada di dalam UMNO sebegitu lama. Setidak-tidaknya saya mahir untuk menilai parti itu dalam empat dekad berada bersamanya”.
Namun ada sedikit kekecewaan terhadap pemimpin negara (UMNO/BN) seperti diungkap dalam blognya: Sisa-sisa dari usia saya ini untuk membantu perjuangan menyelamatkan harta benda rakyat dari dirompak dan dipergunakan oleh mereka yang memerintah negara kita ini.
Kata-kata itu sebenarnya membuka mata ramai orang yang melihat di sana terdapat banyak pintu-pintu penyelewengan terbuka untuk orang-orang tertentu memasukinya dengan mudah. Walaupun sebahagiannya terbongkar, contohnya kes Lembu beli kondominium( NFC) namun pasti banyak lagi terlepas pandang dan hilang jejak.
Hatta Wahari selepas mengambilalih kepimpinan NUJ, pertama-tama menyelar majikannya kerana menjadikan akhbar tempatnya bekerja sebagai alat propaganda kerajaan dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan kaum di negara ini, sehingga pengedaran akhbar itu jatuh menjunam.
Apa yang beliau mahu ialah, akhbar seharusnya kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media, iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan bukan sebagai alat propaganda kepada kerajaan, mana-mana parti politik dan individu-individu tertentu kerana kepentingan peribadi.
Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, Aspan Alias dan Hatta Wahari hanya tiga orang daripada kurang lebih 12 juta orang Melayu di Malaysia. Justeru, tak menjadi kudis gatal pun dengan penghijrahan mereka dalam DAP; demikian kata Khairy Jamaluddin cuba memperlekeh, bahkan Ketua Pemuda UMNO itu mencabar, beri stastik sebenar orang Melayu dalam DAP.
Jawapan kita; Arif, Aspan dan Hatta, memang tiga sosok, namun mereka mewakili sebagaian besar orang Melayu yang berfikiran sama dengannya dalam menilai sesebuah parti politik yang mana harus didokong khususnya dalam konteks Malaysia hari ini.
Kelompok ini terdiri dari mereka yang mahu lepas bebas dari rantai politik perkauman yang diamalkan sejak merdeka oleh UMNO/BN. Kelompok ini menolak
parti politik yang berasaskan kaum atau tebal dengan perkauman. Politik perkauman sudah tak televen lagi dengan semangat zaman. Demikian menurut kelompok ini.
Mereka memilih DAP tidak memilih PAS atau PKR kerana DAP juga adalah parti komponen dalam Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment