Friday, June 3, 2016

Cawangan PAS pertama di Kelantan di Pasir Mas




Oleh: Rossem

Muktamar PAS kali ke 62 berlangsung di Putik, Kelantan dari tanggal 1 – 3 Jun 2016. Bermakna sudah 62 tahun usia parti Islam itu. Kalau pekerja kakitangan awam sudah  dua tahun pencen, tapi PAS sebuah parti politik dengan Islam sebagai landasan perjuangan  tak kenal erti  pencen. Ditubuhkan dalam bulan Ogos 1951.  Ustaz Othman Hamzah mencadangkan nama bagi gerakan Islam yang baru lahir  itu dengan  nama  Parti Islam Se Malaysia (PAS) .  Ustaz Othman Hamzah kembali ke Rahmatullah ketika sedang solat Maghrib, beliau tiba-tiba terbatuk  lantas  meberhentikan solat, isterinya ustazah Hayati Hassan, pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menyaksikan detik-detik cemas yang berlaku terhadap suami tersayang. 

Telah kembali Ustaz Zulkiflee Muhammad,  telah menyusul Dr. Burhanuddin Helmy, telah diikuti oleh yang mengikuiti: Seperti ketentuan. Untuk semua yang mendahului, yang sentiasa dalam kenangan. Untuk  mereka yang masih berkelana di dunia yang fana ini, ku tulis buku ini. Cita-citaku hanya memperhambakan diri kepada MU, Tuhanku. Memang untuk itu aku dijadikan, patah dan terkulai, tapi bakal tumbuh dan tegak lagi. Tumbuh dengan nur Mu, Tuhanku, tegak dengan agamaMu, Tuhanku ampunilah kami. Allah tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha suci Engkau yang mempunyai Kebesaran dan Kemulian.

demikian  ungkapan yang ditulis pengerak utama PAS di era Parti Islam itu  baru  bertatih, baru belajar  berjalan/ rebah, Ustaz Amaluddin Darus (Allahyarham), 22 September 1976 seperti saya kutip dari bukunya “Mengapa Saya Tinggalkan PAS” ( Ustaz Amaluddin Darus diakhir hayatnya kembali kepada PAS). 

Hidup ini sudah ditentukan. Selepas ketiadaan Dr. Burhanuddin , diganti pula yang lain.  Mohd Asri Haji Muda, Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Mohd Nor, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Nik Mat. Tokoh-tokoh hebat itu semuanya  sudah berpulang ke Rahmatullah. Yang hidup terus memimpin.  PAS sebagai parti politik tidak mati,  bahkan terus hidup subur  dengan kepimpinan baru silih berganti.

Kembali kepada sejarah PAS. Pada Ogos 1951 telah dengan rasmi tertubuhnya Parti Islam Se Malaya atau ringkasnya PAS (berdasarkan tulisan jawi) di Butterworth, Pulau Pinang.  PAS parti Islam kedua tertubuh dalam sejarah politik negara selepas Hizbul Muslimin (HM) . Parti Hizbul Muslimin  pembentukannya atas orongan Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Usia HM  tak panjang . Inggeris bertindak. Pemimpin-pemimpin diberkas, dihumban ke dalam tahanan penjajah, menurut Inggeris,   parti Islam itu boleh mengancam kekuasaan Inggeris di Tanah Melayu.

Tahun 1951, bermulalah gerakan PAS di Tanah Melayu. Presiden (Yang Dipertua Agung) pertama Haji Ahmad Fuad, dengan jawatankuasa  kepimpinannya terdiri dari mereka yang masih ahli Umno.
PAS asalnya ditubuhkan di Pulau Pinang. Sekarang Pulau Pinang dengan Ketua Menterinya  Lim Guang Eng dari DAP.  Sebuah parti pelbagai kaum yang didominasi orang-orang Cina. Sebelum Muktamar PAS ke 61, DAP menjadi sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat. Kemenangan DAP di Pulau Pinang hakikatnya sewaktu PAS dan DAP masih menjalin kerjasama. Sekarang sudah beratakan. PAS kemudiannya menjadi parti politik blok ketiga.

Perjuangan PAS yang berlandaskan Islam   diterima rakyat  Kelantan. Sejak Malaya merdeka 1957, Umno /BN hanya memerintah Kelantan selama  12 tahun sahaja, selebihnya PAS. 

Kembali kepada nostlagia tahun 1950an di Kelantan.  Amaluddin Darus Saat bekerja di Pasir Mas sebagai anggota bomba, memperkenalkan PAS kepada masyarakat. Menurutnya; sebagai orang luar, langkah pertama memperbayakkan kawan, menggunakan pendekatan yang diajari Rasulullah saw iaitu memberi  salam kepada mereka yang dikenali atau tak dikenali di mana-mana saja bila bertemu. Masuk kedai kopi, pasar, kepada penjaul ikan, penjual sayur diucapkan “assalamualaikum”. Masing-masing kehairanan, kerana tradisi memberi salam bagi orang Kelantan pada zaman itu hanya dari pengemis / pemintah sedekah atau tok fakir.  Di jalan apabila beliau berselisih dengan lebai atau haji, lantas  memberi salam, salam tak dijawab, bahkan ditenung dengan sinis, kerana Amaluddin Darus bukan orang yang  mereka  dikenali.

Menurut Ustaz Amaluddin,  kedai-kedai  kopi di seluruh bandar Pasir Mas di masuki. Beliau memesan secawan teh, sementara menunggu teh tiba dan sementara menghabiskan secawan teh, kesempatan itu digunakan untuk  mempromosikan dan meperkenalkan PAS kepada orang ramai.  Cerita itu berlaku tahun 1952. 

Muktamar Agung PAS (dulu, Mesyuarat Agung PAS)  yang pertama diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang Ogos 1952. Dalam muktamar itu diadakan juga muzakarah ulama yang membahaskan isu-isu semasa ketika itu. Polemik  antara golongan kaum tua dan kaum muda sedang rancak.  Anggota-anggota yang memimpin  parti  majoritinya kaum tua, maka kaum tua menguasai keadaan.  Namun agenda  utama yang diputuskan dalam  muktamar pertama itu ialah menuntut kemerdekaan. Esoknya tersiar dalam akhbar, PAS memperjuangkan kemerdekaan. Hal ini memudahkan Amaluddin Darus memperkenalkan PAS kepada orang ramai dan mereka perlahan-lahan menerimanya. 

Julai 1953, PAS cawangan Pasir Mas ditubuhkan. Inilah cawangan PAS pertama  ditubuhkan di negeri Kelantan dan di Pantai Timur.  Pengerusinya  Encik Omar bin Yusof,  sementara Amaluddin Darus sebagai setiausaha. Berita tertubuhnya PAS cawangan Pasir Mas itu disiarkan dalam suratkhabar Utusan Melayu.  Diikuti cawangan PAS kedua di Kelantan ialah PAS cawangan Machang, ditubuhkan oleh  Haji Mohd Nor bin Haji Yusof  dan kawan-kawanya. 

Dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pasir Mas yang pertama, Ustaz Amaluddin Darus mengungkapkan “ Tugas kita ialah menghidupkan kembali ajaran Islam  dari yang sekecil-kecilnya yang di bawa Nabi Muhammad saw . Semoga Allah memberkati  dan menolong kita dalam menghidupkan ajaran yang lebih besar”. 

Jumlah ahli PAS meningkat dari masa ke semasa sehingga menceceh sejuta orang, namun pada Muktamar PAS ke 62, di Putik kelmarin,  Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan memberitahu, jumlah anggota parti Islam itu kini berkurangan sebanyak 200,000 selepas proses "pemutihan parti".

1 comment: