Wednesday, October 12, 2011
Keharmonian Masyarakat Majmuk:Pengalaman Kelantan
Oleh:Rossem
Seminar " Keharmonian Masyarakat Majmuk: Pengalaman Kelantan” di PCB Resort (8 Oktober 2011) sangat menyentuh hati nurani. Sesiapa yang hadir, pasti dapat merasakan dan mengetahui bagaimana pimpinan Kerajaan Kelantan yang diterajui ulama menyantuni pelbagai kaum di negeri Serambi Mekah sejak dulu sehingga sekarang. Membentuk menjadi satu masyarakat yang bersatu padu, hidup dalam suasana harmoni dan saling hormat menghormati, walaupun berbeza bangsa, agama dan adab budaya.
Perserta terdiri ahli-ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), dulunya dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS, datang dari seluruh negara.
DHPP Perak antara paling ramai menghantar wakil. Termasuk Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional sendiri iaitu Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Dr. Mujahid Yusof Rawa, sekaligus menjadi pembentang kertas kerja pada seminar bersejarah itu.
Peserta dari Johor, diketuai Ketua Wanita DHPP, Kumutha A/P Rahman, seorang peguam, pernah bertanding Dewan Undangan Negeri Johor atas tiket PAS pada PRU Ke -12. Pada seminar itu Kumutha sebagai pengulas wacana.
Selain itu dari Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis dan lain-lain. Sebahagiannya membawa bersama anak-anak mereka, datang ke bumi Serambi Mekah dengan semangat setiakawan yang berkobar-kobar dan keinginan bagikan tak tertahan-tahan untuk melihat dari dekat wajah pemimpin kesayangan mereka, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kegembiraan terpancar di wajah masing-masing sebaik Tuan Guru melangkah masuk ke dewan seminar jam 2.40 petang. Timbalan Pengerusi DHPP, N Balasubramanian memeluk Tuan Guru sebagai tanda hormat. Peserta lain berebut untuk bersalaman.
Manusia asal dari Adam
Julung kali, Tuan Guru menjadi panelis Bicara Eksklusif “Realiti dan Pengalaman Kelantan: Bukti Keharmonian Masyarakat Majmuk” bersama dua orang pengulas yang dijemput khusus iaitu seorang dari kaum India, Profesor Viveka Sri A. Rajaratinem, asal Kelantan adalah Setiausaha Agong SOKMO, dan penulis bebas Law Chee Fang, juga asal Kelantan.
Tuan Guru sebagai panelis terakhir pada sesi terakhir petang itu, bermukadimah dengan membaca ayat al-Quran, bermaksud “Wahai sekalian manusia bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga membiakkan dari keduannya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu” (al-Quran. Surah 4 an-Nisaa’, Ayat:1)
Ayat tersebut sering dibaca Tuan Guru terutama di hadapan non-Muslim untuk mengingatkan bahawa kita semua adalah dari bapa dan ibu yang satu iaitu Adam dan Hawa. Membiak sehingga berbilion jiwa memenuhi setiap pelosok planet bumi. Olehkerana tinggal dalam geografi yang berbeza, maka warna kulit juga turut berubah, ada putih, sawo matang dan hitam. Ada India, Cina, Melayu dan Siam seperti yang kita saksikan hari ini; kata Tuan Guru.
Tuan Guru juga menyentuh tentang keharmonian masyarakat majmuk di Kelantan sehingga menarik perhatian Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew saat berkunjung ke Kelantan 14 Jun 2009 dengan memuji cara rakyat majoriti negeri ini menyantuni minoriti. Demikian diberitahu Tuan Guru dalam Bicara Eksklusif.
Menteri Besar mengimbau kembali sejarah tragedi Mei 13 (1969) yang berlaku di Kuala Lumpur. Menurutnya, perbalahan kaum seperti terjadi di ibu negara itu tidak berlaku di bumi Kelantan yang waktu itu diperintah oleh PAS. Ini buka secara kebetulan tapi lebih kepada usaha Menteri Besar ketika itu, Dato’ Asri Haji Muda memanggil semua penghulu seluruh Kelantan ke JKR 10, memberitahu mereka; Kerajaan Kelantan tak mahu melihat walau setitis darah orang Cina tumpah di bumi ini atau sehelai bulu roma terlerai dari badan.
Sebagai tanda menghargai kaum Cina, Menteri Besar Kelantan mencadangkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) supaya menamakan sebatang jalan di Kota Bharu dengan nama Cheng Ho atau Haji Cheng Ho, sempena nama ahli pelayaran terkenal China di zaman Maharaja Ming. Laksamana beragama Islam itu sepanjang siri pelayarannya ke seluruh dunia, membawa mesej keamanan dan persaudaraan sejagat. Ia sangat releven dengan misi yang kita bawa hari ini.
Ahli Jawatankuasa Penerangan, Pembanguan Maklumat, Sains dan Teknologi Kerajaan Kelantan, YB Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan yang menjadi moderator mengatakan: Kerajaan Kelantan yang ditadbir ulama sentiasa mendahului dalam setiap aspek yang terkait dengan pelbagai kaum.
“Ketika orang-orang Cina Muslim di Kuala Lumpur berusaha sedaya upaya untuk membina sebuah masjid berekabentukkan tradisi Cina di ibu negara, malangnya Kerajaan BN tak pernah berikan kebenaran, padahal biaya daripada saku mereka sendiri. Tetapi diketika yang sama, Kelantan berjaya membina sebuah masjid berkonsepkan seni bina Cina di Rantau Panjang, iaitu Masjid Beijing”.
Profesor Viveka Sri A. Rajaratiem berterima kasih kepada kepimpinan Tuan Guru kerana menurutnya: Non-Muslim di Kelantan hanya sekitar 5 peratus, tapi sepanjang sejarah, tiada sebuah pun rumah ibadat seperti tokong, kuil, wat dan gereja dirobohkan. Hal ini berbeza dengan negeri-negeri lain.
YB Dr Mohamed Fadzli kemudiannya menambah “Di negeri-negeri yang dimaksudkan itu bukan saja rumah ibadat non-Muslim dirobohkan, malah masjid juga turut dirobohkan seperti Masjid Kampung Bujal, Terengganu, surau Kampung Berembang, Ampang Jaya dan menutup Surau Al-Rahman, Shah Alam”’
Pengulas Law Chee Fang atau akrab dengan L.C Fang menyebut sebagai anak jati Kelantan, keharmonian hidup antara kaum di negeri ini sangat bermakna dan menjadi asset berharga. Beliau menceritakan tentang kondisi Pasar Pokok Pinang, Jalan Dato’ Pati. Di situ terdapat stesen teksi. Tempat lalu lalang. Medan Ilmu juga tak jauh dari situ.
Namun di pasar tradisi Cina itu, bebas menjual daging babi cara terbuka pada sebelah paginya. Tapi orang Melayu Kelantan boleh menerima kewujudan pasar seperti itu. “Sikap toleransi mereka sangat mengkagumkan” tutur Fang.
Tidak dibenarkan mencerca agama lain
Terdahulu, pada sebelah paginya, exco kanan, Dato’ Haji Husam Musa melontarkan mutiara ilmu yang sangat bernas dan informasi bermanfaat, sesuai dengan khalayak yang pelbagai agama pada sesi pembentangan kertas kerja pertama pembuka seminar.
“Agama adalah pilihan individu berdasarkan kemampuan berfikir manusia. Justeru adalah tidak lojik untuk memaksakan agama yang bertentangan dengan kemahuan individu” katanya.
Selanjutnya beliau menambah “ Dalam hal ini, Islam tidak membenarkan sama sekali mencerca tuhan agama lain atau menyakiti hati non-Muslim, disebabkan anutannya yang berbeza”
Islam mengajar setiap pemimpin menolong rakyat dalam kesusahan tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Hal ini menepati konsep yang diamalkan- Kelantan Negeri Berkebajikan. Khalifah Umar al-Khattab saat melalui sebatang jalan, bertemu seorang perempuan Yahudi, lalu perempuan itu bertanya sang khalifah “Sewaktu saya masih muda dan gagah, saya memberi cukai kepada pemerintah, sekarang setelah saya melewati usia tua , pemerintah tak pedulikan” Mendengar itu Umar terkejut, lalu menyuruh pegawai negeri memberinya bantuan.
Tak kurang hebatnya ialah pengulas kepada kertas kerja YB Haji Husam iaitu Dr Wong Chin Huat. Kata beliau; Islamisasi adalah satu istilah yang sangat menakutkan non-Muslim bahkan orang Muslim juga. Ketakutan itu sebenarnya disebabkan mereka belum memahami aspek Islamisasi itu, jika mereka faham pasti menyokong; contohnya perbankan Islam. Sekarang penyimpan paling ramai dalam pembankan Islam ialah non-Muslim kerana mereka melihat kaedah pembankan Islam itu lebih baik.
Pendakwah terkenal Sah Kirit kalakul Govendji yang menjadi pengulas kedua selepas Dr Wong bercerita tentang Kelantan. “20 tahun dulu sebelum memeluk Islam saya takut untuk ke Kelantan kerana gambaran negeri Serambi Mekah ketika itu sangat menakutkan, dengan orang Melayu yang majoritinya 95 peratus tentu mereka akan lakukan sesuatu yang buruk bila bertemu orang India. Tapi setelah saya datang dan dapati orang Kelantan paling baik.
Timbalan Pengerusi DHPP Malaysia, N Balasubramanian dalam ucapannya menyebut tentang hudud yang menjadi isu panas sekarang. “Saya menyokong pelaksanaan hudud kerana ia merupakan suatu undang-undang yang adil”.
Sementara Dr Mujahid Yusof Rawa ketika mengulas tentang hudud, katanya: Agama rasmi Malaysia ialah Islam sementara agama-agama lain bebas menjalankan agamanya. Justeru kalau non-Muslim dari sudut perlembagaan bebas menjalankan ibadat menurut agamanya, apa salahnya umat Islam mahu menjalankan suruhan agamanya. Hudud termasuk dalam perintah agama.
Suasana sepanjang hari itu sangat menyenangkan, terasa keakraban yang luar biasa. Kaum Melayu, Cina, India dan Siam duduk sebelah menyebelah sambil mendengar dengan penuh minat mesej yang disampaikan para pembentang kertas kerja dan pengulas-pengulas.
“Suasana seperti ini tak ada dalam BN, kerana masing-masing bercampur baur dalam kolompok masing-masing, tapi di sini lain” kata salah seorang peserta kaum India dari Perak kepada penulis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment