Sunday, October 9, 2011

Hudud kembali gegarkan Kelantan


Oleh: Rossem
Bukan mudah mengumpul khalayak yang jumlahnya puluhan ribuan dalam sebuah stadium dengan hebohan yang amat terhad. Tanpa banyak kain-kain rentang dipasang di simpang-simpang jalan untuk memeberitahu orangramai, biasanya kehadiran pastinya mengecewakan penganjur. Namun sambutan majlis Himpuan Kesyukuran Hudud di Stadium Sultan Muhammad Ke -IV malam itu di luar dugaan. Kawasan padang sehingga tak nampak kehijauan rumput, sementara tempat duduk bertangga batu juga penuh.

Idea dari pemimpin untuk mengadakan program penting seperti itu juga datangnya seperti”kilat”. Namun, olehkerana para petugasnya PAS punya banyak pengalaman, seberat manapun tugas yang diamanahkan boleh dipikul. Empat atau lima hari sudah cukup untuk menterjemahkan arahan kepimpinan ke alam realiti.

Saya bertanya salah seorang yang hadir, kebetulan duduk bersebelahan “ Bagaimana anda mengetahui program malam ini?” jawab lelaki separuh usia itu “ lewat fecebook”. Rupanya keberkesanan media baru itu cukup hebat, mengatasi sepanduk atau media cetak. Patutlah pengendali facebook, twiter dan blog kini berkerjakeras menfaatkan media baru itu untuk tujuan perang saraf parti masing-masing.

Saya sudah lama tak melihat khalayak seramai malam itu memenuhi Stadium Sultan Muhamad Ke- IV, Kota Bharu, mendengar ceramah politik PAS (Pakatan Rakyat) kecuali waktu solat hajat dan munajat perdana menjelang Pilihan Raya Umum 2008. Maka malam 7 Oktober 2011 mencatat sejarah baru, kehadiran khalayak paling ramai sejak empat tahun, walaupun masih tak dapat menandingi 2008.

Tiga faktor menjadikan stadium penuh. Pertama kerana penceramahnya adalah pemimpin-pemimpin tertinggi PAS iaitu Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden parti Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pakar undang-undang Profesor Dr Aziz Bari. Kedua kerana isu yang dibicarakan ialah seputar hudud yang sangat ditakuti BN, sehingga MCA dan Gerakan mengugut mahu keluar Barisan Nasional jika UMNO ikut bersetuju dengan pelaksanaan hudud di Malaysia. Manakala sebab ketiga ialah, malam itu langit Kota Bharu sangat bersahabat. Hujan tak turun seperti malam-malam sebelumnya.

Hudud menjadi isu panas menggantikan isu Mat Indera yang dicetuskan Mat Sabu yang sudah reda. Bagi UMNO, hari hudud yang disambut kerajaan Kelantan setiap tahun boleh diolah untuk dijadikan isu yang dikirakan akan menguggat perpaduan Pakatan Rakyat (PR) terutama PAS dengan DAP, kerana menurut UMNO, pemimpin DAP juga tak bersetuju sekiranya PAS mahu melaksanakan hudud.

Tapi, bila UMNO membangkitkan isu hudud, dengan mencabar PAS supaya melaksanakan di Kelantan seperti disiniskan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad: Kenapa Kelantan tak laksanakan hudud?” Belum tentu dengan mengeksplotasikan isu itu perpaduan PR boleh goyah.

Meskipun umum mengetahui, pertanyaan Dr Mahathir adalah satu olah yang direncanakan bertujuan menjerat PAS. Andai PAS menjawab tak bersedia, pastinya para pendukung parti Islam itu akan memberi reaksi “kecewa” kepada PAS kerana tergelincir dari landasan perjuangan Islam dan jika mengatakan mahu melaksanakan, pasti akan memicu kemarahan rakan kongsinya dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP. Kerana parti itu realitinya tak bersetuju jika PAS mahu melaksanan hukum hudud di negara ini. UMNO mahu melihat situasi keharmonian antara PAS dan DAP akan cair menjelang PRU Ke-13.

Jerat ini sebenarnya jerat maut. Namun olehkerana sang mangsa merupakan kumpulan kancil yang pintar. Jerat itu sempat dihidu. Pada tengah malam, 29 September 2011 majlis pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bermesyuarat di Kuala Lumpur untuk berbincang dan membuat keputusan penting tentang isu hudud yang menjadi kontroversi.

DAP diwakili pengerusinya Karpal Singh, Datuk Seri Anwar Ibrahim -PKR dan PAS oleh Presiden parti iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sementara Mursyidul Am Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak hadir. Beliau mewakilkan Datuk Takiyuddin Hassan mewakili negeri Kelantan. Negeri itu perlu ada wakilnya kerana persoalan hudud melibatkan negeri Kelantan.

Anwar Ibrahim yang menjadi pengerusi mesyuarat pertama-pertama mengingatkan; Andainya kita tersilap membuat keputusuan pada malam ini, maka harapan kita untuk ke Putrajaya hancur berkecai. Andainya malam ini kita gagal mencapai kata sepakat maka mesyuarat ini mesyuarat terakhir Pakatan Rakyat. Pilihlah antara dua, kehilangan rakan dalam PR atau bersedirian menghadapi PRU Ke -13.

Mesyuarat akhirnya membuat keputusan akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

PAS bertegas mahu hudud dilaksanakan di Kelantan, akhirnya DAP memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat.

Keputusan itu sangat mengecewakan UMNO yang mengharapkan akan timbul perbalahan pendapat antara PAS dan DAP, namun berlaku sebaliknya.

Rakyat Kelantan kemudiannya menterjemahkan kegembiraan itu melalui Majlis Himpunan Kesyukuran yang di adakan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV dengan solat hajat dan Isya berjamaah.

No comments:

Post a Comment